Penumpuan Para Sahabat terhadap al-Quran al-Karim
Usaha-usaha pada zaman Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam tertumpu kepada penerimaan al-Quran al-Karim, di mana para sahabat dengan kerelaan mereka sendiri menumpukan perhatian untuk menerima, memahami, dan menghafalnya di dalam dada dan pada tulisan.
Hal ini mengambil sebahagian besar waktu mereka, sebagaimana ia juga menguasai seluruh perasaan mereka kerana kedudukannya sebagai sumber perundangan yang pertama dan mukjizat yang abadi bagi agama ini.
Maka, mereka
memberikan sepenuh perhatian dan pemeliharaan mereka untuk menjaganya daripada
ditambah atau dikurangkan walau sedikit pun, kerana tidak dibenarkan meriwayatkannya
secara makna dan tidak boleh menggantikan mana-mana ungkapan, lafaz, atau hatta
satu huruf pun dengan ungkapan, lafaz, atau huruf yang lain.
Kesukaran Penulisan Hadis pada Zaman Awal Islam
Hadis Rasulullah sallahu
‘alaihi wasallam pula terlalu banyak untuk dihitung, maka manalah
mungkin para penulis di kalangan mereka mempunyai waktu untuk sentiasa
mengikuti Rasulullah sallahu ‘alaihi
wasallam bagi menulis kata-kata, perbuatan, dan apa yang baginda
perakui (taqrir) ke atas orang lain? Jika pun ia mungkin dilakukan,
wujud pula kebimbangan akan berlakunya kekeliruan antara kata-kata, penjelasan,
dan sirahnya dengan al-Quran al-Karim, lebih-lebih lagi jika kesemuanya ditulis
pada helaian yang sama.
Larangan Menulis Selain al-Quran pada Peringkat Awal
Oleh itu, datanglah larangan baginda daripada menulis selain
al-Quran supaya segala usaha ditumpukan untuk berkhidmat kepada al-Quran,
memberikannya perhatian, dan memeliharanya serta agar yang lain tidak bercampur
aduk dengannya, terutamanya pada peringkat awal penurunan wahyu.
Kebenaran Penulisan Hadis Setelah al-Quran Difahami
dengan Mantap
Akan tetapi, setelah para sahabat terbiasa dengan gaya
bahasa al-Quran al-Karim, menghayatinya, mendalaminya, dan menjadi sebati
dengannya, serta tidak ada lagi kebimbangan akan berlakunya kekeliruan antara al-Quran
dengan yang lainnya, Rasulullah sallahu
‘alaihi wasallam pun mengizinkan penulisan hadis-hadisnya. Dengan
itu, penulisan hadis-hadis Nabawi bermula pada masa hayat Nabi sallahu ‘alaihi wasallam dan
berterusan dengan pertambahan yang pesat pada zaman-zaman yang berikutnya.
Peranan Hafalan di Samping Penulisan Hadis
Ini tidaklah bermaksud menafikan periwayatan secara lisan
atau menafikan pergantungan kepada ingatan dalam menghafal dan meriwayatkan
hadis. Bahkan, hafalan tetap menjadi sandaran utama dalam penyampaian dan
penyebaran hadis. Ini juga tidak bermakna bahawa penulisan pada zaman ini
adalah sesuatu yang jarang berlaku sepertimana yang dibayangkan oleh sesetengah
pihak.
Bukti Penulisan Hadis pada Zaman Rasulullah sallahu
‘alaihi wasallam
Maka sesungguhnya telah terbukti bahawa banyak perkara
daripada hadis telah ditulis pada zaman Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam. Sebahagiannya ditulis atas perintah
baginda dan sebahagiannya pula ditulis dengan keizinan dan keredaan baginda.
Maka tiada ruang untuk menafikan hakikat sejarah hadis ini.
Helaian-helaian Bertulis (Suhuf) Mengenai Hadis pada
Zaman Nabi:
1 - Perlembagaan Nabi sallahu ‘alaihi wasallam di Madinah:
Apabila Nabi sallahu
‘alaihi wasallam berhijrah ke Madinah, baginda telah menetapkan satu
undang-undang untuk penduduknya dan memerintahkan agar ia ditulis pada satu
helaian, pada tahun pertama Hijrah. Ia adalah sesuatu yang paling menyerupai
"perlembagaan" bagi negara yang baru ditubuhkan itu, dan ia
merangkumi hak-hak kaum Muhajirin, Ansar, Yahudi, dan orang Arab Madinah.
2 - Kitab Nabi sallahu
‘alaihi wasallam mengenai Sedekah:
Rasulullah sallahu
‘alaihi wasallam mempunyai sebuah kitab mengenai sedekah (zakat).
Kemudian, Khalifah Abu Bakar al-Siddiq telah menghantarnya kepada Anas bin
Malik dan selainnya, dan ia dicap dengan cop mohor Nabi sallahu ‘alaihi wasallam. Ia
telah diriwayatkan oleh Imam Ahmad dalam Musnadnya.
3 - Kitab Sa'd bin 'Ubadah:
Sa'd bin 'Ubadah al-Ansari mempunyai sebuah kitab atau
beberapa kitab yang di dalamnya terdapat sekumpulan hadis-hadis Nabi sallahu ‘alaihi wasallam. Imam
al-Bukhari meriwayatkan bahawa helaian ini adalah salinan daripada helaian
'Abdullah bin Abi Awfa, yang mana beliau menulis hadis-hadis dengan tangannya
sendiri pada zaman Nabi sallahu ‘alaihi
wasallam.
4 - Kitab Nabi sallahu
‘alaihi wasallam untuk penduduk Hadramaut:
Rasulullah sallahu
‘alaihi wasallam telah menyerahkan sebuah kitab kepada Wa'il bin
Hujr untuk diamalkan oleh penduduk Hadramaut. Di dalamnya terkandung
rukun-rukun Islam, ajaran-ajarannya, kewajipan zakat, serta hukuman bagi zina
dan arak.
5 - Kitab Nabi sallahu
‘alaihi wasallam untuk penduduk Yaman:
Apabila Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam melantik 'Amr bin Hazm sebagai
gabenor Yaman, baginda memberikannya sebuah kitab yang di dalamnya terkandung
hukum-hukum faraid, sunnah, diyat dan lain-lain. Kitab ini telah dikenali
dengan nama Sahifah 'Amr bin Hazm. Abu Dawud telah meriwayatkan kitab ini dalam
Sunannya, begitu juga al-Nasa'i, Ibn Hibban, al-Baihaqi, al-Hakim dan
al-Daraqutni.
6 - Al-Sahifah al-Sadiqah:
Terdapat sebuah helaian yang dikenali sebagai
"al-Sahifah al-Sadiqah" milik 'Abdullah bin 'Amr bin al-'As, yang
telah diizinkan oleh Nabi sallahu ‘alaihi
wasallam untuk menulis hadis. Sanadnya telah dikenali dalam
kitab-kitab hadis dengan nama 'Amr bin Syu'aib daripada bapanya daripada
datuknya. Datuknya ialah pemilik sahifah tersebut, iaitu sahabat, 'Abdullah bin
'Amr bin al-'As. Imam Ahmad telah menukilkan kandungannya dalam Musnadnya
sepertimana ulama-ulama lain juga telah menukil daripadanya.
7 - Sahifah Jabir bin 'Abdullah:
Ia telah disebutkan oleh Ibn Sa'd dalam biografi Mujahid.
8 - Surat-surat Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam kepada Raja-raja dan Para
Pemerintah:
Baginda telah menyeru mereka kepada Islam di dalamnya,
seperti surat baginda kepada Heraclius, pembesar Rom.
9 - Surat baginda kepada al-Dahhak bin Sufyan:
Beliau telah dilantik oleh Nabi sallahu ‘alaihi wasallam sebagai ketua ke atas orang-orang
Arab Badwi. Telah diriwayatkan daripadanya bahawa beliau berkata:
"Rasulullah sallahu ‘alaihi
wasallam telah menulis kepadaku agar aku mewariskan isteri Asyyam
al-Dibbiyani daripada diyat (wang pampasan darah) suaminya".
10 - Al-Sahifah al-Sahihah:
Hammam bin Munabbih telah bertemu Abu Hurairah dan menulis
daripadanya banyak hadis Rasulullah sallahu
‘alaihi wasallam, lalu menghimpunkannya dalam satu helaian atau
beberapa helaian yang dinamakan sebagai al-Sahifah al-Sahihah.
Ia telah sampai kepada kita secara lengkap sepertimana ia
diriwayatkan dan ditulis oleh Hammam daripada Abu Hurairah.
Dr. Muhammad Hamidullah telah menemui helaian ini dalam dua
manuskrip yang serupa di Damsyik. Keyakinan terhadap helaian ini bertambah
kerana Imam Ahmad telah menukilkannya secara keseluruhannya di dalam Musnadnya,
sepertimana Imam al-Bukhari juga telah menukilkan sebilangan besar
hadis-hadisnya di dalam Sahihnya pada bab-bab yang berbeza.
Walaupun helaian ini tidak boleh dianggap termasuk dalam kalangan apa yang ditulis pada zaman Kenabian, kerana Hammam dilahirkan sejurus sebelum tahun empat puluh Hijrah dan gurunya, Abu Hurairah, meninggal dunia pada tahun lima puluh lapan, namun helaian ini mempunyai kepentingan sejarah dalam penulisan Hadis Syarif.
Ini kerana ia adalah hujah yang kukuh dan bukti
yang jelas bahawa sesungguhnya hadis Nabawi telah ditulis sebahagian
daripadanya pada waktu yang awal, kerana penulisan helaian ini bertarikh pada
pertengahan kurun pertama Hijrah. Sebagaimana ia juga membetulkan kesilapan
yang tersebar luas bahawa tiada satu pun hadis yang ditulis melainkan pada awal
kurun kedua Hijrah.
Hadis-hadis yang Membenarkan Penulisan:
1 - Hadis Abdullah bin 'Amr bin al-'As: "Aku (dahulu) menulis segala sesuatu yang aku dengar daripada Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam dengan tujuan untuk menghafalnya.
Lalu orang Quraisy melarangku, dan mereka berkata: Adakah engkau menulis segala sesuatu yang engkau dengar daripada Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam, sedangkan Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam adalah seorang manusia yang bercakap dalam keadaan marah dan reda?
Maka aku pun berhenti menulis. Lalu aku menyebutkan hal itu kepada
Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam,
maka baginda menunjuk dengan jarinya ke mulutnya dan bersabda: "Tulislah.
Demi (Tuhan) yang jiwaku berada di dalam kekuasaan-Nya, tidak keluar
daripadanya (mulut ini) melainkan kebenaran". (Riwayat al-Darimi)
2 - Hadis Abu Hurairah: "Tidak ada seorang pun daripada
kalangan sahabat Nabi sallahu ‘alaihi
wasallam yang lebih banyak (meriwayatkan) hadis daripada baginda
berbanding aku, kecuali apa yang ada pada Abdullah bin Umar, kerana
sesungguhnya beliau (dahulu) menulis, sedangkan aku tidak menulis". (Riwayat
al-Bukhari)
3 - Hadis Abu Hurairah: "Seorang lelaki Ansar telah
mengadu kepada Nabi sallahu ‘alaihi
wasallam tentang lemahnya hafalannya, lalu baginda bersabda:
"Mintalah bantuan dengan tangan kananmu (yakni tulislah)". (Riwayat
al-Khatib al-Baghdadi dalam Taqyid al-‘Ilm)
4 - Seorang lelaki dari kalangan penduduk Yaman telah
meminta daripada para sahabat pada hari pembukaan kota Makkah agar mereka
menuliskan untuknya khutbah Nabi sallahu
‘alaihi wasallam selepas pembukaan tersebut, lalu mereka meminta
izin Nabi sallahu ‘alaihi wasallam
mengenai hal itu, maka baginda bersabda: "Tulislah untuk Abu Syah". (Riwayat
al-Bukhari)
5 - Hadis: "Ikatlah ilmu dengan tulisan". (Riwayat
Ibnu Abdil Bar dalam Jami’ Bayan al-‘Ilm)
6 - Hadis Rafi' bin Khadij: "Aku berkata: Wahai
Rasulullah, sesungguhnya kami mendengar daripada tuan pelbagai perkara, adakah
patut kami menulisnya?" Baginda bersabda: "Tulislah, dan tiada
halangan". (Riwayat al-Khatib al-Baghdadi dalam Taqyid al-‘Ilm)
Hadis-hadis ini dan helaian-helaian itu adalah antara
dalil-dalil yang kukuh akan keharusan menulis dan (membuktikan) ia telah pun
berlaku pada masa hayat Rasulullah sallahu
‘alaihi wasallam.
Sumber:
Al-Mustasyriqun Wa al-Hadith al-Nabawi oleh Dr Muhammad Bahauddin.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan