Jumaat, 26 April 2013

Imam Ibnu Majah



*Ini bukan tulisan asal saya. Saya cuma sebarkan sahaja.

Nama dan kelahirah beliau
Imam Ibnu Majah adalah salah seorang ulama besar dalam ilmu hadith yang telah disepakati kejujurannya dan segala pendapatnya dapat dijadikan sebagai hujah. Beliau mempunyai pengetahuan yang luas dan menghafal ribuan hadith.
Nama penuh Imam Ibnu Majah ialah Muhammad bin Yazid bin Majah ar-Rabi'i al-Qazwini. Beliau digelar Abu Abdullah kerana salah seorang anaknya bernama Abdullah. Beliau merupakan pengarang kitab Sunan Ibnu Majah dan kitab-kitab lainnya. Kata "Majah" dalam nama beliau adalah dengan huruf "ha" yang dibaca suku(mati). Inilah pendapat yang sahih yang dipakai oleh majoriti ulama, bukan dengan "ta" (majat) sebagaimana pendapat sesetengah orang.
Imam Ibnu Majah dilahirkan di Qazwin pada tahun 209H/788M dan meninggal dunia pada 22 Ramadhan 273H/852M. Jenazahnya disolatkan oleh saudaranya, Abu Bakar. Sedangkan pengkebumiannya dilakukan oleh kedua-dua saudaranya iaitu Abu Bakar dan Abdullah serta anaknya iaitu Abdullah.

Pengembaraannya

Imam Ibnu Majah membesar sebagai orang yang mencintai pengetahuan terutamanya ilmu hadith dan periwayatan. Untuk mencari dan mengumpulkan hadith, beliau telah melakukan pengembaraan di beberapa negeri. Beliau telah melawat ke Iraq, Hijaz, Syam, Mesir, Kufah, Basrah dan negara-negara lainnya untuk menemui dan berguru hadith kepada ulama-ulama hadith. Beliau juga  belajar kepada murid-murid Imam Malik bin Anas dan Imam Laith bin Sa’ad sehingga sehingga beliau menjadi salah seorang imam yang terkemuka pada masanya di dalam bidang ilmu hadith.

Periwayatan hadith

Imam Ibnu Majah belajar dan meriwayatkan hadith daripada ramai ulama hadith. Antaranya:
1.    Abu Bakar bin Abi Syaibah
2.    Muhammad bin Abdullah bin Numair
3.    Hisyam bin 'Ammar
4.    Muhammad bin Ramh
5.    Ahmad bin al-Azhar
6.  Bisyr bin Adan dan ulama-ulama besar yang lain.
Manakala hadith-hadithnya pula telah diriwayatkan oleh beberapa orang anak muridnya. Antaranya:
1.    Muhammad bin 'Isa al-Abhari
2.    Abul Hasan al-Qattan
3.    Sulaiman bin Yazid al-Qazwini
4.    Ibn Sibawaih
5.    Ishak bin Muhammad dan ulama-ulama lainnya.

Pujian para ulama kepadanya

1.    Abu Ya'la al-Khalili al-Qazwini berkata: "Ibn Majah adalah seorang ulama hadith yang dipercayai dan telah disepakati kejujurannya serta dapat dijadikan hujah segala pendapat-pendapatnya. Beliau mempunyai pengetahuan luas dan menghafal banyak hadith."
2.    Imam Zahabi dalam Tazkiratul Huffaz, mengatakan bahawa Imam Ibnu Majah adalah seorang ahli hadith besar, mufasir(ahli tafsir), pengarang kitab sunan dan kitab tafsir, serta ahli hadith yang besar di negerinya.

3.    Imam Ibnu Kathir yang merupakan seorang ahli hadith dan pengkritik hadith berkata dalam Bidayah wan Nihayah : "Muhammad bin Yazid(Ibn Majah) adalah pengarang kitab sunan yang masyhur. Kitabnya itu merupakan bukti atas amal dan ilmunya, keluasan pengetahuan dan pandangannya, serta kepakarannya dalam ilmu  hadith, usul dan furu'."

Karya-Karyanya

Imam Ibn Majah mempunyai banyak karya tulis, di antaranya:
Sunan Ibn Majah

1.    Kitab Sunan, yang merupakan salah satu daripada Kutub Sittah(enam buah kitab hadith yang utama).

2.    Kitab Tafsir al-Qur'an, sebuah kitab tafsir yang besar manfaatnya seperti yang diterangkan oleh Imam Ibnu Kathir.

3.    Kitab Tarikh yang mengandungi maklumat sejarah sejak zaman sahabat sehingga zaman Imam Ibnu Majah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan