Khamis, 13 Julai 2017

Kisah Palsu: Jibril berpaling ketika kewafatan Nabi

Kisah kewafatan Rasulullah tersebut disebutkan secara panjang lebar oleh al-Khubawi dalam Nurrah al-Nasihin. Saya bawakan bahagian yang sebut tentang Malaikat Jibril berpaling tersebut sahaja:

قال عليه الصلاة والسلام: " يا ملك الموت أدن مني". فدنا يعالج قبض روح رسول الله محمد صلى الله عليه وسلم فلما بلغ الروح منه السرة، قال عليه الصلاة والسلام: "يا جبرائيل، ما أشد مرارة الموت ! " فولى جبرائيل وجهه عنه، فقال عليه الصلاة والسلام: " يا جبرائيل: أكرهت النظر إلى وجهي ؟" فقال جبرائيل: "يا حبيب الله: من يطيق قلبه أن ينظر إلى وجهك وأنت في سكرات الموت!

Nabi sallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Wahai Malaikat Maut, dekatlah kepadaku. Malaikat Maut pun mendekati Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam dan mula menjalankan tugasnya mencabut nyawa Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam. Apabila [dicabut rohnya] sampai ke pusat, baginda bersabda: “Wahai Jibrail, alangkah sakitnya rasa sakaratul maut ini.” Maka Jibrail memalingkan wajahnya dari pandangan Nabi, lalu baginda bersabda: Wahai Jibril, apakah engkau tidak suka melihat wajahku? Jibrail menjawab: Wahai kekasih Allah, siapakah orang yang sampai hati melihat wajah engkau sedangkan engkau dalam sakaratul maut?”

Menurut Dr Ahmad Lutfi Fadlullah dalam tesis PhD beliau, Takhrij Hadis Durrah al-Nasihin, tidak diragukan lagi bahawa lafaz ini adalah riwayat tukang cerita (القصاص) yang biasanya banyak menambah dan melebih-lebihkan cerita sebenar. Dalam beberapa kitab sejarah Nabi sallahu ‘alaihi wasallam yang muktabar, tidak dikesan satu riwayat pun yang menyebutkan cerita di atas.

Selain itu, beberapa keratan lafaz [yang] al-Khubawi [bawakan] amat gharib [ganjil] dan tidak masuk akal. Antaranya, ada dialog antara Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam dengan Jibril beberapa saat sebelum ajal tiba, bahkan sampai ajal tiba. Kalau pun para sahabat dapat mendengar perkataan Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam, apakah mereka dapat mendengar perkataan Jibril dan Malaikat Maut? Sedangkan [untuk] Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam menceritakan dialog ini adalah mustahil, sebab ajal baginda sudah hampir.

[Saya nukilkan dengan sedikit perubahan ayatnya].

Tiada ulasan:

Catat Ulasan