Khamis, 21 September 2017

Hadis Palsu dalam Kitab al-Syifa karangan al-Qadhi 'Iyadh?

- Berdasarkan penomboran hadis Syeikh Abduh Ali Kusyak [pentahqiq kitab al-Syifa], terdapat sekitar 1830 buah hadis dalam kitab ini, termasuk hadis-hadis yang berulang.

- Terdapat sebilangan kecil hadis yang tidak ditemui asalnya oleh al-Hafiz al-Sayuthi dalam kitab Manahil al-Sofa yang mentakhrijkan hadis-hadis kitab al-Syifa. Jika hadis-hadis yang tidak ditemui asalnya oleh al-Hafiz al-Sayuthi ini turut sama tidak ditemui sumbernya oleh ahli hadis yang lain, maka dapat dihukumkannya sebagai 'la asla lahu', seterusnya memberi gambaran wujudnya beberapa hadis-hadis 'la asla lahu' dalam kitab ini.

- Syeikh Abduh Ali Kusyak dalam kajiannya terhadap kitab al-Syifa berpendapat bahawa terdapat hadis-hadis daif dalam kitab ini yang masih boleh diamalkan dalam fadhail a'mal dan al-targhib wa al-tarhib dan ada sebilangan kecil hadis palsu.

- Syeikh Abdullah al-Talidi dalam kitab kitab Ithaf Ahl al-Wafa yang meringkaskan kitab al-Syifa berpendapat terdapat lebih 150 buah hadis-hadis palsu dan 'la asla lahu' dalam kitab ini. Pendapat beliau ini masih terbuka untuk dikaji semula dan hadis-hadis yang beliau hukum palsu pun mungkin masih ada khilaf padanya.

- Contohnya hadis berikut:

ما رأيتُ فَرْجَ رسولِ اللهِ صلى الله عليه وسلم قطُّ.

Kata 'Aisyah: "Aku tidak pernah sekali pun melihat kemaluan Rasulullah sallahu 'alaihi wasallam." (Riwayat al-Termizi dalam al-Syamail dan Ibnu Majah)

- Hadis ini dihukumkan sebagai 'la asla lahu' (palsu) oleh Syeikh Abdullah al-Talidi. Istilah 'la asla lahu' kebiasaannya digunakan bagi hadis-hadis yang tidak wujud dalam kitab-kitab hadis primer. Jika istilah ini digunakan bagi hadis musnad, maka yang dimaksud dengan istilah ini ialah hadis tersebut palsu sebagaimana penerangan Syeikh Abdul Fattah Abu Ghuddah dalam mukadimah tahqiq kitab al-Masnu'. Meskipun begitu ahli hadis yang lain seperti al-Hafiz Ibnu Hajar dalam al-Kafi al-Syaf dan al-Hafiz al-Busiri dalam Misbah al-Zujajah sekadar menghukumnya sebagai daif kerana terdapat perawi yang tidak dinamakan di dalam sanadnya. Saya sendiri kehairanan, atas dasar apa Syeikh al-Talidi menghukum palsu hadis ini kerana berdasarkan carian, saya tidak temui mana-mana ahli hadis yang menghukum palsu hadis ini. Wallahu a'lam.

- Jika wujud hadis palsu sekalipun, jumlahnya hanya sedikit jika dibandingkan dengan jumlah keseluruhan hadis-hadis dalam kitab al-Syifa dan sedikit pun tidak mengurangkan keagungan kitab tersebut.

Wallahu a'lam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan