Khamis, 24 Ogos 2017

Al-Hafiz al-Barqani: Terlalu cintakan hadis

- Mungkin tak ramai yang pernah mendengar nama al-Barqani (336H-425H), tetapi beliau adalah salah seorang murid kanan al-Daraqutni (306H-385H) dan pewaris ilmu gurunya. Beliaulah yang menyalin kitab al-'Ilal yang al-Daraqutni imla'kan daripada hafalannya.

- Beliau adalah guru kepada ulama dan ahli hadis terkenal seperti al-Baihaqi, al-Khatib al-Baghdadi, Abu Ishaq al-Syirazi dan lain-lain. Antara ketawadhukannya ialah beliau turut meriwayatkan hadis daripada muridnya sendiri, al-Khatib al-Baghdadi.

- Beliau mengumpulkan jawapan bagi soalan-soalan perihal perawi dan ‘ilal hadis yang beliau ajukan kepada gurunya, al-Daraqrutni yang sekarang dicetak dengan tajuk ‘Sualat Abi Bakr al-Barqani Li al-Daraqutni’.

- Beliau sebagaimana gurunya al-Daraqutni, bermazhab al-Syafi’e.

- Al-Khatib al-Baghdadi pernah memuji gurunya dengan berkata, “Beliau seorang yang thiqah, warak, seorang yang mantap [keilmuan dan hafazannya] dan tepat pemahamannya. Aku tidak pernah melihat di kalangan guru-guruku seorang yang lebih mantap daripadanya. Seorang hafiz al-Quran dan arif dalam ilmu fiqh.”

- Beliau tidak pernah berhenti menulis sehinggalah meninggal dunia.

- Abu al-Qasim al-Azhari berkata, “Al-Barqani adalah seorang imam. Jika beliau mati nescaya hilanglah ilmu ini [ilmu hadis].”

- Muhammad bin Yahya al-Kirmani pernah berkata, “Aku tidak pernah melihat ahli hadis yang lebih banyak beribadat daripada al-Barqani.”

- Ahmad bin Ghanim berkata, “Aku pernah menjemput al-Barqani daripada rumahnya. Bersama-samanya terdapat 63 buah keranjang dan kotak yang setiap satunya penuh dengan kitab.”

- Al-Barqani pernah berkata, “Aku masuk ke Isfarayin [Iran] dan bersama-samaku ada tiga puluh dinar dan satu dirham. Duit dinarku telah hilang dan hanya tinggal duit dirham. Aku gunakan duit dirham tersebut untuk bayar kepada tukang roti. Setiap hari aku akan ambil dua keping roti daripadanya. Aku menyalin sejuzuk kitab hadis daripada Bisyr bin Ahmad al-Isfarayini sehingga tamat pada waktu petang [pada setiap hari]. Aku menyalin tiga puluh juzuk kitab hadis [selama tiga puluh hari] sehingga habis duitku yang berada pada tukang roti lalu aku beredar.” Kata al-Zahabi, “Murah betul harga roti [ketika itu].”  

- Al-Khatib al-Baghdadi bercerita, “Beliau seorang yang bersungguh-sungguh dalam menuntut ilmu dan mempunyai semangat yang tinggi. Aku pernah mendengar beliau berkata kepada seorang ahli fiqh yang terkenal dengan kesolehan, “Tolonglah berdoa kepada Allah agar Dia menghilangkan daripada hatiku keinginan terhadap hadis. Sesungguhnya kecintaanku terhadapnya telah memenuhi hatiku. Tidak ada lain dalam tumpuanku siang dan malam melainkan untuknya.”  

رحمه الله تعالى

Rujukan:

Al-Zahabi, Siyar A’lam al-Nubala’, jil. 17, hlm. 464, c. Muassasah al-Risalah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan