Jumaat, 1 September 2017

Cipta hadis palsu untuk 'back up' anak

Al-Hakim al-Naisaburi meriwayatkan dalam kitab al-Madkhal Ila Kitab al-Iklil dengan sanadnya sehingga 'Ubaid bin Ishaq al-Dhabi al-Kufi daripada Saif bin 'Umar al-Taimi, beliau berkata:

"Aku berada bersama Sa'ad bin Tharif, lalu datang anaknya dari sekolah [dalam keadaan menangis].

Sa'ad lalu bertanya: Kenapa denganmu?

Anaknya menjawab: Guru telah memukulku.

Sa'ad lantas berkata: Aku akan memalukan mereka hari ini. Telah menceritakan kepadaku Ikrimah daripada Ibnu 'Abbas, beliau berkata: Nabi sallahu 'alaihi wasallam bersabda: Orang yang paling teruk di kalangan kamu adalah guru-guru anak kamu. Mereka yang paling sedikit rasa belas kasihannya kepada anak yatim dan mereka yang paling kasar terhadap orang-orang miskin.”

Kisah ini masyhur disebutkan dalam kitab-kitab Mustholah Hadis apabila membicarakan tentang golongan pemalsu hadis.

Bukan sahaja Sa’ad bin Tharif sahaja perawi yang bermasalah malah dua perawi sebelumnya iaitu Saif bin ‘Umar dan ‘Ubaid bin Ishaq juga adalah perawi yang bermasalah. Boleh jadi salah seorang daripada mereka bertiga yang memalsukan hadis ini.

Ibnu ‘Adi dalam al-Kamil juga teragak-agak dalam menentukan pemalsu hadis ini meskipun pada tempat yang lain beliau berpendapat Sa’ad bin Tharif yang memalsukannya kerana dia perawi yang paling bermasalah di antara ketiga-tiganya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan