Selasa, 6 Februari 2024

Imam al-Nasa’i - Pengarang Sunan al-Nasa'i atau al-Mujtaba

Bandar Nasa pada masa kini

Nama dan Gelaran

Nama beliau ialah Ahmad bin Syu’aib bin Ali bin Sinan bin Bahr bin Dinar al-Khurasani al-Nasa’I al-Qadhi.

Kunyah beliau ialah Abu Abdul Rahman.

Gelaran al-Nasa’i berasal dari nama tempat kelahiran beliau iaitu Nasa yang terletak di Khurasan, yang pada hari ini terletak di Iran dan Turkmenistan. Nasa ini digambarkan sebagai tempat yang berair dan dipenuhi dengan kebun-kebun yang banyak.

Al-Sam’ani dalam kitab al-Ansab menceritakan punca tempat tersebut dinamakan sebagai Nasa adalah kerana ketika kaum muslimin ingin menawan tempat tersebut maka seluruh orang lelaki di tempat tersebut melarikan diri dan yang tinggal hanyalah perempuan. Apabila kaum muslimin mendapat tahu tentang perkara tersebut maka mereka tidak jadi untuk berperang kerana kaum wanita tidak diperangi. Mereka berkata: “Kita letakkan kampung ini di al-Nasa’ (yakni yang ditangguhkan) sehinggalah kaum lelakinya kembali.” Disebabkan itu nama tersebut kekal bagi tempat ini. Namun menurut Imam Yaqut al-Hamawi, nama Nasa tersebut adalah ‘ajami (yakni bukan berasal daripada bahasa Arab).

Gelaran al-Qadhi pula kerana beliau pernah menjawat jawatan Qadhi (hakim) di Mesir dan Homs, Syria sebagaimana yang dikhabarkan oleh Imam al-Tabarani dan Imam Abu ‘Awanah.

Kelahiran

Imam al-Nasa’i dilahirkan pada tahun 215 Hijriah sebagaimana yang dipastikan oleh al-Zahabi dan al-Isnawi. Tahun kelahiran tersebut dinukilkan dari Imam al-Nasa’i sendiri namun beliau tidak begitu yakin tentang tahun kelahirannnya itu.

 Ibnu ‘Asakir dalam Tarikh Dimasyq menukilkan dari Abu Bakar bin al-Imam al-Dimyathi , beliau berkata kepada Imam al-Nasa’i: “Aku dilahirkan pada tahun 14 (yakni 214 Hijriah). Maka pada tahun bilakah engkau dilahirkan wahai Abu Abdul Rahman?” Beliau menjawab: “Lebih kurang pada tahun 15 (yakni 215 Hijriah) kerana pengembaraanku yang pertama untuk berlajar dengan Qutaibah pada tahun 230 Hijriah. Aku belajar dengannya selama setahun dua bulan.”

Ada pendapat lain yang mengatakan beliau dilahirkan pada tahun 214 Hijriah. Khilaf tersebut berpunca daripada maklumat yang dinukilkan dari muridnya, Ibnu Yunus (pengarang Tarikh Misr), beliau berkata: “Aku melihat tulisanku dalam nota catatanku bahawa beliau dilahirkan di Nasa pada tahun 215 Hijriah dan ada yang mengatakan pada 214 Hijriah.”

Imam al-Safadi dalam al-Wafi Bi al-Wafayat menyatakan beliau dilahirkan pada tahun 225 Hijriah lalu diikuti oleh Imam al-Suyuti dalam Husn al-Muhadarah. Menurut Imam al-Sakhawi, maklumat tersebut memang adalah suatu kesilapan.

Perkembangan Kehidupan

Imam al-Nasa’i dibesarkan dalam suasana keilmuan dan beliau mula menuntut ilmu sewaktu usia yang masih muda. Buktinya beliau sudah mula melakukankan pengembaraan ilmu untuk belajar hadis dan ilmu-ilmunya dari Qutaibah bin Sa’id sewaktu beliau berusia baru 15 tahun.

Sudah pasti beliau tidak mula mengembara melainkan beliau sudah mempelajari asas ilmu seperti menghafal al-Quran, belajar membaca dan menulis serta mengutip ilmu dari ulama-ulama tanah kelahirannya sendri. Ini adalah adat kebiasaan penuntut ilmu hadis yang tidak akan melakukan rehlah melainkan sudah selesai meriwayatkan hadis dari ahli hadis di tempatnya sendiri.

Peta Pengembaraan Imam al-Nasa'i

Pengembaraan Mencari Hadis

Zaman hidupnya Imam al-Nasa’i merupakan kurun giatnya para ulama dan penuntut ilmu menjelajah untuk menghimpunkan riwayat-riwayat hadis. Beliau juga tidak terkecuali mengikut tradisi itu. Beliau telah masuk ke kota-kota ilmu yang masyhur pada waktu itu seperti Khurasan, Hijaz, Mesir, Iraq, Syam lalu beliau memilih untuk  tinggal di Mesir. Para ulama hadis dari serta tempat lalu datang ke Mesir untuk belajar dari beliau kerana tidak ada yang dapat menandingi beliau dalam ilmu hadis pada waktu itu.

Sebagaimana yang telah lalu disebutkan, beliau mula keluar dari tanah kelahirannya, Nasa pada tahun 230 Hijriah ketika berusia 15 tahun dan beliau tidak pulang ke kampung halamannya sehinggalah beliau meninggal dunia.

Perjalanan keilmuan beliau yang pertama adalah menuju ke kota-kota di kawasan Khurasan. Kota pertama yang menjadi tempat persinggahannya ialah kota Baghlan yang menjadi tempat tinggal ulama hadis ternama pada waktunya iaitu Qutaibah bin Sa’id. Qutaibah pada waktu itu dianggap sebagai seorang ulama yang memegang sanad yang tinggi kerana beliau dilahirkan pada 149 Hijriah dan sempat belajar dengan Malik bin Anas, al-Laith bin Sa’ad, Ibnu Lahi’ah, Syarik dan ulama lain yang satu peringkat (tabaqat) dengan mereka. Beliau juga berusia panjang kerana beliau meninggal dunia pada tahun 240 Hijriah ketika berusia 91 tahun. Disebabkan itu beliau mempunyai sanad yang tinggi kerana beliau sempat meriwayatkan hadis dari tiga peringkat ulama.

Cumanya Imam Ibnu al-Jauzi dalam kitabnya al-Munazzam pula mencatatkan bahawa pengembaraan Imam al-Nasa’I yang pertama adalah ke Naisabur. Di situ beliau belajar dengan Ishaq bin Ibrahim al-Hanzali yang masyhur dengan nama Ishaq bin Rahawai, al-Hasan bin Mansur dan Muhammad bin Rafi’ serta ulama-ulama lain yang sebaya dengan mereka. Kemudian beliau keluar menuju ke Baghlan dan beliau dapat meriwayatkan banyak hadis dari Qutaibah bin Sa’id. Setelah itu beliau pergi pula ke Merv, Turkminestan untuk menyalin hadis dari Ali bin Hujr dan ulama lain. Seterusnya beliau masuk pula ke Iraq untuk mengambil hadis dari Abu Kuraib dan ulama yang sebaya dengannya. Akhir sekali baru beliau pergi ke Syam dan Mesir.

Namun begitu, maklumat dari Imam al-Nasa’i sendiri yang menyatakan rehlah pertamanya ialah ke kota Baghlan hendaklah didahulukan berbanding maklumat yang disebutkan oleh Imam Ibnu al-Jauzi.

Antara bandar ilmu terpenting yang disinggahi oleh Imam al-Nasa’i setelah Baghlan dan Naisabur ialah Merv. Di sini beliau mendengar hadis dari Ali bin Khasyram dan Ali bin Hujr. Bandar ini sebenarnya lebih dekat dengan Nasa berbanding Baghlan namun beliau memilih untuk pergi ke Baghlan terlebih dahulu kerana ingin mendapat sanad yang tinggi dari Qutaibah bin Sa’id.

Guru-guru beliau di beberapa bandar yang lain adalah seperti berikut:

1. Basrah:

Abbas bin Abdul Azim al-‘Anbari, Muhammad bin al-Muthanna, Muhammad bin Basyar yang dikenali sebagai Bundar, ‘Amru bin Ali al-Fallas dan selain mereka.

2 – Kufah:

Abu Kuraib Muhammad bin al-‘Ala’, Hannad bin al-Sari, Ali bin al-Hasan al-Lani dan sekumpulan ulama yang lain.

3 - Baghdad

Muhammad bin Ishaq al-Saghani, ‘Abbas bin Muhammad al-Duri, Ahmad bin Mani’, Mujahid bin Musa al-Khawarizmi dan sekumpulan ulama.

4 -Mekah:

Muhammad bin Zunbur.

5 - Baitul Maqdis:

Muhammad bin Abdullah al-Khalanji.

6 – Damsyik:

Hisyam bin ‘Amar, Duhaim, al-‘Abbas bin al-Walid bin Mazid dan beberapa ulama lagi.

7 – Halab:

Abu al-Abbas al-Fadl bin al-Abbas bin Ibrahim al-Halabi.

8 – Mopsuestia, Turki:

Ahmad bin Abdullah bin Ali bin Abi al-Madha’. 

9 – Mesir:

Yunus bin Abdul al-A’la, Ahmad bin Abdul Rahman bin Wahb, ‘Isa bin Hammad, Abu al-Tahir bin al-Sarh, Abdul Rahman dan Muhammad, keduanya anak kepada Abdullah bin Abdul al-Hakam dan lain-lain.

Setelah itu beliau memilih untuk menerap di Mesir dan beliau tidak pernah keluar darinya melainkan tidak lama sebelum beliau meninggal dunia.

Rehlah Imam al-Nasa’i tersebut tidak sekadar untuk menghimpunkan hadis bahkan beliau juga menggunakan kesempatan pengembaraannya itu untuk mempelajari ilmu al-Quran dan qiraat dari pakar-pakarnya seperti Ahmad bin Nasr al-Naisaburi, Abu Syu’aib Soleh bin Ziyad al-Susi.

Beliau mempelajari ilmu fiqh dari murid-murid Imam al-Syafi’i seperti Yunus bin Abdul A’la, al-Rabi’ bin Sulaiman al-Jizi, al-Rabi’ bin Sulaiman al-Muradi dan lain-lain. Selain itu beliau juga mempelajari fiqh dari murid-murid Imam Ahmad bin Hanbal seperti Abdullah bin Ahmad bin Hanbal (anak Imam Ahmad bin Hanbal) dan Abu Daud al-Sijistani. Begitu juga beliau memgambil ilmu fiqh dari murid-murid Imam Malik seperti Muhammad dan Yahya, keduanya anak kepada Abdullah bin Abdul Hakam.

Untuk ilmu-ilmu bahasa Arab beliau mempelajarinya dari Abu Hatim al-Sijistani.

Perjalanan keilmuan yang panjang ini telah memberikan kelebihan besar kepada Imam al-Nasa’i kerana beliau dapat menghimpunkan sanad-sanad yang tinggi dari imam-imam yang masyhur di zamannya seperti Qutaibah bin Sa’id. Selain itu beliau juga dapat berkongsi guru-guru yang sama dengan guru-guru Imam al-Bukhari dan Muslim walaupun beliau dilahirkan lebih kemudian bahkan sebenarnya beliau boleh dikatakan berada di peringkat murid kepada Imam al-Bukhari dan Muslim.

Kembara ilmu beliau yang meluas ini juga membuatkan ramai penulis kitab sejarah negeri dan kota menyebutkan nama beliau dalam penulisan mereka. Ibnu Yunus dalam Tarikh Misr dan al-Maqrizi dalam al-Muqaffa al-Kabir menyebutkan nama beliau dalam kitab mereka kerana beliau pernah masuk dan tinggal di Mesir. Al-Hakim menyebutkannya dalam Tarikh Naisabur. Ibnu ‘Asakir pula dalam Tarikh Dimasyq. Ibnu al-Najjar menyebutkan beliau dalam Zail Tarikh Baghdad kerana al-Khatib al-Baghdadi telah tertinggal untuk menyebutkan beliau dalam Tarikh Baghdad. Di samping itu nama beliau turut disebutkan dalam kitab-kitab sejarah yang lain seperti Ibnu al-‘Adim dalam Tarikh Halab, Taqiyuddin al-Fasi dalam Tarikh al-Balad al-Amin dan al-Rafi’i dalam Tarikh Qazwin. Besar kemungkinan nama beliau juga turut tersenarai dalam kitab-kitab sejarah yang telah hilang seperti Tarikh Balkh dan Tarikh al-Madinah.

Guru-Guru

Berkat umur yang panjang dan rehlah yang meluas memberi kesempatan kepada Imam al-Nasa’i untuk bertemu dengan ramai ulama hadis di zamannya. Selain itu, ada faktor lain yang memnyebabkan ramainya guru beliau iaitu beliau tidak kisah untuk meriwayatkan sanad  hadis dari rakan-rakan yang sebaya dengannya jika sanad tersebut memenuhi syarat yang telah beliau tetapkannya. Oleh itu sangat sukar bagi seorang pengkaji untuk menghimpunkan keseluruhan nama guru-guru beliau.

Al-Mizzi menyebutkan dalam Tahzib al-Kamal: “Beliau mendengar hadis di Khurasan, Iraq, Hijaz, Mesir, Syam dan Jazirah Arab dari sekumpulan ulama yang panjang untuk disebutkan.”

Ibnu Hajar dalam Tahzib al-Tahzib pula mengatakan: “Beliau mendengar hadis dari orang yang tidak terbilang jumlahnya.”

Imam al-Nasa’i sendiri ada mengarang sebuah risalah yang menghimpunkan sebahagian guru-gurunya. Risalah tersebut telah diterbitkan dengan tajuk ‘Tasmiyyah Masyaikh Abi Abdul Rahman Ahmad bin Syu’aib bin Ali al-Nasa’i Allazi Sami’a Minhum’. Jumlah gurunya yang beliau catatkan dalam risalah ini mencapai 196 orang guru. Beliau akan menyebutkan nama guru tersebut, tempat tinggalnya dan kedudukan guru tersebut dari sudut jarh dan ta’dil.

Ibnu ‘Asakir dalam al-Mu’jam al-Musytamil telah menyebutkan seramai 444 orang guru bagi Imam al-Nasa’i. Syeikh Abdul Fattah Abu Ghuddah pula berjaya menemui 3 orang guru Imam al-Nasa’i dalam kitab al-Mujtaba yang tidak disebutkan oleh Ibnu ‘Asakir.

Jumlah keseluruhan guru beliau dalam kitab al-Mujtaba adalah seramai 335 orang guru dan jumlah gurunya dalam al-Sunan al-Kubra yang tidak terdapat dalam al-Mujtaba adalah seramai 112 orang guru. Keseluruhannya berjumlah 447 orang guru.

Muhaqqiq kitab Tasmiyyah Masyaikh al-Nasa’i, Syeikh al-Syarif Hatim al-‘Auni telah menambah seramai 11 orang guru Imam al-Nasa’i yang tidak disebutkan dalam Tasmiyyah Masyaikh al-Nasa’i, begitu juga Ibnu ‘Asakir dalam al-Mu’jam al-Musytamil dan al-Dhiya’ al-Maqdisi dalam al-Auham Fi Masyaikh al-Nubl (kitab yang mengkritik Ibnu ‘Asakir). Syeikh al-Syarif Hatim al-‘Auni menyimpulkan bahawa jumlah guru Imam al-Nasa’i yang dapat kita ketahui adalah seramai 457 orang.

Senarai gurunya yang memiliki sanad tertinggi:

1 – Qutaibah bin Sa’id (m. 240H).

2 – Ishaq bin Rahawaih (m. 238H).

3 – Hisyam bin ‘Ammar (m. 245H).

4 – ‘Isa bin Hammad (m. 248H).

5 – Husain bin Mansur al-Sulami (m. 238H).

6 – ‘Amru bin Zararah (m. 238H).

7 – Muhammad bin al-Nadhr (m. 239H).

8 – Suwaid bin Nasr (m. 240H).

9 – Ibrahim bin Yusuf bin Maimun al-Bahili (m. 240H).

10 – Muhammad bin Abdullah bin ‘Ammar al-Musili (m. 242H).

11 – Hannad bin al-Sari (m. 243H).

12 – Ali bin Hujr (m. 244H).

Senarai guru yang beliau banyak meriwayatkan hadis dari mereka dalam al-Mujtaba:

1 - Qutaibah bin Sa’id. Imam al-Nasa’i meriwayatkan darinya sebanyak 677 buah hadis.

2 - Ishaq bin Rahawaih: 344 buah hadis.

3 – ‘Amru bin Ali al-Fallas (m. 249H): 208 buah hadis.

4 – Suwaid bin Nasr: 208 buah hadis.

5 – Muhammad bin al-Muthanna, yang dikenali dengan gelaran al-Zamin (m. 252H): 193 buah hadis.

6 – Muhammad bin Basyar, dikenali sebagai Bundar (m. 252H): 186 buah hadis.

7 – Muhammad bin Abdul A’la al-San’ani al-Basri (m. 245H): 159 buah hadis.

8 – Abu Mas’ud Isma’il bin Mahmud al-Dimasyqi (m. 248H): 148 buah hadis.

9 – Al-Harith bin Miskin (m. 250H): 140 buah hadis.

10 – Ali bin Hujr: 137 buah hadis.

11 – Ya’qub bin Ibrahim al-Dauraqi (m. 252H): 115 buah hadis.

12 – Muhammad bin Salamah bin Abi Fatimah al-Muradi (m. 248H): 109 buah hadis.

13 – Muhammad bin Mansur bin Daud al-Tusi (m. 254H): 108 buah hadis.

14 – Hannad bin al-Sari: 74 buah hadis.

15 – Mahmud bin Ghailan al-Marwazi (m. 239H): 72 buah hadis.

Keseluruhan hadis mereka lebih dari separuh hadis yang terdapat dalam kitab al-Mujtaba yang terkandung 5758 buah hadis di dalamnya.

Sebab utama Imam al-Nasa’i memilih untuk meriwayatkan hadis dari mereka adalah kerana kesemua mereka adalah imam dan pakar hadis yang thiqah (dapat dipercayai) yang masyhur pada zaman mereka

Gurunya dalam ‘ilal hadis:

Imam al-Nasa’i telah mempelajari ilmu ‘ilal hadis dan ilmu penilaian perawi hadis dari pakar-pakar hadis yang unggul seperti al-Bukhari, al-Zuhli, Abu Hatim al-Razi, Abu Zur’ah al-Razi, Ishaq bin Rahawaih, al-Fallas, Abdul Rahman bin Ibrahim yang dikenali sebagai Duhaim, Abu Daud al-Sijistani dan selain mereka.

Hasil pembelajaran dengan tokoh-tokoh ini menjadikan beliau di antara pakar dan tonggak utama dalam ilmu ‘ilal hadis sehingga para murid dari serata alam sanggup mengembara jauh semata-mata untuk mempelajari ilmu ini dari beliau.

Adakah al-Nasa’i murid kepada al-Bukhari?

Terdapat perbincangan di kalangan ulama sama ada Imam al-Nasa’i benar-benar pernah belajar dan meriwayatkan hadis dari Imam al-Bukhari. Ada sebahagian ulama yang memperakuinya dan ada ulama lain yang menafikannya.

Antara ulama yang berpendapat Imam al-Nasa’i tidak meriwayatkan dan mendengar hadis dari Imam al-Bukhari ialah al-Hafiz al-Mizzi.

Pandangan al-Hafiz al-Mizzi ada diikuti oleh ulama yang lain antaranya oleh al-Hafiz al-Zahabi. Beliau berkata dalam al-Kasyif: “Pandangan yang sahih ialah al-Nasa’i tidak pernah mendengar hadis darinya (yakni al-Bukhari).” Dalam Tarikh al-Islam, beliau berkata: “Telah meriwayatkan darinya (al-Bukhari) daripada kalangan pengarang Kutub Sittah: al-Tirmizi dan al-Nasa’i, meskipun terdapat perbezaan pendapat tentang al-Nasa’i. Pendapat yang lebih tepat adalah beliau tidak meriwayatkan darinya suatu hadis pun.”

Namun begitu pandangan al-Hafiz al-Mizzi telah dikritik oleh al-Hafiz Ibnu Hajar dalam Tahzib al-Tahzib dan beliau membuktikan bahawa al-Nasa’i benar-benar meriwayatkan hadis dari al-Bukhari berdasarkan satu riwayat yang terdapat dalam kitab al-Iman karangan Ibnu Mandah yang secara jelas menyebutkan al-Nasa’i mendengar hadis dari al-Bukhari. Pandangan al-Hafiz Ibnu Hajar ini turut disokong oleh muridnya, al-Hafiz al-Sakhawi.

Murid-Murid

Usia yang panjang dan perjalanan keilmuan yang meluas serta ramai guru yang dimiliki oleh Imam al-Nasa’i membuatkan beliau memiliki pengalaman dan keilmuan yang mendalam terutamanya dalam bidang hadis. Ketokohan dan pengetahuan beliau dalam ilmu hadis dan ilalnya di samping ketinggian sanad yang dimilikinya, semua ini menjadikan beliau sebagai ulama hadis yang terunggul di zamanya. Keharuman namanya menarik minat para murid dari serata tempat untuk datang mengutip mutiara ilmu yang dimilikinya.

Agak sukar untuk menghimpunkan kesemuanya dek kerana ramainya murid yang beliau miliki. Al-Hafiz al-Mizzi dalam Tahzib al-Kamal telah menyebut senarai panjang murid-murid beliau yang mencapai 58 orang. Al-Hafiz al-Sakhawi pula berjaya menghimpunkan sehingga 65 buah nama. Namun di sini hanya disebutkan sebahagian sahaja murid beliau yang masyhur:

1 – Abu ‘Awanah (m. 316H).

2 – Al-‘Uqaili (m. 322H).

3 – Al-Daulabi (m. 310H).

4 – Ibnu al-A’rabi (m. 341H).

5 - Ibnu al-Nahhas (m. 328H).

6 – Abu Ja’far al-Tahawi (m. 321H).

7 – Hamzah al-Kinani (m. 357H).

8 – Abu ‘Ali al-Naisaburi (m. 349H).

9 – Ibnu Yunus (m. 347H).

10 – Ibnu Hibban (m. 354H).

11 – Al-Tabrani (m. 360H).

12 – Ibnu ‘Adi (m. 365H).

13 - Ibnu al-Sunni (m. 364H).

Puji-Pujian Ulama

Para ulama di zaman Imam al-Nasa’i telah bersepakat bahawa beliau adalah salah seorang daripada imam-imam hadis. Bahkan beliau lebih diutamakan berbanding ulama-ulama hadis lain di zaman beliau.

Antara keistimewaan beliau adalah kepakarannya dalam ilmu ‘ilal hadis. Kepakarannya itu disebabkan faktor kekuatan hafalannya, keluasan riwayatnya dan kedalaman ilmu beliau berkenaan hal ehwal perawi hadis. Berkenaan kekuatan hafalannya, beliau telah disifatkan sebagai salah seorang pakar hadis yang mantap hafalannya dan tidak ada yang lebih pakar hadis daripadanya pada kurun ke-3. Adapun berkaitan keluasan riwayatnya, kitabnya, al-Sunan al-Kubra yang mengandungi 11949 buah hadis menjadi bukti perkara tersebut. Pengetahuan beliau berkenaan perawi hadis terbukti apabila beliau dianggap salah seorang daripada imam dalam ilmu jarh dan ta’dil. Dalam ilmu ini, para ulama lebih mendahulukan beliau berbanding Imam Muslim, Abu Daud dan al-Tirmizi. Al-Zahabi berkata: “Dia (al-Nasa’i) lebih pakar tentang hadis, ‘ilalnya dan perawinya daripada Muslim, Abu Daud dan Abu ‘Isa (al-Tirmizi). Beliau setanding dengan al-Bukhari dan Abu Zur’ah.”

Imam al-Nasa’i juga merupakan ulama yang menghimpunkan antara hadis dan fiqh. Sebagaimana yang dimaklumi, fiqh adalah hasil pengeluaran hukum daripada hadis. Oleh itu, seorang ahli hadis yang hebat dalam masa yang sama juga merupakan seorang ahli fiqh dan Imam al-Nasa’i salah seorang daripadanya. Ulama sezaman dengannya menyaksikan perkara tersebut. Al-Daraqutni berkata: “Abu Abdul Rahman (al-Nasa’i) adalah ulama Mesir yang paling pakar dalam ilmu fiqh di zamannya.”

Kitabnya, al-Sunan merupakan dalil penguasaan beliau dalam ilmu fiqh. Penguasaannya iu terlihat pada peletakan tajuk-tajuk bab dalam kitab berkenaan yang menunjukkan kuatnya kemampuan beliau dalam mengeluarkan masalah-masalah fiqh daripada hadis-hadis yang beliau riwayatkan. Selain itu, beliau juga pernah menjawat jawatan qadhi (hakim) di Homs dan Mesir dan sebagaimana yang sedia diketahui, tidak mungkin untuk seseorang memegang jawatan itu melainkan dia seorang yang pakar dalam ilmu fiqh.

Antara pujian para ulama terhadap beliau:

1 – Ibnu Mandah berkata: “Ahli hadis yang dapat mengeluarkan hadis yang sahih, membezakan hadis yang sabit dengan yang ma’lul (daif) dan yang silap daripada yang benar ialah Abu Abdillah Muhammad bin Isma’il al-Bukhari, Abu al-Husein Muslim bin al-Hajjaj, dan selepas kedua mereka: Abu Daud Sulaiman bin al-Asy’ath bin Ishaq al-Sijistani dan Abu Abdul Rahman Ahmad bin Syu’ab (al-Nasa’i).”

2 – Ibnu Nuqtah berkata: “Pengarang al-Sunan (yakni al-Nasa’i) telah meriwayatkan hadis dari ramai orang. Beliau telah mengelilingi beberapa tempat: Iraq, Hijaz, Syam dan Mesir. Beliau adalah salah seorang imam daripada imam-imam kaum muslimin.”

3 – Al-Zahabi berkata: “Beliau adalah salah seorang daripada lautan ilmu, memiliki kefahaman, ketelitian, tajam pemikirannya, pakar menilai perawi dan elok penulisannya. Beliau telah mengembara untuk menuntut ilmu di Khurasan, Hijaz, Mesir, Iraq, al-Jazirah, Syam dan Thugur (tempat di antara Syria dan Turki). Kemudian beliau tinggal di Mesir dan para ulama hadis datang kepadanya. Tidak ada yang sebanding dengannya dalam ilmu ini (ilmu hadis).”

Al-Zahabi berkata lagi: “Imam, hafiz, mantap hafalannya (thabt), syeikh al-Islam, pakar hadis.”

Kata beliau lagi: “Kemuncak ilmu hadis ada pada beliau.”

4 – Ibnu ‘Adi berkata: “Aku mendengar al-Faqih Mansur dan Ahmad bin Muhammad bin Salamah al-Tahawi, mereka berdua berkata: Abu Abdul Rahman al-Nasa’i adalah salah seorang daripada imam kaum muslimin.”

5 – Al-Hakim berkata: “Aku mendengar al-Hafiz Abu ‘Ali  (al-Naisaburi) berkata: Aku melihat ada empat orang di kalangan ahli hadis di negeriku dan sepanjang permusafiranku. Dua daripada mereka dari Naisabur: Muhammad bin Ishaq dan Ibrahim bin Abi Talib. Abu Abdul Rahman al-Nasa’i di Mesir dan ‘Abdan di al-Ahwaz.”

6 – Hamzah bin Yusuf al-Sahmi berkata: “Ditanya (kepada al-Daraqutni): Jika Abu Abdul Rahman al-Nasa’i dan Ibnu Khuzaimah menyampaikan hadis, siapa yang lebih patut diutamakan? Beliau menjawab: Abu Abdul Rahman, kerana tidak ada yang seumpama dengannya. Aku tidak akan mengutamakan sesiapa pun ke atasnya. Tidak ada orang yang warak sepertinya. Beliau tidak meriwayatkan hadis yang disampaikan oleh Ibnu Lahi’ah. Beliau mempunyai sanad yang tinggi (yang diriwayatkan) dari Qutaibah.”

7 – Al-Khalili berkata: “Beliau seorang hafiz yang disepakati (keutamaannya). Pakar-pakar hadis (huffaz) menerimanya dan kitabnya digandingkan bersama kitab (Sahih) al-Bukhari, Muslim dan Abu Daud…ahli hadis sepakat akan kekuatan hafazannya dan ketelitiannya. Pendapatnya dalam jarh dan ta’dil dijadikan pegangan. Kitabnya tentang sunnah diterima .”

8 – Abu Sa’id Ibnu Yunus berkata: “Beliau adalah imam dalam hadis, dapat dipercayai (thiqah), mantap (thabt) dan pakar hadis (hafiz).”

9 – Abu Ali al-Naisaburi berkata: “Telah mengkhabarkan kepada kami imam dalam hadis yang tidak disangkal lagi, Abu Abdul Rahman al-Nasa’i.”

10 – Al-Hakim berkata: “Aku mendengar al-Hafiz Abu Hasan Ali bin Umar beberapa kali berkata: Abu Abdul Rahman lebih diutamakan ke atas setiap orang yang disebutkan dalam ilmu ini (ilmu hadis) di kalangan orang di zamanya.”

Beliau berkata lagi: “Abu Abdul Rahman al-Nasa’i adalah yang paling faqih di kalangan ulama Mesir di zamannya dan beliau yang paling arif tentang hadis sahih dan daif dan paling kenal tentang perawinya.”

11 Al-Sam’ani berkata: “Pengarang kitab al-Sunan, imam pada waktunya. Beliau tinggal di Mesir selama beberapa ketika dan di situ tersebar penulisannya.”

12 – Yaqut al-Hamawi berkata: “Pengarang kitab al-Sunan. Beliau adalah imam di masanya dalam ilmu hadis. Beliau tinggal di Mesir dan tersebar tulisan-tulisannya di sini. Beliau adalah salah seorang daripada imam dan tokoh, mengarang kitab al-Sunan dan kitab-kitab yang lain.”

13 - Al-Rafi’i berkata: “Pengarang kitab yang dikenali sebagai al-Sunan. Di dalamnya terdapat bukti yang zahir akan banyak ilmunya, baik susunan dan ringkasannya, kuat pandangan beliau dalam mengeluarkan makna-makna (hadis) yang diterangkan melalui peletakan tajuk bab-babnya.”

14 - Ibnu Qattan berkata: “Beliau adalah imam ahli hadis.”

15 - Al-Mizzi berkata: “Beliau salah seorang daripada imam-imam yang unggul, pakar hadis (huffaz) yang teliti dan tokoh yang masyhur. Beliau mengelilingi beberapa negara dan mendengar hadis di Khurasan, Iraq, Hijaz, Mesir, Syam dan Jazirah.”

Karya Penulisan

Imam al-Nasa’i termasuk dalam kalangan ulama yang mempunyai banyak hasil penulisan. Kebanyakan kitab beliau berkisar berkenaan hadis, ‘ilal dan perawi hadis.

Ibnu al-Athir berkata: “Beliau mempunyai banyak kitab tentang hadis, ilal dan selain itu.”

Antara penulisan beliau:

1 - Al-Sunan al-Kubra.

Kitab ini merupakan sumber asal kepada Sunan al-Nasa’i.

Imam al-Nasa’i telah mengarang kitab ini dengan menyusun hadis-hadisnya berdasarkan kitab (tajuk besar) dan bab-bab kecil. Allah telah mengurniakan kepada beliau kebijaksanaan akal yang tiada bandingannya dalam mengeluarkan hukum daripada hadis. Penulisannya ini menjadi bukti bahawa beliau seorang yang sangat faqih terhadap isi kandungan hadis.

Dalam kitab ini beliau menghimpunkan antara ilmu hadis dan ilmu fiqh. Pembaca akan mendapati beliau akan mengulangi beberapa buah hadis yang sama di beberapa tempat kerana beliau dapat mengeluarkan beberapa jenis hukum daripada hadis yang sama. Walaupun dalam banyak ketika tujuan beliau mengulangi hadis-hadis tersebut bukan bertujuan menyatakan hukum baru yang beliau dapat keluarkan melainkan hanya sebagai hadis sokongan (syahid) sahaja.

Beliau juga ada menyebutkan beberapa buah hadis mursal, athar sahabat dan dan sedikit hadis mu’allaq (tanpa sanad lengkap).

Selain itu beliau juga sering menyebutkan beberapa buah sanad bagi satu-satu hadis. Lalu beliau menjelaskan perbezaan yang berlaku dalam sanad dan matan serta menjelaskan riwayat yang lebih kuat bergantung kepada tahap kekuatan hafalan perawi hadis tersebut.

Kadang-kala beliau menyebutkan beberapa buah hadis yang saling bertentangan dalam satu bab lalu beliau akan menyatakan pendapat yang kuat di sisi beliau tentang hadis itu.

Beliau juga tidak lupa membincangkan status para perawinya dari sudut jarh dan ta’dil meskipun tidaklah kesemua perawi dinyatakan status mereka.

Juzuk pertama dari kitab ini telah diterbitkan pada tahun 1972 dan hanya mengandungi kitab taharah. Kitab ini telah ditahqiq oleh Syeikh Abdul Samad Syarafuddin.

Setelah itu pada tahun 1991, dua orang muhaqqiq, Dr. Abdul Ghaffar al-Bundari dan Sayyid Kasrawi Hasan telah menerbitkan kitab ini secara sempurna sebanyak 6 jilid yang mengandungi 11770 buah hadis dan pada jilid ke-7 terdapat indeks (fihris) bagi kitab ini.

Pada tahun 2001 pula, Muassasah al-Risalah telah menerbitkan kitab ini dalam 10 jilid dengan berpandukan sebanyak 6 buah manuskrip tulisan tangan. Jilid ke 11 dan 12 pula mengandungi bahagian indeks. Dalam terbitan ini terdapat 11949 buah hadis. Muhaqqiq kitab ini, Hasan Abdul Mun’im al-Syalabi telah membetulkan beberapa kesilapan yang terdapat dalam terbitan dahulu, menyediakan takhrij ringkas bagi hadisnya, membuat beberapa ulasan penting dan menyatakan kedudukan hadis tersebut dalam Musnad Ahmad untuk memudahkan pembaca merujuk takhrij hadis yang lebih luas dalam Musnad Ahmad.

Penerbit Dar al-Ta’sil pada tahun 2012 telah menerbitkan kitab ini menggunakan 11 manuskrip tulisan tangan. Kitab ini dianggap cetakan terbaik setakat ini kerana menggunakan manuskrip yang lebih banyak berbanding terbitan sebelum ini, menambah beberapa buah hadis yang tidak terdapat dalam terbitan Muassasah al-Risalah sebelum ini selain membetulkan kesilapan yang terkandung di dalamnya.

2 - Al-Sunan al-Sughra.

Kitab ini turut dikenali sebagai Sunan al-Nasa’i, al-Mujtaba dan al-Mujtana.

Setelah Imam al-Nasa’i mengarang al-Sunan al-Kubra, beliau lalu menghadiahkannya kepada pemimpin al-Ramlah, Palestin. Lalu pemimpin tersebut bertanya: “Adakah semua dalam kitab ini sahih?” Al-Nasa’i menjawab: “Tidak.” Pemimpin itu lalu meminta Imam al-Nasa’i untuk mengasingkan hadis sahih daripada kitab al-Sunan al-Kubra tersebut lalu Imam al-Nasa’i memenuhi pemintaan tersebut dan menyusun al-Sunan al-Sughra.

Siapa Pengarang Sebenar al-Sunan al-Sughra?

Terdapat khilaf di kalangan ulama sama ada ringkasan ini benar-benar hasil ringkasan Imam al-Nasa’i sendiri atau usaha muridnya, Ibnu al-Sunni.

Al-Zahabi adalah dikalangan ulama yang berpendapat bahawa kitab ini adalah hasil ringkasan Ibnu al-Sunni.

Beliau berkata dalam Siyar A’lam al-Nubala’: “Kitab sunan beliau (al-Nasa’i) yang ada pada kita (pada hari ini) adalah kitab al-Mujtaba yang merupakan saringan Abu Bakar Ibnu al-Sunni.”

Beliau berkata lagi: “Bahkan al-Mujtaba merupakan hasil pemilihan (hadis) Ibnu al-Sunni.”

Beliau berkata dalam Tazkirah al-Huffaz ketika membincangkan biografi Ibnu al-Sunni: “Ibnu al-Sunni merupakan seorang yang beragama, baik dan jujur. Beliau meringkaskan kitab al-Sunan dan menamakannya sebagai al-Mujtaba.”

Padangan Al-Zahabi ini diikuti oleh sebahagian ulama seperti Tajuddin al-Subki dan Ibnu Nasiruddin al-Dimasyqi.

Al-Subki berkata dalam biografi Ibnu al-Sunni: “Beliau mengarang kitab tentang qana’ah, amalan siang dan malam dan beliau meringkaskan Sunan al-Nasa’i.”

Ibnu ‘Imad dalam Syazarat al-Zahab menukilkan dari Ibnu Nasiruddin al-Dimasyqi, beliau berkata: “Ibnu al-Sunni meringkaskan Sunan al-Nasa’i dan beliau menamakannya al-Mujtaba.”

Jumhur ulama pula berpendapat bahawa Imam al-Nasa’i adalah pengarang sebenar bagi al-Sunan al-Sughra. Antara ulama yang berpendapat sedemikian ialah Ibnu al-Athir, Ibnu Kathir, al-‘Iraqi dan al-Sakhawi. Menurut mereka Ibnu al-Sunni bukanlah pengarang sebenar sebaliknya hanya meriwayatkan kitab tersebut dari Imam al-Nasa’i. Berikut adalah antara bukti kepada perkara tesebut:

i) Dalam kitab al-Sunan al-Sughra terdapat beberapa pernyataan secara jelas dari Ibnu al-Sunni bahawa beliau mendengar kitab ini dari lafaz Imam al-Nasa’i.

ii) Dalam kitab ini terkandung beberapa buah hadis dan bahkan kitab (tajuk besar) yang tidak terdapat kitab al-Sunan al-Kubra. Jika benar  Ibnu al-Sunni yang meringkaskan al-Sunan al-Kubra, maka daripada mana beliau ambil penambahan ini? Jika beliau mengambil penambahan ini dari al-Nasa’i di luar kitab al-Sunan al-Kubra, maka pasti beliau akan menyatakan perkara ini.

iii) Para ulama yang meriwayatkan kitab ini pasti akan menyatakan akhir sanadnya sehingga kepada Imam al-Nasa’i. Ini menjadi bukti bahawa al-Nasa’i adalah pengarang kitab ini. Jika tidak pasti sanad mereka akan berakhir kepada Ibnu al-Sunni sahaja.

Manhaj al-Nasa’i dalam al-Sunan al-Sughra

Dalam kitab ini al-Nasa’i hanya menghimpunkan hadis berkenaan hukum-hakam, melainkan terdapat sebahagian kecil hadis yang tidak berkaitan hukum-hakam. Susunan hadisnya juga disusun mengikut bab-bab fiqh dan cara susunannya tidak jauh beza dengan Sunan Abu Daud.

Beliau akan membawa beberapa buah sanad bagi sesebuah hadis. Di samping itu, beliau juga akan mengulangi hadis yang sama di beberapa buah tempat sebagaimana yang dilakukan oleh al-Bukhari.

Perbezaan al-Sunan al-Sugra ini dengan kitab sunan yang lain ialah al-Nasa’i tidak memberikan sebarang ulasan berkaitan hukum-hakam fiqh dan beliau juga tidak membawakan pandangan sahabat, tabi’in dan imam-imam mazhab.

Para ulama yang mengkaji hadis-hadis yang terkandung dalam kitab ini telah membahagikan hadisnya kepada empat kategori dari sudut kesahihannya:

(1) Hadis sahih mengikut syarat al-Bukhari dan Muslim dan telah dimasukkan dalam dua sahih mereka.

(2) Hadis sahih mengikut syarat mereka berdua namun mereka tidak memasukkannya dalam sahih mereka.

(3) Hadis tersebut sahih menurut syarat al-Nasa’i.

(4) Hadis tersebut daif dan dijelaskan kedaifannya oleh al-Nasa’i.

Kitab ini dianggap kitab sunan yang paling sedikit hadisnya yang daif dan para perawinya yang dikritik di kalangan empat buah kitab sunan. Hal ini disebabkan ketegasan al-Nasa’i dalam menyaring para perawinya. Oleh itu, terdapat sebahagian ulama yang menggelarkannya sebagai kitab Sahih.

Kitab ini telah diterbitkan beberapa kali namun cetakan terbaik untuk kitab ini adalah yang diterbitkan oleh Dar al-Ta’sil menggunakan 8 manuskrip tulisan tangan dan sebuah naskah yang dicetak di India.

3 - Tafsir al-Quran al-‘Azim.

Kitab ini telah diterbitkan oleh Muassasah al-Kutub al-Thaqafah di Beirut pada tahun 1990 sebanyak dua jilid.

4 - Khasais Ali bin Abi Talib.

Kitab ini awal-awalnya telah diterbitkan oleh al-Matba’ah al-Khairiyah di Mesir pada tahun 1308 H. Setelah hampir seratus tahun kemudian kitab ini diterbitkan sekali lagi oleh Maktabah al-Ma’la di Kuwait pada tahun 1406 H di bawah seliaan Ahmad Mirin al-Balusyi.

Syeikh Abu Ishaq al-Huwaini juga telah meringkaskan kitab ini dengan tajuk Tahzib Khasais al-Imam Ali.

5 - ‘Amal al-Yaum Wa al-Lailah.

Kitab ini telah diterbitkan beberapa kali dan antara terbitan yang terbaik bagi kitab ini ialah terbitan Muassasah al-Risalah yang telah disemak oleh Dr Faruq Hamadah.

6 - Fadhail al-Quran.

Kitab ini juga telah diterbitkan dengan semakan Dr Faruq Hamadah.

7 - ‘Isyrah al-Nisa’.

Terdapat beberapa edisi terbitan bagi kitab ini yang telah disemak oleh beberapa muhaqqiq yang berbeza iaitu tahqiq ‘Amru Ali ‘Umar, tahqiq Muhammad Ali Qutb dan tahqiq Mahmud Tha’mah Halabi.

8 - Fadhail al-Sahabah.

Nama lain bagi kitab ini ialah Manaqib al-Sahabah. Penerbit Dar al-Thaqafah dan Dar al-Baidha’ telah menerbitkan kitab ini dengan semakan Dr Faruq Hamadah.

9 - Al-Juma’ah.

Kitab ini telah disemak oleh Muhammad al-Sa’id Zaghlul lalu diterbitkan oleh Maktabah al-Turath al-Islami pada tahun 1988.

Tujuh kitab yang terakhir ini pada mulanya telah dikarang oleh Imam al-Nasa’i secara berasingan kemudian setelah itu beliau menggabungkan tujuh kitab ini bersama dengan al-Sunan al-Kubra.

Al-Sakhawi dalam Bughyah al-Raghib setelah menyebutkan kitab Amal al-Yaum Wa al-Lailah dan Khasais Ali berkata: “Keduanya adalah dua bab daripada al-Sunan al-Kubra.”

Ibnu Hajar telah mengkritik al-Mizzi yang meletakkan rumus khas bagi sebahagian daripada 7 buah kitab tersebut dalam kitab Tahzib al-Kamal kerana tindakan tersebut akan menyebabkan pembaca menyangka kitab-kitab tersebut adalah berasingan daripada al-Sunan al-Kubra.  

10 - Ahasan Asanid Allati Tarwi ‘An Rasulillah.

Kitab ini diterbitkan bersama beberapa risalah lain berkenaan ilmu hadis dengan tajuk Majmu’ah Rasail Fi Ulum al-Hadith yang ditahqiq oleh Jamil ‘Ali Hasan pada tahun 1985.

11 - Al-Ikhwah Wa al-Akhawat Min al-Ulama’ Wa al-Ruwah.

12 - Asma’ al-Ruwah Wa al-Tamyiz Bainahum.

13 - Majlisan Min Imla’.

Menghimpunkan 48 buah hadis yang telah diimlakkan kepada murid-muridnya. Kitab ini diterbitkan dengan tahqiq Abu Ishaq al-Huwaini oleh penerbit Maktabah al-Tarbiyyah al-Islamiyyah di Giza, Mesir pada tahun 1994.

14 - Al-Asma’ Wa al-Kuna.

15 - Tasmiyyah Masyaikh Abi Abdul Rahman Ahmad bin Syu’aib bin Ali al-Nasa’i Allazi Sami’a Minhum.


Diterbitkan oleh Dar al-‘Alam al-Fawaid pada tahun 1423 Hijriah dengan tahqiq al-Syarif Hatim al-‘Auni. Kitab ini juga ada diterbitkan dengan nama ‘Tasmiyyah al-Shuyukh’ yang ditahqiq oleh Qasim Ali Sa’id.

16 - Tasmiyyah Fuqaha’ al-Amsar Min Ashab Rasulullah Wa Man Ba’dahum Min Ahl al-Madinah.

Kitab ini telah diterbitkan beberapa kali, antaranya terbitan Dar al-Wa’i di Halab pada tahun 1369 yang telah ditahqiq oleh Mahmud Ibrahim Zayad, diletakkan sebagai lampiran bersama kitab al-Dhu’afa’ Wa al-Matrukin dan diterbitkan bersama beberapa risalah lain berkenaan ilmu hadis dengan tajuk Majmu’ah Rasail Fi Ulum al-Hadith yang ditahqiq oleh Jamil ‘Ali Hasan.

17 - Tasmiyyah Man Lam Yarau ‘Anhu Ghair Rajul Wahid.

Kitab ini juga telah diterbitkan beberapa kali, iaitu dengan tahqiq oleh Mahmud Ibrahim Zayad, tahqiq Jamil ‘Ali Hasan  dan diterbitkan bersama kitab al-Dhu’afa’ Wa al-Matrukin.

18 - Al-Jarh Wa al-Ta’dil.

19 - Juzu’ Min Hadith ‘An al-Nabi.

Kemungkinan kitab ini sebahagian daripada kitab al-Sunan al-Kubra.

20 - Shuyukh al-Zuhri.

21 - Al-Dhu’afa’ Wa al-Matrukin.

Kitab ini telah diterbitkan di Pakistan pada tahun 1982 dalam satu jilid bersama kitab al-Tarikh al-Saghir karya al-Bukhari. Di bahagian nota kakinya terdapat ulasan al-Azim Abadi dan Muhammad Muhyiddin Ilah Abadi. Terdapat juga edisi terbitan kitab ini yang ditahqiq oleh Mahmud Ibrahim Zayad dan tahqiq Jamil ‘Ali Hasan.

22 - Al-Thabaqat.

Diterbitkan bersama beberapa risalah lain berkenaan ilmu hadis dengan tajuk Majmu’ah Rasail Fi Ulum al-Hadith yang ditahqiq oleh Jamil ‘Ali Hasan.

23 - Musnad Hadith Ibnu Juraij.

24 - Musnad Hadith al-Zuhri Bi ‘Ilalihi Wa al-Kalam ‘Alaih.

25 - Musnad Hadith Syu’bah bin al-Hajjaj.

26 - Musnad Hadith Ali bin Abi Thalib.

27 - Musnad Hadith Malik bin Anas.

28 - Manasik al-Hajj.

Dituduh Berfahaman Syiah

Terdapat sebilangan ulama yang menuduh beliau berfahaman Syiah, antaranya ialah Ibnu Khalikan. Beliau berkata dalam kitab Wafayat al-A’yan: “Beliau berfahaman Syiah(tashayyu’).”

Al-Zahabi dalam Siyar A’lam al-Nubala’ berkata: “Tidak ada seorang pun di awal tahun 300 Hijriah yang lebih pakar hadis berbanding al-Nasa’i. Beliau lebih mahir tentang hadis, ‘ilalnya dan perawinya berbanding Muslim, Abu Daud dan Abu Isa (al-Tirmizi). Beliau setara dengan al-Bukhari dan Abu Zur’ah. Melainkan pada beliau ada sedikit fahaman Syiah dan tidak suka terhadap musuh-musuh Imam Ali seperti Mu’awiyah dan ‘Amru (bin al-‘As).”

Ibnu Kathir dalam al-Bidayah Wa al-Nihayah berkata: “Dikatakan bahawa beliau dikaitkan dengan sedikit  fahaman Syiah.”

Mungkin sebab beliau dituduh berfahaman Syiah kerana beliau mengarang kitab tentang kelebihan Ali bin Abi Thalib yang beliau namakan ‘Khasais Ali bin Abi Thalib’ dan beliau tidak mengarang tentang kelebihan Syaikhain (Abu Bakar dan Umar) dan kelebihan sahabat yang lain.

Tetapi beliau sendiri telah menjawab tujuan beliau mengarang kitab berkenaan sewaktu ditanya oleh muridnya Muhammad bin Musa al-Ma’muni. Beliau berkata: “Aku mendengar beberapa orang mengutuk Abi Abdul Rahman al-Nasa’i disebabkan kitab Khasais Ali dan beliau tidak mengarang kelebihan Syaikhain. Aku menceritakan perkara tersebut kepada beliau.”

Beliau menjawab: “Aku masuk ke Damsyik dan terdapat ramai orang yang membenci Ali. Lalu aku karang kitab al-Khasais dengan harapan semoga Allah memberi hidayah kepada mereka.”

Bukti lain yang menunjukkan bahawa beliau tidak berfahaman Syiah ialah beliau juga turut meriwayatkan hadis dari beberapa orang perawi yang terkenal berfahaman Nasibi (membenci Sayyidina Ali dan keturunannya) seperti Ibrahim bin Ya’qub al-Juzjani (al-Nasa’i sangat banyak meriwayatkan hadis daripadnya) dan Shimr bin ‘Athiyyah al-Asadi (al-Nasa’i menthiqahkannya). Selain itu, beliau juga turut meriwayatkan hadis dari Umar bin Sa’ad bin Abi Waqqas al-Madani yang merupakan pemimpin bagi pasukan tentera yang membunuh al-Hussein bin Ali. Kebiasaannya mereka yang berfahaman Syiah pasti akan menjauhkan diri dari meriwayatkan hadis dari perawi yang berfahaman Nasibi.

Di samping itu, beliau juga menghususkan satu bab dalam kitab Sunannya berkaitan kelebihan sahabat-sahabat Nabi dan di dalamnya terdapat hadis-hadis kelebihan Uthman bin ‘Affan dan Amru bin al-‘As.

Mazhab Fiqh

Terdapat beberapa orang ulama yang mengarang kitab tabaqat ulama mazhab al-Syafi’i seperti al-Subki, Ibnu Qadhi Syuhbah, al-Isnawi dan lain-lain yang berpandangan bahawa Imam al-Nasa’i termasuk dikalangan ulama yang bermazhab al-Syafi’i.

Mungkin kerana mereka berpegang dengan kalam Imam Ibnu Athir dalam mukadimah kitabnya, Jami’ al-Usul yang mengkategorikan Imam al-Nasa’ie sebagai ulama mazhab al-Syafie. Beliau berkata: “Al-Nasa’i seorang yang bermazhab al-Syafi’i. Beliau mempunyai sebuah kitab Manasik (haji) yang mengikut mazhab al-Syafi’i.”

Namun begitu ulama lain yang menulis biografi Imam al-Nasa’i seperti al-Mizzi, al-Zahabi dan Ibnu Kathir tidak menisbahkan mazhab al-Syafi’i kepada beliau.

Kemungkinan besar sebenarnya beliau tidaklah bermazhab al-Syafi’i kerana beliau sendiri ialah salah seorang daripada imam-imam hadis bertaraf mujtahid yang tidak terikat dengan mazhab tertentu. Sebelum ini telah disebutkan pujian Imam al-Daraqutni yang memujinya sebagai ulama Mesir yang paling pakar dalam ilmu fiqh di zamannya.

Kitab Sunan beliau menjadi bukti kukuh penguasaan beliau dalam fiqh dan kemahiran beliau mengeluarkan hukum fiqh daripada hadis. Semua ini terzahir pada peletakan tajuk-tajuk bab dalam kitab ini. Bahkan cara beliau menamakan bab-bab tersebut hampir sama dengan metod al-Bukhari dalam kitab Sahihnya.

Mungkin maksud penisbahan mazhab al-Syafi’i kepada beliau itu kerana beliau banyak mengikut kaedah Imam al-Syafi’i dalam berijtihad dan mengkaji dalil. Imam Waliyullah al-Dihlawi dalam Hujjaatullah al-Balighah berkata: “Terdapat ahli hadis yang dinisbahkan kepada salah satu daripada mazhab-mazhab yang ada disebabkan banyaknya persamaan pendapat antara ahli hadis tersebut dengan mazhab itu seperti al-Nasai dan al-Baihaqi yang dinisbahkan kepada mazhab al-Syafi’i.”

Kematian

Selepas mengembara bertahun-tahun ke serata tempat untuk mempelajari hadis serta menghimpunkannya, beliau memilih untuk tinggal di Mesir. Tetapi sekitar 3 bulan setengah sebelum kewafatannya, beliau membuat keputusan untuk keluar dari Mesir. Dikatakan tujuan beliau keluar dari Mesir itu adalah untuk mengerjakan haji. Di tengah perjalanannya itu beliau singgah di Damsyik. Di sini telah berlaku satu peristiwa yang membuatkan beliau ditimpa musibah sehingga menjadi sebab beliau meninggal dunia.

Terdapat banyak riwayat yang menunjukkan para ulama telah berbeza pendapat tentang tarikh kewafatan serta tempat beliau meninggal dunia dan dikebumikan.

Muridnya, Ibnu Yunus berkata: “Beliau keluar dari Mesir pada bulan Zulkaedah tahun 302 Hijriah dan beliau meninggal beberapa bulan selepas itu di Palestin iaitu pada hari Isnin 13 Safar tahun 303 Hijriah.”

Begitu juga yang disebutkan oleh Abu Ja’far al-Tahawi. Beliau berkata: “Beliau meninggal dunia pada bulan Safar tahun 303 Hijriah di Palestin.”

Al-Hakim berkata: “Dan bersama kelebihan-kelebihan yang sedia ada pada Abu Abdul Rahman, beliau juga telah dikurniakan syahid di akhir umurnya. Telah menceritakan kepadaku oleh Muhammad bin Ishaq al-Asbahani, beliau berkata: Aku telah mendengar guru-guruku di Mesir menyebutkan bahawa Abu Abdul Rahman telah keluar dari Mesir di akhir umurnya dan menuju ke Damsyik. Lalu beliau ditanya tentang Mu’awiyah bin Abu Sufyan dan hadis yang diriwayatkan tentang kelebihannya. Beliau menjawab: Adakah Muawiyah tidak suka dianggap sama (seperti orang lain) sehingga dia mahu untuk dilebihkan (berbanding orang lain)? Muhammad bin Ishaq al-Asbahani berkata: Orang ramai lalu berterusan menolak-nolak dadanya sehingga beliau dikeluarkan dari masjid. Kemudian beliau dibawa ke al-Ramlah dan beliau meninggal dunia di situ pada tahun 303 Hijriah. Beliau telah dikebumikan di al-Ramlah.”

Ibnu ‘Athiyyah berkata: “Abu Abdul Rahman al-Nasa’i meninggal dunia di al-Ramlah tahun 302 Hijriah dan ada yang berkata 303 Hijriah.”

Ibnu ‘Asakir berkata: “Al-Nasa’i keluar dari Mesir pada bulan Zulkaedah 302 Hijriah. Beliau meninggal dunia di Palestin pada hari Isnin 13 Safar tahun 303 Hijriah. Ada yang mengatakan beliau meninggal dunia di al-Ramlah dan dikebumikan di Baitul Maqdis.”

Meskipun begitu, al-Daraqutni telah membawa pandangan yang berbeza dengan kesemua ulama itu berkenaan bulan dan tempat wafat al-Nasa’i.  Beliau berkata: “Beliau keluar untuk melakukan haji namun beliau ditimpa dugaan sewaktu di Damsyik dan beliau mendapat syahid. Al-Nasa’i berkata: Bawalah aku ke Mekah. Lalu beliau dibawa (ke Mekah) dan meninggal di sana. Beliau dikebumikan di antara Safa dan Marwah. Tarikh kewafatan beliau pada bulan Sya’ban tahun 303 Hijriah.”

Ibnu al-Athir dalam Jami’ al-Usul juga meyakini bahawa beliau dikebumikan di Mekah. Saudara beliau, al-‘Izz Abu al-Hasan dalam al-Kamil Fi al-Tarikh juga berpendapat beliau dikebumikan di Safa dan Marwah.

Tetapi al-Zahabi memilih untuk menguatkan pendapat Ibnu Yunus. Selepas membawakan ucapan Ibnu Yunus, beliau berkata: “Inilah yang lebih tepat kerana Ibnu Yunus adalah seorang hafiz yang peka. Beliau belajar dengan al-Nasa’i dan beliau lebih mengenalinya.”

Ulama lain yang senada dengan al-Zahabi ialah Tajuddin al-Subki. Beliau berkata: “Para ulama berkhilaf tentang tempat wafatnya. Pendapat yang tepat ialah beliau dikeluarkan dari Damsyik apabila beliau menyebutkan tentang kelebihan Ali. Kemudian beliau dibawa ke al-Ramlah dan beliau meniggal dunia di sana. Pandangan lain menyebutkan beliau dibawa ke Mekah lalu dikebumikan di antara Safa dan Marwah.

Imam al-Nasa’i adalah imam yang terakhir meninggal dunia di kalangan enam orang pengarang Kutub Sittah. Selain itu, beliau juga termasuk di kalangan ulama yang berusia panjang kerana beliau meninggal dunia ketika berusia 88 tahun. Semoga Allah merahmati beliau atas khidmat beliau terhadap hadis Nabi sallahu ‘alaihi wasallam.

Kubur Imam al-Nasa'i di Ramlah, Palestin


Tiada ulasan:

Catat Ulasan