Ahad, 14 April 2019

Takzim Imam Malik Terhadap Hadis

- Ibrahim bin Abdullah bin Quraim al-Ansari, Qadhi Madinah menceritakan:

"Malik bin Anas melintasi Ibnu Hazim yang sedang menyampaikan hadis. Beliau terus berlalu (tanpa berhenti). Lalu beliau ditanya tentang tindakan beliau tersebut. Beliau lalu menjawab: Aku tidak dapati tempat untuk aku duduk. Aku tidak suka meriwayatkan hadis Rasulullah sallahu 'alaihi wasallam dalam keadaan aku berdiri."

[Hilyah al-Auliya', Abu Nu'aim al-Asbahani]

- Ibnu Abi Uwais berkata:

"Malik apabila hendak menyampaikan hadis beliau akan berwuduk dan duduk di atas tempat duduknya. Beliau akan menyisir janggutnya. Beliau membetulkan duduknya dalam keadaan penuh ketenangan dan wibawa. Kemudian barulah beliau menyampaikan hadis.

Beliau ditanya tentang perbuatannya tersebut. Beliau lalu menjawab: Aku ingin memuliakan hadis Rasulullah sallahu 'alaihi wasallam. Aku tidak akan menyampaikan hadis kecuali dalam keadaan suci lagi penuh wibawa.

Beliau tidak suka menyampaikan hadis ketika beliau sedang berdiri di jalanan atau ketika sedang tergesa-gesa. Beliau berkata: Aku ingin memahami apa yang aku sampaikan daripada Rasulullah sallahu 'alaihi wasallam."

[Hilyah al-Auliya', Abu Nu'aim al-Asbahani]

- Abu Mus'ab berkata:

"Malik tidak akan menyampaikan hadis kecuali dalam keadaan berwuduk sebagai satu penghormatan daripada beliau kepada hadis-hadis Rasulullah sallahu 'alaihi wasallam."

[Tartib al-Madarik, al-Qadhi 'Iyadh]

- Abdullah bin al-Mubarak berkata:

"Aku berada bersama-sama dengan Malik ketika beliau sedang menyampaikan hadis. Seekor kala jengking menyengatnya sebanyak 16 kali sehingga Malik berubah warna (wajahnya). Tetapi beliau tetap bersabar dan tidak memutuskan (bacaan) hadis Rasulullah sallahu 'alaihi wasallam.

Apabila selesai majlis dan orang ramai telah beredar, aku berkata kepada beliau: Wahai Abu 'Abdullah, aku melihat perkara yang ajaib daripada kamu hari ini. Beliau lalu menjawab: Sesungguhnya aku tetap bersabar kerana ingin memuliakan hadis Rasulullah sallahu 'alaihi wasallam."

[Tartib al-Madarik, al-Qadhi 'Iyadh]

Tiada ulasan:

Catat Ulasan