Ahad, 30 Mac 2014

Syeikh Sa'id Hawwa

Said Hawwa (1935-1989M) : Tokoh Gerakan Islam Syria yang Gigih 

Oleh: Dr Mohd Rumaizuddin Ghazali


Said Hawwa seorang yang banyak membaca sejak kecil dan mampu memahami pembacaan tersebut dengan baik. Beliau membaca kesemua ilmu-ilmu yang berkaitan dengan Islam terutama ilmu akidah, fekah, Usul Fiqh , tafsir, sirah dan lain-lain. Seorang rakan memberitahu bahawa Said Hawwa dalam penjara apabila ia memegang buku setebal 500 muka surat, maka beliau tidak akan tidur sehingga selesai membacanya. Begitulah keadaan sehariannya. 

Nama sebenarnya ialah Said bin Muhammad bin Hawwa. Hawwa ialah nama keturunan yang diwarisi dari sebelah bapanya.Beliau dilahirkan pada 27 September 1935 di Hamah, Syria. Keturunannya bersambung dengan Rasulullah dan ia dinasabkan kepada kabilah al-Naim yang merupakan salah satu keturunan Rasulullah. Ketika berusia dua tahun, ibunya telah meninggal dunia. Ibunya bernama Arabiyyah al-Tais dan bapa Muhamad Dib Hawwa seorang aktivis politik yang menentang penjajah Perancis dan dipenjara pada tahun 1939 kerana tuduhan membunuh. 

Kehidupannya pada awal kanak-kanak amat susah dan miskin dan pernah diusir dari sekolah kerana tidak mampu membeli pakaian rasmi sekolah. Semasa ketiadaan bapanya kerana dipenjara, beliau dipelihara oleh bapa saudara dan datuknya. Said Hawwa memulakan pengajian ketika berusia tujuh tahun dan pada masa itu bapanya masih berada dalam penjara. Apabila bapanya dibebaskan, beliau berhenti sekolah kerana menolong bapa berniaga di pasar. Apabila pendapatan keluarga semakin bertambah bapanya telah menghantar Said Hawwa mengikuti kelas malam bagi memperolehi sijil rendah kebangsaan. Sementara pengajian al-Quran telah bermula sejak berusia lima tahun. ( Said Hawwa, 1987: 7-9) 

Pada tahun 1948, beliau memulakan pengajian di sekolah Menengah al-Rusyd. Pada peringkat ini, beliau berjumpa dengan guru Syeikh Muhamad Hamid, seorang tenaga pengajar di sekolah Menengah Ibn Rusyd yang membawa beliau belajar dengan di halaqah yang diajarnya di Masjid Sultan dan pengajian ini memberi kesan yang mendalam kepada Said Hawwa. (Said Hawwa, 1987: 24)

Pada tahun 1952 ketika berusia 17 tahun memasuki peringkat Thanawi dan juga memasuki dan terlibat aktif dengan Jemaah Ikhwan Muslimun Syria. Kemasukan dalam gerakan Ikhwan mempunyai kesan yang mendalam dalam merubah dirinya dalam mencapai keredahaan Allah dan bekerja untuk Islam. Bagi ahli baru Ikhwan akan mengikuti usrah dan beliau mengikuti usrah yang dipimpin oleh Ustaz Mustafa al-Sirafi, seorang tokoh Ikhwan di Hamad. Pada waktu itu, ada tiga tokoh Ikhwan yang menonjol iaitu Mustafa Sirafi, Abdul Karim Uthman dna Adnan Saaduddin. Pada masa ini juga, bakat pidato dan ceramah beliau diasuh dengan berceramah di pentas demontrasi atau berkhutbah di masjid. Pada tahun 1956 memasuki Universiti Damsyiq dalam Fakulti Syariah. Beliau menjadi pemimpin Ikhwan peringkat universiti dan juga menambah ilmu dengan pengajian-pengajian di Masjid. Pada peringkat ini juga beliau mula menjinakkan diri dengan tarikat sufi dan berguru dengan Syeikh Muhammad al-Hasyimi guru Tariqah al-Darqawiyyah di Damsyiq


Guru-gurunya

Antara guru-gurunya Syeikh Muhammad al-Hamid, Muhammad al-Hasyimi, Ustaz Maaruf al-Dawalibi, Umar Hakim, Syeikh Abdul Wahab Dabis, Syeikh Abdul Karim Rafa;I, Syeikh Ahmad Murad, Syeikh Muhamad Ali Murad. Syeikh Salih al-Asqar, Dr Mustafa al-Siba’iy, Mustafa al-Zarqa, Mustafa al-Khin, Dr Fauzi Faidullah dan Hassan Habannakah. Beliau telah tamat di universiti pada tahun 1961 dan memasuki latihan ketenteraan pada tahun 1963. Pada tahun 1964, beliau berkahwin dengan Ummu Muhammad dan dikurniakan empat orang anak Muhammad (1965), Ahmad (1966), Fatimah (1967) dan Muaz (1969.(www.Saedhawwa.com) 

Said Hawwa terlibat secara serius dengan tariqat sufi dengan gurunya Muhammad al-Hasyimi yang banyak mempengaruhi sikapnya. Beliau beriltizam dengan tarikat sufi dengan mengikuti majlis zikir, dan selawat yang dianjurkan oleh syeikh tarikat seperti Syeikh Burhani, Syeikh Abdul Qadir Isa, Syeikh Bashir al-Bahuni. Pengalaman Said Hawwa dalam tarikat sufi memberi kesan dalam penulisan buku-buku terutama mengenai pendidikan kerohanian seperti Tarbiyatuna al-Ruhiah (Pendidikan Kerohanian), Mustakhlis fi Tazkiyyah al-Anfus dan Muzakarat fi Manazil al-Siddiqin wa al-Rabbaniyyat. 

Beliau juga gigih belajar dengan ulama-ulama di masjid di sekitar Damsyiq semasa belajar di universiti untuk mendalami ilmu. Antara gurunya ialah Syeikh Abdullah al-Hariri, seorang guru bidang Hadis, Syeikh Abdul Wahab, guru dalam fikah Hanafi dan menghadiri majlis tarikat sufi oleh Syeikh Mala’ Ramadan al-Buti, bapa kepada Muhammad Said Ramadan al-Buti. 

Setelah tamat di Universiti Damsyiq, beliau bertugas di al-Hasakah, Utara Syria berdekatan dengan Turki kemudian ditukarkan ke Hamah kerana khubahnya yang menyentuh sensitivity agama Kristian dan Yahudi. Di Hamah beliau bertugas di sekolah al-Salmiyah. Pada tahun 1964, beliau menyertai Revolusi Hamah kerana menentang penguguran subjek agama dalam sistem pelajaran dan juga penyiaran penulisan mengenai kisah nabi Adam sebagai mitos yang menyebabkan kemarahan rakyat Hamah. Said Hawwa memberi khutbah yang membakar semangat penentangan tersebut dan akhirnya beliau disenarai hitam oleh polis. Untuk menenangkan keadaan, beliau telah diminta untuk keluar dari Syria dan pergi ke Iraq selama 40 hari dan kemudian ke Jordan. Semasa tinggal di Jordan, beliau mendapat pengkhabaran dari kerajaan Syria mengenai pengampunan golongan penentangan dan membenarkan pelarian pulang tanpa syarat. (Said Hawwa, 1987: 74) 

Pada tahun 1966, beliau telah berhijrah ke Arab Saudi untuk bertugas sebagai guru bahasa Arab . Perpindahan beliau ke Arab Saudi kerana tekanan yang kuat yang diterima di Hamah . Beliau disekat dari menyampaikan kuliah dan khutbah serta ditukar di kawasan pendalaman. Semasa di Arab Saudi, beliau diberi tugas oleh Ikhwan untuk menyiapkan manhaj perjuangan Ikhwan. Semasa di Arab Saudi, beliau mendapat pembelaan dari Syeikh Abdul Aziz Baz dalam meneruskan dakwah dan kuliah termasuk mengajar di Masjid Nabi. Said Hawwa tinggal di Arab Saudi selama lima tahun bermula tahun 1966 sehingga tahun 1971 dan menyiapkan buku Silsilat al-Usul al-Thalathah (Allah, al-Rasul dan al-Islam) dan buku Jundullah Thaqafatan wa Akhlaqan (Tentera Allah : Ilmu dan Akhlak) dan Jundullah Takhtitan wa tanziman ( Tentera Allah : Perancangan dan Organisasi). Di sini, beliau menyampaikan ceramah di beberapa buah universiti, kolej dan sekolah serta kelab terutama dua kelab yang terkenal di Madinah iaitu Kelab al-ansar dan Kelab Uhud.( www.ikhwan.online., Said Hawwa, 1987:79,Fisol Mat Isa:2001:27) 

Said Hawwa seorang yang banyak membaca sejak kecil dan mampu memahami pembacaan tersebut dengan baik. Beliau membaca kesemua ilmu-ilmu yang berkaitan dengan Islam terutama ilmu akidah, fekah, Usul Fiqh , tafsir, sirah dan lain-lain. Seorang rakan memberitahu bahawa Said Hawwa dalam penjara apabila ia memegang buku setebal 500 muka surat, maka beliau tidak akan tidur sehingga selesai membacanya. Begitulah keadaan sehariannya. Antara faktor pembentukan keperibadian Said Hawwa ialah : 

i. Peranan bapanya yang merupakan seorang pendidik yang berjaya 

ii. Keadaan pekerjaan pertanian dan kehidupan kemiskinan. 

iii. Menyertai pembelajaran dengan Syeikh Hamid yang merupakan ulama Hamah 

iv. Menyertai ikhwan Muslimun di usia muda iaitu pada tahun 1952 

v. Banyak membaca dan mengkaji dalam pelbagai ilmu 

vi. Pertembungan parti dan pemikiran dalam tahun 1950an terutama pemikiran sekular dan komunisme nasionalisme Arab 

vii. Keadaan dunia Islam, kejatuhan khalifah, kehilangan negara Palestin dan sistem diktator dalam dunia Arab 

Perkara di atas merupakan faktor yang telah mempengaruhi pemikiran dan perjuangan dakwahnya. Begitu juga dalam penulisannya.(www.saedhawwa.com

Said Hawwa sangat menjaga dan melakukan bacaan al-Quran dan wirid-wirid harian selepas solat. Beliau akan membaca sebahagian juzuk dari al-quran, 100 kali istighfar, 100 tahlil dan 100 kali selawat.Beliau juga mengadakan kuliah ilmu secara berkala untuk keluarga selepas wirid solat subuh. Beliau pernah membeli tasbih yang cantik untuk anak-anaknya dengan syarat anaknya berwirid dan berselawat 100 kali satu hari. (www.saedhawwa.com.) 




Menyertai Ikhwan 

Ikhwan mula berkembang di Syria melalui pelajar-pelajar yang belajar di Kaherah seperti Mustafa al-Siba’iy dan Abdul Fatah Abu Ghudah. Mereka ini merupakan generasi awal yang membawa penyebaran pertubuhan tersebut ke Syria. Beliau menjadi Muraqib al-Am dari tahun 1979-1982 . Pada tahun 1982, beliau dilantik menjadi kepimpinan pusat (Maktab al-Irsyhad dan Majlis Syura) Ikhwan sehingga tahun 1984. Kemudian beliau kembali memimpin ikhwan Syria dari tahun 1985 sehingga tahun 1987. Oleh kerana keadaan kesihatan yang tidak mengizinkan, beliau berundur dari kepimpinan Ikhwan (www.ikhwan.online.com

Menurut anaknya, Muaz, Said Hawwa amat menghormati ahli ilmu sama ada orang itu mempunyai pandangan yang sama dengan atau berbeza seperti ziarah Syeikh Ahmad Qatis dan Syeikh Nasaruddin al-Albani semasa beliau jatuh sakit. (www.saedhawwa.com). Pernah ketika beliau baru dibebaskan dari penjara dan datang seorang syeikh yang berusia 80 tahun yang ingin menziarahi Said Hawwa dan rumah mereka terletak di tingkat dua. Said Hawwa terus turun dan berjumpa dengan syeikh tersebut dibawah. Beliau juga amat merujuk kepada ahli ilmu apabila ada sesuatu masalah hukum. Apabila ia jatuh sakit lumpuh sebelah kiri, beliau mempunyai masalah fikah yang perlu diselesaikan, maka beliau menelifon Syeikh Mustafa al-Zarqa untuk berjumpa dengannya. Lalu Syeikh al-Zarqa datang dan mereka berbincang mengenai masalah fikah tersebut. Said Hawwa juga seorang yang menjaga waktu dan waktu Subuh sehingga terbit mahathari merupakan waktu yang diperuntukkan untuk menulis. 



Fasa-Fasa Kehidupan Said Hawwa: 

Dalam bukunya Hadhi Tajribati Hadhi Syahadati beliau telah mencatatkan pengalaman hidup dalam beberapa fasa seperti berikut : 

i. Dari tahun pertama sehingga berusia 13 tahun ( 1935-1948). Period ini menceritakan kelahirannya di Kawasan Aliliyyat, di Hamah dan bapanya bernama Muhammad Dib Hawwa. Mengkisahkan pertempuran penduduk Jamah dengan penjajah Perancis yang berakhir dengan kemenangan penduduk Hamah. Beliau menceritakan peranan orang-orang Syria dalam mempertahankan Palestin. 

ii. Dari usia 13 tahun sehingga berusia 17 tahun. (1948-1952) Period ini merupakan masa memperkayakan ilmu dengan belajar dan membaca vuku-buku biografi tokoh-tokoh yang ditulis oleh Abdul Rahman Badwi dan Jurji Zaidan, Buku Ihya karangan Imam al-Ghazali. Period ini beliau belajar di sekolah Abu Fida dan juga sekolah menengah Ibn Rusydi. Beliau juga berdamping dengan Syeih Hamid di Masjid Sultan yang banyak mempengaruhi hidupnya. 

iii. Dari tahun 1952-1955. (Berusia 18-20 tahun) Period ini beliau berkecimpung dalam gerakan Ikhwan bermula dengan anggota usrah kemudian menjadi Naqaib dan kemudian menjadi ketua diperingkar pelajar di Hamah. Pada masa ini, beliau telah mengambil tarikat dari Syeikh Muhammad Hasyimi. Period ini juga menyaksikan kedatangan Hudaibi ke Syria dan diberi sambutan yang hangat dan juga diadakan Muktamar Islam di adakan di Syria dengan kehadiran tokoh-tokoh dakwah termasuk al-Maududi. Pada masa ini, beliau belajar dengan Abdul Karim al-Rifa’i, Said Abdullah dan dari kalangan sufi beliau belajar dengan Mala Ramadan al-Buti dan Muhammad Hasyimi dan berada dalam majlis-majlis mereka. 

iv. 1956-1961M (Berusia 21-26 tahun) Pada tahun 1956, beliau memasuki Universiti dalam Fakulti Syariah dan belajar dengan guru-guru seperti Abdul Wahab Dabis dan Fauzi Faidullah, Muhammad Mubarak, Maaruf Dawalibi dan Mustafa al-Siba’iy. Antara aktiviti universiti ialah menubuhkan Kelab al-Fikr al-Mutaharir ( Kelab Bebas Berfikir) yang menentang Kelab Komunis. Pada period ini juga beberapa parti diharamkan termasuk Ikhwan. 

v. 1961-1964M. (Berusia 26-29 tahun) Pada period ini beliau bertugas sebagai guru dan kemudian memasuki khidmat Tentera. Beliau juga menceritakan Revolusi Hamah yang berlaku pada tahun 1964.

vi. 1964-1966 (Usia 29-32) Kembali mengajar dan bekerja di Arab Saudi sebagai guru di Madinah al-Munawwarah. Pada period Ikhwan berbincang mengenai manhaj dan sistem dalaman ikhwan 

vii. 1966-1971M ( usia 32-37 tahun)- Tinggal di Arab Saudi selama lima tahun dan menyiapkan buku al-Usul Thalathah dan Jundullah Thaqafatan wa akhlaqan 

viii. 1972-1973M. (Usia 37-39 tahun) Kembali ke Syria dan berlaku demontarasi menentang perlembangaan sekular. Beliau ditangkap selama lima tahun dari 5 Mac 1973 sehingga Januari 1978.

ix. 1973-1978 (Usia 39-43 tahun) Berada dalam penjara dan merupakan peluang untuk mendalami ilmu dan menyiapkan al-Asas fi al-Tafsir 

x. 1978-1982 (Usia 43-47 tahun) datang Ustaz Adnan Saaduddin ketua baru Ikhwan yang meminta Said Hawwa keluar dari Syria dan tinggal di Amman. Pada masa ini, beliau menerbitkan buku Tarbiyatuna al-Ruhiah (Pendidikan kita mengenai Spritiual) dan Madkhal li Dakwah al-Ikhwan(Pengenalan Dakwah Ikhwan). Beliau pergi ke Amerika Syarikat atas undangan pelajar di sana dan menghadiri muktamar Islam di Eropah. 

xi. 1982-1984M (Usia 47-49 tahun) Beliau bergiat dalam penulisan setelah tidak memegang jawatan dalam kepimpinan Ikhwan. Kepimpinan dalam majlis kepimpinan pusat adalah sementara kerana ia dalam peralihan dan penstrukturan baru. 

xii. 1984-1985M. (Usia 49-50 tahun) Antara peristiwa penting dalam period ini dilantik menjadi keua lujnah penasihat di Hamah dan menghadiri Muktamar di Baghdad mengenai perang Iraq-Iran. 

xiii. 1985-1986M. Beliau melawat Pakistan dan berjumpa dengan kepimpinan Afghanistan dan kemudiannya ke Mesir. 

xiv. 1986-1987M. Beliau pergi berubat di Arab Saudi namun tidak berhasil dan jatuh sakit lumpuh pada 13 Mac 1987. Pada period , beliau hanya memberi nasihat kepada sesiapa yang datang menziarahinya dan meneruskan kegiatan menulis. (www.saidhawwa.com

Menurut anaknya, Muhammad Said Hawwa menceritakan kehidupan harian ayahnya dengan menyebutkan : 

i. waktu itu bukan miliknya. Kesemua waktu yang ada adalah untuk menuntut ilmu atau orang yang datang untuk berhajat sesuatu atau datang untuk menuntut ilmu atau berdialog siang dan malam. Beliau mudah untuk menerima dan membuka pintu rumahnya.Ada tokoh yang mempunyai jadual untuk menerima tetamu dan ini berbeza dengan Said Hawwa yang berpandangan bahawa orang yang menuntut ilmu dan orang yang berhajat mempunyai hak untuk ditunaikan. Beliau yakin apabila menunaikan hajat orang tersebut maka Allah akan memberkati waktu. Pernah semasa anak-anak menghadapi musim peperiksaan namun orang ramai sentiasa datang ke rumah dan beliau sentiasa menyebutkan kepada anak-anaknya bahawa Allah tidak akan mensia-siakan kegigihan kamu 

ii. Sepertimana waktu bukan miliknya begitu juga harta benda. Beliau hanya memiliki sekadar untuk memenuhi keperluan sahaja. Beliau hanya mempunyai rumah yang sederhana di Hamah dan ia merupakan warisan keluarga. Apabila ia tinggal di luar, beliau tinggal di rumah sewa dan mempunyai perabot keperluan asas sahaja. 

iii. Walaupun sibuk dengan kegiatan kemasyarakatan dan dakwah, beliau sentiasa menjaga perkara berikut : 

i. Menjaga solat Subuh pada waktunya dan waktu-waktu yang lain serta berjemaah kecuali keadaan kesihatan, keamanan dan politik yang tidak mengizinkan. 

ii. sentiasa membaca wirid selepas solat. Sekurang-kurang wirid yang dibaca ialah bacaan ayat al-Quran, 100 istigfar,100 tahlil dan 100 selawat. 

iii. Majlis ilmu bersama ahli keluarga selepas wirid solat subuh. Waktu ini adalah waktu beliau bersama keluarga kerana pada waktu yang lain sibuk dengan tetamu dan dakwah. 

iv. Masa untuk menulis iaitu setelah solat subuh (Shuruq ) sehingga waktu dhuha dan waktu malam hari jika tidak ada aktiviti dakwah beliau akan berjaga sampai pagi untuk membaca, berfikir dan menulis. 

v. Baki waktu yang lain dibahagikan untuk khidmat kemasyarakatan, ibadat, dan majlis ilmu. Semasa menjadi guru, beliau mengajar dari waktu pagi sehingga waktu zuhur dan setelah mengadakan halaqah ilmu sehingga tengah malam. Semasa di penjara, beliau mempunyai 14 pengajian sama ada kepada semua kawan dalam sel atau perseorangan. 

Walaupun sibuk dengan tugas, beliau memberi keutamaan dalam aspek berikut : 

i. Meneruskan menulis kerana situasi politik yang tidak membenarkan beliau berinteraksi dengan orang ramai dan penulisan merupakan medium untuk berhubung dengan mereka. Beliau juga berpandangan bahawa kuliah dan pengajian dengan tidak menafikan kepentingannya dalam memberi kesan secara langsung, penulisan juga memberi kesan yang berpanjangan dan tersebar luas.

ii. Sentiasa memberi nasihat dan pesanan kepada keluarga secara berterusan sama dalam majlis ilmu atau bukan majlis ilmu.(Muhamad Said Hawwa, www.saedhawwa.com

iii. Pengajian kepada pelajar-pelajar terutama belajar syarah al-Hikam. 

iv. Kegiatan politik, dakwah dan kemasyarakatan dalam kerangka gerakan Ikhwan 

v. Banyak melakukan ibadat, berzikir dan qiyamullail. (Muhamad Said Hawwa, www.saedhawwa.com)

Kematian

Sejak 14 Mac 1987, beliau telah lumpuh sebelah badan disamping penyakit-penyakit yang lain seperti kencing manis, darah tinggi dan sakit jantung dan rabun mata. Keadaan ini tidak mengizinkan untuk bergiat aktif dalam kegiatan dakwah dan kemasyarakatn. Beliau hanya menghabiskan waktu di Hospital dan rumah. Pada 14 Disember 1988, keadaannya menjadi kritikal dan akhirnya pada 9 Mac 1989 bersamaan 3 Syaaban 1409, Said Hawwa meninggal dunia di Hospital Islam Amman, Jordan. Jenazah disembahyang di Masjid al-Fita’ dan dikebumikan di tanah perkuburan Sahab di selatan Amman. Zuhair Sharwis menyebutkan mengenai Said Hawwa : “Said Hawwa merupakan seorang pendakwah yang berjaya dan ramai orang mengenalinya melalui dakwah atau buku-buku. Beliau dapat menyampaikan mesejnya kepada sebilangan besar orang. Beliau meninggal dunia ketika usia 53 tahun iaitu umur yang pendek namun meninggalkan khazanah dan tulisan yang banyak yang tidak mampu diikuti oleh kebanyakan orang pada masa kini.” 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan