Isnin, 13 Februari 2017

Hadis: Sampaikan sebuah hadis baginya syurga

مَنْ أَدَّى إِلَى أُمَّتِي حَدِيثًا يُقِيمُ بِهِ سَنَةً أَوْ يَلْثُمُ بِهِ بِدْعَةً فَلَهُ الْجَنَّةُ

“Sesiapa yang menyampaikan sebuah hadis kepada umatku untuk menzahirkan sunnah dan menghancurkan bid’ah, maka baginya syurga.”

Riwayat Abu Nu’aim dalam Hilyah al-Auliya’ melalui jalur perawi Abdul Rahim bin Habib daripada Ismail bin Yahya al-Taimi daripada hadis Ibnu ‘Abbas.

Kata al-Munawi dalam al-Taisir:

فِي اسناده كَذَّاب

“Dalam sanadnya ada pendusta.”

Kata al-Munawi dalam Faidh al-Qadir:

وفيه عبد الرحيم بن حبيب أورده الذهبي في الضعفاء وقال: متهم بالوضع وإسماعيل بن يحيى التيمي قال أعني الذهبي: كذاب عدم

“Dalam sanadnya ada Abdul Rahim bin Habib. Al-Zahabi menyebutkannya dalam al-Dhu’afa’ dan beliau berkata: Dituduh memalsukan [hadis]. Dan Ismail bin Yahya al-Taimi, berkata -yakni al-Zahabi-: Pendusta [dan] tidak bernilai sedikit pun.”

Kata al-Hafiz Ahmad al-Siddiq al-Ghumari dalam al-Mudawi:

علة الحديث إسماعيل التيمى وحده، أما عبد الرحيم بن حبيب فقد توبع عليه.

“Illah [kelemahan atau kepalsuan] hadis adalah [disebabkan] oleh Ismail al-Taimi sahaja. Adapun Abdul Rahim bin Habib, dia disokong [oleh perawi yang lain].”

Abdul Rahim tidak bersendirian meriwayatkan hadis ini daripada Ismail al-Taimi kerana al-Ala’ bin Maslamah turut meriwayatkan daripada beliau, cuma al-Ala’ bin Maslamah juga matruk [ditinggalkan hadisnya] dan dituduh memalsukan hadis.

Agak menghairankan kerana apa yang dinukilkan oleh al-Munawi tentang Ismail bin Yahya al-Taimi berbeza dengan apa yang disebutkan oleh al-Hafiz al-Zahabi.

Kata al-Hafiz al-Zahabi dalam Diwan al-Dhu’afa’ Wa al-Matrukin:

متروك كأبيه

“Matruk seperti ayahnya.”

Kata al-Hafiz al-Zahabi dalam al-Mughni Fi al-Dhu’afa’:

قَالَ ابْن عدي يحدث عَن الثِّقَات بِالْبَوَاطِيل وَقَالَ غَيره كَذَّاب

“Berkata Ibnu ‘Adi: [Dia] meriwayatkan hadis-hadis batil daripada perawi thiqah. Berkata selainnya: Dia pendusta.”

Kata al-Hafiz al-Zahabi dalam Mizan al-I’tidal:

مجمع على تركه

“Disepakati untuk ditinggalkan [hadisnya].”

Ibrahim bin Yahya al-Taimi dituduh oleh ramai ahli hadis sebagai pendusta dan pemalsu hadis.
Kata Ibnu Hibban dalam al-Majruhin:

كَانَ مِمَّن يروي الموضوعات عَن الثِّقَات وَمَا لَا أصل عَن الْأَثْبَات لَا يحل الرِّوَايَة عَنْهُ وَلَا الِاحْتِجَاج بِهِ بِحَال

“Dia salah seorang yang meriwayatkan hadis-hadis palsu daripada perawi thiqah dan hadis-hadis yang tidak ada asalnya daripada perawi yang thabit. Tidak halal meriwayatkan daripadanya dan berhujjah dengannya dalam apa hal sekalipun.”

 Kata Ibnu ‘Adi dalam al-Kamil Fi Dhu’afa’ al-Rijal:

يحدث عن الثقات بالبواطيل

“Meriwayatkan hadis-hadis batil daripada perawi-perawi thiqah.”

Kata al-Daraqutni dalam al-Dhu’afa’ Wa al-Matrukin:

متروك كذاب

“Matruk pendusta.”

Kata Soleh Jazarah:

كان يضع الحديث

“Dia memalsukan hadis.”

Kata al-Azdi:

ركن من أركان الكذب لا تحل الرواية عنه

“Salah satu daripada rukun-rukun pendusta. Tidak halal meriwayatkan daripadanya.”

Hadis ini dimuatkan oleh al-Hafiz al-Sayuthi dalam al-Jami’ al-Saghir dan beliau mengisyaratkannya sebagai daif.

Hadis ini juga dimuatkan oleh al-Imam Ibnu Abi Jamrah dalam mukadimah Mukhtasar Sahih al-Bukhari dengan sighah jazam sebagaimana hadis sebelumnya.

Kata al-Syeikh al-Syanwani dalam Hashiyyah ‘Ala Mukhtasar Ibnu Abi Jamrah:

“Hadis ini daif kerana amalan yang sedikit, jika banyak pahalanya, itu menjadi dalil kedaifannya.”

Kata al-Syeikh al-Syarif Hatim dalam Syarah al-Muqizoh:

“Menghukum sesebuah hadis sebagai palsu tidak mencukupi sekadar wujud di dalam sanadnya perawi pendusta, bahkan tidak dapat tidak mesti wujud petanda-petanda tertentu yang menunjukkan kepalsuannya kerana boleh jadi seorang pendusta berkata benar. Jika perawinya pendusta dan tidak terdapat petanda yang menunjukkan kepalsuan hadis, maka hadis tersebut akan menjadi sangat daif yang tidak dapat dijadikan al-mutaba’at dan al-syawahid [riwayat sokongan] kerana ia adalah riwayat daripada perawi yang tidak adil. Dan tetapi ia tidak menjadi palsu kerana tidak wujud petanda kepalsuannya.”

Jika hadis ini tidak palsu, maka ia adalah hadis yang sangat daif. Wallahu a’lam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan