Ahad, 29 Oktober 2017

Hadis Tergesa-Gesa Itu Dari Syaitan

الأَنَاةُ مِنَ اللَّهِ وَالعَجَلَةُ مِنَ الشَّيْطَانِ

“Berhati-hati itu daripada Allah dan tergesa-gesa itu daripada syaitan.”

Sumber dan Status Hadis:

Diriwayatkan oleh al-Tirmizi (no. 2012) dengan sanad yang daif. Dalam sanadnya ada perawi bernama Abdul Muhaimin bin ‘Abbas. Dia adalah daif.

Al-Tirmizi berkata: “Hadis ini gharib. Sebahagian ahli ilmu memperkatakan tentang Abdul Muhaimin bin ‘Abbas bin Sahl dan mendaifkannya disebabkan hafalannya.”

Hadis ini juga didaifkan oleh al-Hafiz al-‘Iraqi dalam Takhrij al-Ihya’.

Penjelasan dan Pengajaran Hadis:

1 – Al-‘Ajalah (tergesa-gesa) adalah lawan kepada lambat. Berasal daripada perkataan ‘ajala yang menunjukkan maksud pantas dan segera. Ia bermaksud melakukan sesuatu sebelum waktunya yang sesuai atau meminta dan mengusahakan sesuatu sebelum tiba masanya. Perkara ini berpunca daripada nafsu syahwat, sebab itulah ia dianggap tercela, kerana ia adalah tergesa-gesa dalam perkara sepatutnya dilakukan dengan tenang dan sabar.

2 - Maksudnya ‘tergesa-gesa itu daripada syaitan’ adalah ia daripada perbuatan syaitan dan bisikannya yang membawa mudarat kepada manusia.

3 - Nabi sallallahu alaihi wasallam menggalakkan kita kepada satu sifat dan memperingatkan kita daripada satu sifat yang lain.

Baginda menggalakkan kita kepada sikap berhati-hati iaitu memastikan sesuatu perkara dilakukan dengan cermat dan tepat kerana ia menjadikan manusia mempunyai pandangan yang jelas dalam perbuatannya, lalu dia akan melakukannya dengan betul dan mengelak daripada kesilapan. Maka ia adalah daripada taufik dan petunjuk dari Allah.

Baginda memperingatkan kita daripada sikap tergesa-gesa kerana ia didorong oleh bisikan syaitan kerana ia adalah sifat ambil ringan dan tidak berfikir panjang yang menghalang daripada melakukan sesuatu secara tepat, membawa kepada kejahatan, dan menghalang kebaikan.

4 - Sikap tergesa-gesa adalah sifat yang dicela dalam perkara yang memerlukan sikap berhati-hati dan ia telah disebut sebagai sifat yang dicela dalam kebanyakan ayat Al-Quran. Namun, ia boleh menjadi sifat yang terpuji dalam perkara yang memang dituntut untuk disegerakan seperti berlumba-lumba dalam melakukan kebaikan dan seumpamanya. Allah Ta'ala berfirman: "Dan bersegeralah kamu kepada ampunan dari Tuhanmu dan syurga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan bagi orang-orang yang bertakwa." (Surah Ali Imran: 133)

5 - Hadis ini memberi isyarat bahawa sikap tergesa-gesa adalah daripada syaitan yang wajib kita lawan dan tidak harus mengikuti bisikan-bisikannya. Terdapat banyak ayat Al-Quran dalam pelbagai topik dan situasi yang berbeza, begitu juga hadis-hadis yang mencela sifat tergesa-gesa ini, serta terdapat banyak athar (kata-kata sahabat) dan pendapat para ulama yang mencela sifat tersebut.

6 – Perlu juga dibezakan antara kesegeraan dalam melakukan ketaatan dan tergesa-gesa dalam pelaksanaannya. Yang pertama adalah terpuji manakala yang kedua adalah tercela, seperti bersegera menunaikan solat di awal waktunya adalah sangat digalakkan tetapi tergesa-gesa dalam pelaksanaannya sehingga mengganggu ketenangan (tamakninah) dalam rukun-rukunnya adalah tercela dan haram.

7 - Imam Ibnu Hajar Al-Haitami dalam kitab al-Zawajir menganggap sikap tergesa-gesa dan tidak berhati-hati dalam urusan sebagai dosa besar kerana ia daripada syaitan berdasarkan hadis ini. Ini kerana syaitan menghiaskan kejahatannya kepada manusia tanpa mereka sedari. Berbeza jika seseorang itu berfikir dengan tenang sebelum melakukan sesuatu yang diinginkannya, maka dia akan mendapat pandangan yang jelas. Sekiranya pandangan yang jelas ini tidak diperolehi, maka dia tidak sepatutnya tergesa-gesa. Walau bagaimanapun, Imam al-Zahabi dalam kitab al-Kabair tidak menyebut sikap tergesa-gesa ini dalam kategori dosa-dosa besar.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan