Jumaat, 24 Januari 2025

Imam Ibnu Majah - Pengarang Sunan Ibnu Majah

Qazwin, Iran pada masa kini

Nama dan Keturunannya:

Nama beliau ialah Muhammad bin Yazid bin Majah al-Raba'i al-Qazwini. Kunyah beliau Abu Abdullah. Beliau adalah seorang pakar hadis (al-hafiz) dan ahli tafsir (mufassir) di Qazwin pada zamannya dan merupakan penulis kitab al-Sunan, al-Tafsir dan al-Tarikh.

Gelaran al-Raba'i ini berasal daripada Rabi'ah, iaitu nama untuk beberapa buah kabilah. Menurut Imam Ibnu Khallikan, beliau tidak tahu daripada kabilah yang mana satukah Ibnu Majah berasal.

Imam al-Sam'ani pula berkata: “Nisbah ini kepada Rabi'ah bin Nizar dan gelaran ini jarang digunakan kerana kabilah Rabi'ah bin Nizar mempunyai ahli yang ramai selain turut mengandungi kabilah-kabilah besar, suku-suku dan keturunan. Oleh itu sudah mencukupi dengan nisbah kepada pecah-pecahan tersebut daripada dinisbahkan kepada Rabi'ah. Dan dikatakan: Al-Raba'i juga untuk orang yang dinisbahkan kepada Rabi'ah al-Azd.”

Al-Qazwini adalah nisbah kepada Qazwin yang lokasinya hari ini terletak di barat laut Tehran, ibu negara Iran, dengan jarak kira-kira seratus batu daripadanya dan di utaranya terletak Laut Qazwin yang dinamakan sempena namanya. Qazwin pada masa itu iaitu salah satu wilayah untuk golongan 'Ajam (bukan Arab) yang paling terkenal dan telah melahirkan sekumpulan ulama yang masyhur seperti Imam Abu Ya’la al-Khalili, pengarang kitab al-Irsyad dan Imam Abdul Karim al-Rafi’i, seorang imam yang masyhur dalam mazhab al-Syafi’i.

Terdapat perselisihan pendapat tentang Majah, sama ada ia gelaran datuknya, atau bapanya, atau nama ibunya?

Qadi Abu Ya'la al-Khalili al-Qazwini berkata: “Bapanya, Yazid dikenali sebagai Majah dan dia telah memberi taat setia (wala') kepada kabilah Rabi'ah.”

Al-Nawawi berkata dalam Tahzib al-Asma': “Majah ialah Yazid.

Pendapat ini turut diikuti oleh al-Firuzabadi dalam al-Qamus, beliau berkata: “Majah adalah gelaran bapa Muhammad bin Yazid, bukan datuknya.”

Al-Murtadha al-Zabidi turut mengikuti pendapat ini dalam Taj al-'Arus, beliau berkata: “(Majah) bukan gelaran datuknya seperti yang didakwa oleh sesetengah orang. Guru kami, Sheikh Abu al-Tayyib al-Fasi berkata: Apa yang dinyatakan oleh pengarang iaitu al-Firuzabadi (penulis al-Qamus) telah dipastikan oleh Abu al-Hasan al-Qattan, dan dipersetujui oleh Hibatullah bin Zadhan dan lain-lain.”

Inilah juga yang dikatakan oleh al-Sindi dalam mukadimah hasyiah-nya terhadap Sunan Ibnu Majah, di mana beliau berkata: “Majah adalah gelaran Yazid, bapa Abu Abdullah, seperti yang diriwayatkan dari Abu al-Hasan al-Qattan dan Hibatullah bin Zadhan, dan kadang-kadang dikatakan: Muhammad bin Yazid bin Majah, tetapi yang pertama lebih tepat.”

Terdapat pendapat lain iaitu Majah adalah nama ibunya. Ini adalah pendapat Shah Abdul Aziz al-Dihlawi dalam kitab Bustan al-Muhaddithin. Pendapat ini turut diikuti oleh  Siddiq Hasan Khan al-Qannuji dalam kitabnya al-Hittah fi Dhikr al-Sihah al-Sittah. Namun kebanyakan ulama berpendapat bahawa Majah adalah gelaran bapanya, Yazid seperti yang telah dinyatakan sebelum ini.

Kelahirannya:

Muhammad bin Yazid Ibnu Majah dilahirkan pada tahun 209 Hijrah seperti yang dinyatakan oleh Ibnu Khallikan dalam Wafayat al-A'yan, al-Rafi'i dalam al-Tadwin, al-Zahabi dalam Siyar A'lam al-Nubala' dan lain-lain.

Ini telah ditegaskan oleh Ibnu Majah sendiri seperti yang diriwayatkan oleh Ja'far bin Idris dalam Tarikh-nya, beliau berkata: “Aku mendengar Ibnu Majah berkata: “Aku dilahirkan pada tahun 209 Hijrah.“

Tarikh ini bersamaan dengan tahun 824 Masihi.

Adapun mengenai latar belakang kehidupan Ibnu Majah, kita hanya dapat mengetahui bahawa beliau dibesarkan di bandar Qazwin dan bapanya telah memberi taat setia kepada kabilah Rabi'ah.

Beliau mempunyai beberapa orang saudara: Abu Bakr, Abu Abdullah dan Abu Muhammad yang bernama Hassan.

Beliau juga mempunyai seorang anak lelaki bernama Abdullah, yang menjadi gelaran kunyah-nya.

Kita boleh menyimpulkan bahawa Ibnu Majah berasal dari keluarga yang mementingkan ilmu dan pencarian ilmu kerana saudaranya, Hassan bin Yazid juga merupakan seorang perawi yang meriwayatkan hadis di Baghdad daripada Ismail bin Taubah al-Qazwini dan merupakan guru kepada al-Hafiz Abu Talib Ahmad bin Nasr.

Pengembaraannya Dalam Menuntut Ilmu Hadis:

Imam Ibnu Majah telah melakukan perjalanan yang luas dalam menuntut ilmu hadis.

Abu Ya'la al-Khalili berkata: “Beliau adalah seorang yang dipercayai (thiqah) lagi agung, disepakati, dijadikan hujah, mempunyai pengetahuan dan hafalan terhadap hadis, telah mengembara ke dua tempat di Iraq: Basrah dan Kufah, Baghdad, Makkah, Syam, Mesir, dan Ray untuk menulis hadis.”

Begitu juga kata Ibnu Khallikan: “Beliau adalah imam dalam hadis, mengetahui ilmu-ilmunya dan segala yang berkaitan dengannya, telah mengembara ke Iraq, Basrah, Kufah, Baghdad, Makkah, Syam, Mesir, dan Ray untuk menulis hadis.”

Al-Mizzi berkata: “Beliau mendengar hadis di Khurasan, Iraq, Hijaz, Mesir, Syam, dan negeri-negeri lain.”

Peta Pengembaraan Ibnu Majah

Guru-gurunya:

Imam Ibnu Majah telah mendengar hadis daripada sekumpulan guru yang terlalu ramai untuk disebutkan. Oleh itu al-Mizzi tidak menyebut kesemua mereka dalam biografi Ibnu Majah dalam kitabnya, Tahzib al-Kamal dan memadai dengan katanya: “Beliau mendengar daripada sekumpulan guru yang terlalu panjang untuk disebutkan. Kami hanya menyebut dalam kitab kami ini mereka yang kami ketahui daripada kalangan mereka.”

Al-Zahabi menyebut dalam al-Siyar sebahagian daripada mereka:

1 - Al-Hafiz Ali bin Muhammad al-Tanafisi. Ibnu Majah paling banyak meriwayatkan hadis daripadanya.

2 - Jubarah bin al-Mughallis. Beliau merupakan antara guru-guru Ibnu Majah yang terawal.

3 - Mus'ab bin Abdullah al-Zubairi.

4 - Suwaid bin Sa'id.

5 - Abdullah bin Mu'awiyah al-Jumahi.

6 - Muhammad bin Rumh.

7 - Ibrahim bin al-Mundhir al-Hizami.

8 - Muhammad bin Abdullah bin Numair.

