Ahad, 12 Februari 2017

Hadis palsu: Sampaikan sebuah hadis dapat pahala 71 orang nabi

مَنْ حَفِظَ عَلَى أُمَّتِي حَدِيثًا وَاحِدًا كَانَ لَهُ أَجْرُ أَحَدٍ وَسَبْعِينَ نَبِيًّا صِدِّيقًا

“Sesiapa yang menyampaikan kepada umatku satu hadis, baginya pahala 71 orang nabi yang benar.”

Hadis ini diriwayatkan oleh al-Hafiz al-Zahabi dalam Tazkirah al-Huffaz melalui jalur perawi Muhammad bin Rizam daripada hadis Ibnu ‘Abbas secara marfu’.

Kata al-Hafiz al-Zahabi selepas meriwayatkannya:

هذا مما تحرم روايته إلا مقرونًا بأنه مكذوب من غير تردد وقبح الله من وضعه وإسناده مظلم وفيهم بن رزام كذاب لعله آفته.

“Ini sesuatu yang diharamkan meriwayatkannya kecuali disertai [penjelasan] bahawa ia adalah palsu tanpa ragu-ragu lagi. Semoga Allah memburukkan pemalsunya. Sanadnya ‘kelam’ dan di dalamnya ada Ibnu Rizam, seorang pendusta. Mungkin dialah pemalsunya.”

Maksudوإسناده مظلم[sanadnya kelam] yakni dalam sanadnya ada perawi yang majhul [tidak dikenali].

Kata al-Hafiz Ibnu al-Mulaqqin dalam al-Badr al-Munir:

مَوْضُوع، وَإِسْنَاده مظلم، وَالظَّاهِر أَن آفته من ابْن رزام الْكذَّاب.

“Palsu dan sanadnya kelam. Zahirnya punca [kepalsuannya] adalah daripada Ibnu Rizam, seorang pendusta.”

Kata al-Imam Ibnu Hajar al-Haitami dalam Syarah al-Arba’in:

فهو موضوع

“Ianya palsu.”

Hadis ini dimuatkan oleh al-Imam Ibnu Abi Jamrah dalam mukadimah Mukhtasar Sahih al-Bukhari dengan sighah jazam seolah-olah beliau meyakini kesahihannya.

Kata al-Syeikh al-Syanwani dalam Hashiyyah ‘Ala Mukhtasar Ibnu Abi Jamrah:

وهذا الحديث موضوع كما ذكره ابن حجر على الأربعين

“Dan hadis ini palsu sebagaimana yang disebutkan oleh Ibnu Hajar [dalam syarahnya] ke atas kitab al-Arba’in.”

Kata al-Syeikh Abdul Majid al-Syarnubi dalam hashiyyah beliau ke atas kitab Mukhtasar Ibnu Abi Jamrah:

وهذا الحديث موضوع فكان الأولى للمصنف عدم ذكره

“Hadis ini palsu. Maka lebih baik sekiranya pengarang [Ibnu Abi Jamrah] tidak menyebutkannya.” 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan