Dari segi bahasa:
Mawquf ialah isim maf'ul daripada al-Waqf.
Waqafa, yaqifu, wuqufan, iaitu: kekal berdiri.
Dari segi istilah:
Ia adalah apa yang diriwayatkan daripada para Sahabat Radiallahu ‘anhum berupa perkataan mereka, atau
perbuatan, atau perakuan (taqrir), sama ada sanadnya bersambung atau
tidak bersambung.
Sebahagian ulama menamakannya ‘Athar’ dan menamakan Marfu'
sebagai ‘Khabar’.
Boleh dikatakan penggunaan istilah ‘Athar’ untuk hadis
Mawquf adalah yang lazim di sisi ulama terkemudian dan kontemporari.
Di antara ulama ada yang menghimpunkan dalam karya-karya
mereka antara riwayat Mawquf dan Marfu', lalu menamakan kitabnya:
as-Sunan wa al-Athar, seperti kitab Ma'rifah as-Sunan wa al-Athar
karya al-Baihaqi, iaitu Abu Bakar Ahmad bin al-Husain al-Baihaqi (meninggal
dunia pada tahun 458 Hijrah).
Contoh-Contoh Hadis Mawquf:
1 - Ibnu Abi Syaibah berkata dalam Musannafnya: Telah
menceritakan kepada kami 'Aqqan, beliau berkata: Telah menceritakan kepada kami
Sa'id bin Zaid, beliau berkata: Telah menceritakan kepada kami 'Asim bin
Bahdalah, beliau berkata: Telah menceritakan kepada kami Abu Wa'il daripada
'Aisyah - radiallahuanha - beliau berkata:
“Uthman sedang menulis wasiat Abu Bakar radiallahuanhuma.
'Aisyah berkata: Lalu beliau (Abu Bakar) pengsan, maka dia ('Uthman) segera
menulis: Umar bin al-Khattab. Apabila beliau sedar, Abu Bakar bertanya
kepadanya: Siapa yang engkau tulis? Dia menjawab: Umar bin al-Khattab. Beliau
berkata: Engkau telah menulis orang yang aku ingin perintahkan kepadamu. Kalaulah
engkau menulis namamu sendiri, nescaya engkau layak untuknya."
2 - Ibnu Abi Syaibah berkata dalam Musannafnya: Telah
menceritakan kepada kami 'Abdurrahim bin Sulaiman, daripada Hajjaj bin Artah,
daripada 'Abdurrahman bin Zaid bin Jud'an, daripada Yahya bin Abi Muti':
“Abu Bakar as-Siddiq telah menghantar sepasukan tentera lalu
berkata: Pergilah berperang dengan nama Allah. Ya Allah, jadikanlah kematian
mereka sebagai syahid di jalan-Mu. Kemudian sesungguhnya kamu akan mendatangi
suatu kaum di dalam biara-biara mereka, maka biarkanlah mereka dan apa yang
telah mereka peruntukkan diri mereka untuknya. Kamu akan mendatangi suatu kaum
yang telah mencukur bahagian tengah kepala mereka seperti al-'asab
(jalur), maka pukullah (pancunglah) bahagian tengah kepala mereka yang telah
mereka cukur itu.”
3 - 'Abdurrazzaq as-San'ani berkata dalam Musannafnya:
Telah mengkhabarkan kepada kami Ibnu Juraij, beliau berkata: Telah
mengkhabarkan kepadaku Abu Bakar daripada Sa'id bin al-Musayyab, daripada Umar
bin al-Khattab Radiallahuanhu, beliau berkata: “Diterima kesaksian orang
kafir, kanak-kanak, dan hamba, sekiranya mereka tidak menyampaikannya dalam
keadaan mereka yang sedemikian itu, dan mereka memberikan kesaksian selepas
orang kafir itu memeluk Islam, kanak-kanak itu menjadi dewasa, dan hamba itu dimerdekakan,
sekiranya mereka ketika memberikan kesaksian itu adalah orang-orang yang adil.”
Perkara-perkara berkaitan dengan Marfu' secara
hukum:
Terdapat beberapa bentuk Mawquf dari segi lafaz dan
rupanya, tetapi orang yang meneliti hakikatnya akan mendapati bahawa ia membawa
makna hadis Marfu'. Oleh itu, para ulama menamakannya sebagai: Marfu'
secara hukum, iaitu: ia tergolong dalam Mawquf dari segi lafaz dan Marfu'
dari segi hukum.
Di antara bentuk-bentuk ini ialah:
1 - Apabila seorang Sahabat - yang tidak dikenali sebagai
orang yang mengambil riwayat daripada Ahli Kitab - mengatakan suatu perkataan
yang tiada ruang untuk ijtihad padanya, dan tidak pula berkaitan dengan
penjelasan bahasa atau huraian perkataan yang asing (gharib), seperti: Pemberitahuan
tentang perkara-perkara yang telah lalu, seperti permulaan penciptaan.
2 - Atau pemberitahuan tentang perkara-perkara yang akan
datang, seperti peperangan besar, fitnah-fitnah, dan keadaan hari Kiamat.
3 - Atau pemberitahuan tentang ganjaran khusus atau hukuman
khusus yang diperoleh daripada sesuatu perbuatan, seperti perkataannya: “Sesiapa
melakukan sekian, maka baginya pahala sekian.”
4 - Atau seorang Sahabat melakukan sesuatu yang tiada ruang
untuk ijtihad padanya: seperti solat Ali radiallahuanhu, iaitu solat
gerhana, yang pada setiap rakaatnya terdapat lebih daripada dua rukuk.
5 - Atau seorang Sahabat memberitahu: bahawa mereka biasa
berkata, atau melakukan sekian, atau mereka tidak melihat ada masalah dengan
sekian.
Maka jika dia menyandarkannya kepada zaman Nabi Sallahu ‘alaihi wasallam, maka pendapat yang sahih ialah: ia
adalah Marfu', seperti perkataan Jabir: “Kami biasa melakukan 'azl
(pancut di luar faraj isteri) pada zaman Rasulullah.” (Diriwayatkan oleh
al-Bukhari dan Muslim).
Jika dia tidak menyandarkannya kepada zaman baginda; maka ia
adalah Mawquf di sisi jumhur, seperti perkataan Jabir: “Kami apabila
menaiki (tempat tinggi), kami bertakbir, dan apabila kami menuruni (tempat
rendah), kami bertasbih.” (Diriwayatkan oleh al-Bukhari).
Atau seorang Sahabat berkata: “Kami diperintahkan dengan
sekian, atau kami dilarang daripada sekian, atau adalah daripada Sunnah sekian,
seperti perkataan sebahagian Sahabat: “Bilal diperintahkan untuk menggenapkan
azan dan mengganjilkan iqamah.” (Diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim).
Dan seperti perkataan Ummu 'Atiyyah: “Kami dilarang daripada
mengiringi jenazah, dan larangan itu tidak diwajibkan ke atas kami.”
(Diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim).
Dan seperti perkataan Abu Qilabah daripada Anas: “Adalah
daripada Sunnah apabila seseorang mengahwini seorang gadis (perawan) setelah
mempunyai isteri janda, dia hendaklah tinggal bersamanya selama tujuh hari.”
(Diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim)
Atau perawi berkata dalam hadis ketika menyebutkan Sahabat,
salah satu daripada empat perkataan ini iaitu:
i) Dia menyandarkannya.
ii) Dia menisbahkannya.
iii) Dia menyampaikannya.
iv) Secara riwayat.
Seperti hadis al-A'raj daripada Abu Hurairah, secara
riwayat: “Kamu akan memerangi suatu kaum yang kecil mata mereka.” (Diriwayatkan
oleh al-Bukhari).
Atau seorang Sahabat mentafsirkan sesuatu tafsiran yang
berkaitan dengan sebab turunnya sesuatu ayat: seperti perkataan Jabir: “Orang-orang
Yahudi biasa berkata: Sesiapa yang mendatangi isterinya dari arah belakang pada
farajnya, nescaya anaknya akan lahir dalam keadaan juling. Maka Allah Ta'ala
menurunkan ayat: “Isteri-isterimu
adalah (seperti) tanah tempat kamu bercucuk tanam ...dan seterusnya.” (Diriwayatkan oleh Muslim).
Adakah riwayat Mawquf boleh dijadikan hujah?
Riwayat Mawquf boleh jadi sahih, atau hasan, atau
daif. Akan tetapi, sekalipun telah sabit
kesahihannya, adakah ia boleh dijadikan hujah?
Jawapannya ialah: Hukum asal bagi Mawquf adalah tidak
dijadikan hujah kerana ia merupakan perkataan dan perbuatan para sahabat.
Akan tetapi, jika ia sabit kesahihannya, maka ia boleh menguatkan
sebahagian hadis-hadis yang daif kerana keadaan para Sahabat adalah beramal
dengan Sunnah. Ini adalah sekiranya ia tidak mempunyai hukum Marfu'.
Adapun jika ia tergolong dalam riwayat yang mempunyai hukum Marfu',
maka ia adalah hujah sepertimana riwayat Marfu'.
Mawquf kepada selain Sahabat:
Jika dikatakan pada suatu hadis: “Ini adalah hadis Mawquf”,
maka yang dimaksudkan dengannya adalah apa yang telah kami sebutkan dalam
takrif hadis Mawquf, iaitu: Apa yang disandarkan kepada para Sahabat.
Ini adalah ketika penggunaan istilah Mawquf secara
mutlak.
Adakalanya dinamakan juga apa yang disandarkan kepada para
Tabi'in daripada hadis-hadis Maqtu' sebagai Mawquf, tetapi secara
terikat (muqayyad), maka dikatakan: “Ia adalah Mawquf kepada
az-Zuhri”, misalnya dan begitulah seterusnya.
Begitu juga, adakalanya dinamakan juga apa yang disandarkan
kepada Tabi’ Tabi'in sebagai Mawquf dalam keadaan ia terikat, maka dikatakan: “Ia
adalah Mawquf kepada Malik”, misalnya dan begitulah seterusnya.
Sumber-Sumber Hadis Mawquf:
Kita dapati hadis Mawquf secara asasnya di dalam
kitab-kitab: Musannafat dan Muwatta'at, Tafsir bil-Ma'thur,
dan sebahagian kitab-kitab yang menulis biografi para Sahabat, dan sebahagian
Juz' hadis seperti:
1 - Al-Musannaf: karya Abu Bakar Abdullah bin
Muhammad bin Abi Syaibah al-'Absi (meninggal dunia pada tahun: 235 Hijrah).
2 - Al-Musannaf: karya Abu Bakar 'Abdurrazzaq bin
Hammam as-San'ani (meninggal dunia pada tahun: 211 Hijrah).
3 - Al-Muwatta': karya Imam Malik bin Anas al-Asbahi
(meninggal dunia pada tahun: 179 Hijrah).
4 - Jami' al-Bayan 'an Ta'wil Ay al-Qur'an yang
masyhur dengan Tafsir at-Tabari: karya Abu Ja'far Muhammad bin Jarir
at-Tabari (meninggal dunia pada tahun: 310 Hijrah), yang mana Imam an-Nawawi
berkata tentangnya: “Umat telah berijmak bahawa tidak pernah dikarang (kitab
tafsir) sepertinya” dan as-Suyuti berkata: “Ia adalah tafsir yang paling agung
dan paling hebat.”
5 - At-Tafsir karya Ibnu Abi Hatim ar-Razi,
'Abdurrahman bin Muhammad (meninggal dunia pada tahun: 327 Hijrah),
kebanyakannya adalah riwayat-riwayat Athar yang bersanad.
6 - At-Tafsir karya Abu Bakar Muhammad bin Ibrahim
bin al-Munzir an-Naisaburi (meninggal dunia sekitar tahun: 316 Hijrah).
7 - Hilyah al-Auliya' wa Tabaqat al-Asfiya' karya Abu
Nu'aim al-Asbahani, Ahmad bin Abdullah asy-Syafi'i (meninggal dunia pada tahun:
430 Hijrah).
8 - Al-Ajza' al-Hadithiyyah (Koleksi-koleksi kecil hadis): karya Imam Abu Bakar Abdullah bin Muhammad bin Abi ad-Dunya al-Qurasyi al-Baghdadi (meninggal dunia pada tahun: 281 Hijrah), antaranya: al-Ikhwan, Istina' al-Ma'ruf, at-Tahajjud, at-Tawakkul, asy-Syukr, al-Hilm, as-Samt, Dzamm ad-Dunya, as-Sabr, al-'Azamah dan lain-lain.
Sumber:
Mausu'ah 'Ulum al-Hadis Wa Fununuhu oleh Dr Sayyid Abdul Majid al-Ghauri
Tiada ulasan:
Catat Ulasan