Isnin, 1 April 2019

Ulama Menulis Kitab Tidak Sekejap

- Imam Malik Menulis al-Muwatta’ Selama 40 Tahun

 ‘Umar bin Abdul Wahid - murid Imam al-Auza’ie - berkata:

“Kami membaca al-Muwatta’ kepada Malik selama 40 hari. Imam Malik lalu berkata: Kitab yang telah aku karang selama 40 tahun kamu membacanya selama 40 hari? Sangat sedikitlah yang kamu akan faham apa yang terkandung di dalamnya.”

[Al-Tamhid (1/694), Ibnu ‘Abd al-Barr, tahqiq: Dr Basyar ‘Awadh Ma’ruf]

- Sahih al-Bukhari Ditulis Selama 16 Tahun

Imam al-Bukhari (w. 256 H) berkata:

“Aku telah menulis kitabku al-Sahih selama 16 tahun. Aku saring hadis-hadisnya daripada 600 ribu buah hadis. Aku jadikannya hujah antaraku dengan Allah Ta’ala.”

[Tarikh Baghdad (2/333), al-Khatib al-Baghdadi, tahqiq: Dr Basyar ‘Awadh Ma’ruf]

- Sahih Muslim Dikarang Selama 15 Tahun

Ahmad bin Salamah - teman rapat Imam Muslim - bekata:

“Aku bersama dengan Muslim ketika beliau menulis kitab Sahihnya selama 15 tahun.”

[Siyar A’lam al-Nubala’ (12/566), al-Zahabi, c: Muassasah al-Risalah]

- Fath al-Bari Ditulis Selama 25 Tahun

Murid al-Hafiz Ibnu Hajar, al-Hafiz al-Sakhawi mencatatkan dalam al-Jawahir Wa al-Durar bahawa al-Hafiz Ibnu Hajar memulakan penulisan kitab Fath al-Bari pada awal tahun 817 Hijrah dan selesai pada hari pertama bulan Rejab tahun 842 Hijrah. Jadi beliau mengambil masa selama 25 tahun untuk menyelesaikan karya beliau ini.

Setelah itu beliau mengadakan kenduri besar sebagai tanda kegembiraan dan kesyukuran kerana dapat menyelesaikan syarah Sahih al-Bukhari.

Majlis tersebut dihadiri oleh para ulama 4 mazhab, para pemimpin, para hakim dan ahli syair.

Kata al-Sakhawi: "Aku pun berada di majlis itu dan aku masih kecil ketika itu."

Sebanyak 500 dinar dihabiskan untuk kenduri tersebut dan dihidangkan pelbagai jenis makanan, minuman, buah-buahan dan manisan.

- Al-Isobah Ditulis Selama Hampir 40 Tahun

Diakhir kitab ini al-Hafiz Ibnu Hajar menulis bahawa beliau memulakan penulisan kitab ini pada 809 Hijrah dan selesai pada 847 Hijrah iaitu selama 38 tahun. Tetapi menurut beliau, kitab ini ditulis secara santai-santai sahaja. Oleh itu, ia mengambil masa yang lama.

Kitab ini mengandungi maklumat mengenai individu-individu yang disifatkan sebagai sahabat Nabi sallahu ‘alaihi wasallam.

- Tafsir al-Tahrir Wa al-Tanwir Dikarang Selama 39 Tahun

Al-Imam Muhammad al-Thahir bin ‘Asyur menulis di akhir kitab tafsir beliau:

“Tafsir ini sempurna pada waktu asar hari Jumaat 12 Rejab tahun 1380 Hijrah. Adalah tempoh penulisannya selama 39 tahun enam bulan.”

Tiada ulasan:

Catat Ulasan