Rabu, 2 Januari 2019

Membaca Kitab Sehingga Dilanggar Kuda!


Abu al-‘Abbas Ahmad bin Yahya al-Syaibani (200H-291H) atau lebih dikenali dengan nama Tha’lab merupakan seorang imam dalam bidang nahu dan bahasa Arab di Kufah. 

Al-Khatib al-Baghdadi dalam Tarikh Baghdad memuji beliau sebagai seorang yang thiqah, hujjah, beragama, soleh, masyhur dengan kekuatan hafalan, mempunyai lahjah percakapan yang benar dan lain-lain pujian.

Abu Hilal al-‘Askari dalam al-Hath ‘Ala Thalab al-‘Ilm mencatatkan bahawa beliau tidak pernah berenggang dengan aktiviti menelaah kitab. Jika ada seseorang yang menjemput beliau untuk sesuatu jemputan, beliau mensyaratkan bahawa diluaskan bagi beliau satu tempat khas untuk beliau letakkan kitab-kitabnya dan untuk beliau membaca di situ.

Ibnu Khalikhan dalam Wafayat al-A’yan menghikayatkan sebab kematian beliau:

“Pada suatu hari di hari Jumaat, beliau keluar daripada masjid selepas waktu Asar. Ketika itu beliau sudah pekak, tidak mampu mendengar kecuali selepas bersusah payah cuba mendengar. Di tangan beliau ketika itu ada sebuah buku yang beliau baca ketika dalam perjalanan. Tiba-tiba beliau dirempuh oleh seekor kuda sehingga terpelanting ke dalam sebuah lubang. Beliau dikeluarkan dari lubang tersebut dalam keadaan separuh sedar. Beliau lalu dibawa ke rumahnya dalam keadaan beliau mengerang kesakitan. Beliau meninggal dunia pada hari kedua.”


Tiada ulasan:

Catat Ulasan