Definisi Gelaran "Al-Hafiz" Menurut Ulama Hadis
Gelaran ini khas untuk ahli hadis, iaitu seseorang yang
mengetahui sunnah Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam, memahami sanad-sanad
periwayatannya, dapat menilai sanad-sanadnya, menghafal hadis-hadis yang
disepakati kesahihannya oleh ahli ilmu dan juga hadis-hadis yang
diperselisihkan (kesahihannya).
Taqiyuddin al-Subki berkata: "Saya bertanya kepada
al-Hafiz Jamaluddin al-Mizzi tentang definisi al-Hafiz yang apabila seseorang
mencapai tahap tersebut, bolehlah dia digelar sebagai al-Hafiz.
Beliau menjawab: Rujuklah kepada para pakarnya (ahli 'urf).
Saya bertanya: Di manakah pakarnya? Mereka sangat sedikit.
Beliau lalu berkata: Sekurang-kurangnya, al-Hafiz itu
mengenali lebih ramai perawi hadis, mengetahui biografi mereka, keadaan mereka
dan negeri asal mereka, berbanding dengan perawi yang tidak dikenalinya, supaya
Supaya penilaian itu ditentukan oleh apa yang lebih dominan (iaitu maklumat
yang dia tahu tentang para perawi melebihi yang dia tidak tahu)."
Ibnu Sayyid al-Nas berkata: "Ahli hadis apabila
meluaskan hafalannya sehingga mengenali guru-gurunya dan guru kepada
guru-gurunya, satu generasi demi satu generasi, sehingga apa yang diketahuinya
daripada setiap generasi lebih banyak daripada apa yang tidak diketahuinya,
maka inilah yang dipanggil al-Hafiz."
Contoh Huffaz Agung dalam Ilmu Hadis
Antara para huffaz yang dijadikan contoh ialah Imam Ahmad
bin Hanbal yang berkata: "Aku telah memilih (hadis-hadis dalam) Musnad
daripada 750 ribu buah hadis."
Abu Zur'ah al-Razi berkata: "Ahmad bin Hanbal menghafal
satu juta hadis. Ditanya kepadanya: Bagaimana engkau tahu? Beliau menjawab: Aku
berbincang dengannya dan mengujinya dengan pelbagai topik."
Antara tokoh yang dijadikan contoh dalam kepakaran dalam ilmu
hadis ialah Yahya bin Ma'in yang berkata: "Aku telah menulis dengan
tanganku satu juta hadis," dan selain mereka berdua seperti al-Bukhari,
Abu Zur'ah, Muslim dan selain mereka.
Keistimewaan Gelaran "Al-Hafiz" Berbanding
Bidang Ilmu Lain
Cukuplah menjadi kebanggaan bagi ahli hadis bahawa gelaran
ini khusus untuk mereka, tidak dikatakan kepada pakar bahasa atau pakar nahu -
walaupun mereka mencapai tahap tinggi dalam ilmu dan pengetahuan mereka -
bahawa dia adalah seorang Hafiz.
Syarat-Syarat Digelar "Al-Hafiz" Menurut Ibnu
Hajar
Al-Hafiz Ibnu Hajar telah menyebutkan syarat-syarat untuk
digelar sebagai sebagai al-Hafiz dengan berkata:
1 - Terkenal dengan menuntut ilmu dan mengambil dari mulut
para tokoh, bukan dari helaian-helaian kitab.
2 - Mengetahui tentang generasi para perawi dan tingkatan
mereka.
3 - Mengetahui tentang jarh dan ta'dil
(kritikan dan pujian terhadap perawi) dan dapat membezakan yang sahih dari yang
lemah, sehingga apa yang dapat diingatnya lebih banyak daripada apa yang tidak
dapat diingatnya, berserta mengingati banyak matan hadis.
Beliau berkata: "Apabila syarat-syarat ini terdapat
pada seorang perawi, mereka (ahli hadis) menamakannya sebagai al-Hafiz."
Bukan Jumlah Hafalan Yang Menentukan Gelaran
"Al-Hafiz"
Perlu diingatkan bahawa apa yang disebutkan sebagai syarat
gelaran "al-Hafiz" dan juga syarat "al-Hujjah" dan
"al-Hakim" bukanlah satu kemestian untuk seseorang disifatkan dengan
gelaran-gelaran ini, ia tidak dikenali di kalangan ulama terdahulu, tidak
dituntut oleh bahasa, dan tidak dipersetujui oleh pendekatan ahli hadis
terdahulu. Bahkan ia terbatal dan ditolak dengan banyak bukti realiti daripada
keadaan para huffaz terdahulu.
Contoh Huffaz dengan Hafalan Kurang Daripada 10,000 Hadis
Al-Imam al-Hafiz al-Zahabi menamakan kitabnya Tazkirah
al-Huffaz dan ia diringkaskan oleh al-Hafiz al-Suyuti dan dinamakan sebagai
Tabaqat al-Huffaz. Dalam kitab asal dan ringkasannya disebutkan ramai
huffaz yang setiap seorang daripada mereka digelar sebagai al-Hafiz, sedangkan
mereka tidak menghafal 10 ribu hadis apatah lagi ratusan ribu. Ada di antara
mereka yang al-Zahabi tidak menyebutkan jumlah hadis dalam biografinya dan ada
yang disebutkan jumlah hadisnya dalam biografinya dan ada jumlahnya jauh kurang
daripada 10 ribu hadis. Disebutkan di sini beberapa contoh daripada mereka
untuk menerangkan isu ini dan sebagai bukti kebenaran kenyataan ini:
1 - Dalam Tazkirat al-Huffaz: Amr bin Murrah al-Hafiz
Abu Abdullah al-Muradi al-Kufi al-Darir, beliau adalah seorang yang thiqah
(dipercayai), thabit (kukuh), imam, beliau mempunyai sekitar 200 hadis. Ibn
Mahdi berkata: Beliau adalah antara huffaz Kufah.
2 - Thabit bin Aslam, al-Imam al-Hujjah al-Qudwah, Abu
Muhammad al-Bunani al-Basri, Ibn al-Madini berkata: Beliau mempunyai sekitar 250
hadis.
3 - Ayyub bin Abi Tamimah al-Sakhtiyani, al-Imam Abu Bakr
al-Basri al-Hafiz, salah seorang tokoh. Ibnu al-Madini berkata: Beliau
mempunyai sekitar 800 hadis.
4 - Yahya bin Sa'id bin Qais bin Amr al-Hafiz, Syeikh
al-Islam Abu Sa'id al-Ansari al-Najjari al-Madani, qadi Madinah, kemudian qadi
al-qudat untuk al-Mansur. Al-Thauri berkata: Beliau adalah antara huffaz. Ibnu
al-Madini berkata: Beliau mempunyai sekitar 300 hadis.
5 - Dan dalam (1/145): "Yunus bin Ubaid al-Imam
al-Qudwah al-Hujjah, Abu Abdullah al-Abdi mawlahum, al-Basri al-Hafiz."
Tamat. Dan al-Dhahabi juga berkata dalam "Siyar A'lam al-Nubala'"
(6/288): "Ali bin al-Madini berkata: Beliau mempunyai sekitar dua ratus
hadis."
6 - Sulaiman al-Taimi, al-Hafiz al-Imam Syeikh al-Islam, Abu
al-Mu'tamir Sulaiman bin Tarkhan al-Qaisi mawlahum, al-Basri. Al-Zahabi
berkata: Beliau mempunyai sekitar 200 hadis.
7 - Habib bin al-Shahid, Abu Muhammad al-Azdi al-Hafiz. Abu
Usamah berkata: Sesungguhnya beliau hanya meriwayatkan 100 hadis.
8 - Bahir bin Sa'd, berasal dari Hims, hafiz, dikenali
sebagai Abu Khalid al-Sahuli al-Kala'i. Beliau mempunyai satu naskhah cacatan
hadis dari Khalid bin Ma'dan dan sedikit dari Makhul, tidak lebih.
9 - Hariz bin Uthman al-Hafiz Abu Uthman al-Rahabi
al-Mashriqi al-Himsi, ahli hadis Hims, beliau mempunyai sekitar 200 hadis.
10 - Hajjaj bin Artah, al-Imam, mufti Iraq, Abu Artah
al-Nakha'i al-Kufi, salah seorang tokoh. Yahya bin Adam berkata: Abu Shihab
Abdul Rabbih bin Nafi' telah menceritakan kepada kami, beliau berkata: Shu'bah
berkata kepadaku: Hendaklah kamu berpegang dengan Hajjaj bin Artah dan Ibn
Ishaq, kerana sesungguhnya mereka berdua adalah hafiz. Dan dikatakan: Beliau
mempunyai sekitar 600 hadis.
11 - Shu'bah bin al-Hajjaj bin al-Ward, al-Hujjah al-Hafiz
Syeikh al-Islam, Abu Bistam al-Wasiti yang menetap di Basrah dan ahli hadisnya.
Ramai yang tidak terhitung jumlahnya telah meriwayatkan daripadanya. Ibnu
al-Madini berkata: Beliau mempunyai sekitar 2000 hadis. Al-Thauri berkata:
Shu'bah adalah Amir al-Mu'minin dalam hadis.
Cukuplah 11 contoh ini di mana disebutkan gelaran
"al-Hafiz", "al-Imam", "al-Hujjah", dan
"Amir al-Mu'minin dalam hadis" dan disebutkan bersama dengannya
jumlah hadis orang yang digelar dengan sifat tersebut dan tidak ada seorang pun
daripada mereka yang hadisnya mencapai 5000 hadis.
Para Sahabat Sebagai Huffaz Walaupun Tidak Menghafal
Ribuan Hadis
Sebenarnya kita tidak perlu pergi jauh, enam orang sahabat
yang banyak meriwayatkan hadis: Anas bin Malik, Jabir bin Abdullah, Abdullah
bin Umar, Abdullah bin Amr bin al-'As, Abu Hurairah, dan A'ishah al-Siddiqah -
semoga Allah meredhai mereka semua - paling banyak yang diriwayatkan oleh seorang
daripada mereka adalah kurang daripada 7000 hadis dan mereka adalah huffaz yang
banyak meriwayatkan hadis.
Al-Zahabi berkata dalam Tazkirah al-Huffaz, dalam
biografi Abu Hurairah: "Abu Hurairah al-Dausi al-Yamani, al-Hafiz
al-Faqih, sahabat Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam, Abdul Rahman bin Sakhr. Beliau
menghafal banyak daripada Nabi sallahu ‘alaihi wasallam dan beliau adalah
antara bejana ilmu.”
Al-Zahabi menyifatkannya sebagai hafiz, sedangkan hadisnya
kurang daripada 7000! Dengan semua ini, jelaslah bahawa apa yang dikatakan oleh
sebahagian ulama terkemudian, bahawa al-Hafiz, al-Hujjah, dan al-Hakim adalah
orang yang menghafal sekian ratusan ribu hadis, adalah tidak benar.
Telah disebutkan dalam contoh ke-10 kata-kata Shu'bah
tentang Hajjaj bin Artah: "hafiz", kemudian al-Zahabi berkata:
"Dan dikatakan: Beliau mempunyai sekitar 600 hadis." Maka, penyifatan
Syu’bah terhadapnya sebagai seorang Hafiz menunjukkan istilah ulama Salaf
terdahulu (al-mutaqaddimin) dalam lafaz ini dan ia berbeza dengan apa
yang dikatakan oleh ulama terkemudian (al-muta'akhkhirin).
Penolakan Terhadap Syarat Bilangan Hadis Oleh Ulama
Terkemudian
Antara yang secara pasti membatalkan pendapat mereka (ulama
terkemudian) ialah kata-kata al-Hafiz Ibnu Hajar dalam Nuzhat al-Albab fi
al-Alqab: "Al-Hafiz adalah gelaran bagi orang yang mahir dalam
pengetahuan hadis."
Beliau tidak menyebutkan sebarang bilangan untuk gelaran
"al-Hafiz" dan tidak menyebutkan "al-Hakim" di dalamnya.
Al-Hafiz al-Sakhawi - rahimahullah - telah menjelaskan
secara lengkap dalam kitabnya yang unik, al-Jawahir wa al-Durar fi Tarjamat
Syeikh al-Islam al-Hafiz Ibn Hajar, semua perbincangan yang baik tentang
syarat-syarat gelaran "al-Muhaddith" dan "al-Hafiz", dan
tentang siapa yang tidak disifatkan dengan gelaran "al-Muhaddith" dan
tidak juga "al-Hafiz", dan tentang "al-Hifz",
"al-Huffaz", dan apa yang berkaitan dengan itu dengan penjelasan yang
terbaik. Rujuklah kepadanya jika mahu kerana di dalamnya terdapat khazanah ilmu
yang berharga.
"Al-Hakim" Bukan Gelaran Dalam Ilmu Hadis
Adapun perkataan "al-Hakim", ia bukanlah gelaran
daripada gelaran-gelaran pangkat ahli hadis. Disebutkan dalam kitab al-Alqab
al-Islamiyyah oleh Dr. Hasan al-Basha: "Al-Hakim, kata pelaku daripada
al-hukm, bermaksud kehakiman (al-qudhah) dan ia adalah antara
gelaran para hakim.”
Fungsi Sebenar Gelaran "Al-Hafiz" dan Yang
Seumpamanya
Tidak mengapa untuk mengulangi bahawa gelaran-gelaran ini:
"al-Muhaddith", "al-Hafiz" dan "Amir al-Mu'minin dalam
hadis", adalah gelaran-gelaran penyampaian (tahdith) dan periwayatan
(riwayah) hadis dan bukannya gelaran untuk tauthiq (penilaian thiqah)
dan dirayah (pengetahuan tentang hadis). Namun kadangkala ia digunakan
dalam beberapa biografi sebagai penilaian adil dan boleh dipercayai (al-ta'dil
wa al-tautsiq), serta keimaman dan penelitian (al-imamah wa al-tahqiq),
seperti apabila ia dikatakan dalam biografi salah seorang perawi yang thiqah
dan thabit, seperti Imam Malik, Yahya al-Qattan, Ahmad, al-Bukhari,
Muslim, Abu Daud, al-Tabari, al-Tahawi, al-Isma'ili, Ibnu Abd al-Barr,
al-Baghawi, al-Nawawi, al-Zahabi, Ibnu Hajar, dan yang seumpama mereka, seperti
yang boleh dilihat dalam Tazkirah al-Huffaz dan lainnya. Tetapi pada
asalnya, penggunaannya untuk pangkat berkaitan periwayatan hadis dan tidak
menunjukkan penilaian thiqah (tauthiq).
Gelaran "Al-Hafiz" Bukan Bukti Thiqahnya
Perawi
Yang menjadi bukti untuk itu dan menunjukkan dengan jelas
bahawa perkataan "al-Hafiz" contohnya, digelarkan kepada sekumpulan
huffaz yang banyak hafalan, tetapi dari segi kepercayaan dan penerimaan
(riwayat), mereka disifatkan sebagai da'if (lemah), matruk
(ditinggalkan riwayatnya), wadhdha' (pemalsu hadis) dan sebagainya.
Contoh Huffaz Yang Ditolak Riwayatnya
Berikut adalah tiga contoh daripada jenis ini yang akan
menjelaskan perkara ini dengan sebaik-baik penjelasan, di mana gelaran
"al-Hafiz" digunakan untuk mereka yang mempunyai sifat-sifat
tersebut:
1 - Al-Shazakuni, al-Hafiz al-Zahabi berkata dalam Tazkirah
al-Huffaz, dalam biografinya: "Al-Shazakuni: al-Hafiz yang terkenal Abu
Ayyub Sulaiman bin Daud al-Minqari al-Basri, salah seorang daripada huffaz yang
unik melainakan beliau adalah daif. Salih bin Muhammad Jazarah ditanya
tentangnya, beliau berkata: Aku tidak pernah melihat orang yang lebih hafiz
daripadanya, tetapi dia berdusta dalam hadis. Yahya bin Ma'in berkata: Aku
telah mendapati kedustaannya. Al-Nasa'i dan lainnya berkata: Beliau tidak
thiqah.
Ibn 'Adi menafikan
dusta daripadanya dalam hadis dengan berkata: Semoga Allah melindungi (kita)
daripada menuduhnya, sesungguhnya kitab-kitabnya telah hilang, maka beliau
meriwayatkan hadis secara hafalan. Beliau meninggal pada tahun 234, semoga
Allah mengampuninya."
2 - Al-Kudaimi, al-Hafiz al-Zahabi berkata dalam Tazkirah
al-Huffaz, dalam biografinya: "Al-Kudaimi: al-Hafiz yang banyak
meriwayatkan hadis dan berumur panjang, Abu al-Abbas Muhammad bin Yunus
al-Qurashi al-Sami al-Basri, ahli hadis Basrah dan beliau lemah. Ibnu 'Adi
berkata: Al-Kudaimi dituduh memalsukan hadis. Ibn Hibban berkata: Mungkin
beliau telah memalsukan lebih daripada seribu hadis. Ibn 'Adi berkata:
Kebanyakan guru-guru kami meninggalkan periwayatan daripadanya. Abu Dawud
menuduhnya berdusta.
Musa bin Harun berkata - sambil berpaut pada kelambu Kaabah
-: Ya Allah, sesungguhnya aku mempersaksikan kepada-Mu bahawa al-Kudaimi adalah
pendusta yang memalsukan hadis. Qasim al-Mutarriz berkata: Aku akan menghadapi
al-Kudaimi di hadapan Allah dan aku akan berkata: Dia berdusta terhadap
nabi-Mu. Al-Daraqutni berkata: Dia dituduh memalsukan hadis. Adapun Isma'il
al-Khutabi, disebabkan kejahilannyam beliau berkata: Thiqah, aku tidak pernah
melihat perhimpunan yang lebih ramai daripada majlisnya. Beliau meninggal pada
tahun 286 dan beliau adalah antara orang yang berumur seratus tahun. Semoga
Allah mengampuninya."
Al-Zahabi juga berkata dalam Siyar A'lam al-Nubala',
dalam biografinya: "Syeikh al-Imam al-Hafiz al-Kabir yang berumur panjang,
yang daif. Beliau dilahirkan pada tahun 183 dan meninggal pada tahun 286 dan (umur)
beliau telah melebihi seratus tahun.”
Al-Zahabi lalu menyebutkan dalam biografinya kata-kata orang
yang mengkritiknya seperti yang telah disebutkan sebelum ini. Dalam al-Mizan
beliau berkata: "Al-Hafiz, salah seorang yang ditinggalkan hadisnya (matruk)."
3 - Al-Mus'abi, al-Hafiz al-Zahabi berkata dalam Tazkirah
al-Huffaz, dalam biografinya: "Al-Mus'abi: yang tiada tandingan (al-Auhad,
Abu Bishr Ahmad bin Muhammad bin Amr bin Mus'ab al-Marwazi, al-Faqih, melainkan
bahawa beliau seorang pendusta. Al-Daraqutni berkata: Beliau adalah seorang
hafiz yang petah lidahnya, cemerlang dalam (memegang) sunnah dan menolak ahli
bidaah, tetapi beliau memalsukan hadis.
Ibnu Hibban berkata: Beliau adalah antara orang yang
memalsukan matan dan memutarbalikkan sanad, mungkin beliau telah memutarbalikkan
lebih daripada sepuluh ribu hadis terhadap orang-orang yang thiqah....,
walaupun beliau adalah antara orang yang paling teguh pada zamannya dalam (berpegang
kepada) sunnah!! Dan paling memahaminya, dan paling mempertahankannya!! Dan
paling menentang orang yang menyalahinya!! Kita memohon perlindungan daripada
Allah. Beliau meninggal pada tahun 353 pada umur 73 tahun."
Dan terdapat dalam kitab-kitab biografi perawi, (perawi)
yang da'if (lemah) dan yang majruh (dikritik), (golongan) seperti
mereka ini (para Huffaz) dalam bilangan yang tidak sedikit.
Kesimpulan: Gelaran "Al-Hafiz" Tidak
Menunjukkan Keadilan Perawi
Dari sini, jelas bahawa tidak ada pertentangan antara
penyifatan seseorang dengan gelaran "al-Hafiz", atau "Amir
al-Mu'minin dalam hadis", atau gelaran-gelaran tinggi lain dalam bidang periwayatan
hadis, dengan penyifatan bahawa dia: "ditinggalkan (matruk)"
seperti al-Waqidi, atau penyifatan bahawa dia "mudallis"
(menyembunyikan kecacatan dalam sanad) seperti Ibnu Ishaq kerana yang pertama
berkaitan dengan penyampaiannya hadisnya dan yang kedua pula berkaitan dengan
penerimaannya riwayat hadisnya, maka aspeknya berbeza.
Shu'bah telah menjelaskan sebab beliau menggelarkan Ibnu
Ishaq sebagai "Amir al-Mu'minin dalam hadis" kepada orang yang
bertanya kepadanya tentangnya, beliau berkata: "Kerana hafalannya."
Yahya bin Ma'in menjelaskan sebab beliau menggelarkan Abu Abdullah al-Sinani
sebagai "Amir al-Mu'minin dalam hadis", beliau berkata: "Kerana
kecerdasannya dan kewibawaannya.
Sumber:
Mausu’ah ‘Ulum al-Hadith Wa Fununuhu oleh Sayyid Abdul Majid al-Ghauri.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan