Ahad, 23 Julai 2017

Hadis: Kelebihan kutip makanan yang jatuh

من أَكَلَ مَا يَسْقُطُ مِنَ الْمَائِدَةِ خرج وَلَده صباح الْوُجُوه وَنفي عَنهُ الْفقر.

"Sesiapa yang makan apa yang jatuh daripada makanannya, dia akan mendapat anak yang cantik rupanya dan dia akan terhindar daripada kefakiran."

Diriwayatkan oleh al-Dailami daripada hadis Ibnu 'Abbas.

Kata Ibnu 'Arraq dalam Tanzih al-Syari'ah al-Marfu'ah:

"Dalam sanadnya ada Yusuf bin Abi Yusuf al-Qadhi, majhul."

Al-Khatib al-Baghdadi dalam Tarikh Baghdad meriwayatkan daripada Ibnu 'Abbas dengan lafaz yang berbeza:

مَنْ أَكَلَ مِمَّا يَسْقُطُ مِنَ الْخُوَانِ نُفِيَ عَنْهُ الْفَقْرُ وَنُفِيَ عَنْ وَلَدِهِ الْحُمْقُ.

"Sesiapa yang makan apa yang terjatuh daripada meja maka dihindari daripadanya kefakiran dan dihindari daripada anaknya kebodohan."

Dalam sanadnya terdapat Abdul Somad bin Musa al-Hasyimi.

Kata al-Khatib al-Baghdadi:

"Mereka (ahli hadis) mendaifkannya."

Kata al-Zahabi dalam al-Mizan:

"Dia meriwayatkan hadis-hadis mungkar." 

Dalam sanadnya juga terdapat perawi-perawi yang majhul.”

Dr Basyar 'Awwad Ma'ruf, pentahqiq Tarikh Baghdad cenderung mengatakan ia palsu. Komennya:

"Sanadnya daif dan matannya mungkar. Tanda kepalsuannya jelas padanya."

Riwayat yang lain:

من أكل ما يسقطُ منَ الخوانِ والقصعةِ أمِنَ منَ الفقرِ والمرضِ والجذامِ وصرِفَ عن ولدِه الحمقَ.

“Sesiapa yang makan apa yang terjatuh daripada meja makan dan mangkuknya, maka dia aman daripada kefakiran, penyakit, kusta dan anaknya akan terhindar daripada kebodohan.”

Diriwayatkan oleh Abu al-Syeikh dalam al-Thawab daripada hadis Jabir.

Dalam sanadnya terdapat Ismail bin 'Ayyash. Riwayatnya daripada selain ahli Syam bercampur baur, dan ini adalah salah satu daripadanya.

Menurut al-Hafiz al-'Iraqi hadis ini sangat mungkar.

Al-Hafiz al-Sakhawi membawakan beberapa riwayat lagi dalam kitab al-Maqasid al-Hasanah, menurutnya kesemuanya adalah mungkar.

Menurut beliau lagi dalam al-Ajwibah al-Mardiah, hadis-hadis seperti ini diriwayatkan daripada Anas, Jabir, Ibnu 'Abbas dan Abu Hurairah dan riwayat-riwayat ini tidak sunyi daripada kritikan.

Cukuplah hadis di bawah ini menggantikan hadis-hadis di atas:

Diriwayatkan oleh Muslim dalam Sahihnya daripada Jabir:

إِذَا وَقَعَتْ لُقْمَةُ أَحَدِكُمْ فَلْيَأْخُذْهَا، فَلْيُمِطْ مَا كَانَ بِهَا مِنْ أَذًى وَلْيَأْكُلْهَا، وَلَا يَدَعْهَا لِلشَّيْطَانِ، وَلَا يَمْسَحْ يَدَهُ بِالْمِنْدِيلِ حَتَّى يَلْعَقَ أَصَابِعَهُ، فَإِنَّهُ لَا يَدْرِي فِي أَيِّ طَعَامِهِ الْبَرَكَةُ.

“Jika makanan salah seorang daripada kamu terjatuh maka ambillah. Buanglah bahagian yang kotor lalu makanlah dan jangan biarkannya untuk syaitan. Janganlah disapu tangannya dengan sapu tangan melainkan dia telah menjilat jari-jarinya )terlebih dahulu( kerana sesungguhnya dia tidak mengetahui di bahagian manakah pada makanannya yang mempunyai keberkatan.”

Tiada ulasan:

Catat Ulasan