Selasa, 10 Julai 2018

Istilah Ilmu Hadis 28: Hadis Qudsi (الْحَدِيثُ القُدْسِي)


Ia adalah sesuatu yang dinukilkan kepada kita oleh Nabi sallahu ‘alaihi wasallam dengan menyandarkannya kepada Allah.

Hadis ini dinamakan dengan nama tersebut  (suci atau tinggi) disebabkan penyandarannya kepada Zat Yang Maha Suci, suci daripada segala yang tidak layak bagi Allah.

Ia juga dinamakan dengan al-Hadith al-Ilahi dan al-Hadith al-Rabbani.

Hadis Qudsi ialah daripada kalam Allah, iaitu lafaz dan maknannya turun dari sisi Allah. Ada yang berpendapat, maknanya sahaja dari Allah, tetapi lafaznya ialah lafaz Nabi sallahu ‘alaihi wasallam.

[Kamus Istilah Hadis, Sayyid Abdul Majid al-Ghauri, hlm. 212]

Sabtu, 7 Julai 2018

Keajaiban Hafalan Imam al-Bukhari


- Abu Hamid al-A'masy berkata:

"Aku melihat Muhammad bin Isma'il (al-Bukhari) ketika (pengkebumian) jenazah Sa'id bin Marwan dan Muhammad bin Yahya al-Zuhli (guru Imam al-Bukhari) menanyakan kepada beliau tentang nama-nama dan kunyah (gelaran) para perawi serta 'ilal hadis. Muhammad bin Isma'il menyebutkannya seperti (lajunya) anak panah, seolah-olah beliau sedang membaca Qul Huwallahu Ahad."

[Siyar A'lam al-Nubala', jil. 12, hlm. 432, c: Muassasah al-Risalah]

- Kata al-Imam al-Bukhari:

"Aku menghafal 100 ribu buah hadis sahih dan aku mengetahui 200 ribu hadis yang tidak sahih."

[Siyar A'lam al-Nubala', jil. 12, hlm. 415, c: Muassasah al-Risalah]

Imam al-Bukhari Menegur Gurunya Ketika Berusia 11 Tahun


Muhammad bin Abi Hatim berkata:

Aku bertanya kepada Abu 'Abdillah (al-Bukhari): "Bagaimana kamu mula menuntut ilmu?"

Beliau menjawab: "Aku diilhamkan untuk menghafal hadis ketika aku berada di kuttab (sekolah rendah/tadika)."

Aku bertanya: "Umur berapakan kamu ketika itu?"

Beliau menjawab: "10 tahun atau kurang. Kemudian aku keluar dari kuttab selepas umur 10 tahun. Aku berulang-alik belajar dengan al-Dakhili dan orang lain selain beliau. Suatu hari beliau membaca (sanad hadis) kepada orang ramai: Sufyan (meriwayatkan hadis) daripada Abi al-Zubair daripada Ibrahim. Aku berkata kepada beliau (al-Dakhili): Abu al-Zubair tidak meriwayatkan daripada Ibrahim. Beliau lalu memarahiku. Aku berkata kepadanya: Rujuk semula kitab kamu. Beliau masuk ke dalam (rumahnya) dan melihat kitab beliau lalu keluar. Beliau berkata kepadaku: Wahai budak, siapa dia (perawi yang sebenar)? Aku menjawab: Dia ialah al-Zubair bin 'Adi daripada Ibrahim. Beliau lalu mengambil pena daripadaku dan membetulkan kitabnya lalu berkata: Engkau betul."

Ditanya kepada Imam al-Bukhari: "Ketika umur berapakah kamu menegur al-Dakhili"

Beliau menjawab: "11 tahun."

[Siyar A'lam al-Nubala', al-Zahabi, jil. 12, hlm. 393, c: Muassasah al-Risalah]


Jumaat, 6 Julai 2018

Hadis Palsu: Selawat 10 Kali Seperti Selawat Seluruh Makhluk

Al-Imam as-Suyuthi dalam kitabnya, Jam'u al-Jawami', menceritakan tentang satu riwayat daripada Sayyidina Abu Bakar as-Siddiq r.a., beliau berkata :

"Aku pernah duduk di sisi Rasulullah saw, lalu seorang lelaki datang kepada Nabi saw dan memberi salam kepada Baginda Nabi, lalu Baginda menjawab salamnya."

"Wajah Baginda berseri-seri dan menyuruhnya duduk di sisi Baginda saw. Setelah lelaki itu menyelesaikan hajatnya dengan Rasulullah saw, lalu beredar, Baginda bersabda :"

"Wahai Abu Bakar, amalan lelaki ini pada setiap hari diangkat (ke langit) seperti amalan seluruh penduduk Bumi."

Aku (Abu Bakar) bertanya : "Bagaimanakah boleh begitu?"

Baginda menjawab : "Sesungguhnya pada waktu pagi, dia berselawat ke atasku 10 kali seperti selawat seluruh makhluk."

Aku (Abu Bakar) bertanya lagi : "Bagaimanakah boleh begitu?"

Baginda bersabda : "Dia membaca (selawat ini):

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ(نِ) النَّبِيِّ عَدَدَ مَنْ صَلَّى عَلَيْهِ مِنْ خَلْقِكَ،

وَصَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ(نِ) النَّبِيِّ كَمَا يَنْبَغِي لَنَا أَنْ نُّصَلِّيَ عَلَيْهِ،

وَصَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ(نِ) النَّبِيِّ كَمَا أمَرْتَنَا أَن نُّصَلِّيَ عَلَيْهِ.

 [Riwayat ad-Daruquthni]

Dipetik daripada buku : Amalan Orang Soleh susunan al-Fadhil Ustaz Muhadir Haji Joll as-Sanariy hafizahullah.

Ulasan:

Hadis ini diriwayatkan oleh al-Daraqutni dalam al-Afrad melalui sanad:

Sulaiman bin al-Rabi’ al-Nahdi daripada Kadih bin Rahmah al-Zahid daripada Ibnu Lahi’ah al-Hadhrami daripada Salim bin ‘Amir daripada Ausath bin ‘Amru al-Bajali daripada Abu Bakar al-Siddiq daripada Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam:

 كُنْتُ عند النبي صلى الله عليه وسلم فجاءه رجل فسلَّم، فردَّ النبيُّ صلى الله عليه وسلم وأطلق وجهه وأجلسه إلى جنبه، فلمّا قضى الرجلُ حاجتَه نهض، فقال النبي صلى الله عليه وسلم: يا أبا بكر هذا رجل يُرفع له كلّ يومٍ كعمل أهل الأرض. فقلتُ: ولم ذاك؟ قال: إنّه كلما أصبح صلى عليَّ عشر مرات كصلاة الخلق أجمع. قلتُ: وما ذاك؟ قال: يقول: اللهم صلِّ على محمد النبي عدد مَن صلى عليه مِن خلقك، وصلِّ على محمد النبي كما ينبغي لنا أن نصلِّي عليه، وصلِّ على محمد النبي كما أمرتنا أن نصلي عليه.

Sulaiman bin al-Rabi’ al-Nahdi adalah perawi matruk (yang ditinggalkan hadisnya) sebagaimana kata al-Daraqutni dalam al-'Ilal.

Kadih bin Rahmah pula, kata al-Azdi: “Pendusta.”

Kata Ibnu ‘Adi dalam al-Kamil Fi al-Dhu’afa’:

عامة أحاديثه غير محفوظة، وَلا يتابع في أسانيده، وَلا في متونه.

“Secara umumnya hadis-hadisnya tidak terpelihara (yakni mungkar dan silap) dan tidak ada sokongan (daripada perawi-perawi yang lain) pada sanad-sanadnya dan pada matan-matannya (yang diriwayatkannya).”

Kata al-Hakim dan Abu Nu’aim:

روى عن مسعر والثوري أحاديث موضوعة.

“Dia meriwayatkan daripada Mis’ar dan al-Thauri hadis-hadis palsu.”

Kata Ibnu Hibban dalam al-Majruhin:

كان ممن يروي عن الثقات الأشياء المقلوبات، حتى يسبق إلى القلب أنه المتعمد لها، أو غفل عن الإتقان حتى غلب عليه الأوهام الكثيرة، فكثر المناكير في رواياته، فاستحق بها الترك.

 “Dia dikalangan perawi yang meriwayatkan hadis-hadis maqlub (yakni palsu) daripada perawi-perawi thiqah sehinggakan hati merasakan bahawa dia sengaja memalsukannya atau dia lalai daripada bersikap teliti (ketika meriwayatkan hadis) sehingga berlaku keatasnya kesilapan yang banyak. Maka banyak hadis-hadis mungkar pada periwayatannya. Maka dengan sebab itu dia layak untuk ditinggalkan.”

Al-Hafiz al-Sayuthi menghukumkan hadis ini sebagai palsu dan beliau menyebutkannya dalam kitab al-Ziyadat ‘Ala al-Maudhu’at (no. 735, terbitan: Maktabah al-Ma’arif) lalu diikuti Ibnu ‘Arraq dalam Tanzih al-Syari’ah al-Marfu’ah (2/328, terbitan Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah) dan al-Syaukani dalam al-Fawaid al-Majmu’ah (hlm. 329, tahqiq: Abdul Rahman al-Mu’allimi).

Khamis, 5 Julai 2018

Istilah Ilmu Hadis 27: Maqthu’ (المَقْطُوعُ)


Apa yang disandarkan kepada Tabi’in daripada perkataan atau perbuatan, tidak kira sama ada bersambung sanad ataupun tidak.

Al-Hafiz Ibnu Hajar telah memasukkan ke dalam kategori Maqthu’ setiap yang disandarkan kepada golongan selepas para Tabi’in daripada kalangan Tabi’ al-Tabi’in dan juga golongan selepas mereka.

Hukum berhujah dengannya

Maqthu’ tidak boleh dijadikan hujah dalam suatu apapun daripada hukum-hukum Syara’, walaupun penisbahannya adalah sahih kepada pengucapnya.

Ini kerana ia adalah kata-kata atau perbuatan daripada seorang Muslim. Tetapi jika terdapat bukti menunjukkan ia adalah Marfu’ seperti kata-kata perawi – setelah menyebut nama Tabi’in -: “Beliau memarfu’kannya”  sebagai contoh, maka ia dikira sebagai mempunyai hukum Marfu’ Mursal.

Buku Yang terdapat Khabar Maqthu’

1 – Musannaf Ibnu Abi Syaibah oleh Ibnu Abi Syaibah (w. 235 H).

2 – Musannaf Abdul Razzaq oleh Abdul Razzaq al-San’ani (w. 276 H).

3 – Tafsir Ibnu Abi Hatim oleh Ibnu Abi Hatim al-Razi (w. 277 H).

4 – Tafsir al-Thabari oleh Ibnu Jarir al-Thabari (w. 310 H).

5 – Tafsir Ibnu al-Munzir oleh Ibnu al-Munzir al-Naisaburi (w. 319 H)

[Kamus Istilah Hadis, Sayyid Abdul Majid al-Ghauri, hlm. 532]

Istilah Ilmu Hadis 26: Marfu’ secara hukumnya (المَرْفُوعُ حُكْماً)


Sesuatu yang dinyatakan oleh Sahabat radiallahu ‘anhum yang tidak diambil daripada riwayat-riwayat Israiliyat dan ianya bukan sesuatu yang boleh diijtihadkan seperti penetapan waktu-waktu ibadat, penetapan pahala dan dosa, dan sebagainya.

Hukumnya

Ia adalah hujah di sisi jumhur ahli hadis.

Mereka telah mengambil daripada kata-kata Abu Hurairah radiallahu ‘anhu:

“Sesiapa yang berpuasa pada hari syak, maka dia telah mengingkari Abu al-Qasim (Nabi sallahu ‘alaihi wasallam).”

[Diriwayatkan oleh Ashab al-Sunan al-Arba’ah]

Kata-kata ‘Aisyah radiallahu ‘anha:

“Kami diarahkan untuk mengganti (qada’) puasa.”

Kata-kata Ibnu Mas’ud:

“Sesiapa yang berjumpa tukang tilik atau ahli sihir, maka dia telah mengkufuri apa yang diturunkan ke atas Muhammad sallahu ‘alaihi wasallam”

Semua yang diriwayatkan ini memiliki hukum marfu’ di sisi ulama.

Termasuk jenis  marfu’ ini juga lafaz yang diungkapkan apabila menyebut nama Sahabat radiallahu ‘anhum seperti: (يَرْفَعُ الْحَدِيثُ) [mengangkatkannya/memarfu’kan hadis], atau (يَبْلُغُ بِهِ) [menyampaikan sehingga kepada Nabi], atau (يَنْمِيهِ) [memarfu’kannya]. 

Begitu juga kata-kata Sahabat radiallahu ‘anhum seperti: (أُمِرْنَا بِكَذَا) [kami diperintahkan melakukan demikian], atau (نُهِينَا عَنْ كَذَا) [kami dilarang daripada perkara sekian], atau (مِنْ الْسُنَّةِ كَذا) [termasuk sunnah ialah begini].

Kesemua ini memiliki hukum marfu’.

[Kamus Istilah Hadis, Sayyid Abdul Majid al-Ghauri, hlm. 488]


Istilah Ilmu Hadis 25: Mawquf (المَوْقُوفُ)

Dari segi bahasa:

Mawquf ialah isim maf'ul daripada al-Waqf. Waqafa, yaqifu, wuqufan, iaitu: kekal berdiri.

Dari segi istilah:

Ia adalah apa yang diriwayatkan daripada para Sahabat Radiallahu ‘anhum berupa perkataan mereka, atau perbuatan, atau perakuan (taqrir), sama ada sanadnya bersambung atau tidak bersambung.

Sebahagian ulama menamakannya ‘Athar’ dan menamakan Marfu' sebagai ‘Khabar’.

Boleh dikatakan penggunaan istilah ‘Athar’ untuk hadis Mawquf adalah yang lazim di sisi ulama terkemudian dan kontemporari.

Di antara ulama ada yang menghimpunkan dalam karya-karya mereka antara riwayat Mawquf dan Marfu', lalu menamakan kitabnya: as-Sunan wa al-Athar, seperti kitab Ma'rifah as-Sunan wa al-Athar karya al-Baihaqi, iaitu Abu Bakar Ahmad bin al-Husain al-Baihaqi (meninggal dunia pada tahun 458 Hijrah).

Contoh-Contoh Hadis Mawquf:

1 - Ibnu Abi Syaibah berkata dalam Musannafnya: Telah menceritakan kepada kami 'Aqqan, beliau berkata: Telah menceritakan kepada kami Sa'id bin Zaid, beliau berkata: Telah menceritakan kepada kami 'Asim bin Bahdalah, beliau berkata: Telah menceritakan kepada kami Abu Wa'il daripada 'Aisyah - radiallahuanha - beliau berkata:

“Uthman sedang menulis wasiat Abu Bakar radiallahuanhuma. 'Aisyah berkata: Lalu beliau (Abu Bakar) pengsan, maka dia ('Uthman) segera menulis: Umar bin al-Khattab. Apabila beliau sedar, Abu Bakar bertanya kepadanya: Siapa yang engkau tulis? Dia menjawab: Umar bin al-Khattab. Beliau berkata: Engkau telah menulis orang yang aku ingin perintahkan kepadamu. Kalaulah engkau menulis namamu sendiri, nescaya engkau layak untuknya."

2 - Ibnu Abi Syaibah berkata dalam Musannafnya: Telah menceritakan kepada kami 'Abdurrahim bin Sulaiman, daripada Hajjaj bin Artah, daripada 'Abdurrahman bin Zaid bin Jud'an, daripada Yahya bin Abi Muti':

“Abu Bakar as-Siddiq telah menghantar sepasukan tentera lalu berkata: Pergilah berperang dengan nama Allah. Ya Allah, jadikanlah kematian mereka sebagai syahid di jalan-Mu. Kemudian sesungguhnya kamu akan mendatangi suatu kaum di dalam biara-biara mereka, maka biarkanlah mereka dan apa yang telah mereka peruntukkan diri mereka untuknya. Kamu akan mendatangi suatu kaum yang telah mencukur bahagian tengah kepala mereka seperti al-'asab (jalur), maka pukullah (pancunglah) bahagian tengah kepala mereka yang telah mereka cukur itu.”

3 - 'Abdurrazzaq as-San'ani berkata dalam Musannafnya: Telah mengkhabarkan kepada kami Ibnu Juraij, beliau berkata: Telah mengkhabarkan kepadaku Abu Bakar daripada Sa'id bin al-Musayyab, daripada Umar bin al-Khattab Radiallahuanhu, beliau berkata: “Diterima kesaksian orang kafir, kanak-kanak, dan hamba, sekiranya mereka tidak menyampaikannya dalam keadaan mereka yang sedemikian itu, dan mereka memberikan kesaksian selepas orang kafir itu memeluk Islam, kanak-kanak itu menjadi dewasa, dan hamba itu dimerdekakan, sekiranya mereka ketika memberikan kesaksian itu adalah orang-orang yang adil.”

Perkara-perkara berkaitan dengan Marfu' secara hukum:

Terdapat beberapa bentuk Mawquf dari segi lafaz dan rupanya, tetapi orang yang meneliti hakikatnya akan mendapati bahawa ia membawa makna hadis Marfu'. Oleh itu, para ulama menamakannya sebagai: Marfu' secara hukum, iaitu: ia tergolong dalam Mawquf dari segi lafaz dan Marfu' dari segi hukum.

Di antara bentuk-bentuk ini ialah:

1 - Apabila seorang Sahabat - yang tidak dikenali sebagai orang yang mengambil riwayat daripada Ahli Kitab - mengatakan suatu perkataan yang tiada ruang untuk ijtihad padanya, dan tidak pula berkaitan dengan penjelasan bahasa atau huraian perkataan yang asing (gharib), seperti: Pemberitahuan tentang perkara-perkara yang telah lalu, seperti permulaan penciptaan.

2 - Atau pemberitahuan tentang perkara-perkara yang akan datang, seperti peperangan besar, fitnah-fitnah, dan keadaan hari Kiamat.

3 - Atau pemberitahuan tentang ganjaran khusus atau hukuman khusus yang diperoleh daripada sesuatu perbuatan, seperti perkataannya: “Sesiapa melakukan sekian, maka baginya pahala sekian.”

4 - Atau seorang Sahabat melakukan sesuatu yang tiada ruang untuk ijtihad padanya: seperti solat Ali radiallahuanhu, iaitu solat gerhana, yang pada setiap rakaatnya terdapat lebih daripada dua rukuk.

5 - Atau seorang Sahabat memberitahu: bahawa mereka biasa berkata, atau melakukan sekian, atau mereka tidak melihat ada masalah dengan sekian.

Maka jika dia menyandarkannya kepada zaman Nabi Sallahu ‘alaihi wasallam, maka pendapat yang sahih ialah: ia adalah Marfu', seperti perkataan Jabir: “Kami biasa melakukan 'azl (pancut di luar faraj isteri) pada zaman Rasulullah.” (Diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim).

Jika dia tidak menyandarkannya kepada zaman baginda; maka ia adalah Mawquf di sisi jumhur, seperti perkataan Jabir: “Kami apabila menaiki (tempat tinggi), kami bertakbir, dan apabila kami menuruni (tempat rendah), kami bertasbih.” (Diriwayatkan oleh al-Bukhari).

Atau seorang Sahabat berkata: “Kami diperintahkan dengan sekian, atau kami dilarang daripada sekian, atau adalah daripada Sunnah sekian, seperti perkataan sebahagian Sahabat: “Bilal diperintahkan untuk menggenapkan azan dan mengganjilkan iqamah.” (Diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim).

Dan seperti perkataan Ummu 'Atiyyah: “Kami dilarang daripada mengiringi jenazah, dan larangan itu tidak diwajibkan ke atas kami.” (Diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim).

Dan seperti perkataan Abu Qilabah daripada Anas: “Adalah daripada Sunnah apabila seseorang mengahwini seorang gadis (perawan) setelah mempunyai isteri janda, dia hendaklah tinggal bersamanya selama tujuh hari.” (Diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim)

Atau perawi berkata dalam hadis ketika menyebutkan Sahabat, salah satu daripada empat perkataan ini iaitu:

i) Dia menyandarkannya.

ii) Dia menisbahkannya.

iii) Dia menyampaikannya.

iv) Secara riwayat.

Seperti hadis al-A'raj daripada Abu Hurairah, secara riwayat: “Kamu akan memerangi suatu kaum yang kecil mata mereka.” (Diriwayatkan oleh al-Bukhari).

Atau seorang Sahabat mentafsirkan sesuatu tafsiran yang berkaitan dengan sebab turunnya sesuatu ayat: seperti perkataan Jabir: “Orang-orang Yahudi biasa berkata: Sesiapa yang mendatangi isterinya dari arah belakang pada farajnya, nescaya anaknya akan lahir dalam keadaan juling. Maka Allah Ta'ala menurunkan ayat: Isteri-isterimu adalah (seperti) tanah tempat kamu bercucuk tanam ...dan seterusnya.” (Diriwayatkan oleh Muslim).

Adakah riwayat Mawquf boleh dijadikan hujah?

Riwayat Mawquf boleh jadi sahih, atau hasan, atau daif. Akan tetapi, sekalipun telah sabit kesahihannya, adakah ia boleh dijadikan hujah?

Jawapannya ialah: Hukum asal bagi Mawquf adalah tidak dijadikan hujah kerana ia merupakan perkataan dan perbuatan para sahabat.

Akan tetapi, jika ia sabit kesahihannya, maka ia boleh menguatkan sebahagian hadis-hadis yang daif kerana keadaan para Sahabat adalah beramal dengan Sunnah. Ini adalah sekiranya ia tidak mempunyai hukum Marfu'.

Adapun jika ia tergolong dalam riwayat yang mempunyai hukum Marfu', maka ia adalah hujah sepertimana riwayat Marfu'.

Mawquf kepada selain Sahabat:

Jika dikatakan pada suatu hadis: “Ini adalah hadis Mawquf”, maka yang dimaksudkan dengannya adalah apa yang telah kami sebutkan dalam takrif hadis Mawquf, iaitu: Apa yang disandarkan kepada para Sahabat.

Ini adalah ketika penggunaan istilah Mawquf secara mutlak.

Adakalanya dinamakan juga apa yang disandarkan kepada para Tabi'in daripada hadis-hadis Maqtu' sebagai Mawquf, tetapi secara terikat (muqayyad), maka dikatakan: “Ia adalah Mawquf kepada az-Zuhri”, misalnya dan begitulah seterusnya.

Begitu juga, adakalanya dinamakan juga apa yang disandarkan kepada Tabi’ Tabi'in sebagai Mawquf dalam keadaan ia terikat, maka dikatakan: “Ia adalah Mawquf kepada Malik”, misalnya dan begitulah seterusnya.

Sumber-Sumber Hadis Mawquf:

Kita dapati hadis Mawquf secara asasnya di dalam kitab-kitab: Musannafat dan Muwatta'at, Tafsir bil-Ma'thur, dan sebahagian kitab-kitab yang menulis biografi para Sahabat, dan sebahagian Juz' hadis seperti:

1 - Al-Musannaf: karya Abu Bakar Abdullah bin Muhammad bin Abi Syaibah al-'Absi (meninggal dunia pada tahun: 235 Hijrah).

2 - Al-Musannaf: karya Abu Bakar 'Abdurrazzaq bin Hammam as-San'ani (meninggal dunia pada tahun: 211 Hijrah).

3 - Al-Muwatta': karya Imam Malik bin Anas al-Asbahi (meninggal dunia pada tahun: 179 Hijrah).

4 - Jami' al-Bayan 'an Ta'wil Ay al-Qur'an yang masyhur dengan Tafsir at-Tabari: karya Abu Ja'far Muhammad bin Jarir at-Tabari (meninggal dunia pada tahun: 310 Hijrah), yang mana Imam an-Nawawi berkata tentangnya: “Umat telah berijmak bahawa tidak pernah dikarang (kitab tafsir) sepertinya” dan as-Suyuti berkata: “Ia adalah tafsir yang paling agung dan paling hebat.”

5 - At-Tafsir karya Ibnu Abi Hatim ar-Razi, 'Abdurrahman bin Muhammad (meninggal dunia pada tahun: 327 Hijrah), kebanyakannya adalah riwayat-riwayat Athar yang bersanad.

6 - At-Tafsir karya Abu Bakar Muhammad bin Ibrahim bin al-Munzir an-Naisaburi (meninggal dunia sekitar tahun: 316 Hijrah).

7 - Hilyah al-Auliya' wa Tabaqat al-Asfiya' karya Abu Nu'aim al-Asbahani, Ahmad bin Abdullah asy-Syafi'i (meninggal dunia pada tahun: 430 Hijrah).

8 - Al-Ajza' al-Hadithiyyah (Koleksi-koleksi kecil hadis): karya Imam Abu Bakar Abdullah bin Muhammad bin Abi ad-Dunya al-Qurasyi al-Baghdadi (meninggal dunia pada tahun: 281 Hijrah), antaranya: al-Ikhwan, Istina' al-Ma'ruf, at-Tahajjud, at-Tawakkul, asy-Syukr, al-Hilm, as-Samt, Dzamm ad-Dunya, as-Sabr, al-'Azamah dan lain-lain. 

Sumber: 

Mausu'ah 'Ulum al-Hadis Wa Fununuhu oleh Dr Sayyid Abdul Majid al-Ghauri