Risalah al-Mayanishi ini adalah sebuah risalah kecil yang indah namanya, tetapi lemah kandungan dan susunannya. Pada hakikatnya, kalaulah tidak kerana al-Hafiz Ibn Hajar menyebutkannya dalam mukadimah Syarah al-Nukhbah, nescaya ia tidak akan disebut-sebut dan tidak mempunyai apa-apa kedudukan. Tindakan al-Hafiz menyebut risalah ini selepas menyebut kitab-kitab al-Khatib, Qadi 'Iyad, dan imam-imam lain, telah menimbulkan salah faham bahawa ia setaraf atau sejenis dengan karya-karya mereka dari segi ketelitian (tahqiq), kedalaman ilmu, manfaat, dan kualiti penulisan.
Maka tindakan beliau itu – semoga Allah mengampuninya –
telah menarik minat para ulama dan pengkaji bidang ini terhadapnya. Akan
tetapi, apabila mereka menelitinya, mereka tidak mendapati pada kandungannya
apa yang sepadan atau bahkan menghampiri nama mahupun maknanya. Ia lemah dari
segi bahan ilmiah, tidak menepati standard, penuh dengan kesilapan-kesilapan
ilmiah, dan tampak jelas sekali kekurangan pengarangnya rahimahullah Ta’ala
dalam bidang ini.
Pengarangnya telah memulakannya dengan mukadimah yang
panjang yang mencecah 42 baris, menjadikannya lebih panjang daripada suku kandungan
risalah itu. Mukadimah itu sedikit faedahnya, kosong hasilnya, dan dipenuhi
pula dengan hadis-hadis da‘if dan mawdhu‘ (palsu), tanpa beliau
memberi peringatan tentang kepalsuan dan kemungkarannya. Kemudian, beliau
membentangkan perbincangan secara sambil lewa dalam kebanyakan babnya, dan
jarang sekali anda dapati di dalamnya perbahasan yang disunting rapi serta
tepat dari segi pandangan dan hukumnya, di samping kelemahan dari segi
pembahagian bab dan buruknya susunan. Maka menurut pentahqiq kitab ini,
Syeikh Abdul Fattah Abu Ghuddah, ini menuntut beliau untuk memberikan
penjelasan, kerana bimbang orang lain akan terpedaya dengan judulnya!
Perkara yang aneh dan menghairankan ialah al-Hafiz Ibn Hajar
rahimahullah Ta’ala, telah menyebut risalah kecil ini dalam senarai
kitab-kitab yang paling masyhur, lengkap dan disunting rapi yang dikarang dalam
ilmu Mustalah.
Al-Suyuti telah menukilkan daripadanya dalam Tadrib al-Rawi
rasa amat terkejutnya (Ibn Hajar) terhadap tindakan al-Mayanishi yang menyebut
di dalamnya syarat al-Bukhari dan Muslim dalam Sahih mereka berdua, dengan cara
yang sangat menyalahi realiti dan pengetahuan sebenar mengenai kedua-dua kitab
tersebut. Ini kerana al-Mayanishi berkata pada halaman 266:
“Sifat hadis sahih ialah ia diriwayatkan daripada Rasulullah
sallahu ‘alaihi wasallam
oleh seorang sahabat yang terhindar daripada nama jahalah (tidak
dikenali), iaitu dengan diriwayatkan daripadanya oleh dua orang tabi‘in yang
adil, kemudian ia diterima pakai oleh ahli ilmu, dan ia seumpama kedudukan
kesaksian di atas kesaksian, ini dihikayatkan oleh al-Hakim Abu ‘Abdillah.
Adapun syarat yang ditetapkan oleh al-Syaikhan (al-Bukhari
dan Muslim) dalam Sahih mereka berdua ialah, mereka tidak memasukkan ke dalam
kitab mereka melainkan apa yang sahih di sisi mereka, iaitu apa yang
diriwayatkan daripada Nabi sallahu ‘alaihi
wasallam oleh dua orang sahabat atau lebih, dan apa yang
diriwayatkan daripada setiap seorang sahabat itu oleh empat orang tabi‘in, dan
hendaklah (diriwayatkan) daripada setiap seorang tabi‘in itu oleh lebih
daripada empat orang.”
Maka al-Hafiz Ibn Hajar berkata selepas mengemukakan
kata-kata al-Mayanishi: “Ini adalah kata-kata orang yang tidak pernah menelaah al-Sahihayn
walaupun sedikit! Kalaulah ada orang berkata: tidak ada satu hadis pun di dalam
kedua-dua kitab ini yang mempunyai sifat sebegini, nescaya kata-katanya itu
tidaklah jauh (daripada kebenaran.”
Al-Hafiz telah berkata seumpamanya dalam al-Nukat ‘ala
Kitab Ibn al-Salah.
Yang lebih teruk dan lebih buruk daripada ini ialah
perkataan al-Mayanishi pada ms. 253:
“Para ulama dalam bidang ini telah berselisih pendapat
mengenai lafaz: haddathana, dan akhbarana, adakah kedua-duanya
mempunyai satu makna atau dua makna yang berbeza? Maka majoriti ulama
berpendapat bahawa tiada perbezaan antara perkataan seorang ahli hadis: haddathana,
dengan perkataannya: akhbarana. Ulama lain berpendapat bahawa
perkataannya: akhbarana, menunjukkan bahawa dia mendengarnya melalui
bacaannya sendiri atau bacaan orang lain di hadapan syeikh. Kami telah
meriwayatkan daripada Rasulullah sallahu
‘alaihi wasallam bahawa baginda bersabda: ‘Haddathana dan akhbarana
adalah sama’. Ini sedangkan di sisi orang Arab, tiada perbezaan antara
perkataan seseorang: si fulan telah memberitahuku (haddathani), atau si
fulan telah mengkhabarkan kepadaku (akhbarani). Sebahagian ulama telah
berkata: ‘Membeza-bezakan antara keduanya adalah satu perbuatan ta'ammuq
(mendalam-dalam secara berlebihan)’. Saya menyangka hadis yang kami kemukakan
ini tidak sampai kepadanya, dan kalaulah ia sampai kepadanya, nescaya
penolakannya akan lebih keras daripada ini.”
Ia adalah kata-kata yang sangat gugur (nilainya) dan wajar
ditolak! Hadis yang disebutkan itu adalah satu pembohongan semata-mata, yang
jelas rekaan dan kepalsuannya! Maka jika beginilah tahap pengetahuan
al-Mayanishi tentang Sunnah, maka kita memohon kepada Allah kesejahteraan dan
taufik. Semoga Allah mengampuni al-Hafiz Ibn Hajar, kerana telah menyebutkannya
sebaris dengan para imam yang mahir lagi unggul itu. Kalaulah tidak kerana
beliau menyebutkannya, nescaya dia dan kitabnya tidak akan disebut-sebut. Dan
selayaknya kitabnya itu dinamakan: Ma Yasa'u al-Muhaddith Jahluh (Apa
yang Boleh Diabaikan oleh Seorang Ahli Hadis)
Risalah ini juga telah dikritik oleh Syeikh Mahmud Tahhan
dalam kitabnya, al-Khatib al-Baghdadi wa Atharuhu fi ‘Ulum al-Hadith.
Beliau berkata selepas menyebutkan sebahagian kritikan ke atasnya: “Sesungguhnya
kitabnya lebih layak dinamakan: Ma Yasa'u al-Muhaddith Jahluh (Apa yang
Boleh Diabaikan oleh Seorang Ahli Hadis). Amat aneh tindakan al-Hafiz Ibn
Hajar, bagaimana beliau boleh menyebutkannya dalam kalangan karya-karya masyhur
dalam ilmu hadis, seolah-olah ia adalah antara kitab-kitab induk dalam bidang
ini! Kemudian beliau tidak menyifatkannya walau dengan sepatah kata pun...”
Ini sedangkan al-Hafiz rahimahullah Ta’ala telah
mengkritik al-Ramahurmuzi, pengarang al-Muhaddith al-Fasil kerana tidak
merangkumi (semua bab), dan mengkritik al-Hakim kerana tidak menyusun dan
menyaring, dan mengkritik Abu Nu‘aim kerana meninggalkan ruang untuk dikritik,
dan mengkritik Ibn al-Salah kerana susunan kitabnya tidak mengikut aturan yang
bersesuaian. Beliau mengkritik mereka semua – sedangkan mereka lebih alim dan
lebih agung, dan kitab-kitab mereka lebih lengkap dan lebih bermanfaat – tetapi
beliau membiarkan al-Mayanishi dan risalah kecilnya, tanpa mengkritik
kedua-duanya walau dengan sepatah kata pun!
Punca segala kritikan terhadap risalah al-Mayanishi ini
adalah kerana pengarangnya tidak menguasai ilmu hadis secara mendalam, di
samping kebergantungannya pada sebahagian besar apa yang ditulisnya di dalam
risalah ini kepada al-Hakim al-Naisaburi. Sedangkan kitab al-Hakim –
sepertimana yang dikatakan oleh al-Hafiz Ibn Hajar – tidak disaring dan tidak
tersusun. Perkara ini boleh dimaafkan bagi al-Hakim kerana beliau hidup pada
zaman yang awal dan kurangnya karya yang ditulis sebelum beliau dalam bidang
Mustalah, di samping itu, beliau mempunyai kesilapan-kesilapan (awham)
yang sedia maklum, dan sikap bermudah-mudah (tasahulat) yang aneh dalam
kedua-dua kitabnya: al-Ma'rifah dan al-Madkhal.
Al-Mayanishi pula bukan sahaja tidak cukup dengan hanya
bergantung kepada al-Hakim dalam sebahagian kesilapan atau sikap
bermudah-mudahnya, bahkan beliau menambah lagi kesilapan-kesilapan lain yang
lebih teruk dan lebih mungkar, sepertimana yang telah diisyaratkan kepada
sebahagiannya sebelum ini. Pembaca akan menemui perkara-perkara lain dalam
ulasan-ulasan pentahqiq kitab ini, Syeikh Abdul Fattah Abu Ghuddah ke
atas risalah ini.
Walau bagaimanapun, Syeikh Abdul Fattah Abu Ghuddah tidak
menafikan bahawa di dalam risalahnya mungkin terdapat beberapa faedah, dan beliau
tidak mengatakan bahawa ia adalah sebuah karya yang tidak bernilai sama sekali.
Walau apa pun keadaannya, pengarangnya rahimahullah Ta‘ala akan diberi
pahala atas keikhlasan dan niat baiknya, dan Allah tidak mensia-siakan ganjaran
orang-orang yang berbuat kebaikan.
Sumber:
Mukadimah tahqiq Syeikh Abdul Fattah Abu Ghuddah bagi
kitab Ma Yasa'u al-Muhaddith Jahluh
Tiada ulasan:
Catat Ulasan