Selasa, 23 Disember 2025

10 Prinsip Asas Ilmu Mantik


1 - Takrifnya:

Satu ilmu yang dibahaskan di dalamnya tentang maklumat-maklumat yang bersifat tasawwuri (konseptual) dan tasdiqi (pembenaran), dari sudut bahawa ia membawa kepada pengetahuan tentang sesuatu yang asalnya majhul (tidak diketahui), sama ada ia bersifat tasawwuri atau tasdiqi.

Ia adalah satu undang-undang yang mana dengan mematuhinya akan memelihara minda daripada kesilapan dalam pemikirannya.

Maksud Tasawwur

Tasawwur adalah proses membentuk satu gambaran mental atau konsep sesuatu perkara dalam fikiran. Ia adalah pengetahuan tunggal (single concept) yang belum dihubungkan dengan apa-apa.

Tujuannya hanyalah untuk memahami makna sesuatu perkataan atau idea. Ia tidak melibatkan sebarang penghakiman sama ada ia benar atau salah.

Misalnya, apabila anda mendengar perkataan "rumah", satu imej atau konsep tentang sebuah bangunan tempat tinggal terbentuk dalam minda anda. Ini adalah tasawwur. Anda belum menilai apa-apa tentang rumah itu.

Maksud Tasdiq

Tasdīq adalah proses menghubungkan dua atau lebih tasawwur (konsep) dan kemudian meletakkan satu hukum atau penilaian ke atas hubungan tersebut, sama ada ia benar atau salah.

Tujuannya adalah untuk membentuk satu penyata atau proposisi yang boleh dinilai benar atau salah.

Contohnya: "Rumah itu besar."

Di sini, anda telah menghubungkan konsep "rumah" dengan konsep "besar".

Anda kemudian membuat satu penghakiman bahawa hubungan ini adalah benar. Penyata ini boleh jadi benar atau salah. Ini adalah tasdiq.

2 - Tujuannya:

Sesiapa yang mematuhi kaedah-kaedah ilmu ini, kesilapan tidak akan menyusup ke dalam pemikirannya, sebagaimana orang yang mematuhi kaedah-kaedah Nahu, kesilapan tidak akan menyusup ke dalam percakapannya atau tulisannya.

3 - Topiknya (Mawdu'):

Maklumat-maklumat tasawwuri (konseptual) dan tasdiqi (pembenaran), dari sudut bahawa ia membawa kepada pengetahuan tentang sesuatu yang asalnya majhul (tidak diketahui), sama ada ia bersifat tasawwuri atau tasdiqi.

4 - Pengasasnya (Wadhi'):

Aristotle.

5 – Namanya:

(i) Ilmu Mantik.

(ii) Mi’yar al-‘Ulum.

(iii) Ilmu al-Mizan.

6 - Sumber pengambilannya (Istimdad):

Daripada akal.

7 - Perbahasannya (Masa'il):

Ilmu Mantik dibahagikan kepada tiga perbahasan utama iaitu:

(i) Perbahasan Had (Definisi) atau Lafaz atau Tasawwur (Konsep): Iaitu mengkaji lafaz-lafaz dari sudut petunjuknya (dilalah) menurut Mantik, dan jenis-jenisnya, bukan dari sudut bahasa atau tatabahasa tetapi dari sudut hubungannya dengan makna dalam fikiran.

(ii) Perbahasan Qadhiyah (Pernyataan) atau Tasdiq (Pembenaran): Iaitu mengkaji pernyataan-pernyataan Mantik dari sudut jenis-jenisnya dan piawaian benar atau salahnya.

(iii) Perbahasan Istidlal (Pendalilan): Iaitu mengkaji pendalilan dari sudut jenis-jenisnya, kaedah-kaedahnya dan nilainya bagi pemikiran manusia.

Maksud istidlal ialah proses akal terhadap pernyataan-pernyataan yang telah kita terima kebenarannya atau kesahihannya, yang membawa kepada pernyataan-pernyataan lain yang terhasil daripadanya, iaitu menyimpulkan sesuatu yang tidak diketahui daripada sesuatu yang diketahui.

8 - Kelebihannya:

Ilmu Mantik mengatasi dan melebihi ilmu-ilmu lain kerana manfaatnya yang umum di dalamnya, memandangkan setiap ilmu adalah tasawwur atau tasdiq, dan ilmu Mantik membahaskan tentang kedua-duanya.

Akan tetapi sebahagian ilmu mengatasinya dari sudut yang lain.

9 - Hubungannya dengan ilmu-ilmu lain:

Dari sudut pandang topiknya (mawdu'), ia adalah menyeluruh (kulli) kepada ilmu-ilmu lain, kerana setiap ilmu terdiri daripada tasawwur atau tasdiq, dan topik ilmu Mantik adalah tasawwur atau tasdiq."

Dari sudut pandang konsepnya (mafhum), ia adalah berbeza daripada ilmu-ilmu lain kerana ia mempunyai definisi, fokus, dan persoalan utamanya yang tersendiri (iaitu mengkaji proses berfikir), yang tidak sama dengan fokus ilmu-ilmu lain. Ia adalah ilmu yang berdiri sendiri. Maka dari sudut pandang ini, ilmu Mantik adalah satu disiplin yang berbeza dan terpisah daripada ilmu-ilmu lain.

10 – Hukumnya:

Ulama berselisih pendapat mengenai hukum melibatkan diri dengan ilmu Mantik kepada tiga pendapat:

Pertama: Haram, dan ini adalah pendapat al-Nawawi dan Ibn al-Salah.

Alasan mereka mengharamkannya ialah bahawasanya apabila ia bercampur dengan kekufuran para ahli falsafah, dikhuatiri ke atas seseorang jika dia mendalaminya, akan meresap ke dalam hatinya sebahagian akidah yang menyeleweng, sebagaimana yang telah berlaku kepada kaum Mu'tazilah.

Kedua: Harus, dan ini adalah pendapat sekumpulan ulama, antaranya al-Ghazali, dengan katanya: “Sesiapa yang tidak mengetahuinya, tidak boleh dipercayai ilmunya”, iaitu: seseorang yang tidak menguasai Mantik, dia sentiasa terdedah kepada risiko membuat kesilapan logik kerana dia tidak mempunyai kaedah-kaedah atau prinsip-prinsip yang mengawal, mendisiplinkan, dan menjaga proses berfikir.

Ketiga: Ia adalah pendapat yang masyhur lagi sahih, iaitu perlu kepada perincian. Jika orang yang melibatkan diri itu cerdas akalnya, kuat kefahamannya, serta mahir dengan al-Quran dan as-Sunnah, haruslah baginya melibatkan diri  dengannya, dan jika tidak, maka tidak boleh.

Ketahuilah bahawa perselisihan ini hanyalah dinisbahkan kepada ilmu Mantik yang bercampur dengan kalam ahli falsafah, seperti yang terdapat dalam al-Tawali' oleh al-Baidawi.

Adapun yang murni daripadanya seperti al-Mukhtasar oleh al-Sanusi, dan al-Syamsiyyah oleh Najmuddin al-Katibi, Sullam al-Munawraq oleh al-Akhdari dan Isaghuji oleh Athiruddin al-Abhari, maka tiada perselisihan tentang keharusan melibatkan diri dengannya.

Bahkan boleh dikatakan bahawa melibatkan diri dengannya adalah fardu kifayah, kerana pengetahuan untuk menolak syubhah bergantung kepadanya dan sedia maklum bahawa melaksanakan hal itu adalah fardu kifayah. Oleh kerana untuk mendapatkan kekuatan bagi menolak keraguan dalam ilmu Kalam - yang merupakan fardu kifayah - bergantung kepada kekuatan dalam ilmu Mantik, jadi apa yang menjadi syarat kepada suatu kewajipan, maka ia juga menjadi wajib.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan