Sabtu, 20 Disember 2025

Tafsir al-Mu'in: Surah al-Kauthar

إِنَّا أَعْطَيْنَاكَ الْكَوْثَرَ١

Sesungguhnya Kami telah mengurniakan kepadamu (wahai Muhammad) kebaikan yang banyak (di dunia dan di akhirat).”

Tafsir Ayat 1:

Sesungguhnya Kami telah menganugerahkan kepadamu dan menjadikan untukmu - wahai Rasulullah - kebaikan yang banyak di dunia dan akhirat.

Sebahagian daripadanya ialah: Kenabian, al-Kitab, hikmah, ramainya pengikut, kemenangan ke atas musuh, al-Hawdh (telaga) yang didatangi, dan al-Maqam al-Mahmud (kedudukan yang terpuji) iaitu Syafaat yang Agung pada hari Kiamat, serta sebatang sungai di Syurga yang mengalirkan air ke telaganya, yang mana umat baginda akan minum daripadanya di tempat perhimpunan (Mahsyar). Tebingnya terdapat khemah-khemah daripada mutiara yang berongga, dan tanahnya adalah kasturi, padanya terdapat kebaikan yang banyak.

 فَصَلِّ لِرَبِّكَ وَانْحَرْ٢

Oleh itu, kerjakanlah sembahyang kerana Tuhanmu semata-mata, dan sembelihlah korban (sebagai bersyukur).”

Tafsir Ayat 2:

Maka sembahlah Tuhanmu yang telah memberimu pemberian yang agung ini dan kebaikan yang banyak, serta memuliakanmu dan mengangkat darjatmu ke atas sekalian makhluk, dan meninggikan kedudukanmu mengatasi mereka.

Maka solatlah untuk Tuhanmu dengan ikhlas kerana-Nya, dan bersyukurlah kepada-Nya atas nikmat-Nya kepadamu, dan sembelihlah unta sebagai ibadah mendekatkan diri kepada-Nya, serta sedekahkanlah ia kepada orang-orang yang memerlukan.

 إِنَّ شَانِئَكَ هُوَ الْأَبْتَرُ٣

Sesungguhnya orang yang bencikan engkau, Dia lah yang terputus (dari mendapat sebarang perkara yang diingininya).”

Tafsir Ayat 3:

Sesungguhnya musuhmu dan orang yang membencimu - wahai Rasulullah - dialah yang paling sedikit, paling hina, dan terputus daripada segala kebaikan, sedangkan engkau adalah yang paling mulia, paling terhormat, dan paling agung. Maka bukanlah Muhammad sallahu ‘alaihi wasallam itu abtar (terputus zuriat) - sebagaimana yang didakwa oleh orang-orang musyrik - kerana Allah tidak mengekalkan baginya anak lelaki yang sampai ke tahap umur dewasa. Sesungguhnya orang yang abtar (terputus) itu hanyalah orang yang tiada baginya sebarang kesinambungan kebaikan, yang kekal dalam kesengsaraan yang abadi.

Ayat yang mulia ini menunjukkan melalui nasnya bahawa orang yang membenci Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam dan apa yang dibawa oleh baginda berupa petunjuk dan agama yang benar adalah terputus daripada segala kebaikan. Dan ia menunjukkan melalui mafhum dan lazimnya (implikasinya) bahawa orang yang mencintai baginda sallahu ‘alaihi wasallam adalah bersambung dengan segala kebaikan di dunia dan akhirat.

Sumber:

Tafsir al-Mu’in – Syeikh Majid Makki.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan