Ahad, 27 November 2016
Hadis: Sesiapa yang meninggalkan solat...
Sabtu, 26 November 2016
Hadis palsu: Pahala bagi isteri yang memelihara anak
Hisham bin ‘Ammar seorang yang benar [صدوق] tetapi berubah ingatannya ketika tua. Ayahnya, ‘Ammar bin Nusair, disebutkan oleh Ibnu Hibban dalam al-Thiqat dan didaifkan [لين] oleh Ibnu ‘Asakir dalam Tarikh Dimasq.
Jumaat, 11 November 2016
Hadis Larangan Berdiri Untuk Menghormati
Terdapat beberapa hadis yang melarang untuk berdiri bagi
menghormati seseorang, antaranya:
Hadis Pertama
مَنْ سَرَّهُ أَنْ يَتَمَثَّلَ لَهُ الرِّجَالُ قِيَامًا فَلْيَتَبَوَّأْ مَقْعَدَهُ مِنْ النَّارِ
“Sesiapa yang suka orang lain berdiri untuknya maka siaplah tempatnya di neraka.”
Riwayat Abu Daud (5229) dan al-Termizi (2755) daripada
Mu’awiyah bin Abi Sufyan. Kata al-Termizi: “Hadis ini hasan.”
Hadis Kedua
مَا كَانَ شَخْصٌ أَحَبَّ إلَيْهِمْ مِنْ رَسُولِ اللَّهِ صلّى الله عليه وسلّم، وَكَانُوا إذَا رَأَوْهُ لَمْ يَقُومُوا؛ لِمَا يَعْلَمُونَ مِنْ كَرَاهِيَتِهِ لِذَلِكَ
“Tidak ada orang yang lebih dicintai oleh para sahabat selain daripada Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam. Jika mereka melihat baginda mereka tidak bangun kerana mereka tahu bahawa baginda membenci perbuatan tersebut.”
Riwayat al-Termizi (2754) daripada Anas bin Malik. Kata
al-Termizi: “Hadis ini hasan sahih gharib.”
Bagaimana Ulama Memahami Hadis Ini
1 - Imam Mulla Ali al-Qari dalam Mirqah al-Mafatih berkata: “Ancaman
ini ditujukan kepada orang yang melakukannya dengan jalan takbur, sebagaimana
terlihat pada kegembiraannya apabila orang berdiri untuknya.
Adapun jika dia sendiri tidak meminta perkara itu dan
mereka bangun dengan kehendak mereka sendiri untuk mendapat pahala atau kerana
niat merendah diri, maka tidak ada masalah.
Al‑Baihaqi meriwayatkan dalam Syuʿab al‑Īmān daripada al‑Khattābī mengenai maksud hadis tersebut: iaitu seseorang memerintahkan
orang lain berdiri untuknya dan mewajibkan mereka berbuat demikian atas dasar
kesombongan dan kebanggaan. Beliau berkata: Hadis Saʿad menunjukkan bahawa
berdirinya seseorang di hadapan pemimpin yang berbudi lagi adil, serta
berdirinya penuntut ilmu kepada gurunya, adalah disunatkan dan tidak makruh.
Al‑Bayhaqi berkata: Berdiri itu
hendaklah atas dasar kebajikan dan memuliakan, seperti berdirinya kaum Ansar
kepada Saʿad dan
berdirinya Talhah kepada Kaʿab
bin Malik.
Tidak wajar bagi orang yang dihormati dengan berdiri itu
itu menginginkan perbuatan tersebut daripada sahabatnya, sehingga apabila tidak
dilakukan dia berdendam, mengadu atau menegur.”
2 - Imam al-Tahawi dalam Syarah Musykil al-Athar berkata:
“Dalam hadis ini menunjukkan bahawa sahabat Rasulullah sallahu ‘alaihi
wasallam meninggalkan perbuatan berdiri untuk baginda kerana mereka mengetahui
bahawa baginda membenci perbuatan tersebut.
Dalam hadis ini juga menunjukkan bahawa jika baginda
tidak membenci perbuatan tersebut nescaya mereka akan berdiri untuk baginda.
Baginda membenci perbuatan tersebut disebabkan sifat
tawaduk baginda dan bukanlah kerana perbuatan tersebut haram bagi mereka.
Bagaimana boleh disangka bahawa perbuatan tersebut haram
bagi mereka? Baginda telah menyuruh mereka berdiri untuk Sa’d bin Mu’az dan
berdirinya Talhah bin ‘Ubadillah - ketika kehadiran baginda - untuk Ka’ab bin
Malik untuk mengucapkan tahniah kepadannya ketika turunnya [wahyu penerimaan]
taubat Ka’ab bin Malik dan baginda tidak melarang Talhah bin ‘Ubaidillah.”
3 - Imam al-Nawawi menyatatakan dalam al-Azkar:
“Adapun berdiri untuk menghormati orang yang masuk [ke
dalam majlis], pendapat yang kami pilih adalah bahawa perbuatan tersebut
digalakkan bagi orang yang mempunyai kelebihan dari segi zahir seperti
keilmuan, kesolehan, kemuliaan, atau kekuasaan dan sebagainnya. Dan hendaklah
perbuatan berdiri ini untuk tujuan kebaikan, memuliakan dan penghormatan dan
bukan untuk tujuan riyak dan mengagung-agungkan.”
Kesimpulan:
Berdiri untuk menghormati seseorang tidak haram secara
mutlak, tetapi bergantung kepada niat dan konteks. Jika kerana mengagungkan
diri atau sombong, maka tercela dan berdosa. Tetapi jika kerana tawaduk,
penghormatan, atau adab kepada orang mulia, maka ianya diharuskan dan bahkan
digalakkan dalam sesetengah keadaan.