9 - Abu Bakr bin Abi Shaibah.

10 - Hisham bin 'Ammar.

11 - Yazid bin Abdullah al-Yamami.

12 - Abu Mus'ab al-Zuhri.

13 - Bishr bin Mu'az al-'Aqadi.

14 - Humaid bin Mas'adah.

15 - Abu Huzafah al-Sahmi.

16 - Dawud bin Rushaid.

17 - Abu Khaithamah.

18 - Abdullah bin Zakwan al-Muqri'.

19 - Abdullah bin 'Amir bin Barrad.

20 - Abu Sa'id al-Ashaj.

21 - Abdul Rahman bin Ibrahim, dikenali sebagai Duhaim.

22 - Abdul Salam bin 'Asim al-Hisinjani,

23 - Uthman bin Abi Shaibah dan ramai lagi yang disebutkan dalam Sunan-nya dan karya-karyanya yang lain.

Yaqut al-Hamawi dalam Mu'jam al-Buldan dan al-Rafi’i dalam al-Tadwin telah menyebut beberapa guru Ibnu Majah berserta bandar di mana beliau mendengar hadis daripada mereka:

a – Qazwin:

1 – Ali al-Tanafisi.

2 – Amru bin Rafi’.

b - Damsyik:

1 - Hisyam bin Ammar.

2 – Duhaim.

3 - Al-Abbas bin al-Walid al-Khallal.

4 - Abdullah bin Ahmad bin Basyir bin Zakwan.

5 - Mahmud bin Khalid.

6 - Al-Abbas bin Uthman.

7 - Uthman bin Ismail bin Imran al-Huzali.

8 - Hisyam bin Khalid.

9 -  Ahmad bin Abi al-Hawari.

c - Mesir:

1 - Abu Tahir bin Sarh.

2 - Muhammad bin Rumh.

3 - Yunus bin Abdul A'la.

d - Homs:

1 - Muhammad bin Musaffa.

2 - Hisyam bin Abdul Malik al-Yazani.

3 - Amru bin Uthman.

4 - Yahya bin Uthman.

d - Iraq:

1 - Abu Bakar bin Abi Syaibah

2 - Ahmad bin Abdah.

3 - Ismail bin Abi Musa al-Fazari.

4 - Abu Khaithamah Zuhair bin Harb.

5 - Suwaid bin Said.

6 - Abdullah bin Muawiyah al-Jumahi dan ramai lagi yang lain.

e – Ray:

1 – Muhammad bin Humaid.

f - Naisabur:

1 – Muhammad bin Yahya al-Zuhli.

Jika dilihat melalui pembelajaran beliau daripada guru-guru yang wafat lebih awal seperti Zuhair bin Harb dan Muhammad bin Abdullah bin Numair, yang kedua-duanya berada di Iraq dan telah wafat pada tahun 234 Hijrah, usia beliau ketika belajar daripada mereka berdua adalah 25 tahun. Ini menunjukkan bahawa beliau sudah mula menuntut ilmu sejak dari mudanya.

Dalam perjalanan ilmiahnya ini, beliau juga bertemu dengan beberapa orang ahli fiqh, antaranya Harmalah bin Yahya al-Tujibi dan al-Rabi' bin Sulaiman al-Muradi, keduanya merupakan murid Imam al-Syafi'i serta Yunus bin Abdul A'la, seorang ahli fiqh mazhab Maliki. Antara guru-guru qiraat yang ditemuinya ialah Abdullah bin Ahmad bin Basyir bin Zakwan yang merupakan salah seorang perawi daripada Ibnu Amir ad-Dimasyqi, yang merupakan salah seorang daripada Qurra' Sab'ah.

Sheikh Muhammad Abdul Rashid Nu'mani dalam bukunya, Al-Imam Ibnu Majah wa 'Ilm al-Hadith telah menyenaraikan nama-nama guru Ibnu Majah yang beliau riwayatkan dalam Sunan dan Tafsir-nya, disusun mengikut negeri mereka, berjumlah 310 orang guru. Kesemua mereka terdapat biografinya dalam Tahzib al-Kamal oleh al-Mizzi dan buku-buku cabangnya seperti Tahzib al-Tahzib dan Taqrib al-Tahzib oleh Ibnu Hajar.

Imam Ibnu Majah telah meriwayatkan daripada ramai guru bagi al-Bukhari dan Muslim, antaranya:

1 - Muhammad bin Bashar, yang dikenali sebagai Bundar.

2 - Abu Bakar bin Abi Shaibah.

3 - Abu Kuraib Muhammad bin al-'Ala'.

4 - Muhammad bin Abdullah bin Numair.

Antara guru-guru yang banyak diriwayatkan oleh Ibnu Majah ialah empat orang yang turut diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim di atas. Selain itu, beliau juga banyak meriwayatkan daripada:

1 - Muhammad bin Yahya al-Zuhli.

2 - Ali bin Muhammad al-Tanafasi.

3 - Abdur Rahman bin Ibrahim ad-Dimasyqi yang dikenali sebagai Duhaim.

4 - Muhammad bin Rumh al-Misri.

5 - Muhammad bin as-Sabbah al-Jarjara'i.

6 - Hisyam bin Ammar.

Murid-Muridnya dan Perawi-Perawi al-Sunan Daripadanya

Al-Rafi'i dalam al-Tadwin menyebutkan beberapa orang murid yang belajar daripadanya:

1 - Ibnu Sammuwaih.

2 - Muhammad bin Isa al-Saffar.

3 - Ishaq bin Muhammad.

4 - Ali bin Ibrahim.

5 - Sulaiman bin Yazid.

6 - Maisarah bin Ali.

7 - Ahmad bin Ibrahim al-Khalili.

Perawi yang masyhur meriwayatkan al-Sunan daripadanya ialah:

1 - Ali bin Ibrahim al-Qattan al-Qazwini.

2 - Sulaiman bin Yazid al-Qazwini.

3 - Abu Ja'far Muhammad bin Isa al-Mutawwi'i al-Abhari.

4 - Abu Bakr Hamid bin Laithuwaih al-Abhari.

Al-Mizzi dalam Tahzib al-Kamal menyebut sekumpulan orang meriwayatkan daripadanya, antaranya:

1 - Ibrahim bin Dinar al-Hawshabi al-Hamazani.

2 - Ahmad bin Ibrahim al-Qazwini (datuk kepada Al-Hafiz Abu Ya'la al-Khalili).

3 - Abu al-Tayyib Ahmad bin Rawh al-Baghdadi al-Sha'rani.

4 - Abu Amru Ahmad bin Muhammad bin Hakim al-Madini al-Asbahani.

5 - Ishaq bin Muhammad al-Qazwini.

6 - Abu al-Hasan Ali bin Ibrahim bin Salamah al-Qazwini al-Qattan.

7 - Ali bin Said bin Abdullah al-Askari.

8 - Muhammad bin Isa al-Saffar.

Perawi Sunan Ibnu Majah yang paling masyhur ialah Al-Hafiz Abu al-Hasan Ali bin Ibrahim bin Salamah bin Bahr al-Qattan al-Qazwini, yang dilahirkan pada tahun 254 Hijrah dan wafat pada tahun 345 Hijrah. Riwayatnya bagi Sunan Ibnu Majah adalah yang tersebar pada hari ini di kalangan ahli ilmu dan hanya melalui beliau sahaja sanad tersebut sampai kepada Imam Ibnu Majah.

Karya-karyanya:

Para ulama menyebut bahawa Ibnu Majah mempunyai tiga karya, iaitu: al-Tafsir, al-Tarikh dan al-Sunan.

Ibnu Khallikan berkata: “Beliau mempunyai tafsir Al-Quran, sebuah kitab tarikh yang baik dan kitab hadisnya adalah salah satu daripada enam kitab sahih.”

Al-Rafi'i berkata: “Beliau mengarang al-Tafsir, al-Tarikh dan al-Sunan.”

Al-Mizzi berkata: “Penulis kitab al-Sunan, memiliki karya-karya yang bermanfaat dan pengembaraan yang luas.”

Ibnu Kathir berkata: “Beliau mempunyai tafsir yang lengkap dan kitab sejarah yang sempurna dari zaman sahabat hingga zamannya.”

Para ulama tidak menyebut karya-karya lain selain tiga karangan ini dan yang sampai kepada zaman kita hanyalah kitab al-Sunan.

Mengenai kitab Tafsir-nya, al-Suyuti telah menyebutnya dalam al-Itqan. Selepas menyebut para mufassir awal dari kalangan sahabat dan tabiin yang menerima pendapat para sahabat seperti Hasan al-Basri dan 'Ata', beliau lalu berkata: “Selepas generasi ini, dikarang tafsir-tafsir yang mengumpulkan pendapat-pendapat sahabat dan tabiin, seperti tafsir Sufyan bin 'Uyainah, Waki' bin al-Jarrah, Shu'bah bin al-Hajjaj, Yazid bin Harun...(sehingga beliau berkata): Dan selepas mereka Ibnu Jarir al-Tabari dan kitabnya adalah tafsir yang paling agung dan besar, kemudian Ibnu Abi Hatim, Ibnu Majah, al-Hakim... dan kesemuanya bersanad kepada sahabat, tabiin dan yang mengikuti mereka.”

Ibnu Taymiyyah juga telah menyebutkannya dalam senarai tafsir yang hanya mengandungi tafsiran sahabat, tabi’in dan yang mengikuti mereka.

Kitab ini tidak sampai kepada kita dan kemungkinan besar ia telah hilang bersama kitab-kitab lain dalam peristiwa serangan Timur Lenk pada tahun 803 Hijrah di Damsyik. Ini dapat difahami daripada kenyataan al-Zahabi (meninggal dunia pada tahun 748 Hijrah)  dan Ibnu Kathir (meninggal dunia pada tahun 774 Hijrah) bahawa mereka telah melihatnya. Kemudian, kita tidak menemui sebarang sebutan tentangnya dalam al-Mu'jam oleh al-Hafiz Ibnu Hajar (meninggal dunia pada tahun 852 Hijrah) atau dalam al-Mu’jam dan al-Fihris karya ulama yang terkemudian.

Mengenai kitab Tarikh-nya pula, Al-Hafiz Muhammad bin Tahir al-Maqdisi berkata: “Saya telah melihat di Qazwin sebuah kitab Tarikh karangannya tentang tokoh-tokoh dan negeri-negeri dari zaman sahabat hingga zamannya.” Al-Rafi’e dalam al-Tadwin banyak menukilkan maklumat daripada kitab ini.

Sunan Ibnu Majah

Kedudukan Ilmiah dan Pujian Ulama Terhadapnya:

Abu Ya'la al-Khalili berkata: “Beliau adalah seorang yang dipercayai (thiqah) lagi agung, disepakati, dijadikan hujah, mempunyai pengetahuan dan hafalan terhadap hadis.”

Al-Rafi'i dalam al-Tadwin berkata: “Beliau adalah imam daripada imam-imam kaum Muslimin, besar kedudukannya, teliti, diterima secara sepakat, mengarang al-Tafsir, al-Tarikh dan al-Sunan. Sunan-nya digandingkan dengan Sahihain, Sunan Abi Daud, al-Nasa'i dan Jami' al-Tirmizi.”

Ibnu al-Athir dalam al-Kamil fi al-Tarikh berkata: “Beliau seorang yang bijak, seorang imam dan seorang yang alim.”

Ibnu Khallikan berkata: “Beliau adalah imam dalam hadis, mengetahui ilmu-ilmunya dan segala yang berkaitan dengannya.”

Al-Zahabi dalam al-Siyar berkata: “Ibnu Majah adalah seorang pakar hadis (al-hafiz), yang kritis, jujur dan luas ilmunya.”

Dalam Tazkirah al-Huffaz, al-Zahabi berkata: “Ibnu Majah adalah pakar hadis yang besar, mufassir, penulis al-Sunan, al-Tafsir dan al-Tarikh dan ahli hadis di kawasan tersebut.”

Ibnu Kathir dalam al-Bidayah wa al-Nihayah berkata: “Ibnu Majah al-Qazwini...penulis kitab al-Sunan yang masyhur. Kitab ini yang menunjukkan amalannya, ilmunya, kepakarannya, penelitiannya dan pengikutannya terhadap sunnah Nabi, dalam usul dan furu'.”

Ibnu Nasir al-Din al-Dimasyqi berkata: “Ibnu Majah salah seorang imam yang terkenal, penulis al-Sunan salah satu kitab Islam, hafiz, thiqah, besar kedudukannya, mengarang al-Sunan, al-Tarikh dan al-Tafsir.”

Kewafatannya

Al-Hafiz Muhammad bin Tahir al-Maqdisi dalam kitabnya, Shurut al-A'immah al-Sittah berkata:

“Saya telah melihat di Qazwin sebuah kitab Tarikh karangannya tentang tokoh-tokoh dan negeri-negerinya dari zaman sahabat hingga zamannya dan di akhirnya terdapat tulisan sahabatnya, Ja'far bin Idris: Abu Abdullah Muhammad bin Yazid Ibnu Majah, yang dikenali sebagai Ibnu Majah, wafat pada hari Isnin dan dikebumikan pada malam Selasa, lapan hari berbaki dari bulan Ramadan tahun 273 Hijrah. Saya mendengar beliau berkata: Saya dilahirkan pada tahun 209 Hijrah. Beliau wafat ketika berusia 64 tahun. Beliau disembahyangkan oleh saudaranya Abu Bakar dan pengurusan pengkebumiannya dilakukan oleh saudara-saudaranya, Abu Bakar dan Abu Abdullah serta anaknya, Abdullah.”

Apa yang dilihat oleh Muhammad bin Tahir al-Maqdisi tentang tulisan Ja'far bin Idris ini telah dinukil oleh Yaqut al-Hamawi dalam Mu'jam al-Buldan, tetapi beliau menisbahkan kitab al-Tarikh kepada Ja'far bin Idris dengan berkata: “Ja'far bin Idris berkata dalam Tarikh-nya: Abu Abdullah Ibnu Majah wafat pada hari Isnin dan dikebumikan pada hari Selasa, lapan hari berbaki dari Ramadan tahun 273 Hijrah.”

Al-Rafi'i dalam al-Tadwin berkata: “Beliau wafat pada tahun 273 Hijrah, dimandikan oleh Muhammad bin Ali al-Qahraman dan Ibrahim bin Dinar al-Warraq, disembahyangkan oleh saudaranya Abu Bakar, dan dikebumikan oleh saudara-saudaranya, Abu Bakar dan Abu Muhammad al-Hasan serta anaknya, Abdullah.”

Ada yang mengatakan beliau wafat pada tahun 275 Hijrah, tetapi pendapat pertama lebih tepat.

Dalam Tabaqat al-Huffaz oleh al-Suyuti yang telah dicetak, disebutkan bahawa Ibnu Majah wafat pada tahun 283 Hijrah dan mungkin ini adalah kesalahan cetakan atau tersilap tulis daripada pentahqiq kerana tiada seorang pun sebelumnya yang mengatakan demikian.

Semoga Allah merahmati Imam Ibnu Majah atas sumbangan beliau terhadap Islam, khususnya dalam ilmu hadis.

Khamis, 23 Januari 2025

Sinopsis Surah al-Takathur

 

Surah al-Takathur adalah surah Makkiyyah  (diturunkan sebelum Hijrah) dan ia membincangkan teguran Allah terhadap manusia yang asyik dengan godaan kehidupan dan kerakusan mereka dalam mengumpul harta dunia, sehingga kematian datang secara mengejut dan tiba-tiba lalu memutuskan keseronokan mereka dan memindahkan mereka dari istana kemegahan ke dalam lubang kubur yang menakutkan.

Teguran ini adalah umum merangkumi berbangga dengan segala sesuatu daripada:

1 - Harta dan anak-anak.

2 - Kabilah dan puak.

3 - Kuasa dan kedudukan.

4 - Pengikut dan pembantu.

Ia juga merangkumi:

1 - Berbangga dengan diri sendiri (ilmu dan akhlak mulia).

2 - Berbangga dengan tubuh badan (kesihatan dan kecantikan).

3 - Berbangga dengan perkara luaran (harta, kedudukan, pembantu, saudara-mara dan kawan-kawan).

Allah Ta'ala mengulangi ancaman demi ancaman dalam surah ini untuk penekanan dan penegasan tentang kepastian azab kubur dan azab akhirat, dan bahawa apa yang dijanjikan kepada kita tentang kebangkitan dan segala yang berkaitan dengannya adalah benar dan pasti.

Kemudian Allah Ta'ala mengulangi teguran dan peringatan bahawa jika manusia tidak melakukan amalan soleh dan meninggalkan perbuatan berbangga dengan harta, anak-anak dan pengikut, mereka akan menyesal dan akan mendapat hukuman.

Allah memperingatkan bahawa manusia akan menyedari kebodohan mereka dan mengetahui kebenaran dengan pasti apabila melihat sendiri neraka Jahannam kelak dengan penglihatan mata yang yakin, iaitu keyakinan yang sebenar.

Surah yang mulia ini diakhiri dengan penjelasan bahawa manusia akan ditanya tentang pelbagai nikmat yang mereka nikmati sewaktu di dunia dahulu. Adakah dengan segala nikmat yang mengelilingi mereka dahulu menjadikan mereka beriman, berbuat taat dan bersyukur kepada Allah Ta’ala atau sebaliknya?

Rabu, 22 Januari 2025

Sinopsis Surah al-Asr

 

Surah al-Asr adalah surah Makkiyah (diturunkan sebelum Hijrah) yang diturunkan dalam bentuk ringkas dan jelas. Surah ini menjelaskan sebab kejayaan atau kerugian manusia dalam kehidupannya di dunia dan akhirat.

Allah bersumpah dengan masa, iaitu zaman atau waktu yang dilalui oleh manusia kerana di dalamnya terdapat pengajaran dan silih berganti siang dan malam, peredaran gelap dan terang, perubahan peristiwa, negara, dan keadaan yang menunjukkan kewujudan Sang Pencipta serta keesaan-Nya dan kekuasaan-Nya.

Allah bersumpah dengan masa bahawa manusia itu dalam kerugian, kebinasaan dan kesesatan dari kebenaran kerana leka dalam urusan dunia dan mengikuti syahwat mereka, melainkan empat golongan yang dikecualikan oleh Allah iaitu mereka yang memiliki empat sifat iaitu:

1 - Beriman.

2 - Beramal soleh.

3 - Saling berpesan dengan perkara kebaikan.

4 - Saling berpesan untuk bersabar.

Orang-orang yang menghimpunkan antara iman kepada Allah dan amal soleh, maka mereka itu beroleh keuntungan, bukan kerugian kerana mereka beramal untuk akhirat dan amalan-amalan dunia tidak melalaikan mereka daripadanya. Maka mereka beriman dengan hati mereka dan beramal dengan anggota badan mereka.

Begitu juga dengan orang-orang yang saling berpesan dan mengajak antara satu sama lain dengan kebaikan iaitu perkara mesti dalam Islam dan tidak boleh diingkari iaitu: Beriman kepada Allah dan mengesakan-Nya, melaksanakan apa yang disyariatkan oleh Allah dan menjauhi apa yang dilarang-Nya.

Golongan keempat yang dikecualikan oleh Allah ialah orang-orang yang saling berpesan dan menyeru antara satu sama lain untuk bersabar dalam melaksanakan perintah Allah, menjauhi larangan-Nya dan sabar atas takdir dan ujian-Nya.

Mereka inilah orang-orang mukmin yang soleh, yang melakukan kebaikan dan mengajak orang lain untuk melakukannya dan tidak akan berganjak daripada menyeru kepadanya walaupun menghadapi kesusahan dan ujian di jalannya. Mereka inilah yang terselamat daripada kerugian dan beruntung di dunia dan akhirat.

Oleh kerana pentingnya surah ini, Imam Syafie berkata: "Sekiranya Allah tidak menurunkan selain surah ini, maka ia sudah mencukupi untuk manusia."

Selasa, 21 Januari 2025

Hadis Palsu: Dunia Ditegakkan Oleh Empat Golongan

 

Nabi bersabda : "Tegaknya dunia dengan empat faktor.

Pertama : Dengan  ilmunya para Ulama

Kedua :  Adilnya Pemimpin ( Umaro)

Ketiga : Dermawannya orang-orang kaya

Ke-Empat : Doanya nya orang Faqir".

Ulasan:

Hadis ini saya temui telah disebutkan di Facebook AliMahrus.

Hadis dengan lafaz ini telah disebutkan oleh al-Kubawi dalam Durrah al-Nasihin:

قوام الدنيا بأربعة أشياء : أولها : بعلم العلماء . والثاني : بعدل الأمراء . والثالث : بسخاوة الأغنياء والرابع : بدعوة الفقراء.

Saya tidak menemui sumber asal bagi hadis dengan lafaz yang disebutkan oleh al-Kubawi ini. Namun ada hadis yang hampir sama telah diriwayatkan oleh Ibnu al-Najjar sebagaimana yang disebutkan oleh al-Hafiz al-Suyuti dalam Zail al-Laali al-Masnu’ah:

قِوَامُ الدُّنْيَا بِأَرْبَعَةٍ، بِعَالِمٍ لَا يَبْخَلُ بِعِلْمِهِ، وَبِجَاهِلٍ لَا يَسْتَنْكِفُ أَنْ يَتَعَلَّمَ، وَبِجَوَّادٍ لَا يَمُنُّ بِعَطَائِهِ، وَبِفَقِيرٍ لَا يَشْكُو فَقْرَهُ.

"Dunia ini ditegakkan dengan empat golongan manusia:

Orang berilmu yang tidak bakhil dengan ilmunya

Orang jahil yang tidak malu untuk belajar

Orang dermawan yang tidak mengungkit-ungkit pemberiannya

Orang fakir yang tidak mengeluh dengan kefakirannya"

Hadis ini dihukumkan sebagai palsu oleh al-Hafiz al-Suyuti namun beliau tidak menjelaskan sebabnya.

Ibnu ‘Arraq dalam Tanzih al-Syari’ah al-Marfu’ah berkata:

“(Diriwayatkan) daripada Ali bin Jumhur daripada Nabi sallahu ’alaihi wasallam dan ia adalah mu'dhal (terputus sanadnya). Aku berkata: Dan selain daripada ia mu'dhal, aku juga tidak menjumpai biografi Ali bin Jumhur dan dalam sanadnya terdapat beberapa orang yang aku juga tidak kenali.”

Mungkin salah seorang daripada perawi yang tidak dikenali tersebut yang memalsukannya. Wallahu a’lam.

Begitu juga terdapat sebuah hadis mauquf daripada ucapan Ali bin Abi Talib yang hampir sama, yang diriwayatkan oleh al-Hakim sebagaimana yang disebutkan oleh al-Hafiz Ibnu Hajar dalam Lisan al-Mizan:

Daripada Jabir bin Abdullah Al-Ansari berkata: "Aku telah datang kepada Ali bin Abi Talib untuk menziarahinya ketika beliau sakit, lalu beliau berkata kepadaku:

يا جابر قوام الدنيا أربعة: عالم مستعمل لعلمه وجاهل لا يستنكف أن يتعلم وغني جواد بمعروفه وفقير لا يبيع آخرته بدنياه.

Wahai Jabir, dunia ini ditegakkan oleh empat golongan: orang berilmu yang mengamalkan ilmunya, orang jahil yang tidak malu untuk belajar, orang kaya yang dermawan dengan kebaikannya, dan orang fakir yang tidak menjual akhiratnya untuk dunianya."

Al-Hakim berkata selepas meriwayatkan hadis ini: “Beginilah yang diriwayatkan kepada kami oleh syeikh ini (yakni perawi bernama Abdul Aziz bin Ahmad al-Warraq) dengan sanad yang sahih tetapi matannya munkar yang tidak mungkin (berasal daripada perawi yang thiqah seperti) Mutayyan dan tidak juga daripada mana-mana perawinya."

Al-Hafiz Ibnu Hajar berkata: "Maka beliau (al-Hakim) menyebutkan sebuah khabar yang panjang yang jelas kebatilannya.”

Kesimpulan

Hadis ini adalah palsu sama ada daripada ucapan Nabi sallahu ‘alaihi wasallam atau daripada ucapan Ali bin Abi Talib. Oleh itu tidak boleh disebarkannya melainkan untuk dijelaskan kepalsuannya.

Sinopsis Surah al-Humazah

 

Surah al-Humazah adalah surah Makkiyyah (diturunkan sebelum Hijrah) yang membincangkan tentang orang-orang yang suka mencela manusia lain dan menjatuhkan maruah mereka melalui penghinaan, ejekan dan cemuhan.

Surah ini juga mengecam mereka yang terlalu sibuk mengumpul harta dan kekayaan, seolah-olah mereka akan hidup selama-lamanya di dunia ini. Kerana kejahilan dan kelalaian mereka yang melampau, mereka menyangka bahawa harta mereka itu akan mengekalkan mereka di dunia.

Sebab mereka suka mengumpat, menghina, mencela dan meninggi diri terhadap orang lain adalah kerana harta dan panjangnya angan-angan mereka. Ini kerana kekayaan menimbulkan perasaan sombong dan kagum dengan diri sendiri. Mengumpulkan harta tanpa keperluan adalah tanda kesenangan nafsu dan terpesona dengan dunia, serta lalai dari kehidupan yang kekal di akhirat. Oleh sebab harta akan memanjangkan angan-angan dan memberi harapan yang palsu, bahkan sehingga terlalu lalai dengan dunia, pemilik harta menyangka hartanya akan mengekalkan hidupnya di dunia.

Allah Ta'ala menolak semua sangkaan dan anggapan ini kerana harta tidak meninggikan darjat seseorang dan tidak membenarkan pula dia mencela orang lain. Harta bukanlah seperti yang disangka boleh mengekalkan seseorang di dunia, bahkan yang kekal adalah ilmu dan amalan.

Surah ini diakhiri dengan menyebut nasib golongan yang malang dan celaka ini, di mana mereka akan dimasukkan ke dalam api neraka yang tidak akan padam selama-lamanya, yang akan menghancurkan para pendosa dan sesiapa sahaja yang dicampakkan ke dalamnya daripada kalangan manusia, kerana ia adalah neraka Hutamah yang membinasakan dan memusnahkan tubuh hingga mencapai hati mereka. Pintu neraka itu ditutup rapat dan mengurung mereka dalam keadaan terikat pada tiang-tiang yang panjang.

Sinopsis Surah al-Fil

 

Surah al-Fil adalah surah Makkiyyah (yang diturunkan sebelum Hijrah) yang menceritakan kisah Tentera Bergajah (Ashabul Fil) ketika mereka berniat untuk merobohkan Kaabah yang mulia. Allah membalas semula perancangan jahat mereka dan melindungi rumah-Nya daripada penguasaan dan kezaliman mereka.

Allah menghantar kepada Abrahah dan tenteranya makhluk yang paling lemah iaitu burung-burung yang membawa batu-batu kecil di kaki dan paruhnya, namun ia lebih berbisa dan memusnahkan berbanding peluru yang membunuh, sehingga Allah membinasakan mereka semua. Kisah ini menunjukkan kemuliaan yang diberikan Allah kepada Kaabah dan nikmat-Nya kepada kaum Quraisy dengan menolak musuh daripada mereka. Maka sepatutnya mereka segera beriman dengan kerasulan Nabi Muhammad, menyembah Allah dan bersyukur atas nikmat-nikmat-Nya.

Peristiwa bersejarah yang penting ini berlaku pada tahun kelahiran penghulu sekalian makhluk, Muhammad bin Abdullah iaitu pada tahun 570 Masihi dan ia merupakan merupakan salah satu petanda terbesar yang menunjukkan kebenaran kenabian baginda kerana dibolehkan mukjizat berlaku sebelum masa pengutusan sebagai asas dan tanda awal kenabiannya (irhas). 

Imam Abu Hayyan berkata: “Penolakan musuh yang besar pada tahun kelahirannya yang diberkati adalah tanda awal kenabiannya kerana kedatangan burung-burung dengan sifatnya yang diriwayatkan itu adalah sesuatu yang luar biasa dan mukjizat yang mendahului para nabi yang lain. Allah telah menggagalkan tipu daya mereka dan membinasakan mereka dengan tentera-Nya yang paling lemah, iaitu burung-burung yang bukan tabiatnya untuk membunuh.”

Jumaat, 17 Januari 2025

Sinopsis Surah Quraisy

 

Surah Quraisy adalah surah Makkiyah (diturunkan sebelum Hijrah) yang menceritakan tentang kurniaan Allah yang besar kepada kaum Quraisy, yang mana mereka telah diberikan nikmat keamanan dan kemudahan sewaktu mengadakan dua perjalanan untuk berdagang: Satu perjalanan ke Yaman pada musim sejuk dan satu perjalanan ke Syam pada musim panas. Allah juga telah memudahkan bagi mereka pelbagai jenis makanan dan minuman dari pelbagai negara untuk menghilangkan kelaparan dan pelbagai jenis perlindungan di Mekah daripada musibah yang menimpa orang lain seperti serangan musuh dan bencana.

Allah Ta'ala memerintahkan kaum Quraisy dalam surah ini untuk menyembah dan mengesakan Tuhan mereka yang telah menganugerahkan kepada mereka nikmat-nikmat yang banyak ini, antaranya:

1 - Kebinasaan tentera bergajah dan menghalang mereka daripada memasuki Mekah, sebagaimana mereka juga dibinasakan kerana kekufuran mereka. Ini merupakan penolakan terhadap bahaya besar yang pasti akan berlaku sekiranya tanpa pertolongan dan perlindungan Allah dan juga jaminan keamanan, keselamatan dan ketenteraman di sekitar Kaabah.

2 - Nikmat rezeki dan kecukupan keperluan hasil daripada perjalanan mereka ke Yaman pada musim sejuk dan ke Syam pada musim panas untuk membawa pelbagai jenis barang dagangan seperti makanan dan pakaian, di samping mereka berasa aman daripada serangan orang Arab kerana mereka adalah penghuni Baitullah dan dianggap sebagai jiran-Nya.

3 - Nikmat keamanan dari ketakutan, sama sewaktu mereka berada di dalam Mekah di mana Allah telah menjadikan Mekah sebagai negeri yang aman, sedangkan orang-orang di sekitar mereka ditawan atau keamanan sewaktu mereka berada di luar Mekah iaitu ketika mereka bergerak untuk berniaga dan mencari rezeki.

4 - Nikmat adanya Baitullah atau Kaabah yang mulia sebagai tempat yang diagungkan dan disucikan oleh bangsa Arab dan menjadi asas kemuliaan dan kebanggaan mereka. Mereka telah dimuliakan dengan Baitullah melebihi bangsa Arab yang lain, maka Allah mengingatkan mereka akan nikmat ini.

Sesungguhnya nikmat-nikmat Allah kepada mereka tidak terhitung. Jika mereka tidak menyembah-Nya kerana nikmat-nikmat-Nya yang lain, maka hendaklah mereka menyembah-Nya kerana nikmat yang nyata ini iaitu kemudahan bagi mereka untuk melakukan dua perjalanan untuk berniaga.

Rabu, 15 Januari 2025

Sinopsis Surah al-Mulk

 

Surah al-Mulk adalah salah satu surah Makkiyah (diturunkan sebelum Hijrah) yang sama seperti surah-surah Makkiyah yang lain yang membincangkan soal akidah sebagai prinsip-prinsip utamanya. Surah ini membawakan tiga objektif utama, iaitu:

1 - Membuktikan keagungan Allah dan kekuasaan-Nya dalam menghidupkan dan mematikan.

2 - Mengemukakan hujah dan bukti tentang keesaan Allah Tuhan sekalian alam.

3 - Menjelaskan akibat bagi golongan yang mendustakan dan mengingkari kebangkitan dan pembalasan).

Surah ini mengandungi pengagungan terhadap Allah yang memiliki kekuasaan mutlak dan Dia Maha Berkuasa atas segala sesuatu. Ia juga menggambarkan bahawa Allah telah menciptakan kematian dan kehidupan untuk menguji mereka dan membalas amalan mereka, jika baik maka balasannya baik dan jika buruk maka balasannya buruk.

Surah ini menggambarkan bahawa Allah telah menciptakan tujuh lapisan langit tanpa sebarang kecacatan dan Dia menghiasi langit pertama dengan lampu-lampu iaitu bintang-bintang. Surah ini mengancam orang-orang yang kufur kepada Allah dengan azab neraka dan menggambarkan keadaan mereka di dalamnya serta pengakuan mereka terhadap kesalahan mereka kerana kufur.

Kemudian diikuti dengan penjelasan tentang tempat kembali yang baik bagi orang-orang yang bertakwa dan bahawa Allah mengetahui amalan hamba-hamba-Nya sama ada tersembunyi atau terang-terangan. Surah ini juga menyebut bahawa Allah telah memudahkan bumi ini untuk manusia agar mereka dapat mencari rezeki dengan berjalan di atasnya.

Surah ini memberi amaran kepada orang-orang kafir bahawa Allah boleh membenamkan mereka ke dalam bumi atau menghantar angin yang melontarkan batu-batu kepada mereka.

Selain itu, ia mengajak manusia untuk merenungi bagaimana Allah telah memudahkan burung untuk terbang di udara yang mana jika bukan kerana kekuasaan Allah, burung-burung itu tidak akan mampu terbang.

Surah ini juga menegaskan bahawa jika Allah menahan rezeki-Nya daripada manusia, maka tiada pemberi rezeki selain-Nya. Surah ini menjelaskan bahawa Allah telah menciptakan mereka dan mengurniakan mereka pendengaran, penglihatan dan hati dan bahawa Dia menciptakan mereka di bumi dan kepada-Nya mereka akan dibangkitkan dan dikumpulkan selepas kematian.

Surah ini turut menjelaskan bahawa orang-orang kafir bertanya kepada Rasul mereka tentang masa kebangkitan dan bagaimanakah ia akan berlaku. Allah Ta'ala memerintahkan Rasul-Nya untuk memberitahu mereka bahawa pengetahuan tentang perkara itu hanya ada pada Allah sahaja.

Surah al-Mulk ini juga menyebut bahawa sekiranya Allah membinasakan Nabi dan orang-orang yang bersamanya seperti yang diharapkan oleh orang-orang kafir atau jika Allah memilih untuk merahmati mereka dengan membiarkan mereka hidup, maka siapakah yang dapat melindungi orang-orang kafir daripada azab yang pedih yang menanti mereka pada hari kiamat kerana kekufuran mereka?

Dijelaskan dalam surah ini bahawa Allah Maha Pengasih kepada orang-orang yang beriman kepada-Nya dan Dia-lah yang melindungi mereka daripada azab yang pedih.

Surah ini ditutup dengan persoalan sekiranya Allah menghilangkan air dari perigi-perigi, siapakah yang dapat mendatangkan air yang mengalir selain daripada-Nya? Oleh itu, sesiapa yang memiliki kekuasaan seperti ini, maka adalah wajib untuk beriman kepada-Nya.

Sinopsis Surah al-Ma'un

 

Surah ini adalah surah Makkiyah (diturunkan sebelum Hijrah), yang secara ringkas membicarakan tentang dua golongan manusia:

Golongan pertama: Orang kafir yang mengingkari nikmat Allah dan mendustakan hari perhitungan dan pembalasan terhadap amalan baik dan buruk yang dikerjakan di dunia dahulu.

Golongan kedua: Orang munafik yang tidak berniat mengerjakan amal untuk Allah, tetapi sekadar menunjuk-nunjuk dengan amalan dan solatnya.

Tentang golongan pertama: Allah menyebutkan antara sifat-sifat tercela mereka iaitu mereka menghina, menghalau, mengherdik serta mengusir anak yatim. Mereka tidak melakukan kebaikan walaupun sekadar mengingatkan kepada orang lain tentang bersedekah kepada orang miskin dan fakir. Jika menggalakkan orang lain untuk bersedekah pun dia tidak lakukan kerana sifat bakhilnya, maka sudah tentu dia sendiri lebih-lebih lagi enggan untuk bersedekah. Maka mereka tidak berbuat baik dalam ibadah kepada Tuhan mereka dan tidak berbuat baik kepada makhluk-Nya.

Tentang golongan kedua: Mereka adalah orang munafik yang lalai daripada melakukan solat dan tidak menunaikannya pada waktunya. Jika mereka melakukannya pun, maka mereka melakukannya hanya sekadar perbuatan luaran tanpa penghayatan dan untuk menunjuk-nunjuk dengan amal perbuatan mereka. Selain itu, mereka juga bersifat kedekut dalam memberi pertolongan kepada orang yang memerlukannya dan tidak membantu orang lain dalam perkara-perkara yang sudah menjadi kebiasaan untuk saling membantu seperti pemberian al-Ma'un (barangan keperluan asas) yang biasa dipinjam dan dimanfaatkan antara jiran tetangga.

Surah ini mengancam kedua-dua golongan ini dengan kehinaan, azab, dan kebinasaan, serta menarik perhatian pembaca kepada mereka dengan gaya celaan, kehairanan dan rasa takjub terhadap perbuatan mereka.

Selasa, 14 Januari 2025

Sinopsis Surah al-Kauthar

 

Surah al-Kauthar ialah surah Makkiyah (diturunkan sebelum Hijrah) yang membicarakan tentang kurniaan Allah yang besar kepada Nabi-Nya yang mulia dengan menganugerahkan kebaikan yang banyak dan nikmat yang agung di dunia dan akhirat, termasuklah sungai al-Kauthar di syurga serta kebaikan-kebaikan lain yang melimpah ruah.

Sebahagian musyrikin, munafik dan Yahudi mengejek Nabi sallahu ‘alaihi wasallam atas kematian anak-anak lelakinya di Makkah dan Madinah, disebabkan kebencian mereka terhadap dakwah baginda dan keluarganya serta sangkaan mereka bahawa dakwah hanya akan diwarisi oleh anak-anak lelaki daripada bapa mereka. Maka, surah ini diturunkan untuk menyatakan bahawa Allah telah menggantikan kehilangan anak-anak baginda dengan sebuah sungai yang agung di syurga.

Surah ini juga menyeru Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam untuk terus mendirikan solat dan menyembelih korban sebagai tanda mendekatkan diri kepada Allah, bersyukur atas kurniaan-Nya, membantu golongan miskin dan mendorong umat Islam untuk melakukan kebaikan.

Surah ini diakhiri dengan berita gembira kepada Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam tentang kehinaan musuh-musuhnya, serta menggambarkan orang yang membenci baginda sebagai hina, rendah, dan terputus daripada segala kebaikan di dunia dan akhirat. Sebaliknya, nama Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam sentiasa dijulang tinggi di menara-menara azan dan mimbar-mimbar dan nama baginda yang mulia sentiasa meniti di bibir manusia, kekal hingga ke akhir zaman.

Isnin, 13 Januari 2025

Rabiah al-'Adawiyah - Wanita Zuhud dan Abid

 

Namanya

Nama beliau ialah Rabi’ah binti Ismail al-‘Atakiyyah al-Basriyyah dan terkenal dengan nama Rabi'ah al-'Adawiyah. Kunyah beliau ialah Ummu Amr atau Ummu al-Khair. Beliau adalah seorang wanita yang zuhud, ahli ibadah dan seorang yang khusyuk dalam ibadahnya.

Kitab Khas Tentangnya

Ibun al-Jauzi telah menulis sebuah kitab mengenai riwayat hidupnya.

Seorang Lagi Rabi’ah

Terdapat seorang Rabi’ah lain yang dikenali sebagai Rabi’ah al-Syamiyyah dari Syam yang hidup sezaman dengannya. Mungkin terdapat percampuran antara riwayat-riwayat tentang kedua-dua mereka. Rabi’ah al-Syamiyyah ini namanya juga Rabi’ah binti Isma’il dan merupakan isteri kepada Ahmad bin Abi al-Hawari. Ahmad bin Abi al-Hawari ini merupakan seorang yang soleh dan zuhud sehingga Imam Yahya bin Ma’in berkata penduduk Syam akan berdoa meminta hujan kepada Allah melaluinya.

Guru Kepada Syu’bah bin al-Hajjaj dan Sufyan al-Thauri

Sufyan al-Thauri selalu bertanya pelbagai masalah kepada Rabi'ah dan berpegang kepada pendapatnya serta suka akan nasihat dan doanya. Sufyan al-Thauri dan Syu'bah juga telah meriwayatkan sebahagian kata-kata hikmah daripada Rabi'ah.

Ja'far bin Sulaiman berkata: "Sufyan al-Thauri memegang tanganku dan berkata: Bawalah aku kepada guru yang mendidik itu (yakni Rabi’ah), kerana aku tidak merasa tenang jika berjauhan darinya. Maka apabila kami masuk ke tempatnya, Sufyan mengangkat tangannya dan berdoa: Ya Allah, aku memohon keselamatan. Rabi'ah menangis, lalu Sufyan bertanya: Apa yang membuatmu menangis? Rabi'ah berkata: Engkau telah menyebabkan aku menangis. Sufyan bertanya: Bagaimana begitu? Lalu Rabi'ah menjawab: Tidakkah engkau tahu bahawa keselamatan dari dunia adalah dengan meninggalkan apa yang ada di dalamnya sedangkan engkau masih bergelumang dengannya?"

Ja'far bin Sulaiman berkata: “Sufyan al-Thauri bertanya kepada Rabi’ah: Apakah cara paling dekat yang dapat dilakukan seorang hamba untuk mendekatkan dirinya kepada Allah? Maka Rabi’ah menangis dan berkata: Orang seperti aku ditanya tentang perkara ini? Cara paling dekat seorang hamba untuk mendekatkan dirinya kepada Allah Ta'ala adalah dengan menyedari bahawa dia tidak mencintai siapa pun selain Allah, sama ada di dunia mahupun di akhirat.”

Sufyan al-Thauri pernah bertemu dengan Rabi'ah al-Adawiyah yang ketika itu beliau berada dalam keadaan yang serba kekurangan. Maka Sufyan berkata kepadanya: "Wahai Ummu Amru, aku melihat keadaanmu sangat daif. Alangkah baiknya jika engkau pergi kepada jiranmu si fulan, mungkin dia dapat memperbaiki sebahagian keadaanmu yang aku lihat ini." Rabi'ah menjawab: "Wahai Sufyan, apa yang kau lihat dari buruknya keadaanku? Bukankah aku berada dalam Islam? Itulah kemuliaan yang tidak disertai kehinaan, kekayaan yang tidak disertai kemiskinan, dan rasa damai yang tidak disertai kesunyian. Demi Allah, aku sungguh malu untuk meminta dunia kepada Pemiliknya, maka bagaimana aku boleh memintanya kepada yang bukan pemiliknya?"

Sufyan kemudian berkata: "Aku tidak pernah mendengar kata-kata seperti ini."

Rabi'ah juga pernah berkata kepada Sufyan: "Sesungguhnya engkau hanyalah hari-hari yang terhitung. Apabila berlalu satu hari, maka sebahagian dirimu telah pergi. Hampir tiba masanya apabila sebahagian itu telah habis, maka habislah seluruhnya. Engkau mengetahui hal ini, maka beramallah."

Benci Kepada Dunia

Khalid bin Khidash meriwayatkan bahawa Rabi’ah pernah mendengar Salih al-Murri menyebut tentang dunia dalam ceramahnya, lalu beliau menyeru: "Wahai Salih, sesiapa yang mencintai sesuatu, dia akan banyak menyebutnya."

Bisyr bin Salih al-Ataki berkata: “Sekumpulan orang bersama Sufyan al-Thauri meminta izin untuk berjumpa dengan Rabi’ah. Mereka berbual-bual dengannya seketika dan menyebut tentang hal dunia. Apabila mereka beredar, Rabi’ah berkata kepada khadamnya: Apabila syeikh ini dan sahabat-sahabatnya datang lagi, jangan benarkan mereka masuk, kerana aku melihat mereka mencintai dunia."

Hammad berkata: “Aku dan Sallam bin Abi Muti' mengunjungi Rabi’ah, lalu Sallam mula bercakap tentang dunia. Rabi’ah berkata: "Sesungguhnya yang layak disebut-sebut hanyalah sesuatu yang benar-benar bernilai, adapun sesuatu yang tidak bernilai, maka tidak perlu disebut-sebut."

Beliau menolak pemberian orang kepadanya dengan berkata: "Aku tidak memerlukan dunia."

Karamahnya

Al-Hafiz al-Zahabi dalam Siyar A’lam al-Nubala’ menyebutkan beberapa karamahnya:

Abu Yasar Misma' berkata: “Aku mengunjungi Rabi’ah, lalu beliau berkata: Kamu datang ketika aku ingin memasak nasi dan aku mengutamakan perbualan dengan kamu berbanding memasak nasi, tetapi apabila aku kembali ke periuk, nasi telah masak."

Riyah al-Qaisi berkata: “Aku dan Rabi’ah sering mengunjungi Syumait. Pada suatu hari, Rabi’ah berkata: Mari sini wahai anak muda. Rabi'ah memegang tanganku dan berdoa kepada Allah. Tiba-tiba muncul sebuah bekas hijau yang dipenuhi madu putih. Rabi’ah  berkata: Makanlah, demi Allah, ini bukanlah madu yang dihasilkan oleh lebah. Aku terkejut dengan kejadian itu, lalu bangun dan meninggalkannya.”

Keperibadiannya

Rabi'ah dilihat sering menangis dan bersedih.

Apabila beliau mendengar tentang neraka, beliau akan pengsan untuk seketika.

Setiap malam beliau akan memakai wangi-wangian dan mendatangi suaminya, lalu bertanya, "Adakah kamu mempunyai hajat?" Setelah menunaikan hajat suaminya, beliau akan bersuci dan beribadat sehingga pagi. Selepas kematian suaminya, beliau tidak berkahwin lagi kerana sibuk dengan ibadah.

Beliau akan berdiri untuk beribadat selepas solat Isyak sambil berkata: "Demi kemuliaan dan kebesaran-Mu, inilah kedudukan ku di hadapan-Mu selagi aku hidup."

Setelah mencapai usia 80 tahun, tubuhnya kurus kering seperti kantung air yang usang dan beliau hampir-hampir terjatuh apabila berjalan.

Kain kafannya sentiasa diletakkan di hadapannya.

Tempat sujudnya seperti kolam air disebabkan banyaknya air matanya.

Beliau juga pernah berkata: "Apa sahaja yang zahir daripada amal perbuatanku, aku tidak menganggapnya sebagai sesuatu yang bererti."

Abdah binti Abi Syawal - yang berkhidmat kepada Rabiatul Adawiyah - berkata: “Rabi’ah beribadat sepanjang malam dan apabila fajar terbit, beliau akan tidur sebentar sehingga fajar menyinsing. Aku mendengarnya berkata: Wahai nafsu, berapa lama lagi engkau hendak tidur dan bila lagi engkau hendak bangun? Hampir tiba masanya engkau akan tidur dengan tidur yang tidak akan bangun daripadanya melainkan pada hari kebangkitan."

Rabi'ah al-'Adawiyah pernah berkata dalam munajatnya: "Wahai Tuhanku, adakah Engkau akan membakar dengan api hati yang mencintai-Mu?" Maka terdengar suara berkata kepadanya: "Kami tidak akan melakukan itu, maka jangan berprasangka buruk terhadap Kami."

Apabila malam menjelang, beliau akan naik ke atas atap rumahnya, lalu berdoa: "Wahai Tuhanku, ketika suara-suara telah sunyi, pergerakan telah terhenti dan setiap kekasih bersama kekasihnya, aku bersendirian bersama-Mu, wahai Yang Maha Dicintai. Maka jadikanlah kesendirianku bersama-Mu pada malam ini sebagai pembebasan diriku daripada api neraka."

Rabi’ah juga sering berdoa: "Ya Allah, aku telah memaafkan orang yang menzalimiku, maka maafkanlah aku atas kezaliman yang pernah aku lakukan terhadap orang lain."

Beliau pernah berkata kepada ayahnya: "Wahai ayahku, aku tidak akan melepaskanmu jika engkau memberiku makanan yang haram.” Ayahnya bertanya: "Bagaimana jika aku tidak menemukan kecuali yang haram?" Beliau menjawab: "Kita bersabar di dunia menahan kelaparan adalah lebih baik daripada bersabar di akhirat menahan api neraka."

Nasihatnya

Beliau pernah berkata: "Istighfar kita memerlukan istighfar yang lain." Yakni kerana ketiadaan keikhlasan dalam istighfar tersebut.

Apabila beliau mendengar Sufyan berkata: "Alangkah sedihnya", beliau berkata kepadanya: "Katakanlah alangkah sedikitnya kesedihan, kerana jika engkau benar-benar bersedih, engkau tidak akan menikmati kehidupan."

Antara wasiatnya: "Sembunyikanlah amalan kebaikan kamu sebagaimana kamu menyembunyikan dosa-dosa kamu."

Seorang wanita pernah berkata kepada Rabi'ah: "Aku mencintaimu kerana Allah." Rabi'ah menjawab: "Taatilah Dia yang kerana-Nya engkau mencintaiku."

Seorang lelaki berkata kepada Rabi'ah: "Aku mencintaimu kerana Allah." Dia menjawab: "Maka janganlah engkau derhaka kepada Dia yang kerana-Nya engkau mencintaiku."

Dipinang Hartawan

Abu Sulaiman al-Hasyimi, yang memiliki hasil pendapatan harian sebanyak 80,000 dirham di Basrah, pernah mengutus surat kepada para ulama Basrah untuk meminta pandangan mereka mengenai seorang wanita yang patut dinikahinya. Para ulama sepakat mencadangkan Rabi'ah al-Adawiyah. Maka dia menulis surat kepada Rabi'ah:

"Sesungguhnya harta kekayaanku dari hasil dunia mencapai 80,000 dirham setiap hari dan tidak lama lagi akan genap menjadi 100,000, insyaAllah. Aku meminang dirimu untuk menjadi isteriku. Aku telah menyediakan sebagai mahar untukmu 100,000 dirham dan aku akan menambahkan jumlah itu dengan yang serupa. Maka balaslah suratku."

Rabi’ah menulis kepadanya:

"Sesungguhnya zuhud terhadap dunia memberikan ketenangan hati dan badan, sementara keinginan terhadapnya mewariskan kegelisahan dan kesedihan. Jika suratku ini sampai kepadamu, maka persiapkanlah bekalanmu, dahulukan amal untuk hari akhiratmu, jadilah wasiat bagi dirimu sendiri dan jangan serahkan wasiatmu kepada orang lain. Berpuasalah sepanjang hidupmu dan jadikanlah kematian sebagai waktu berbukamu. Demi Allah, aku tidak akan merasa bahagia jika Allah memberiku berkali-kali lipat daripada apa yang telah diberikan kepadamu, sehingga ia melalaikan aku daripada-Nya walaupun sekejap mata. Wassalam."

Kematiannya

Terdapat perbezaan pendapat ulama berkenaan tahun beliau meninggal dunia.

Menurut al-Hafiz al-Zahabi, dikatakan bahawa Rabi’ah al-Adawiyah hidup selama lapan puluh tahun dan meninggal dunia pada tahun 180 Hijrah.

Manakala menurut Imam Ibnu Khalikhan pula, Rabi'ah al-Adawiyah wafat pada tahun 135 Hijrah, seperti yang disebut oleh Ibn al-Jauzi dalam kitab Shuzur al-'Uqūd. Namun, pendapat lain menyebut bahawa beliau wafat pada tahun 185 Hijrah.

Makamnya dikatakan terletak di luar kota Baitulmaqdis, di bahagian timurnya, di atas sebuah bukit yang dikenali sebagai Jabal al-Tur dan makamnya sering diziarahi. Namun menurut al-Yafi'i dalam Mir'ah al-Jinan, beliau berkata: "Aku mendengar dari sebahagian penduduk Baitulmaqdis menyebut bahawa yang dikebumikan di bukit itu adalah Rabiah yang lain, bukan Rabiah al-Adawiyah."

Dilihat Di Dalam Mimpi Selepas Kematiannya

Sebahagian orang berkata: "Aku pernah mendoakan Rabi'ah al-Adawiyah, lalu aku melihatnya dalam mimpi dan beliau berkata: Hadiah-hadiahmu sampai kepada kami di atas dulang-dulang daripada cahaya yang ditutupi dengan sapu tangan daripada cahaya."

Diriwayatkan juga apabila kematiannya menjelang, beliau memanggil khadamnya dan berkata: "Wahai ‘Abdah, jangan beritahu sesiapa tentang kematianku dan kafankan aku dengan jubah ini, iaitu jubah daripada bulu yang beliau pakai (untuk beribadat) ketika mata-mata manusia sudah tertidur."

Kata ‘Abdah: “Lalu kami mengafankannya dengan jubah tersebut dan selendang daripada bulu yang biasa dipakainya.

Kemudian selepas setahun atau lebih kurang, saya melihatnya dalam mimpi memakai pakaian sutera hijau dan selendang sutera hijau yang belum pernah aku lihat secantik itu. Aku bertanya: Wahai Rabiah, apa yang terjadi dengan jubah yang kami kafankan kamu dan selendang bulu itu?"

Beliau menjawab: "Demi Allah, ia telah ditanggalkan dariku dan digantikan dengan apa yang kamu lihat ini. Kain kafanku dilipat dan dimeterai, kemudian diangkat ke tempat yang tinggi untuk menyempurnakan pahalaku pada hari kiamat."

Aku bertanya kepadanya: "Untuk inikah kamu beramal semasa di dunia?"

Beliau menjawab: "Ini tidak seberapa berbanding apa yang aku lihat daripada kemuliaan Allah untuk para waliNya."

Aku bertanya lagi: "Apa yang terjadi kepada Ubaidah binti Abi Kilab?"

Beliau menjawab: "Jauh sekali, demi Allah dia telah mendahului kita ke darjat yang tinggi."

Aku bertanya: "Bagaimana boleh jadi begitu sedangkan pada pandangan manusia kamu lebih tinggi daripadanya?"

Beliau menjawab: "Dia tidak pernah peduli dalam apa jua keadaan dunia, pagi atau petang."

Aku bertanya: "Bagaimana pula dengan Abu Malik, maksud saya, Dhaigham?"

Beliau menjawab: "Dia menziarahi Allah bila-bila masa yang dia mahu."

Aku bertanya: "Apa yang terjadi kepada Bisyr bin Mansur?"

Beliau menjawab: "Wah wah, demi Allah dia diberi lebih daripada apa yang dia harapkan."

Aku bertanya: "Nasihatilah aku dengan sesuatu yang boleh mendekatkan aku kepada Allah."

Beliau menjawab: "Perbanyakkan zikir kepadaNya, hampir tiba masanya kamu akan bergembira dengan amalan itu dalam kubur kamu."

Rujukan:

1 - Al-Tabaqat al-Kubra oleh Imam Abdul Wahab al-Sya’rani.

2 - Al-Tabaqat al-Wusta oleh Imam  Abdul Wahab al-Sya’rani.

3 - Al-Wafi Bi al-Wafayat oleh Imam al-Safadi.

4 - Siyar A’lam al-Nubala’ oleh al-Hafiz al-Zahabi.

5 - Tarikh al-Islam oleh al-Hafiz al-Zahabi.

6 - Wafayat al-A’yan oleh Imam Ibnu Khalikan.

7 - Zikr al-Niswah al-Muta’abbidat al-Sufiyat oleh Imam Abi Abdul Rahman al-Sulami.