Ahad, 29 November 2015

Hadis solat orang yang berkahwin lebih baik daripada solat orang bujang


رَكْعَتَانِ مِنَ الْمُتَزَوِّجِ أَفْضَلُ مِنْ سَبْعِينَ رَكْعَةً مِنَ الأَعْزَبِ

Terjemahan:

Dua rakaat (solat) daripada orang yang telah berkahwin lebih baik daripada 70 rakaat daripada orang bujang.

Sumber hadis

Hadis ini diriwayatkan oleh al-Uqaili dalam al-Dhu’afa’ al-Kabir[1] daripada Anas bin Malik.

Para ulama yang menyebutkan hadis ini sebagai mungkar atau palsu

1. Muhammad Tahir bin ‘Ali al-Hindi al-Fattani dalam Tazkirah al-Maudhu’at[2]. Kata beliau:

“Dalam sanadnya ada Mujasyi’, mungkar hadis.”

2. Al-Zahabi dalam Tartib al-Maudhu’at[3]. Kata beliau:

“Dalam sanadnya ada Mujasyi’ bin ‘Amru, telah mendustakannya Ibnu Ma’in.”

3. Ibnu ‘Arraq al-Kinani dalam Tanzih al-Syari’ah al-Marfu’ah[4].

4. Al-Syaukani dalam al-Fawaid al-Majmu’ah Fi al-Ahadith al-Maudhu’ah[5]. Kata beliau:

“Diriwayatkan oleh al-‘Uqaili daripada Anas secara marfu’ dan beliau berkata, Mujasyi’ hadisnya mungkar tidak terpelihara.”

5. Al-Sayuthi dalam al-Lali al-Masnu’ah Fi al-Ahadith al-Maudhu’ah[6].

6. Muhammad bin Muhammad al-Husaini al-Tarabulusi al-Sandarusi dalam al-Kasyf al-Ilahi ‘An Syadid al-Dha’f Wa al-Maudhu’ Wa al-Wahi[7]. Kata beliau:

“Khabar palsu.”

7. Muhammad bin Khalil al-Qawuqji al-Tarabulusi dalam al-Lu’lu’ al-Marsu’ Fi Ma La Asla Lahu Au Bi Aslihi Maudhu’[8]. Kata beliau:

“Palsu.”

8. Ahmad bin al-Siddiq al-Ghumari dalam al-Mughir ‘Ala al-Ahadith al-Maudhu’ah Fi al-Jami’ al-Saghir[9]. Kata beliau:

“Dan berkata al-‘Uqaili tentangnya, ianya mungkar, dikehendaki (maknanya) ianya adalah palsu.”

9. Ibnu Jauzi dalam al-Maudhu’at[10]. Kata beliau:

“Kata al-‘Uqaili, Mujasyi’ hadisnya mungkar tidak terpelihara. Berkata Yahya bin Ma’in, aku melihatnya salah seorang daripada penipu. Berkata Ibnu Hibban, dia mereka-reka hadis ke atas perawi yang thiqah, tidak halal menyebutkannya kecuali dengan celaan.”

Terdapat hadis lain yang mempunyai makna yang hampir sama tetapi lafaz yang berbeza, iaitu:

ركعتان من المتأهل خير من اثنتين وثمانين ركعة من العزب
Terjemahan:

Dua rakaat daripada orang yang telah berkeluarga lebih bair daripada 82 rakaat orang bujang.

Sumber hadis

Diriwayatkan oleh Tammam al-Razi dalam al-Fawaid[11], Dhiya’ al-Din al-Maqdisi dalam al-Ahadith al-Mukhtarah[12] daripada Anas bin Malik dan Ibnu ‘Adi dalam al-Kamil Fi Dhu’afa’ al-Rijal[13] daripada Abu Hurairah.

Para ulama yang menyebutkan hadis ini sebagai mungkar atau palsu

1. Muhammad Tahir bin ‘Ali al-Hindi al-Fattani dalam Tazkirah al-Maudhu’at[14]. Kata beliau:

“Kata Ibnu Hajar, hadis ini mungkar.”

2. Ibnu ‘Arraq al-Kinani dalam Tanzih al-Syari’ah al-Marfu’ah[15]. Kata beliau:

“Dikeluarkannya oleh Tammam dalam Fawaidnya dan daripada jalan al-Dhiya’ dalam al-Mukhtarah, tetapi Ibnu Hajar mengkritiknya dalam Atraf beliau lalu beliau berkata, hadis ini mungkar, tiada makna untuk takhrijkan hadith tersebut (sebab ianya terlalu rapuh statusnya).”

3. Al-Sayuthi dalam al-Lali al-Masnu’ah Fi al-Ahadith al-Maudhu’ah[16].

4. Al-Syaukani dalam al-Fawaid al-Majmu’ah Fi al-Ahadith al-Maudhu’ah[17]. Kata beliau:

“Dalam sanadnya Mas’ud bin ‘Amru. Berkata al-Zahabi dalam al-Mizan[18]: Aku tidak mengenalinya dan khabarnya batil. Dan diriwayatkan daripada hadis Abu Hurairah dengan makna lafaz yang pertama. Berkata Ibnu ‘Adi: Maudhu’. Penyakitnya (punca hadis tersebut maudhu’) adalah Yusuf bin al-Safar.”

5. Muhammad bin Muhammad al-Husaini al-Tarabulusi al-Sandarusi dalam al-Kasyf al-Ilahi ‘An Syadid al-Dha’f Wa al-Maudhu’ Wa al-Wahi[19]. Kata beliau:

“Berkata (al-Zahabi) dalam al-Mizan: Batil.”

6. Muhammad bin Khalil al-Qawuqji al-Tarabulusi dalam al-Lu’lu’ al-Marsu’ Fi Ma La Asla Lahu Au Bi Aslihi Maudhu’[20]. Kata beliau:

“Mungkar, sebagaimana kata Ibnu Hajar, dan berkata selainnya: batil. Dan sebagaimana yang diketahui hadis yang batil tidak menguatkan hadis batil yang lain.”

7. Ahmad bin al-Siddiq al-Ghumari dalam al-Mughir ‘Ala al-Ahadith al-Maudhu’ah Fi al-Jami’ al-Saghir[21].

8. Berkata Ibnu ‘Adi dalam al-Kamil Fi al-Dhu’afa’ al-Rijal[22]:

“Hadis-hadis ini daripada Yahya daripada Abi Salamah bersama selainnya dengan sanad ini meriwayatkannya keseluruhannya oleh Yusuf bin al-Safar dan ianya adalah palsu keseluruhannya.”




[1] Jilid 4, ms. 264, biografi Mujasyi’ bin ‘Amru, cetakan Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah.
[2] Ms. 125, cetakan Idarah al-Thaba’ah al-Munirah.
[3] Ms. 200, cetakan Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah.
[4] Jilid 2, ms. 205, cetakan Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah.
[5] Ms. 120, kitab al-Nikah, hadis no. 4.
[6] Jilid 2, ms. 160, cetakan Dar al-Ma’rifah.
[7] Ms. 264, cetakan Dar al-Salam.
[8] Ms. 89, cetakan Dar al-Basyair al-Islamiyyah.
[9] Ms. 70, cetakan Dar al-Ra’id al-‘Arabi.
[10] Jilid 2, ms. 257, cetakan al-Maktabah al-Salafiyyah.
[11] Al-Raudh al-Bassam Bi Tartib wa al-Takhrij Fawaid Tammam, jilid 2, ms. 365, hadis no. 2101, cetakan Dar al-Basyair al-Islamiyyah.
[12] Jilid 6, ms. 110, hadis no. 2101, cetakan Dar Khidr.
[13] Jilid 8, ms. 498, cetakan Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah.
[14] Ms. 125, cetakan Idarah al-Thaba’ah al-Munirah.
[15] Jilid 2, ms. 205, cetakan Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah.
[16] Jilid 2, ms. 160, cetakan Dar al-Ma’rifah.
[17] Ms. 120, kitab al-Nikah, hadis no. 4.
[18] Jilid 6, ms. 410, cetakan Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah.
[19] Ms. 264, cetakan Dar al-Salam.
[20] Ms. 90, cetakan Dar al-Basyair al-Islamiyyah.
[21] Ms. 70, cetakan Dar al-Ra’id al-‘Arabi.
[22] Jilid 8, ms. 498.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan