Isnin, 21 Mei 2018

Hukum Puasa Orang Berbekam


Soalan:

Assalamualaikum ustaz. Harap saya tidak mengganggu ustaz malam-malam ini.

Saya nak bertanya: Apakah hukum kita berbekam di bulan Ramadan pada siang hari? Adakah batal atau tidak puasa kita itu?

Harap ustaz dapat jawab berdasarkan dalil-dalil yang ada.

Jazakallahu khairan.

Jawapan:

Waalaikumsalam.

Hukum berbekam pada siang hari bulan Ramadhan adalah makruh kerana menyebabkan badan jadi lemah. Ini berdasarkan hadis:

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ نَهَى عَنِ الحِجَامَةِ وَالْمُوَاصَلَةِ وَلَمْ يُحَرِّمْهُمَا إِبْقَاءً عَلَى أَصْحَابِهِ

“Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam melarang daripada berbekam dan puasa wisal (puasa terus-menerus dua hari atau lebih tanpa berbuka) dan baginda tidak mengharamkan keduanya, (larangan tersebut) sebagai satu kelongaran/rahmat bagi sahabat-sahabatnya.”

[Riwayat Abu Daud. Menurut Imam al-Nawawi, sanadnya (sahih) atas syarat al-Bukhari dan Muslim. Disahihkan juga oleh al-Hafiz Ibnu Kathir dalam Irsyad al-Faqih dan al-Hafiz Ibnu Hajar dalam Fath al-Bari]

Berbekam ketika berpuasa tidak menyebabkan puasa terbatal. Imam al-Bukhari meriwayatkan daripada hadis Ibnu ‘Abbas:

أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ احْتَجَمَ وَهُوَ مُحْرِمٌ، وَاحْتَجَمَ وَهُوَ صَائِمٌ

“Nabi sallahu ‘alaihi wasallam berbekam ketika baginda sedang berihram. Baginda berbekam ketika sedang berpuasa.”

Adapun hadis:

أَفْطَرَ الحَاجِمُ وَالمَحْجُومُ

“Terbatal puasa tukang bekam dan orang yang berbekam.”

[Riwayat Abu Daud, al-Termizi dan Ibnu Majah]

Hadis ini telah dimansukhkan oleh hadis Ibnu ‘Abbas di atas. Hadis Ibnu ‘Abbas tersebut adalah ketika haji wada’ (tahun 10 Hijrah) manakala hadis ‘terbatal puasa tukang bekam dan orang yang berbekam’ adalah pada tahun pembukaan Mekah (tahun 8 Hijrah). [Ikhtilaf al-Hadith oleh al-Imam al-Syafi'e, hlm. 192, c: Dar al-Wafa']

Tiada ulasan:

Catat Ulasan