Selasa, 10 Julai 2018

Istilah Ilmu Hadis 29: Mutawatir (المُتَوَتِرُ)

Dari sudut bahasa:

Ia adalah kata nama yang diambil daripada perkataan (التَّوَاتُرِ) yang bermaksud berturut-turut. Al-Mutawatir bermaksud yang berturut-turut dan al-mu'atarah bermaksud kesinambungan.

Dari sudut istilah:

Ia adalah hadis yang diriwayatkan oleh sekumpulan besar perawi yang tidak terhad bilangannya pada setiap peringkat sanadnya, yang mustahil pada adatnya untuk mereka bersepakat atau bersetuju untuk berdusta dan sandaran riwayat mereka adalah pancaindera."

Syarat-Syarat Hadis Mutawatir:

Daripada takrif tersebut, dapat disimpulkan syarat-syarat Mutawatir iaitu:

1 - Perawinya pada setiap peringkat sanad mestilah terdiri daripada sekumpulan yang ramai.

Para ulama telah berbeza pendapat tentang bilangan kumpulan ini. Ada yang menetapkannya seramai sepuluh orang, ada yang menetapkannya seramai empat puluh orang, dan ada yang menetapkannya lebih ramai daripada itu sehingga ada yang mencecah lebih tiga ratus orang.

Al-Hafiz Ibn Hajar telah menetapkan dalam Nuzhah al-Nazar fi Taudih Nukhbah al-Fikar bahawa pendapat yang sahih ialah tidak menetapkan bilangan tertentu. Yang diambil kira ialah ia mesti menghasilkan ilmu (keyakinan), maka sebarang jumlah yang dengan sendirinya dapat menghasilkan ilmu adalah diterima.

2 -  Mustahil pada adatnya untuk sekumpulan perawi itu bersepakat untuk berdusta, begitu juga mustahil berlakunya pendustaan tanpa sengaja daripada mereka.

Maksudnya, mustahil pada adatnya untuk mereka bersepakat melakukan pendustaan sama ada secara sengaja atau tidak sengaja.

3 - Bilangan perawi yang mencapai tahap Mutawatir yang menghasilkan ilmu itu mestilah berterusan dari awal sanad hingga ke akhirnya.

Maksudnya, bilangan yang ramai itu tidak berkurangan, jika ia bertambah, maka ia tidak mengapa.

4 - Sandaran khabar itu mestilah pancaindera, seperti penglihatan atau pendengaran.

Maka dikecualikan apa yang sandarannya adalah akal, seperti perkataan contohnya: "Satu adalah separuh daripada dua", atau "Alam ini adalah baharu".

Maka setiap hadis yang menghimpunkan keempat-empat syarat ini adalah ‘Mutawatir’, dan setiap hadis yang tidak memenuhi kesemua syarat ini, iaitu dengan kehilangan walaupun satu syarat daripadanya, dinamakan ‘Hadis Ahad’.

Pembahagian Mutawatir:

Hadis Mutawatir terbahagi kepada dua bahagian:

1 -  Mutawatir Lafzi.

2 - Mutawatir Maknawi.

A - Mutawatir Lafzi: Iaitu hadis yang para perawinya bersepakat meriwayatkan dengan lafaz yang sama.

Contohnya:

Para ulama memberikan contoh dengan hadis: "Sesiapa yang berdusta ke atasku dengan sengaja, maka siaplah tempat duduknya di dalam neraka."

Hadis ini telah diriwayatkan oleh lebih daripada tujuh puluh orang sahabat dengan lafaz ini.

B - Mutawatir Maknawi: Iaitu hadis yang lafaznya berbilang-bilang. Sebahagian perawi meriwayatkannya dengan satu lafaz, sebahagian yang lain dengan lafaz yang lain, dan sebahagian lagi dengan lafaz yang ketiga dan begitulah seterusnya. Namun, kesemua lafaz tersebut memberikan satu makna yang sama.

Sebahagian daripada ‘Mutawatir Maknawi’ ialah apabila dinukilkan kepada kita peristiwa-peristiwa yang berbeza, di mana setiap peristiwa secara tersendiri tidak mencapai tahap Mutawatir, akan tetapi antara peristiwa-peristiwa ini terdapat satu perkara yang sama. Maka perkara yang sama di antara semua peristiwa tersebut menjadi Mutawatir secara maknawi.

Contohnya:

Para ulama memberikan contoh untuk jenis Mutawatir ini dengan ‘mengangkat kedua-dua tangan ketika berdoa’. Telah diriwayatkan perihal mengangkat kedua-dua tangan ketika berdoa daripada hadis lebih daripada dua puluh orang sahabat daripada Nabi sallahu ‘alaihi wasallam. Setiap hadis adalah dalam peristiwa yang berbeza daripada peristiwa yang disebutkan oleh hadis yang lain dan di antara peristiwa-peristiwa ini terdapat satu perkara yang sama, iaitu Nabi sallahu ‘alaihi wasallam berdoa dan mengangkat kedua-dua tangan baginda ketika berdoa. Berikut adalah sebahagian daripadanya bagi menjelaskan maksud yang dikehendaki:

1 - Diriwayatkan oleh al-Bukhari daripada Abu Musa al-Asy'ari bahawa Nabi sallahu ‘alaihi wasallam telah berwuduk kemudian mengangkat kedua-dua tangan baginda, lalu bersabda: "Ya Allah, ampunilah 'Ubaid Abu 'Amir...".

2 - Diriwayatkan oleh al-Bukhari daripada Abu Hurairah bahawa al-Tufail bin 'Amr al-Dausi datang kepada Nabi sallahu ‘alaihi wasallam dan memintanya untuk mendoakan keburukan ke atas kaum Daws. Lalu Nabi sallahu ‘alaihi wasallam mengangkat kedua-dua tangan baginda dan berdoa: "Ya Allah, berilah petunjuk kepada kaum Daws dan bawalah mereka (kepada Islam)".

3.  Diriwayatkan oleh al-Bazzar dan al-Tabarani daripada Anas bahawa Nabi sallahu ‘alaihi wasallam mengangkat kedua-dua tangan baginda di Arafah sambil berdoa.

Dan begitulah seterusnya sehingga lima puluh hadis, setiap satunya dalam peristiwa yang khusus dan kesemuanya mempunyai persamaan iaitu Nabi sallahu ‘alaihi wasallam mengangkat kedua-dua tangan baginda ketika berdoa. Maka, perkara yang disepakati oleh kesemua peristiwa ini telah menjadi Mutawatir secara maknawi.

Sumber-Sumber Utama Hadis Mutawatir:

Bagi hadis Mutawatir dengan kedua-dua bahagiannya, Lafzi dan Maknawi, terdapat banyak contoh. Oleh itu, sebahagian ulama telah mengarang kitab khusus mengenainya. Karya-karya yang paling terkenal yang menghimpunkan hadis-hadis Mutawatir adalah seperti berikut:

1 - Qatf al-Azhar al-Mutanathirah fi al-Akhbar al-Mutawatirah: karya Imam Jalaluddin Abdul Rahman bin Abi Bakar al-Suyuti (wafat pada tahun 911 Hijrah).

Beliau meringkaskannya daripada kitabnya yang lebih besar dalam topik ini yang dinamakannya al-Fawa'id al-Mutakathirah fi al-Akhbar al-Mutawatirah.

Dalam kitab al-Qatf ini, beliau memasukkan hadis-hadis yang diriwayatkan oleh sepuluh orang sahabat dan ke atas. Bagi setiap hadis, beliau menyebutkan bilangan sahabat yang meriwayatkannya, disertakan dengan rujukan kepada para Imam masyhur yang mentakhrijkannya dalam kitab-kitab dan karya-karya hadis mereka. Beliau menyusun kitabnya mengikut bab-bab dan jumlah hadis di dalamnya mencecah 113 buah hadis.

2 - Nazm al-Mutanathir fi al-Hadith al-Mutawatir: karya al-'Allamah al-Muhaddith Sayyid Muhammad bin Ja'far al-Kattani (wafat pada tahun 1345 Hijrah).

Di dalamnya beliau memasukkan kitab al-Suyuti dan membuat banyak penambahan padanya dari sudut takhrij dan hadis. Beliau menyusunnya mengikut susunan kitab al-Suyuti dan memulakannya dengan mukadimah yang luas, di mana beliau membincangkan tentang takrif Mutawatir, syarat-syaratnya dan jenis ilmu (keyakinan) yang dihasilkannya. Jumlah hadis yang dimuatkannya mencecah 310 buah hadis.

Namun, dalam kedua-dua kitab ini terdapat sikap bermudah-mudah (tasahul) dalam menghukumkan sebahagian hadis sebagai Mutawatir. Maka kedua-dua pengarang telah menghukum beberapa hadis dengan status tersebut, sedangkan ia tidak memenuhi syarat-syarat Mutawatir.

Antara mereka yang turut menghimpunkan kitab mengenai hadis-hadis Mutawatir ialah:

1 - Ibnu Tulun al-Hanafi, Muhammad bin 'Ali al-Dimashqi (wafat pada tahun 953 Hijrah).

2.  Al-'Allamah Abu al-Faidh Muhammad bin Murtadha al-Bilgrami al-Hindi al-Zabidi (wafat pada tahun 1205 Hijrah).

3.  Al-Syaikh Siddiq Hasan Khan al-Qannuji al-Hindi (wafat pada tahun 1307 Hijrah) dan lain-lain.

Sebahagian daripada kitab-kitab ini telah dicetak dan tersebar.

Perhatian:

Ketahuilah bahawa para ulama telah menjelaskan bahawa apabila sesebuah hadis telah diketahui status Mutawatirnya, sanad-sanadnya tidak perlu dikaji lagi. Oleh sebab itu, ahli hadis tidak memasukkannya ke dalam kitab-kitab ilmu hadis dan istilahnya, kerana ilmu hadis adalah berasaskan kepada kajian sanad dan matan.

Sumber:

Mausu’ah ‘Ulum al-Hadith Wa Fununuhu oleh Sayyid Abdul Majid al-Ghauri.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan