Khamis, 1 November 2012

Hujjatul Islam Imam Abu Hamid al-Ghazzali



*Ini bukan tulisan asal saya. Saya cuma sebarkan sahaja.

Imam al-Ghazzali, sebuah nama yang tidak asing di telinga kaum muslimin. Beliau merupakan tokoh yang terkemuka dalam bidang falsafah, fiqh dan tasawuf.  Beliau memiliki pengaruh dan pemikiran yang telah menyebar ke seantero dunia Islam. Ironisnya, sejarah dan perjalanan hidupnya masih terasa asing. Kebanyakan kaum muslimin belum mengengetahui secara mendalam mengenai hidup beliau. Berikut adalah sebagian daripada biografi beliau. Setiap kaum muslimin yang mengikutinya, hendaknya mengambil hikmah daripada sejarah hidup beliau.
Nama, Nasab dan Kelahiran beliau
Beliau bernama Muhammad bin Muhammad bin Muhammad bin Ahmad at-Thusi. Beliau digelar Abu Hamid al-Ghazzali. Para ulama nasab berselisih dalam penyandaran nama Imam al-Ghazzali. Sebagian mengatakan bahawa penyandaran nama beliau kepada daerah Ghazalah di Thusi, tempat kelahiran beliau. Ini dikuatkan oleh al-Fayumi dalam al-Mishbah al-Munir.
Sebagian lagi mengatakan penyandaran nama beliau kepada al-Ghazzali kerana pekerjaan bapanya sebagai seorang penenun bulu biri-biri. Sehingga nisbatnya ditasydid (al-Ghazzali). Demikian pendapat Ibnul Atsir.
Dan dinyatakan bahawa Imam Nawawi berkata: “Tasydid dalam al-Ghazzali adalah yang benar.” Bahkan Ibnu Assam’ani mengingkari penyandaran nama yang pertama dan berkata: “Saya telah bertanya kepada penduduk Thusi tentang daerah al-Ghazalah, dan mereka mengingkari kewujudannya.”
Pendapat yang dijadikan pegangan oleh para ahli nasab mutaakhirin adalah pendapat Ibnul Atsir dengan tasydid(al-Ghazzali), iaitu penyandaran nama kepada pekerjaan dan keahlian(menenun bulu biri-biri) bapak dan datuknyanya.

Tarikh Kelahiran
Imam Ghazali dilahirkan di kota Tusi tahun 450H/1029M dan memiliki seorang saudara yang bernama Ahmad.

Kehidupan dan perjalanannya menuntut ilmu
Ayah Imam al-Ghazzali adalah seorang penenun kain shuf (kain yang dibuat dari bulu biri-biri) dan menjualnya di kota Tusi. Menjelang wafatnya, beliau mewasiatkan agar kedua-dua anaknya dijaga oleh seorang temannya daripada kalangan orang yang baik. Beliau berpesan: “Sungguh saya menyesal tidak belajar khat (ilmu menulis tulisan Arab) dan saya ingin memperbaiki apa yang telah saya alami kepada kedua anak saya ini. Maka saya mohon engkau mengajarinya, dan harta yang saya tinggalkan boleh digunakan untuk keduanya.”
Setelah meninggal, maka temannya tersebut mengajari kedua-duanya ilmu-ilmu Islam, hingga habislah harta peninggalan yang sedikit tersebut. Kemudian beliau meminta maaf kerana tidak dapat melanjutkan wasiat ayah Imam Ghazzali dengan harta benda yang dimilikinya. Beliau berkata, “Ketahuilah oleh kalian berdua, saya telah membelanjakan untuk kalian daripada harta kalian. Saya seorang fakir dan miskin yang tidak memiliki harta. Saya menganjurkan agar kalian berdua untuk masuk ke madrasah seolah-olah sebagai penuntut ilmua agar kamu dapat memperoleh makanan yang dapat membantu kalian berdua.”
Lalu, kedua-duanya melaksanakan anjuran tersebut. Inilah yang menjadi sebab kebahagiaan dan ketinggian mereka. Demikianlah diceritakan oleh al-Ghazzali, hingga beliau berkata, “Kami menuntut ilmu bukan karena Allah S.W.T , akan tetapi ilmu enggan(sukar diperolehi) kecuali hanya kerana Allah S.W.T.”
Imam al-Ghazzali menceritakan bahawa ayahnya seorang fakir yang soleh. Beliau tidak makan kecuali hasil pekerjaannya membuat pakaian daripada bulu biri-biri. Beliau sering mengujungi ahli fiqh dan berbincang dengan mereka. Apabila beliau mendengar perkataan mereka(ahli fiqh), beliau menangis dan berdoa memohon diberi anak yang faqih. Apabila hadir di majlis ceramah nasihat, beliau menangis dan memohon kepada Allah S.W.T agar diberikan anak yang alim dalam ilmu agama.
Allah S.W.T telah mengabulkan kedua-dua doa beliau tersebut. Imam al-Ghazzali menjadi seorang yang faqih dan saudaranya (Ahmad) menjadi seorang yang ahli dalam memberi nasihat.

Imam al-Ghazzali mula belajar ilmu-ilmu agama semenjak masih kecil lagi. Beliau mempelajari ilmu fiqh daripada Syaikh Ahmad bin Muhammad ar-Radzakani di kota Tusi. Kemudian, beliau berangkat ke Jurjan untuk mengambil ilmu daripada Imam Abu Nashr al-Isma’ili dan beliau mula menulis sebuah buku yang bertajuk at-Ta’liqat. Kemudian, beliau pulang semula ke Thusi.
Seterusnya, beliau pergi ke kota Naisabur dan berguru kepada Imam Haramain al-Juwaini dengan penuh kesungguhan sehingga beliau dapat menguasai dengan sangat baik fiqh mazhab Syafi’e, ilmu perdebatan, ilmu usul, ilmu mantiq, ilmu hikmah dan falsafah. Beliau dapat memahami perkataan para ahli ilmu tersebut dan membantah orang yang menyelisihinya.
Setelah Imam Haramain meninggal, Imam al-Ghazzali bertemu dengan Wazir Nidzamul Malik. Kemudian Nidzamul Malik mengangkat beliau menjadi tenaga pengajar di madrasahnya di Baghdad dan memerintahkannya untuk berpindah ke sana. Maka, pada tahun 484H beliau berangkat ke Baghdad dan mengajar di Madrasah an-Nidzamiyah dan beliau berusia 34 tahun ketika itu. Disinilah beliau menjadi terkenal dan mencapai kedudukan yang sangat tinggi.
Kitab-kitab karangan Imam al-Ghazzali
Antara kitab-kitab karangan Imam al-Ghazzali adalah:
Kitab Ihya' ulumuddin
1.    Ihya’ ulumuddin
Kitab Minhajul 'Abidin

2.    Minhajul ‘abidin
3.    Al-wajiz fi usul fiqh
Kitab Mukashafal al-Qulub

4.    Mukashafal al-qulub

5.    Tahafut al-falasifah
Kitab Bidayatul hidayah

6.    Bidayatul hidayah
Pengaruh falsafah dalam dirinya
Pengaruh falsafah dalam diri beliau begitu mendalam sehingga beliau dapat menyusun buku-buku yang mengkritik ahli falsafah yang menyeleweng, seperti kitab Tahafut Falasifah yang membongkar kesesatan ahli falsafah yang menyeleweng. Walaubagaimanapun, beliau tetap menyetujui mereka dalam beberapa hal.
Polemik Kejiwaan Imam Ghazali
Kedudukan dan ketinggian Imam al-Ghazzali ini tidak membuatkannya menjadi sombong dan cinta kepada dunia. Bahkan dalam jiwanya berkecamuk polemik (perang batin) yang membuat beliau jatuh cinta untuk menekuni ilmu-ilmu kezuhudan. Beliau menolak jabatan tinggi dan kembali kepada ibadah, melatih sifat ikhlas dan perbaikan jiwa. Pada bulan Zulkaedah tahun 488H, beliau menunaikan haji dan mengangkat saudaranya yang bernama Ahmad sebagai penggantinya.
Pada tahun 489H, beliau memasuki kota Damsyik dan tinggal di sana selama beberapa hari. Kemudian, beliau menziarahi Baitul Maqdis beberapa lama, dan kembali ke Damaskus beri’tikaf di menara barat masjid Jami’ Umawi. Beliau selalu duduk di tempat Syaikh Nashr bin Ibrahim al-Maqdisi di masjid Jami’ Umawi(yang sekarang dinamai al-Ghazaliyah). Beliau tinggal di sana dan menulis kitab Ihya Ulumuddin, al-Arba’in, al-Qisthas dan kitab Mahakkun Nadzar. Beliau melatih jiwanya dan memakai pakaian ahli sufi. Beliau tinggal di Syam sekitar 10 tahun.
Ibnu Asakir berkata: “Abu Hamid rahimahullah berhaji dan tinggal di Syam sekitar 10 tahun. Beliau menulis, bermujahadah dan tinggal di menara barat masjid Jami’ Umawi. Beliau turut mendengar kitab Sahih Bukhari dari Abu Sahl Muhammad bin Ubaidilah al-Hafshi.” (Dinukil oleh Imam Zahabi dalam Siyar A’lam Nubala 6/34).
Ibnu Khallakan berkata: “An-Nidzam (Nidzam Mulk) mengutusnya(Imam al-Ghazzali) untuk menjadi tenaga pengajar di madrasahnya di Baghdad tahun 484H. Beliau meninggalkan jawatannya pada tahun 488H lalu menjadi orang yang zuhud, berhaji dan tinggal menetap di Damsyik selama beberapa lama. Kemudian, beliau berpindah ke Baitul Maqdis, lalu ke Mesir dan tinggal selama beberapa lama di Iskandariyah. Kemudian, beliau kembali semula ke Thusi.” (Dinukil oleh Imam Zahabi dalam Siyar A’lam Nubala 6/34).
Ketika Wazir Fakhrul Mulk menjadi penguasa Khurasan, Imam al-Ghazzali telah dipanggil dan diminta untuk tinggal di Naisabur. Beliau datang ke Naisabur dan mengajar di madrasah an-Nidzamiyah. Setelah beberapa tahun mengajar di sana, beliau pulang semula ke negerinya untuk menekuni ilmu dan menjaga waktunya dengan beribadah. Beliau mendirikan sebuah madrasah berhampiran dengan rumahnya dan sebuah tempat untuk ahli-ahli sufi. Beliau menghabiskan sisa waktunya dengan mengkhatam al-Quran, berkumpul dengan ahli ibadah, mengajar para penuntut ilmu dan melakukan salat dan berpuasa serta ibadah-ibadah yang lain sehingga beliau meninggal dunia.
Masa Akhir Kehidupannya
Di akhir kehidupannya, beliau menghabiskan waktunya dengan mempelajari hadith dan berkumpul dengan para ahli hadith. Berkata Imam Zahabi: “Pada akhir kehidupannya, beliau tekun menuntut ilmu hadith dan berkumpul dengan ahlinya serta menelaah sahihain(Sahih Bukhari dan Muslim). Seandainya beliau berumur panjang, nescaya beliau dapat menguasai semuanya dalam waktu yang singkat. Beliau belum sempat meriwayatkan hadits dan tidak memiliki keturunan kecuali beberapa orang anak perempuan.”
Kajian Imam al-Ghazzali terhadap Sahih Bukhari dan Muslim di akhir hayat beliau sama sekali tidak menunjukkan bahawa beliau sebelumnya jauh dari Sunnah, kerana beliau sudah akrab dengan Sunnah sejak beliau mencari ilmu.
Imam Ibnu Jauzi menyampaikan kisah meninggalnya Imam al-Ghazzali dalam kitab ats-Tsabat Indal Mamat. Beliau menukil sebuah kisah yang diceritakan oleh Ahmad (saudara Imam al-Ghazzali). Beliau(Ahmad)berkata: “Pada subuh hari Isnin, saudaraku Abu Hamid berwudhu dan solat, lalu berkata, “Bawa kemari kain kafan saya.” Lalu beliau mengambil dan menciumnya serta meletakkannya di kedua matanya, dan berkata, “Saya patuh dan taat untuk menemui Malaikat Maut.” Kemudian beliau meluruskan kakinya dan menghadap kiblat. Beliau meninggal sebelum langit menguning(menjelang pagi hari). (Dinukil oleh Imam Zahabi dalam Siyar A’lam Nubala 6/34).
Imam Ghazzali meninggal dunia di kota Thus, pada hari Isnin t 14 Jamadilakhir tahun 505H/1084M dan dikuburkan di pekuburan at-Thabaran. (Thabaqat asy-Syafi’iyah 6/201).

Tiada ulasan:

Catat Ulasan