Ahad, 5 Februari 2017

Status Hadis: Apabila Allah Mengasihani Seorang Hamba

إِذا أحب الله عبدا ابتلاه فَإِنْ صَبَرَ اجْتَبَاهُ وَإِنْ رَضِيَ اصطفاه.

“Apabila Allah mengasihani seorang hamba, Allah akan mengujinya. Jika dia sabar, Allah akan mengasihaninya dan jika dia reda Allah akan memilihnya.”

Kata al-Hafiz al-‘Iraqi dalam Takhrij Ahadith al-Ihya’“Pengarang kitab al-Firdaus menyebutkannya (dalam kitab beliau yakni Firdaus al-Akhbar) daripada hadis Ali bin Abi Thalib dan anaknya tidak mengeluarkan hadis tersebut dalam (kitab) Musnadnya.”

Kitab Firdaus al-Akhbar dikarang oleh Syirawaih al-Dailami (w. 509H) yang mengumpulkan hadis-hadis tanpa disebutkan sanadnya. Lalu datang anaknya, Syahradar bin Syirawaih al-Dailami (w. 558H) yang meletakkan kembali sanad bagi hadis yang dikumpulkan oleh ayahnya dalam Firdaus al-Akhbar dalam sebuah kitab yang berjudul Musnad al-Firdaus.

Hadis ini juga disebutkan oleh Abu Thalib al-Makki (w. 386H) dalam kitab Qut al-Qulub namun tanpa sanad juga. Beliau sekadar menyatakan: “Kami telah meriwayatkan satu hadis dengan jalur ahli bait...(lalu disebutkan hadis tersebut).”

Oleh kerana tidak ditemui sanad bagi riwayat ini jadi ia boleh dianggap sebagai hadis yang tidak ada asal baginya.

Al-Hafiz al-‘Iraqi juga ada menyebutkan hadis yang lain yang semakna denganya:

إِنَّ اللَّهَ إِذَا أَرَادَ بِعَبْدٍ خَيْرًا ابْتَلَاهُ فَإِذَا ابْتَلَاهُ اقْتَنَاهُ. قَالُوا: يَا رَسُولَ اللَّهِ وَمَا اقْتَنَاهُ؟ قَالَ: لَمْ يَتْرُكْ لَهُ مَالًا وَلَا وَلَدًا.

“Apabila Allah menghendaki kebaikan bagi seorang hamba Allah akan mengujinya. Apabila Allah mengujinya Allah akan memilikinya (sehingga dia tidak lagi menjadi milik yang lain). Para sahabat bertanya: Wahai Rasulullah, apakah (maksud) memilikinya? Rasulullah menjawab: Allah tidak akan meninggalkan baginya harta mahupun anak (sehingga dia tidak lagi sibuk dengan selain Allah).”

Riwayat al-Thabarani dalam Mu’jam al-Kabir daripada hadis Abi ‘Inabah al-Khaulani. Sanadnya daif menurut al-Hafiz al-‘Iraqi dalam Takhrij Ahadith al-Ihya’

Walaupun statusnya daif, ia lebih baik statusnya berbanding hadis yang pertama. Jadi boleh gunakan hadis kedua ini menggantikan hadis yang pertama.

*Tulisan ini saya telah kemas kini semula pada 19/8/2021. Alhamdulillah. Semoga bermanfaat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan