Khamis, 29 Februari 2024

Jenis-Jenis Kitab Hadis

1 - Sunan:

Kitab yang mengumpulkan hadis-hadis marfu' (bersambung sehingga Nabi) yang membicarakan tentang hukum dan disusun berdasarkan susunan kitab fiqah. Iaitu dimulakan dengan bab bersuci, solat, zakat, haji hinggalah ke akhirnya. Kebanyakan kitab Sunan ini tidak terdapat dalamnya bab-bab yang membincangkan tentang aqidah, sejarah, bab pancaroba akhir zaman (fitan) dan kelebihan para sahabat (manaqib).

Begitu juga kebanyakan kitab Sunan tidak terkandung dalamnya hadis-hadis mauquf dan hadis-hadis mursal. Hal ini adalah kerana secara zahirnya kitab ini dinamakan semperna perkataan sunnah (iaitu segala yang disandarkan kepada nabi, sedangkan hadis mauquf ialah perkara yang disandarkan kepada sahabat). Sekiranya terdapat hadis mauquf dan mursal dalam kitab Sunan, maka hanyalah sebagai dalil penyokong dan bukan perbahasan utama.

Contoh kitab Sunan:

(i) Sunan Abu Daud.

(ii) Sunan al-Nasa’i.

(iii) Sunan Ibnu Majah.

(iv) Sunan al-Kubra karangan al-Baihaqi.

(v) Sunan al-Daraqutni.

2 - Jami’:

Kitab yang disusun hadis-hadis dalamnya berdasarkan kepada susunan bab-bab yang mengumpulkan hadis-hadis daripada semua topik-topik dalam agama. Bilangannya adalah sebanyak lapan bab utama iaitu: Aqidah, hukum-hukum, sirah dan sejarah, adab-adab, tafsir, pancaroba-pancaroba akhir zaman (fitan), tanda-tanda kiamat, kelebihan sahabat (manaqib).

Perbezaannya dengan kitab Sunan adalah kebiasaannya kitab Sunan tidak memuatkan bab akidah, fitan dan manaqib.

Contoh kitab Jami’:

(i) Al-Jami’ al-Sahih atau Sahih al-Bukhari.

(ii) Al-Musnad al-Sahih atau Sahih Muslim.

(iii) Al-Jami’ al-Mukhtasar atau Jami’ al-Tirmizi.

3 - Musnad:

Kitab hadis yang disusun berdasarkan nama-nama para sahabat, dan bukannya disusun berdasarkan bab-bab fikah.

Objektifnya ialah menghimpunkan hadis-hadis setiap orang sahabat secara berasingan, tidak kira sama ada sahih, hasan ataupun daif. Turutan susunan nama-nama tersebut pula sama ada berdasarkan huruf abjad, atau menurut kabilah-kabilah, atau menurut mereka yang terdahulu memeluk Islam, atau berdasarkan kemuliaan nasab, atau sebagainya.

Contoh kitab Musnad:

(i) Musnad Abu Daud al-Thayalisi.

(ii) Musnad Ahmad bin Hanbal.


(iii) Musnad Al-Humaidi.

(iv) Musnad Abu Ya’la al-Mausili.

(v) Musnad al-Bazzar.

3 - Mu’jam:

Kitab yang terdapat dalamnya hadis-hadis yang disusun mengikut musnad para sahabat, atau syeikh-syeikh, atau nama negara atau sebagainya. Kebiasaannya susunan nama-nama ini adalah mengikut susunan huruf abjad.

Contoh Mu’jam:

(i) Mu’jam al-Saghir.

(ii) Mu’jam al-Ausath.

(iii) Mu’jam al-Kabir, ketiga-tiganya karangan al-Thabrani.

4 - Al-Muwatta’:

Kitab hadis yang disusun berdasarkan bab-bab fikah dan merangkumi hadis-hadis marfu', mawquf dan juga maqtu'.

Sebab kitab ini dinamakan sebagai Al-Muwatta' ialah kerana pengarangnya iaitu Imam Malik telah mempermudahkan kitab ini sebagai rujukan orang ramai dan beliau telah mempersiapkan hadis-hadis dalamnya dari sudut penyusunannya.

Namun ada juga yang berpendapat bahawa kitab ini dinamakan sebagai Al-Muwatta' mempersembahkan kitab karangan saya ini kepada 70 orang ulama Madinah, maka mereka semua telah bersetuju dengan saya. Lalu saya namakan kitab Muwatta' kerana kata-kata beliau: Sesungguhnya saya telahmempersembahkan kitab karangan saya ini kepada 70 orang ulama Madinah, maka mereka semua telah bersetuju dengan saya. Lalu saya namakan kitab ini sebagai Al-Muwatta' (kerana Al-Muwata' juga membawa maksud yang dipersetujui).

Sebenarnya kitab-kitab Al-Muwatta' adalah sama seperti kitab-kitab Al-Musannaf, sekalipun namanya berbeza.

Begitu juga Al-Muwatta' dengan As-Sunan, pada hakikatnya tidak terdapat perbezaan yang ketara antara Al-Muwatta' dengan As-Sunan, melainkan kitab-kitab As-Sunan itu kebiasaannya hanya mengumpulkan hadis-hadis yang marfu' sahaja.

Contoh al-Muwatta’:

(i) Muwatta’ Ibnu Abi Zi’b.

(ii) Muwatta’ Malik bin Anas.

(iii) Muwatta’ Ibrahim bin Abi Yahya.

(iv) Al-Muwatta’ al-Saghir dan al-Muwatta’ al-Kabir karangan Abdullah bin Wahb al-Misri.

(v) Muwatta’ Ismail al-Qadhi.

6 - Musannaf:

Kitab yang disusun mengikut susunan bab-bab fikah, yang merangkumi hadis-hadis nabawi, kata-kata para Sahabat, fatwa-fatwa Tabiin dan kadang kala terdapat fatwa-fatwa Tabi' al-Tabi'in.

Beza antara Musannaf dan Sunan ialah Musannaf mengandungi hadis-hadis marfu', mawquf dan maqtu'.

Manakala Sunan pula hanya merangkumi hadis-hadis marfu' sahaja, kecuali sedikit daripada mawquf dan maqtu'.

Ini kerana khabar mawquf dan maqtu' tidak dinamakan sebagai Sunan dalam istilah muhaddithin. Selain daripada perbezaan tersebut, Musannaf dan Sunan adalah sama dari semua sudut.

Contoh Musannaf:

(i) Musannaf Abdul Razzaq al-San’ani.

(ii) Musannaf Ibnu Abi Syaibah.

7 - Mustadrak:

Kitab yang mengandungi apa yang tidak diriwayatkan dalam sebuah atau lebih daripada sebuah kitab hadis. Hadis- hadis yang diriwayatkan itu adalah mengikut syarat pengarang kitab hadis tersebut, ataupun yang termasuk dalam babnya.

Contoh Kitab Mustadrak:

(i) Al-Mustadrak 'Ala As-Sahihain karangan al-Hakim al-Naisaburi.

Beliau telah mengarang kitab ini dengan menyusunnya berdasarkan bab-bab, mengikut sebagaimana susunan asal yang digunakan oleh Al-Bukhari dan Muslim dalam Sahih mereka. Dalam kitab ini beliau telah menyebut tiga jenis hadis, iaitu:

(a) Hadis-hadis sahih yang diriwayatkan berdasarkan syarat Al- Bukhari dan Muslim, atau berdasarkan syarat salah seorang dari mereka, dan mereka berdua tidak mengeluarkan hadis-hadis tersebut.

(b) Hadis-hadis sahih berdasarkan pandangan Al-Hakim sendiri, sekalipun ianya tidak menepati syarat Al-Bukhari dan Muslim, atau syarat salah seorang dari mereka. Hadis ini digambarkan sebagai hadis yang sahih sanadnya.

(c) Beliau juga menyebutkan hadis-hadis yang tidak sahih di sisinya, namun beliau telah memberi peringatan terhadapnya.

Bagaimanapun, dalam kitab ini beliau terlalu longgar dalam meletakkan hukum ke atas hadis-hadisnya sebagai sahih. Dengan sebab itulah kitab ini telah banyak dikritik oleh ulama yang terkemudian, dan mereka telah mengulas hadis-hadis yang terdapat dalamnya seperti yang dilakukan oleh al-Hafiz al-Zahabi. Beliau telah melakukan ringkasan terhadap kitab ini serta memberi ulasan terhadap perkara yang perlu diberi ulasan.

(ii) Al-Ilzamat karangan al-Daraqutni.

Kitab ini juga seperti al-Mustadrak 'Ala As-Sahihain. Beliau telah mengumpulkan hadis-hadis yang memenuhi syarat Al- Bukhari dan Muslim, dan mereka tidak mengeluarkan hadis-hadis tersebut dalam kitab Sahih mereka. Kitab ini disusun mengikut susunan kitab Al- Musnad.

8 - Mustakhrajat:

Kitab yang disusun oleh pengarangnya bersandarkan kepada salah sebuah kitab hadis yang bersanad, seperti Sahih al-Bukhari misalnya. Pengarang kitab tadi meriwayatkan hadis-hadis yang diriwayatkan oleh al-Bukhari itu dengan sanad-sanadnya sendiri, dan ia bertemu dengan al-Bukhari dalam setiap hadisnya pada guru yang sama, atau pada guru yang lebih atas daripadanya.

Faedah-Faedah Mustakhraj

(a) Mencari sanad yang tinggi.

(b) Menguatkan lagi hadis dengan adanya jalan riwayat yang pelbagai.

(c) Mengenalpasti melalui sebahagian jalan-jalan riwayatnya akan pertambahan perkataan yang berlaku, ataupun sebab atau peristiwa hadis itu diriwayatkan kerananya, ataupun apa sahaja yang boleh membantu bagi memahami maksud sebenar hadis tersebut.

Contoh Kitab Mustakhrij:

(i) Al-Mustakhraj ‘Ala Sahih al-Bukhari karangan Abu Nu’aim al-Asbahani.

(ii) Al-Mustakhraj ‘Ala Sahih Muslim karangan Abu ‘Awanah.

(iii) Al-Mustakhraj ‘Ala Jami’ al-Tirmizi.

9 - Zawaid:

Kitab Zawaid adalah satu jenis penulisan dalam bidang hadis, di mana dalamnya para penulis kitab zawaid mengumpulkan hadis-hadis tambahan dalam sesebuah kitab atau sejumlah kitab hadis, atas nisbah kepada sejumlah kitab hadis yang telah dikarang sebelumnya.

Contoh Kitab Zawaid:

(i) Ghayah al-Maqsad Fi Zawaid al-Musnad karangan al-Haithami. 

Al-Hafiz al-Haithami meneliti satu persatu hadis yang terdapat dalam Musnad Ahmad lalu dibandingkan dengan Kutub al-Sittah. Jika hadis tersebut hanya terdapat dalam Musnad Ahmad dan tidak terdapat dalam Kutub al-Sittah, maka beliau akan memasukkannya dalam kitab Ghayah al-Maqsad ini. Jika hadis tersebut ada dalam Musnad Ahmad serta Kutub al-Sittah, maka hadis tersebut akan diabaikan.

(ii) Al-Maqsad al-Ali Fi Zawaid Abi Ya'la al-Musili karangan al-Haithami.

Dikumpulkan di dalamnya hadis-hadis tambahan yang hanya ada dalam Musnad Abu Ya'la tetapi tidak ada dalam Kutub al-Sittah.

(iii) Kasyf al-Astar 'An Zawaid al-Bazzar karangan al-Haithami.

Dikumpulkan di dalamnya hadis-hadis tambahan yang hanya ada dalam Musnad al-Bazzar tetapi tidak ada dalam Kutub al-Sittah.

(iv) Al-Badr al-Munir Fi Zawaid al-Mu'jam al-Kabir karangan al-Haithami.

Dikumpulkan di dalamnya hadis-hadis tambahan yang hanya ada dalam Mu'jam al-Kabir karangan al-Thabarani tetapi tidak ada dalam Kutub al-Sittah.

(v) Majma' al-Bahrain Fi Zawaid al-Mu'jamain karangan al-Haithami.

Dikumpulkan di dalamnya hadis-hadis tambahan yang hanya ada dalam Mu'jam al-Ausath dan Mu'jam al-Saghir karangan al-Thabarani tetapi tidak ada dalam Kutub al-Sittah.

(vi) Majma' al-Zawaid Wa Manba' al-Fawaid karangan al-Haithami.

Al-Haithami mengumpulkan hadis-hadis daripada kelima-lima kitab Zawaid yang disebutkan di atas, dibuangkan sanad-sanadnya dan dikumpulkan dalam satu kitab yang diberi nama Majma' al-Zawaid Wa Manba' al-Fawaid. Kitab ini disusun berdasarkan bab-bab (Bab Iman, Ilmu, Thaharah, Solat dan lain-lain) dan beliau akan memberi ulasan tentang status perawi yang berada dalam sanad.

(vii) Mawarid al-Zam'an Ila Zawaid Ibn Hibban karangan al-Haithami. 

Dikumpulkan di dalamnya hadis-hadis tambahan yang hanya ada dalam Sahih Ibnu Hibban tetapi tidak ada dalam Sahih al-Bukhari dan Sahih Muslim.

(viii) Bughyah al-Ba'ith 'An Zawaid Musnad al-Harith karangan al-Haithami. 

Dikumpulkan di dalamnya hadis-hadis tambahan yang hanya ada dalam Musnad al-Harith bin Abu Usamah (m. 282H) tetapi tidak ada dalam Kutub al-Sittah.

(ix) Al-Misbah al-Zujajah Fi Zawaid Ibnu Majah karangan Syihabbudin al-Busiri. 

Kitab ini mengumpulkan di dalamnya hadis-hadis tambahan yang hanya ada dalam Sunan Ibnu Majah tetapi tidak ada dalam Kutub al-Khamsah iaitu Sahih al-Bukhari, Sahih Muslim, Sunan Abu Daud, Sunan al-Termizi dan Sunan al-Nasaie.


(x) Ithaf al-Khiyarah al-Maharah Bi Zawaid al-Masanid al-'Asyarah karangan al-Busiri.

Al-Busiri mengumpulkan hadis-hadis tambahan yang ada dalam 10 kitab Masanid tetapi tidak ada dalam Kutub al-Sittah. Kitab-kitab Masanid tersebut ialah:

a. Musnad Abu Daud al-Tayalisi.

b. Musnad al-Humadi.

c. Musnad Musaddad bin Musarhad.

d. Musnad Ibnu Abi Syaibah.

e. Musnad Ishaq bin Rahuyah.

f. Musnad Muhammad bin Yahya bin Abu ‘Umar al-’Adani.

g. Musnad Ahmad bin Mani’ al-Baghawi al-‘Asom.

h. Musnad ‘Abd bin Humad al-Kasyi.

i. Musnad al-Harith bin Abu ‘Usamah.

j. Al-Musnad al-Kabir karangan Abu Ya’la al-Musili.

10 - ‘Ilal:

Kitab ‘Ilal ialah kitab yang menghimpunkan hadis-hadis yang mempunyai suatu sebab yang tersembunyi (‘illah) yang mencacatkan kesahihan sesuatu hadis sedangkan keadaan zahirnya menampakkan hadis tersebut adalah selamat dari segala kecacatan.

'Illah dapat dikenalpasti melalui penelitian terhadap perawi seorang demi seorang, atau percanggahan perawi dengan perawi yang lain, beserta dengan bukti-bukti yang menyebabkan seorang yang arif dalam bidang ini menyedari bahawa terdapat keraguan dalam sesuatu sanad seperti berlakunya irsal dalam hadis yang mausul, atau berlakunya waqf (mawquf) dalam hadis yang marfu', atau pertindihan hadis dalam hadis yang lain dan sebagainya.

Semua perkara seperti di atas akan menyebabkan seseorang ahli hadis yang arif akan mengeluarkan hukum bahawa hadis tersebut adalah tidak sahih, atau beliau teragak-agak dan tidak mampu mengeluarkan hukum langsung ke atas hadis tersebut. Kesukaran mencari 'Illah sesuatu hadis boleh berlaku sehingga menyebabkan seorang ahli hadis tidak mampu mengeluarkan bukti terhadap hukumannya terhadap sesuatu hadis, seperti seorang pengurup wang yang tidak dapat membezakan wang dinar dan dirham.

Namun terdapat kaedah untuk mengesani 'illah ini iaitu dengan mengumpulkan seluruh jalan sanad sesuatu hadis itu dan meneliti setiap perbezaan pada para perawi, serta ketepatan riwayat mereka.

Contoh Kitab ‘Illal:

(i) Al-Tarikh wa al-'Ilal karangan  Yahya bin Ma'in.

(ii) Al-'llal karangan 'Ali al-Madini.

(iii) Al-'Ilal Wa Ma'rifah al-Rijal karangan Ahmad bin Hanbal.

(iv) Al-'Ilal al-Kabir karangan al-Tirmizi.

(v) Al-'Ilal karangan Ibnu Abi Hatim al-Razi.

(vi) Al-'Ilal al-Waridah fi Al-Ahadith al-Nabawiyyah karangan al-Daraqutni.

(vii) Al-'Ilal al-Mutanahiah fi al-Ahadith al-Wahiah karangan Ibnu al-Jauzi.

11 - al-Maudhu’at:

Kitab yang menghimpunkan hadis yang direkacipta dan didustakan ke atas Rasulullah sama ada secara sengaja, secara tersalah, secara jahil ataupun secara tipudaya.

Contoh Kitab al-Maudhu’at:

(i) Tazkirah Al-Maudu'at karangan Muhammad bin Tahir Al- Maqdisi.

(ii) Al-Abathil Wa al-Manakir Wa al-Sihah Wa al-Masyahir karangan al-Jauraqani.

(iii) Al-Maudu'at karangan Ibnu al-Jauzi.

(iv) Al-Manar Al-Munif Fi As-Sahih Wa Ad-Daif karangan Ibnu Qayyim Al-Juziyyah.

(v) Al-La'ali' Al-Masnu'ah Fi Al-Ahadis Al-Maudu'ah karangan al-Suyuti.

(vi) Tanzih As-Syariah Al-Marfu'ah 'An Al-Akhbar As-Syani'ah Al- Maudu'ah karangan Ibnu 'Arraq Al-Kinani.

(vii) Tazkirah Al-Maudu'at karangan Muhamamd bin Tahir Al- Fattani.


(viii) Al-Asrar Al-Marfu'ah Fi Al-Akhbar Al-Maudu'ah karangan Mulla 'Ali Al-Qari.

(ix) Al-Masnu' Fi Ma'rifah Al-HadithAl-Maudu' karangan karangan Mulla 'Ali Al-Qari.

12 - Takhrij:

Kitab yang menunjukkan tempat letak sesuatu hadis pada sumber-sumber (kitab-kitab) asalnya yang mengeluarkan hadis tersebut berserta dengan sanadnya, kemudian diterangkan kedudukan hadis itu sekiranya perlu.

Contoh Kitab Takhrij:

(i) Nasb al-Rayah Li Ahadith al-Hidayah karangan al-Zaila’i.

Mengeluarkan sumber asal bagi hadis-hadis dalam kitab al-Hidayah dalam Fiqh Hanafi karangan al-Marghinani.

(ii) Takhrij Ahadith al-Kasyaf karangan al-Zaila’i.

Mengeluarkan sumber asal bagi hadis-hadis dalam kitab Tafsir al-Kasyaf karangan al-Zamakhsyari.

(iii) Al-Badr al-Munir Fi Takhrij al-Ahadith Wa al-Athar al-Waqi’ah Fi al-Syarah al-Kabir karangan Ibnu al-Mulaqqin.

Mengeluarkan sumber asal bagi hadis-hadis dalam kitab al-Syarah al-Kabir dalam Fiqh al-Syafi’i karangan al-Rafi’i.

(iv) Al-Mughni ‘An Haml al-Asfar Fi al-Asfar Fi Takhrij Ma Fi al-Ihya’ Min al-Akhbar karangan al-‘Iraqi.

Mengeluarkan sumber asal bagi hadis-hadis dalam kitab Ihya’ ‘Ulum al-Din karangan al-Ghazali.

13 - Atraf:

Kitab yang ditulis dalamnya sebahagian daripada matan hadis yang menjadi petunjuk untuk keseluruhan matan tersebut, kemudian disebutkan sanad yang lengkap bagi hadis sebagai rujukan atau sebahagian penulis meringkaskannya dengan menyebut sebahagian sahaja daripada Isnad hadis tersebut.

Faedahnya:

(a) Memudahkan untuk mengetahui sanad bagi sesuatu hadis kerana al-Atraf disebutkan pada tempat yang sama.

(b) Mengetahui Imam yang meriwayatkan hadis tersebut daripada kitab- kitab mereka yang asal, dan nama bab yang terdapat padanya hadis. Maka kitab ini adalah seperti fihris (indeks) yang mempunyai pelbagai faedah.

(c) Mengetahui bilangan hadis bagi seseorang sahabat yang terdapat dalam kitab-kitab yang dibuat untuknya.

Contoh Kitab Atraf:

(i) Tuhfatul Asyraf bi Ma'rifat il-Atraf karangan al-Mizzi.

Kitab ini menghimpunkan Atraf Kutub Sittah dan sebahagian kitab sampingan iaitu: Muqaddimah Sahih Muslim, Marasil Abu Dawud, al-'llal As-Saghir dan Al-Syama'il oleh Imam al-Tirmizi, dan 'Amal Yaum wa Lailah oleh Al-Nasa'i.

(ii) Ithaf al-Maharah bi Atraf al-'Asyrah karangan Ibnu Hajar al-'Asqalani.

la mengandungi Atraf bagi 10 buah kitab hadis iaitu: al-Muwatta', Musnad Ahmad, Sahih Ibnu Khuzaimah, Sahih Ibnu Hibban, Mustakhraj Abu 'Awanah, Sunan al-Daraqutni, Musnad al-Syafie, Musnad Al-Darimi, Muntaqa Ibnu al-Jarud, Mustadrak al-Hakim, Svarh Ma'ani al-Athar oleh al-Tahawi.

14 - Al-Ajza’:

Suatu penulisan yang mengumpulkan hadis-hadis yang diriwayatkan oleh seorang perawi. Sama ada perawi tersebut daripada tabaqat sahabat, atau selepas daripada mereka.

Contoh kitab Ajza’ jenis ini:

(i) Musnad Sa’ad bin Abi Waqqas karangan Ahmad bin Ibrahim bin Kathir al-Dauraqi.  

Menghimpunkan hadis-hadis yang diriwayatkan oleh Sa’ad bin Abi Waqqas.

(ii) Musnad Ibrahim bin Adham karangan Ibnu Mandah.

Menghimpunkan hadis-hadis yang diriwayatkan oleh Ibrahim bin Adham.

Kitab Ajza’ juga merujuk kepada kitab yang dikarang untuk menghimpunkan hadis dalam topik tertentu sahaja.

Contoh kitab Ajza’ jenis ini:

(i) Fadhail al-Ramadhan karangan Ibnu Abi al-Dunya.

Menghimpunkan hadis-hadis tentang kelebihan bulan Ramadhan.

(ii) Raf’u al-Yadain Fi al-Solah karangan al-Bukhari.

Menghimpunkan hadis-hadis tentang mengangkat tangan ketika dalam solat iaitu ketika hendak rukuk dan bangun dari rukuk.

(iii) Al-Syamail al-Muhammadiyyah karangan al-Tirmizi.

Menghimpunkan hadis-hadis tentang keperibadian dan rupa fizikal Rasulullah.

Rujukan:

1. Kamus Istilah Hadis oleh Sayyid Abdul Majid al-Ghauri.

2. Masadir al-Hadith Wa Maraji’uhu oleh Sayyid Abdul Majid al-Ghauri.

 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan