Isnin, 3 Ogos 2020

Hadis Palsu: Neraca Pertimbangan Manusia Adalah Akalnya


قِوَامُ الْمَرْءِ عَقْلُهُ وَلَا دِينَ لِمَنْ لَا عَقْلَ لَهُ

“Neraca pertimbangan manusia itu adalah akalnya dan tidak ada agama bagi orang yang tidak berakal.”

1 - Riwayat Ibnu Abi Usamah dalam Musnad, Ibnu ‘Adi dalam al-Kamil Fi Dhu’afa’ al-Rijal, al-Rafi’e dalam al-Tadwin Fi Akhbar Qazwin, Ibnu al-Najjar dalam Zail Tarikh Baghdad dan al-Dailami dalam al-Firdaus daripada jalur perawi:

Daud bin Muhabbar daripada Nasr bin Tharif daripada Ibnu Juraij daripada Abu al-Zubair daripada hadis Jabir.

2 - Dalam sanadnya ada dua perawi yang bermasalah iaitu Daud bin Muhabbar dan Nasr bin Tharif. Kedua-duanya adalah perawi matruk (yang ditinggalkan hadisnya) dan dituduh berdusta.

3 - Ibnu ‘Adi berkata: “Dua hadis ini (salah satunya hadis di atas) berkenaan akal adalah mungkar pada sanad dan matannya. Daud mempunyai sebuah kitab yang dia telah karang berkenaan kelebihan akal. Dalamnya terdapat hadis-hadis yang musnad. Kesemua khabar tersebut atau kebanyakannya adalah tidak terpelihara (yakni mungkar).”

4 - Al-Hafiz Ibnu Hajar berkata dalam al-Mathalib al-‘Aliyah: “(Hadis-hadis tersebut) daripada kitab al-‘Aql karangan Daud bin al-Muhabbar. Al-Harith bin Abi Usamah memasukkan dalam musnadnya. Ia adalah palsu keseluruhannya dan tidak ada satu pun yang sabit.”

5 - Al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman pula meriwayatkan daripada jalur perawi:

Hamid bin Adam daripada Abu Ghanim daripada Abu al-Zubair daripada hadis Jabir.

6 - Al-Baihaqi berkata: “Bersendirian meriwayatkannya oleh Hamid bin Adam dan dia telah dituduh berdusta.”

7 - Ahmad al-Ghumari dalam al-Mughir berkata: “Dalam sanadnya ada Hamid bin Adam dan dia dituduh memalsukan hadis. Dialah pemalsunya.”

8 - Abu al-Syeikh dalam al-Thawab, Ibnu al-Najjar dan al-Dailami dalam Musnad al-Firdaus meriwayatkan daripada jalur perawi:

‘Umair bin ‘Imran daripada Ibnu Juraij daripada Abu al-Zubair daripada hadis Jabir dengan lafaz:

دِينُ المرءِ عَقْلُهُ، ومن لَا عَقْلَ له لا دينَ لهُ

“Agama seseorang itu berdasarkan akalnya. Sesiapa yang tidak berakal maka tidak ada agama baginya.”

Menurut Ibnu ‘Adi, ‘Umair bin ‘Imran meriwayatkan hadis-hadis batil daripada perawi-perawi thiqah, terutamanya daripada Ibnu Juraij. Hadis ini salah satu daripada hadis yang dia riwayatkan daripada Ibnu Juraij.

Ahmad al-Ghumari dalam al-Mudawi berkata: “Hadis tersebut palsu dan tidak ada hadis sahih berkenaan akal.”

9 - Ulama lain yang menyenaraikannya sebagai hadis palsu ialah al-Hafiz al-Sayuthi dalam Zail al-Laali al-Masnu’ah dan Ibnu ‘Arraq dalam Tanzih al-Syari’ah al-Marfu’ah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan