Dari segi bahasa:
Isim maf'ul bagi perkataan "رَفَع" (mengangkat), lawan kepada: meletakkan.
Seolah-olah ia dinamakan demikian kerana penisbahannya
kepada pemilik kedudukan yang tinggi, iaitu Nabi sallahu ‘alaihi wasallam.
Dari segi istilah:
Ia adalah apa yang
disandarkan kepada Nabi sallahu ‘alaihi wasallam sama ada berupa
perkataan, perbuatan, perakuan atau sifat.
Marfu' boleh jadi bersambung sanadnya dan boleh jadi
terputus atau Mursal.
Al-Khatib al-Baghdadi berpendapat bahawa Marfu' ialah
apa yang disandarkan oleh Sahabat kepada Nabi sallahu ‘alaihi wasallam sama
ada sanad bersambung kepada Sahabat atau terputus.
Dengan demikian, Mursal dikecualikan dan al-Khatib
tidak menganggapnya sebagai sebagai Marfu' (kerana Mursal ialah
apa yang disandarkan oleh Tabi’in kepada Nabi sallahu ‘alaihi wasallam).
Definisi pertama adalah pendapat jumhur ulama dan ia adalah
yang sahih.
Jenis-Jenisnya:
Telah jelas daripada definisi Marfu' bahawa jenisnya
ada empat, iaitu:
1 - Marfu' Qauli (Perkataan)
Iaitu apabila seorang Sahabat atau selainnya berkata:
"Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam bersabda begini..."
2 - Marfu' Fi'li (Perbuatan)
Iaitu apabila seorang Sahabat atau selainnya berkata:
"Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam melakukan begini..."
3 - Marfu' Taqriri (Perakuan)
Iaitu apabila seorang Sahabat atau selainnya berkata:
"Sesuatu telah dilakukan di hadapan Nabi sallahu ‘alaihi wasallam begini..."
dan tidak meriwayatkan penolakan baginda terhadap perbuatan tersebut.
4 - Marfu' Wasfi (Sifat)
Iaitu apabila seorang Sahabat atau selainnya berkata: "
Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam adalah manusia yang paling baik
akhlaknya."
Hukumnya:
Marfu' boleh jadi sahih apabila memenuhi lima syarat
kesahihan, boleh jadi hasan dan boleh jadi da’if apabila hilang satu syarat
atau lebih daripada syarat-syarat sahih. Pada ketika itu, penyandarannya kepada
Nabi sallahu ‘alaihi wasallam (semata-mata) tidak memberi faedah (kerana
tidak memenuhi syarat sahih dan hasan).
Marfu' Hukman (Dianggap Marfu' dari Segi
Hukum)
Ia adalah apa yang dikatakan oleh sahabat yang tidak
mengambil daripada Israiliyyat dan daripada perkara yang tiada ruang untuk
ijtihad di dalamnya, seperti penetapan masa ibadat dan penentuan pahala dan seksa.
Ia merupakan hujah menurut jumhur ahli hadis, begitu juga
menurut mazhab Syafi'i, Hanafi, dan sekalian pengikut mazhab-mazhab yang
masyhur.
Mereka telah menerima perkataan Abu Hurairah radiallahu ‘anhu:
"Sesiapa yang berpuasa pada hari Syak, maka dia telah menderhaka kepada
Abu al-Qasim." Diriwayatkan oleh pengarang al-Sunan al-Arba'ah.
Begitu juga perkataan beliau: "Sesiapa yang keluar dari
masjid selepas azan, maka dia telah menderhaka kepada Abu al-Qasim."
Begitu juga perkataan Aisyah radiallahu ‘anha: "Kami diperintahkan untuk mengqada
puasa".
Begitu juga perkataan Ibn Mas'ud radiallahu ‘anhu: "Sesiapa yang mendatangi tukang
tilik atau tukang sihir, maka dia telah kufur dengan apa yang diturunkan kepada
Muhammad sallahu ‘alaihi wasallam."
Kesemua ini adalah dalam hukum Marfu' menurut umumnya
ulama.
Namun, al-Bulqini berpendapat bahawa yang lebih tepat ia
bukanlah Marfu' kerana kemungkinan (penetapan) dosa itu bersandarkan
kepada prinsip-prinsip (syarak) yang sedia jelas.
Yang sahih adalah apa yang dikatakan oleh jumhur.
Termasuk dalam kategori Marfu' juga: Apa yang disebut ketika
meriwayatkan daripada seorang Sahabat dengan lafaz:
1 - "يَرْفَع الحديثَ"
(dia merafa’kan hadis).
2 - "يَبْلُغ به"
(dia menyampaikannya),
3 - "يَنْميه"
(dia menisbahkannya).
Termasuk juga apabila sahabat berkata:
1 - "Kami diperintahkan begini."
2 - "Kami dilarang daripada begini."
3 - "Daripada sunnah adalah begini."
Kesemua ini adalah dalam hukum Marfu'.
Sumber:
Mausu'ah 'Ulum al-Hadis Wa Fununuhu oleh Abdul Majid
al-Ghauri.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan