Isnin, 28 Mei 2018

Petua Kuat Ingatan Imam al-Zuhri


- Al-Zuhri pernah berkata: "Aku tidak pernah menyimpan di dalam hatiku sesuatu pun kemudian aku melupakannya (selepas itu)."

- Kata al-Laith bin Sa'ad: "Beliau banyak minum madu dan tidak makan sedikitpun daripada epal."

[Al-Majruhin, Ibnu Hibban, jil. 1, hlm. 116, c: Dar Lu'lu'ah]

- Beliau juga pernah berkata: "Aku tidak pernah sekalipun berkata kepada seseorang: Ulang semula kepadaku (apa yang telah engkau katakan)."

[Siyar A'lam al-Nubala', al-Zahabi, jil. 5, hlm. 333, c: Muassasah al-Risalah]

- Hisyam bin Abdul Malik pernah meminta kepada al-Zuhri supaya mengajarkan kepada anaknya hadis. Lalu al-Zuhri membacakan 400 buah hadis kepada anaknya. Selepas sebulan Hisyam bertemu semula dengan al-Zuhri dan mengkhabarkan kepada beliau bahawa kitab anaknya telah hilang (mungkin helah semata-mata untuk menguji al-Zuhri). Lalu dipanggil tukang tulis untuk menulis semula hadis-hadis tersebut. Bila mana dibandingkan hadis-hadis dalam kitab yang pertama dengan kitab kedua yang baru ditulis, tidak ada satu huruf pun yang tertinggal.

[Tazkirah al-Huffaz, al-Zahabi, jil. 1, hlm. 110, c: Dar al-Kutub al-'Ilmiyyah]

- Di antara keajaiban kekuatan hafalan al-Zuhri ialah beliau menghafal al-Quran dalam masa 80 malam.

[Tazkirah al-Huffaz, al-Zahabi, jil. 1, hlm. 110, c: Dar al-Kutub al-'Ilmiyyah]

- Al-Zuhri berkata: "Aku tidak pernah langsung minta untuk mengulang semula hadis (yang telah dibacakan) dan aku tidak pernah ragu-ragu terhadap hadis (yang telah aku hafal) kecuali satu hadis. Apabila aku tanyakan kepada sahabatku, ia adalah sebagaimana yang telah aku hafal."

[Tazkirah al-Huffaz, al-Zahabi, jil. 1, hlm. 111, c: Dar al-Kutub al-'Ilmiyyah]
___________________

Muhammad bin 'Ubaidillah bin Abdullah bin Syihab al-Zuhri dilahirkan pada tahun 50 Hijrah.

Beliau belajar dengan Ibnu 'Umar, Anas bin Malik, Sa'id bin al-Musayyib dan lain-lain.

Antara murid-muridnya ialah Malik bin Anas, al-Laith bin Sa'ad, al-Auza'ie, Sufyan bin 'Uyainah dan lain-lain.

Al-Laith pernah berkata: "Aku tidak pernah melihat seorang alim pun yang lebih banyak menghimpunkan ilmu daripada al-Zuhri."

Beliau meninggal dunia pada bulan Ramadhan tahun 124 Hijrah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan