Definisi Ilmu ‘Ilal:
Ia adalah ilmu tentang kaedah-kaedah untuk menemukan
sebab-sebab tersembunyi yang mencacatkan kesahihan hadis serta hukum-hukumnya.
Sejarah Ilmu ‘Ilal:
Ilmu ‘ilal adalah ilmu hadis yang pertama kali muncul
dalam Islam, bahkan ia adalah benih yang daripadanya tumbuh pohon rimbun
ilmu-ilmu hadis dalam Islam.
Hal ini kerana penilaian terhadap riwayat telah bermula sejak
zaman para sahabat yang terawal radiallahu ‘anhum. Zaman mereka adalah
zaman ke’adilan, dan ketika itu belum ada rangkaian sanad, maka tidak
ada keperluan untuk membuat penilaian bagi mengesahkan kebenaran riwayat
daripada seorang perawi yang ‘adil lagi dhabit, yang dalam hal
ini ialah para sahabat.
Para sahabat telah memberikan perhatian terhadap hal ini dan
mereka menapis riwayat-riwayat dengan membandingkannya dengan al-Quran dan
Sunnah yang mereka ketahui. Para mujtahid dalam kalangan mereka telah menghukum
bahawa terdapat kesilapan (wahm) pada sebahagian hadis, hasil daripada
kajian mereka melalui kaedah penilaian ini.
Mereka juga telah mengingatkan tentang apa yang berlaku pada
sebahagian daripada mereka berupa kesilapan (wahm) yang jarang berlaku
disebabkan oleh sesuatu sebab, seperti kehadiran seorang perawi di majlis Nabi sallahu ‘alaihi wasallam dalam
keadaan terlewat.
Namun, hal ini sangat sedikit dan jarang berlaku; kerana
keadaan mereka radiallahu ‘anhum yang sangat teliti dan berhati-hati
dalam meriwayatkan hadis serta menyedikitkan riwayat. Sehinggakan perawi yang
paling banyak meriwayatkan hadis dalam kalangan mereka, iaitu Abu Hurairah radiallahu
‘anhum hadis-hadisnya tidak melebihi 5400 hadis, sama ada yang sahih, yang
daif, dan termasuk yang berulang.
Kemudian datanglah generasi tabi'in, lalu mereka
mengikuti jalan para sahabat dalam melakukan penelitian dan penilaian hadis.
Pada zaman mereka, fitnah semakin banyak dan aliran-aliran (firqah)
menjadi pelbagai, maka keperluan terhadap penilaian hadis semakin bertambah.
Antara tokoh ulama mereka dalam bidang ini ialah Imam Muhammad bin Sirin (meninggal
dunia tahun 101 Hijrah). Kemudian selepasnya, ulama pakar hadis (huffaz)
yang paling alim pada zamannya iaitu Muhammad bin Muslim bin Shihab al-Zuhri (meninggal
dunia tahun 123 Hijrah). Beliau sering mengimlakkan kepada murid-muridnya
perkara-perkara berkaitan penilaian hadis dan i'lalnya (penentuan
illah/kecacatannya), perbahasan mengenai para perawi, serta prinsip-prinsip
asasnya dalam bidang tersebut.
Demikianlah usaha-usaha ini berterusan dan berkembang, dan
kajian-kajian dalam bidang i'lal hadis semakin bercabang. Sehinggalah
tiba kurun ketiga, iaitu zaman pembukuan (tadwin), maka pembukuan dalam
ilmu ilal hadis merupakan antara perkara terawal yang diberikan
perhatian oleh para imam, sebagaimana yang dapat diketahui daripada senarai
karya yang telah disebutkan mengenainya.
Pengkaryaan dalam ‘Ilal Hadis:
Oleh kerana ilmu ‘Ilal membahaskan tentang
kecacatan-kecacatan tersembunyi pada hadis-hadis yang zahirnya sahih, maka ilmu
ini telah menyibukkan para ulama dengan kesibukan yang besar, kerana betapa
seriusnya topik perbahasannya, iaitu sikap berhati-hati terhadap hadis Nabi sallahu ‘alaihi wasallam dan
memeliharanya, agar ia dapat dipersembahkan kepada umat dalam keadaan bersih
daripada sebarang cela. Dari sinilah datangnya kelebihan mengkaji dan menulis
tentangnya yang menjadi urusan para jaguh ahli hadis yang bertaraf pakar (huffaz),
dan pengkhususan para imam daripada kalangan pengkritik (nuqqad).
Karya-karya penulisan menjadi banyak dan pelbagai, sehinggakan sukar untuk
menyenaraikannya dalam ruangan ini.
Perkara terawal yang bermula dalam penulisan ilmu ‘ilal hadis
adalah berbentuk himpunan soalan-soalan, jawapan-jawapan, dan faedah-faedah
yang bertebaran berkaitan dengan para perawi dan ‘ilal hadis. Ia beralih
dari satu topik ke topik yang lain, daripada apa yang telah diambil faedah
daripada tokoh-tokoh ulama hadis terkemuka yang terdahulu. Barangkali,
sebahagian besarnya adalah dalam bidang mengenali perawi (ma'rifat al-rijal).
Allah Ta'ala telah mempermudahkan penerbitan sebahagian daripadanya, iaitu:
1 - Al-Tarikh wa al-`Ilal: oleh Imam Yahya bin Ma'in
(meninggal dunia tahun 233 Hijrah), riwayat Abu al-Fadhl al-'Abbas bin Muhammad
al-Duri.
2 - Al-‘Ilal: oleh Imam 'Ali bin 'Abdullah al-Madini
(meninggal dunia tahun 234 Hijrah).
Ibn al-Madini mempunyai banyak kitab yang besar dalam bidang
‘ilal, dan juzuk ini telah dicetak daripadanya melalui riwayat muridnya
yang thiqah (dipercayai): Muhammad bin Ahmad yang dikenali sebagai Ibn
al-Bara'.
Kitab ini mempunyai keistimewaan dengan mengandungi
sebahagian prinsip asas dalam ilmu ‘ilal, tingkatan-tingkatan perawi di
pelbagai negeri, dan (senarai) perawi yang menjadi paksi sanad dari zaman sahabat
hinggalah ke zaman Ibn al-Madini.
3 - Al-`Ilal: oleh Imam Ahmad bin Hanbal al-Shaibani
(meninggal dunia tahun 241 Hijrah): Sebilangan murid Imam Ahmad telah
meriwayatkan karya-karya yang mereka himpunkan daripada ucapan beliau, dan dua
buah kitab daripadanya telah dicetak:
(i) Al-`Ilal wa Ma'rifat al-Rijal: riwayat anak
lelakinya, 'Abdullah, daripada beliau.
(ii) Al-Jami' fi al-`Ilal wa Ma'rifat al-Rijal:
riwayat kedua-dua anak lelakinya, 'Abdullah dan Salih, serta dua orang
muridnya, al-Marwazi dan al-Maimuni, kesemuanya daripada beliau.
4 - Al-`Ilal al-Kabir: oleh Imam Muhammad bin 'Isa
bin Sawrah al-Tirmidhi (meninggal dunia tahun 279 Hijrah), dan ia tidak
tersusun, kemudian ia disusun oleh Abu al-Walid al-Qadi.
5 - At-Tamyiz: oleh Imam Muslim bin al-Hajjaj
al-Qushayri (meninggal dunia tahun 261 Hijrah).
Beliau mengarangnya, sebagaimana yang dijelaskan dalam
mukadimahnya, atas dua sebab: Untuk menjelaskan bahawa kritikan terhadap para
perawi bukanlah satu bentuk umpatan (ghibah), dan untuk menyanggah
dakwaan orang yang menganggap bahawa usaha para ahli hadis dalam membezakan
riwayat yang salah daripada yang betul adalah satu dakwaan mengetahui ilmu
ghaib yang tidak mungkin dicapai.
Kitab ini amat penting dari sudut tajuknya dan keimaman
pengarangnya. Namun, hanya secebis kecil daripadanya yang ditemukan, iaitu
sebanyak enam belas helaian yang disimpan di Perpustakaan Zahiriyyah, Damsyik
(telah ditahqiq dan diberi ulasan oleh Dr. Muhammad Mustafa al-A'zami).
Al-Hafiz Ibn Rajab telah terlebih dahulu memetik sebahagian besar kandungannya
dalam syarah beliau terhadap ‘Ilal al-Tirmizi.
6 - Al-`Ilal oleh Ibn Abi Hatim al-Razi: Imam 'Abd
al-Rahman bin Imam Muhammad bin Idris al-Razi (meninggal dunia tahun 327 Hijrah).
Kitab ini mempunyai keistimewaan kerana mudah untuk diambil
faedah, disusun mengikut bab-bab, dan telah dicetak dalam dua jilid.
7 - Al-Ilal al-Waridah fi al-Ahadith al-Nabawiyyah:
oleh Imam Abu al-Hasan 'Ali bin 'Umar al-Daraqutni (meninggal dunia tahun 385 Hijrah).
Kitab ini disusun mengikut format musnad dan diambil
daripada jawapan-jawapan al-Daraqutni daripada hafalannya terhadap
soalan-soalan yang diajukan kepadanya oleh gurunya, Abu Mansur ibn al-Karkhi.
Kemudian, kitab ini dibentangkan semula kepada al-Daraqutni sendiri.
Kitab ini sarat dengan faedah-faedah dalam ilmu ‘ilal,
dan amat kaya dengan penelusuran sanad-sanad serta riwayat-riwayat. Ia
merupakan kitab paling komprehensif dalam bidang ‘ilal yang sampai
kepada kita.
8 - Al-`Ilal al-Mutanahiyah fi al-Ahadith al-Wahiyah:
oleh al-Hafiz 'Abd al-Rahman bin 'Ali bin Muhammad Ibn al-Jawzi (meninggal
dunia tahun 597 Hijrah).
Ia disusun mengikut bab-bab dan telah dicetak dalam dua
jilid.
Sumber:
Mausu'ah 'Ulum al-Hadis Wa Fununihi oleh Dr Sayyid Abdul Majid al-Ghauri
Baca juga:
Tiada ulasan:
Catat Ulasan