Ahad, 24 Jun 2018

Istilah Ilmu Hadis 16: Al-Hakim (الحَاكِمُ)

Al-Hakim adalah salah satu gelaran ahli hadis.

Mereka (ahli hadis) berkata: (Ia diberikan kepada) sesiapa yang ilmunya meliputi semua hadis yang diriwayatkan dari segi matan dan sanad, jarh dan ta'dil (kritikan dan pujian kepada perawi), sejarah perawi dan tidak terlepas daripadanya kecuali sedikit.

Namun pada hakikatnya, gelaran ini (al-Hakim) adalah sifat bagi orang yang memegang jawatan kehakiman dan tidak ada kaitan dengan penghafalan dan periwayatan hadis. Dalam kitab al-Alqab al-Islamiyyah: "Al-Hakim, kata pelaku (isim fa’il) daripada al-hukm yang bermaksud al-qadha’ (kehakiman) dan ia adalah salah satu gelaran para hakim."

Dalam Tazkirah al-Huffaz, dalam biografi al-Hakim al-Kabir Abu Ahmad: "Ahli hadis Khurasan, al-Imam, al-Hafiz, al-Jihbiz (seorang pakar), Muhammad bin Muhammad al-Naisaburi al-Karabisi. Inilah al-Hakim al-Kabir. Al-Hakim berkata: Dia dilantik sebagai hakim pada tahun 333, sehingga dia diberi jawatan hakim di al-Shash dan menghakimi di sana selama empat tahun dan beberapa bulan. Kemudian dilantik sebagai hakim di Tus. Saya pernah bertemu dengannya dan karya-karya tulisannya berada di hadapannya. Dia menghakimi kemudian kembali (mengarang) kitab-kitabnya. Beliau dilahirkan pada tahun 285 dan meninggal pada tahun 378. Semoga Allah merahmatinya."

Ibnu Khalikan berkata dalam al-Wafayat, dalam biografi al-Hakim al-Naisaburi yang merupakan murid al-Hakim al-Kabir Abu Ahmad: "Abu Abdullah Muhammad bin Abdullah al-Dabbi, yang dikenali sebagai al-Hakim al-Naisaburi, al-Hafiz yang dikenali sebagai Ibnu al-Bayyi'. Beliau mengarang al-Mustadrak 'ala al-Sahihain dan memegang jawatan hakim di Naisabur. Beliau dilahirkan pada tahun 321 dan meninggal pada tahun 405. Beliau dikenali sebagai al-Hakim kerana memegang jawatan hakim.”

Maka dijelaskan bahawa al-Hakim adalah gelaran kehakiman dan sama sepertinya gelaran gurunya al-Hakim al-Kabir kerana beliau memegang jawatan hakim seperti yang telah dinyatakan.

Sumber:

Mausu’ah ‘Ulum al-Hadith Wa Fununuhu oleh Sayyid Abdul Majid al-Ghauri.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan