Sabtu, 22 Ogos 2020

Hadis Palsu: Berkhidmatlah Kepada Sesiapa Yang Berkhidmat KepadaKu


أَوْحَى اللَّهُ إِلَى الدُّنْيَا أَنْ أَخْدِمِي مَنْ خَدَمَنِي، وأتعبني مَنْ خَدَمَكِ

“Allah mewahyukan kepada dunia: Berkhidmatlah kepada sesiapa yang berkhidmat kepadaKu dan sengsarakanlah orang yang berkhidmat kepadamu.”

Riwayat al-Khatib al-Baghdadi dalam Tarikh Baghdad, al-Hakim dalam Ma’rifah ‘Ulum al-Hadith, al-Qudha’ie dalam Musnad al-Syihab, Ibnu al-Jauzi dalam al-Maudhu’at dan al-Dailami dalam al-Firdaus daripada jalur perawi:

Al-Hussein bin Daud bin Mu’az al-Balkhi daripada al-Fudhail bin ‘Iyadh daripada Mansur daripada Ibrahim daripada ‘Alqamah daripada hadis Abdullah bin Mas’ud.

Al-Khatib al-Baghdadi berkata: “Bersendirian meriwayatkannya oleh al-Hussein daripada al-Fudhail. Ianya adalah palsu. Perawinya kesemuanya adalah thiqah kecuali al-Hussein bin Daud.”

Al-Khatib al-Baghdadi juga berkata: “Al-Hussein bin Daud tidak thiqah kerana dia meriwayatkan naskhah hadis daripada Yazid bin Harun daripada Humaid daripada Anas, kebanyakannya adalah palsu.”

Al-Hakim dalam Tarikh Naisabur berkata: “Dia meriwayatkan daripada sekumpulan perawi yang tidak mungkin dari segi umurnya untuk dia sempat meriwayatkan daripada mereka seperti Ibnu al-Mubarak, Abi Bakar bin ‘Ayash dan selain mereka berdua. Menurut pendapat kami, dia mempunyai hadis-hadis palsu yang menunjukkan akan kepalsuannya berdasarkan hal ehwalnya.”

Ulama lain mengatakan hadis ini palsu selain al-Khatib al-Baghdadi ialah Ibnu al-Jauzi, al-Saghani dalam al-Durr al-Multaqath Fi Tabyin al-Ghalath, al-Syaukani dalam Fawaid al-Majmu’ah dan al-Fattani dalam Tazkirah al-Maudhu’at.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan