Ahad, 26 Ogos 2018

Kisah Ulama Membaca Kitab Berulang Kali




Membaca Kitab al-Risalah Selama 50 Tahun

1-  Kata al-Muzani (w. 264 H) (anak murid al-Imam al-Syafi’e):

“Aku telah melihat kitab al-Risalah sejak 50 tahun dulu. Tidaklah aku melihatnya melainkan aku mendapat faedah yang tidak aku ketahui sebelumnya.”

Membaca Sahih al-Bukhari lebih 700 Kali

2 - Ghalib bin Abdul Rahman bin Ghalib bin Tamam bin ‘Athiyyah al-Muharibi (m. 518 H) berkata:

“Aku membaca tulisan sebahagian sahabat kami bahawa dia mendengar Abu Bakar bin ‘Athiyyah menyebutkan bahawa dia mengulang-ulang Sahih al-Bukhari sebanyak 700 kali.”

Membaca Sahih al-Bukhari 150 Kali

3 - Al-Hafiz Ibnu Hajar menyebutkan dalam Inba’ al-Ghumar, pada biodata Sulaiman bin Ibrahim bin ‘Umar al-‘Alawi (m. 825 H):

“Beliau menyebutkan kepadaku bahawa beliau membaca Sahih al-Bukhari sebanyak 150 kali, sama ada secara bacaan (qiraah), memperdengarkan hadis (isma’), mendengar bacaan hadis orang lain (sama’) dan membandingkan kitab hadis dengan orang lain (muqabalah).”

Membaca Sahih al-Bukhari lebih 40 Kali

4 - Al-Hafiz Ibnu Hajar menyebutkan dalam al-Mu’jam al-Muassis, pada biodata Ahmad bin ‘Uthman bin Muhammad al-Kulutati (m. 835 H):

“Kemudian diberikan kepadanya kecintaan untuk belajar hadis. Beliau mula belajar pada tahun 779 H  dan tahun-tahun berikutnya, tanpa lelah dan lesu. Mungkin beliau telah membaca Sahih al-Bukhari lebih daripada 40 kali.”

Membaca Sahih al-Bukhari lebih 100 Kali

5 – Dalam biografi Abu Bakar bin Muhammad bin Abdullah bin Muqbil al-Qahiri al-Hanafi (m. 805 H) yang dikenali sebagai al-Tajir daripada kitab al-Dhau’ al-Lami’:

“Al-Burhan al-Halabi (murid al-Tajir) berkata: Beliau mengkhabarkan kepadaku bahawa beliau telah membaca Sahih al-Bukhari sehingga tahun 780 H (iaitu selama tujuh tahun) sebanyak 95 dan beliau membaca Sahih al-Bukhari selepas tahun itu dalam bilangan yang banyak.”

Membaca Sahih al-Bukhari Kepada Lebih 30 Syeikh

6 – Dalam Durrah al-Hijal karangan Ibnu al-Qadhi al-Maknasi, pada biodata ‘Uthman bin Muhammad bin ‘Uthman al-Tauzari (m. 713 H) , bahawa beliau membaca Sahih al-Bukhari kepada lebih daripada 30 orang daripada murid-murid al-Busiri.

Membaca Sahih al-Bukhari Kepada Seorang Syeikh lebih 20 Kali

7 – Dalam Inba’ al-Ghumar, pada biodata As’ad bin Muhammad bin Mahmud al-Syirazi (m. 803 H), bahawa beliau membaca Sahih al-Bukhari kepada Syamsuddin al-Karmani lebih daripada 20 kali.

Membaca Sahih al-Bukhari lebih 60 Kali dan Sahih Muslim lebih 20 Kali

8 – Dalam biodata al-Burhan al-Halabi (m. 840 H) daripada kitab al-Dhau’ al-Lami’:
“Beliau membaca Sahih al-Bukhari lebih daripada 60 kali dan Sahih Muslim lebih kurang 20 kali, sama ada bacaan ketika beliau masih belajar atau orang lain membacakan kedua-duanya kepada beliau.”

Membaca Sahih al-Bukhari Lebih 50 Kali

9 – Kata al-Kattani dalam Fihris al-Faharis:

“Aku dapati dalam Thabat al-Syihab Ahmad bin Qasim al-Buni: Aku melihat tulisan al-Fairuzzabadi pada akhir juzuk daripada Sahih al-Imam al-Bukhari menyebutkan bahawa beliau (al-Fairuzzabadi) telah membaca Sahih al-Bukhari lebih daripada 50 kali.”

Membaca Kitab al-Muhazzab Lebih 40 Kali

10 – ‘Umar bin Samurah al-Ju’di menyebutkan dalam Thabaqat Fuqaha’ al-Yaman, pada biodata al-Imam al-Faqih Yahya bin Abi al-Khair al-‘Imrani (m. 558 H) bahawa beliau berkata tentang dirinya:

“Beliau tidak akan menulis komentar al-Zawaid ‘ala al-Muhazzab kecuali selepas menghafalnya (kitab al-Muhazzab) kepada al-Imam Abdullah bin Ahmad al-Hamdani. Kemudian beliau akan mengulangnya di Uhazah (nama sebuah kampung di Yaman). Kemudian beliau akan menelaah keseluruhan kitab al-Muhazzab sebanyak 40 kali atau lebih sebelum memulakan penulisan (al-Zawaid ‘ala al-Muhazzab).”

Membaca Kitab Mu’jam al-Adibba’ Sebanyak Lapan Kali

11 – Syeikh Abdul ‘Aziz al-Maimani al-Rajkuti (m. 1398 H) berkata tentang dirinya:

“Aku telah membaca Mu’jam al-Adibba’ karangan Yaqut al-Hamawi sekurang-kurangnya sebanyak 7 atau 8 kali dan aku mengutamakannya daripada kitab Wafayat al-A’yan.”

Membaca kitab al-Taudhih Sebanyak 70 Kali Dan Syarah Ibnu al-Musonnif Lebih Daripada 30 kali

12 - Dalam kitab al-Dhau’ al-Lami’, pada biodata Ibrahim bin Hajjaj bin Mihraz bin Malik, Abu Ishaq al-Abnasi (m. 836 H), kata al-Sakhawi:

“Dihikayatkan bahawa beliau membaca kitab al-Taudhih lebih daripada 70 kali dan (syarah) Ibnu al-Musonnif lebih daripada 30 kali.”

Kitab al-Taudhih ialah kitab Audhah al-Masalik Ila Alfiyah Ibnu Malik karangan Ibnu Hisyam al-Ansari yang mensyarahkan kitab Alfiyah Ibnu Malik.

Syarah Ibnu al-Musonnif ialah syarahan anak kepada Ibnu Malik kepada Alfiyah karangan bapanya.

Membaca Kitab al-Mudawwanah 1000 Kali

13 - Al-Qadhi ‘Iyadh menyebutkan dalam Tartib al-Madarik pada biodata al-Imam al-Faqih Abi Muhammad Abdullah bin Ishaq yang dikenali sebagai Ibnu al-Tabban (m. 371 H):
“Beliau sangat banyak belajar. Disebutkan bahawa beliau belajar kitab (al-Mudawwanah) sebanyak 1000 kali.”

Mempelajari Kitab Sebanyak 1000 Kali

14 - Abu al-‘Arab al-Tamimi menyebutkan dalam kitab Thabaqat ‘Ulama Ifriqiyyah Wa Tunis, pada biodata ‘Abbas bin al-Walid al-Farisi (m. 218 H) bahawa beliau mendapati pada akhir sebahagian kitab-kitab al-Farisi: “Aku telah mempelajarinya sebanyak 1000 kali.”

Membaca Beberapa Buah Kitab Sebanyak Beberapa Kali

15 - Al-Qadhi ‘Iyadh menyebutkan dalam Tartib al-Madarik, pada biodata al-Imam Abi Bakar al-Abhari  (m. 375 H), bahawa beliau berkata tentang dirinya:

“Aku telah membaca Mukhtasar Ibnu ‘Abd al-Hakam sebanyak 500 kali, kitab al-Asdiyyah sebanyak 75 kali, al-Muwatta’ sebanyak 45 kali, Mukhtasar al-Barqi sebanyak 70 kali dan al-Mabsuth sebanyak 30 kali.”

Hampir Menghafal Kitab Kerana Banyaknya Mengulang Bacaan

16 – Abdullah bin Muhammad bin Farhun al-Ya’mari (m. 769 H) menyebutkan tentang dirinya:

“Aku melazimi Tafsir Ibnu ‘Athiyyah sehingga hampir-hampir aku menghafalnya.”

17 – Abu al-Qasim bin ‘Ali bin Mas’ud al-Syathibi hampir-hampir menghafal Sahih al-Bukhari disebabkan banyaknya mengulang Sahih al-Bukhari pada setiap bulan Ramadhan.

18 -  Al-Sakhawi menyebutkan dalam al-Dhau’ al-Lami’, pada biodata ‘Uthman bin Abdullah , Abi ‘Amr al-Maqsi (m. 788 H) bahawa beliau sangat melazimi membaca empat buah kitab: Al-Tanbih, al-Minhaj, al-Bahjah dan asalnya (asal kitab al-Bahjah iaitu al-Hawi al-Saghir), secara bacaan sendiri dan membacakan kepada orang lain sehingga beliau mendapat kemahiran yang kuat (dalam ilmu fiqh).

19 – Ahmad bin ‘Umar al-Nasyiri al-Yamani terkenal dengan pengetahuan beliau tentang kitab al-Wasith karangan al-Imam al-Ghazali sehingga mengetahui di mana tempat sesuatu masalah itu berada dalam kitab al-Wasith dan pada muka surat berapakah ia, setelah mana beliau ditimpa kebutaan.

Rujukan:

Al-Musyawwiq Ila al-Qiraah Wa Thalab al-‘Ilm karangan Ali bin Muhammad al-‘Imrani, terbitan Dar ‘Alim al-Fawaid.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan