Ahad, 29 November 2015

Status Hadis: Solat Orang Berkahwin Lebih Baik Daripada Solat Orang Bujang


Hadis Pertama

كْعَتَانِ مِنَ الْمُتَزَوِّجِ أَفْضَلُ مِنْ سَبْعِينَ رَكْعَةً مِنَ الأَعْزَبِ.

“Dua rakaat (solat) daripada orang yang telah berkahwin lebih baik daripada 70 rakaat daripada orang bujang.”

Sumber Hadis:

Hadis ini diriwayatkan oleh al-‘Uqaili dalam al-Dhu’afa’ al-Kabir dan Ibnu al-Jauzi dalam al-Maudhu’at daripada jalur sanad:

Mujasyi’ bin ‘Amru daripada Abdul Rahman bin Zaid bin Aslam daripada bapanya daripada Anas bin Malik.

Penilaian Hadis:

1 – Al-‘Uqaili berkata:

“Mujasyi’ hadisnya mungkar dan tidak mahfuz.”

2 – Ibnu al-Jauzi berkata:

“Al-‘Uqaili berkata: Mujasyi’ hadisnya mungkar dan tidak mahfuz. Yahya bin Ma’in berkata: Aku melihatnya sebagai salah seorang daripada penipu. Ibnu Hibban berkata: Dia mereka-reka hadis atas nama perawi yang thiqah. Tidak halal menyebutkannya kecuali dengan celaan.”

3 - Ahmad bin al-Siddiq al-Ghumari dalam al-Mughir ‘Ala al-Ahadith al-Maudhu’ah Fi al-Jami’ al-Saghir berkata:

“Al-‘Uqaili berkata tentangnya: Ia adalah mungkar. Maksud beliau, ia adalah palsu.”

Hadis Kedua

رَكْعَتانِ مِنَ المُتأَهِّلِ خَيْرٌ مَنْ اثْنَيْنِ وَثَمانِينَ رَكْعَةً مِنَ العَزْبِ.

"Dua rakaat daripada orang yang telah berkeluarga lebih baik daripada 82 rakaat orang bujang."

Sumber Hadis:

Hadis ini diriwayatkan oleh Tammam al-Razi dalam al-Fawaid dan al-Dhiya’ al-Maqdisi dalam al-Ahadith al-Mukhtarah melalui jalur sanad:

Mas’ud bin ‘Amru al-Bakri daripada Humaid al-Thawil daripada Anas bin Malik.

Penilaian Hadis:

1 – Al-Hafiz al-Zahabi dalam Mizan al-I’tidal berkata:

“Mas’ud bin ‘Amru al-Bakri, aku tidak mengenalinya dan hadisnya batil.”

Lalu al-Zahabi menyebutkan hadis di atas.

2 – Al-Hafiz al-Suyuti menukilkan dalam al-Laali al-Masnu’ah daripada al-Hafiz Ibnu Hajar, beliau berkata dalam Athraf al-Mukhtarah:

“Hadis ini munkar tidak ada maknanya (faedahnya) untuk beliau (al-Dhiya’ al-Maqdisi) meriwayatkannya.”

Hadis Ketiga

شِرَارُكُمْ عُزَّابُكُمْ، رَكْعَتَانِ مِنْ مُتَأَهِّلٍ خَيْرٌ مِنْ سَبْعِينَ رَكْعَةً مِنْ غَيْرِ مُتَأَهِّلٍ.

“Seburuk-buruk orang di kalangan kalian adalah orang yang bujang. Dua rakaat yang dilakukan oleh orang yang berkeluarga adalah lebih baik daripada orang yang tidak berkeluarga.”

Sumber Hadis:

Hadis ini diriwayatkan oleh Ibnu ‘Adi dalam al-Kamil Fi Dhu’afa’ al-Rijal dan Ibnu al-Jauzi dalam al-Maudhu’at melalui jalur sanad:

Yusuf bin al-Safar daripada al-Auza’i daripada Yahya bin Abu Kathir daripada Abu Salamah daripada Abu Hurairah.

Penilaian Hadis:

1 – Ibnu ‘Adi dalam al-Kamil membawakan hadis di atas bersama beberapa buah hadis lain yang mempunyai sanad yang sama, lalu beliau berkata:

“Hadis-hadis ini daripada Yahya daripada Abu Salamah bersama hadis-hadis lain dengan sanad ini yang diriwayatkan semuanya oleh Yusuf bin al-Safar, semuanya adalah palsu.”

2 – Ibnu al-Jauzi berkata:

“Ibnu ‘Adi berkata: Ini adalah hadis palsu. Abu Zur'ah dan An-Nasa'i berkata: "Yusuf adalah perawi yang ditinggalkan hadisnya (matruk al-hadith)." Abu Hatim bin Hibban berkata: "Dia meriwayatkan daripada Al-Auza'i perkara yang bukan daripada hadisnya (pada hakikatnya), maka tiada keraguan bagi pendengar bahawa ia adalah palsu. Tidak halal berhujah dengannya dalam apa jua keadaan. Ad-Daraqutni berkata: "Dia ditinggalkan dan seorang pendusta.”

Kesimpulan

Ketiga-tiga hadis di atas adalah palsu. Oleh itu tidak dibenarkan menyandarkannya kepada Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam dan disebarkan melainkan untuk menyatakan kepalsuannya. 

*Tulisan ini saya telah kemas kini semula pada 2/12/2024.

Selasa, 10 November 2015

Hadis sesiapa yang mempelajari dua hadis

مَنْ تَعَلَّمَ حَدِيثَيْنِ اثْنَيْنِ يَنْفَعُ بِهِمَا نَفْسَهُ، أَوْ يُعَلِّمُهُمَا غَيْرَهُ فَيَنْتَفِعُ بِهِمَا، كَانَ خَيْرًا مِنْ عِبَادَةِ سِتِّينَ عَامًا

Terjemahan:

“Sesiapa yang mempelajari dua hadis yang memberi manfaat dua hadis tersebut kepada dirinya, atau mengajarkan dua hadis tersebut kepada orang lain dan memberi manfaat dua hadis tersebut kepada orang lain adalah lebih baik daripada beribadat selama 60 tahun.”

Sumber hadis

1. Syaraf Ashab al-Hadis[1] oleh Khatib al-Baghdadi.

2. Zikr Akhbar Asbahan[2] oleh Abu Nu’aim al-Asbahani dengan lafaz:

مَنْ تَعَلَّمَ حَدِيثَيْنِ اثْنَيْنِ يَنْفَعُ بِهِمَا نَفْسَهُ، أَوْ يُعَلِّمُهُمَا غَيْرَهُ، كَانَا خَيْرًا لَهُ مِنْ عِبَادَةِ سِتِّينَ عَامًا

Terjemahan:

“Sesiapa yang mempelajari dua hadis yang memberi manfaat dua hadis tersebut kepada dirinya atau mengajarkan dua hadis tersebut kepada orang lain, adalah lebih baik bagi dirinya daripada beribadat selama 60 tahun.”

3. Al-Sayuthi dalam al-Jami’ al-Kabir[3] menyatakan bahawa hadis ini diriwayatkan oleh al-Dailami daripada al-Barra’, tetapi saya tidak menemukannya dalam Musnad al-Firdaus.

Ulasan

Hadis ini sangat daif kerana kedua-dua sanad riwayat al-Khatib al-Baghdadi dan Abu Nu’aim tersebut bersambung dengan seorang perawi yang matruk iaitu Nufai’ bin al-Haris (نُفَيْعِ بْنِ الْحَارِثِ), Abu Daud al-A’ma.

Kata Ibnu Hajar[4]: Matruk. Telah mendustakannya Ibnu Ma’in.




[1] Syaraf Ashab al-Hadis, ms. 80, tahqiq: Dr Muhammad Sa’id Khatib.
[2] Zikr Akhbar Asbahan, jilid 2, ms. 126, cetakan Dar al-Kitab al-Islami.
[3] Al-Jami’ al-Kabir, jilid 8, ms. 822, cetakan al-Azhar al-Syarif.
[4] Taqrib al-Tahzib, ms. 632, cetakan Bait al-Afkar al-Dauliyyah.

Ahad, 8 November 2015

Status Hadis Kelebihan Makan Tembikai



1. Ibnu Jauzi berkata: “Tidak sahih berkenaan kelebihan tembikai satu hadis pun kecuali Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam pernah memakannya.” [1]

Hadis berkenaan Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam memakan tembikai adalah sahih sebagaimana yang diriwayatkan daripada Aisyah bahawa Nabi sallahu ‘alaihi wasallam memakan tembikai dengan kurma muda (rutab). [2]

2. Muhammad Tahir al-Fattani berkata: “Hadis-hadis kelebihan tembikai adalah batil.” [3]

3. Ibnu al-Daiba'’ berkata: “Abu ‘Umar al-Tuqani telah menulis berkenaan kelebihan tembikai satu juzuk kitab dan hadis-hadisnya adalah batil.” [4]

4. Al-Zarkasyi berkata: Tidak sabit (daripada Nabi sallahu ‘alaihi wasallam). [5]

5. Muhammad al-Amir al-Kabir berkata: Hadis-hadisnya (hadis kelebihan makan tembikai) tidak sahih. [6]
______________________

[1] Ibnu Jauzi, al-Maudhu’at, jilid 2, ms. 286, cetakan al-Maktabah al-Salafiyyah.

[2] Hadis riwayat al-Termizi dalam al-Jami’ (1843) dan al-Syamail (198), Abu Daud (3836), al-Nasai’e dalam al-Kubra (6722) dan lain-lain.

[3] Muhammad Tahir al-Fattani, Tazkirah al-Maudhu’at, ms. 148, cetakan Idarah al-Thaba’ah al-Munirah.

[4] Al-Mulla ‘Ali al-Qari, al-Asrar al-Marfu’ah Fi al-Akhbar al-Maudhu’ah, ms. 166, cetakan al-Maktab al-Islami.

[5] Al-Mulla ‘Ali al-Qari, al-Masnu’ Fi Ma’rifah al-Hadis al-Maudhu’, ms. 77, cetakan Maktab al-Matbu’at al-Islamiyyah.

[6] Muhammad al-Amir al-Kabir, al-Nukhbah al-Bahiyyah Fi al-Ahadith al-Makzubah  ‘Ala Khair al-Bariyyah, ms. 44, cetakan al-Maktab al-Islami.

Sabtu, 7 November 2015

Ibadah Sayyidina Tamim al-Dari radiallahu 'anhu


Abu Sa'd al-Sam'ani berkata: "Adalah Tamim al-Dari mengkhatamkan al-Quran dalam satu rakaat solat. Dan barangkali beliau mengulang-ulang satu ayat pada keseluruhan malam sehinggalah waktu subuh. Beliau adalah antara orang yang paling banyak beribadah dan zuhud dalam kalangan sahabat. Antara sahabat yang menjauhi sanjungan dan sentiasa melazimi berpaling daripada perkara yang melalaikan dengan beribadah sehinggalah meninggal dunia."

Masruq, seorang tabi'in yang agung berkata: "Tamim solat pada waktu malam sehingga subuh dengan membaca satu ayat dan mengulang-ulangnya, iaitu ayat:
أَمۡ حَسِبَ ٱلَّذِينَ ٱجۡتَرَحُواْ ٱلسَّيِّـَٔاتِ أَن نَّجۡعَلَهُمۡ كَٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ وَعَمِلُواْ ٱلصَّـٰلِحَـٰتِ سَوَآءً۬ مَّحۡيَاهُمۡ وَمَمَاتُہُمۡ‌ۚ سَآءَ مَا يَحۡكُمُونَ
Patutkah orang-orang yang melakukan kejahatan menyangka bahawa Kami akan menjadikan mereka seperti orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dengan menyamakan keadaan (mereka semua) semasa mereka hidup dan semasa mereka mati? Buruk sungguh apa yang mereka hukumkan itu.

[Surah al-Jathiyyah (45) : 21]

Ibnu Hajar al-Haitami berkata dalam Fath al-Mubin Bi Syarh al-Arba'in: Tamim mengkhatamkan al-Quran dalam satu rakaat.

-Iqamah al-Hujjah oleh Abdul Hayy al-Laknawi-

10 perkara menyebabkan hati mati



Suatu hari Ibrahim bin Adham berjalan di pasar Basrah. Maka orang ramai berkumpul di sisinya seraya berkata:
"Wahai Abu Ishaq, sesungguhnya Alllah berfirman dalam kitab-Nya: Berdoalah kamu kepadaKu nescaya aku perkenankan doa pemohonanmu (Surah Ghafir: 60). Kami telah berdoa sejak dahulu lagi tetapi tidak diperkenankan doa kami."
Ibrahim bin Adham berkata: "Wahai pendudk Basrah, telah mati hati-hati kamu disebabkan 10 perkara:
1. Kamu mengenali Allah tetapi kamu tidak melaksanakan hak-Nya (beribadat kepada-Nya).
2. Kamu membaca al-Quran tetapi kamu tidak beramal dengannya.
3. Kamu mendakwa kamu mencintai Rasulullah sallahu 'alaihi wasallam tetapi kamu meninggalkan sunahnya.
4. Kamu mendakwa syaitan adalah musuh kamu tetapi kamu bersepakat dengannya (mengikut hasutannya).
5. Kamu katakan bahawa kamu mencintai syurga tetapi kamu tidak beramal untuk mendapatkannya.
6. Kamu katakan bahawa kamu takut akan neraka tetapi kamu gadaikan diri kamu kepadanya (kamu buat perkara yang menyebabkan diri kamu masuk ke neraka).
7. Kamu katakan bahawa kematian itu adalah benar tetapi kamu tidak bersedia menghadapinya.
8. Kamu sibuk dengan aib saudara kamu tetapi kamu lupakan aib kamu sendiri.
9. Kamu makan nikmat pemberian Tuhan kamu tetapi kamu tidak mensyukurinya.
10. Kamu mengebumikan orang yang mati di sekeliling kamu tetapi kamu tidak mengambil pengajaran daripadannya.
-Hilyah al-Auliya' oleh Abu Nu'aim al-Asbahani-