Ahad, 24 Jun 2018

Istilah Ilmu Hadis 15: Al-Hujjah (الحُجَّةُ)

Dari segi bahasa: Bukti (al-Burhan).

Dari segi istilah: Salah satu gelaran ahli hadis.

Mereka (ahli hadis) berkata: (Ia diberikan kepada) sesiapa yang ilmunya meliputi 300 (ribu) hadis. Ada juga yang mengatakan: Dia lebih kuat daripada perawi thiqah (dipercayai).

Kata-kata Abu Daud al-Sijistani menunjukkan demikian kerana al-Ajuri bertanya kepadanya tentang Sulaiman ibnu Bint Syurahbil: “Adakah dia hujjah?” Beliau menjawab: “Hujjah itu adalah Ahmad bin Hanbal.”

Begitu juga kata Uthman bin Abi Syaibah tentang Ahmad bin Abdullah bin Yunus: “Thiqah dan bukan hujjah.”

Ibn Ma'in berkata tentang Muhammad bin Ishaq: “Thiqah dan bukan hujjah,” dan tentang Abu Khalid al-Ahmar: “Saduq (jujur) dan bukan hujjah.”

Mungkin kerana sebab inilah Al-Khatib mendahulukannya dengan berkata: "Ungkapan (ta’dil/pujian kepada perawi) tertinggi ialah apabila dikatakan: Hujjah atau Thiqah."

Nota:

Syeikh Abdul Fattah Abu Ghuddah menyebut dalam risalahnya, Umara' al-Mu'minin fi al-Hadith bahawa sebahagian ahli hadis terkemudian menyebut untuk beberapa gelaran - seperti gelaran al-Hafiz, al-Hujjah dan al-Hakim - penentuan bilangan hadis yang banyak yang dihafal oleh ahli hadis pemilik gelaran tersebut agar gelaran tersebut dapat diberikan kepadanya. Beliau menyebut bahawa penentuan ini tidak dikenali dalam istilah ahli hadis terdahulu tetapi ia adalah istilah yang sangat terkemudian dan perkara tersebut tidak diterima.

Maka begitulah lafaz al-Hujjah bukan dari gelaran riwayah (berkaitan periwayatan hadis), tetapi ia adalah dari lafaz-lafaz tertinggi untuk tauthiq (penilaian thiqah) dan dirayah (pengetahuan tentang hadis), seperti yang boleh dilihat dalam peringkat lafaz-lafaz ta'dil (maratib al-ta’dil) dalam kitab-kitab mustolah.

Sumber:

 Mausu’ah ‘Ulum al-Hadith Wa Fununuhu oleh Sayyid Abdul Majid al-Ghauri.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan