Selasa, 3 Ogos 2021

Dr Mahmud al-Tahhan - Pengarang Taisir Mutholah al-Hadith

Dr Mahmud al-Tahhan (duduk di tengah)

 Nama dan Kelahiran

Nama beliau ialah Mahmud bin Ahmad al-Tahhan al-Halabi al-Na’imi. Kunyah beliau ialah Abu Hafs.

Beliau dilahirkan di al-Bab, sebuah bandar yang terletak kira-kira 38 kilometer dari kota Halab pada tahun 1935. Beliau lalu berpindah ke bandar Manbij dan akhirnya menetap di Halab. Beliau membesar dalam keluarga yang kuat berpegang dengan agama.

Pengajian

Beliau belajar di peringkat sekolah rendah, sebahagiannya di al-Bab dan sebahagian lagi di Manbij.

Beliau memasuki sekolah menengah agama di Halab dan tamat belajar pada tahun 1954.

Beliau mula menghafal al-Quran al-Karim di sebuah sekolah yang bernama Madrasah al-Huffaz di bawah bimbingan Syeikh Muhammad Najib Khayathah. Beliau juga membaca al-Quran kepada Syeikh Muhammad Najib Khayathah tersebut di Masjid Khusruwiyyah selepas waktu subuh. Beliau akhirnya berjaya menyempurnakan hafalan al-Quran dalam tempoh dua tahun ketika beliau sedang menuntut di peringkat menengah di Halab.

Beliau seterusnya menyambung pengajian di Kuliyah Syariah, Universiti Damsyik pada tahun 1956 dan menamatkan pengajian dengan cemerlang pada tahun 1960. Beliau melangsungkan perkahwinan dalam tempoh pengajian beliau di Universiti Damsyik. Setelah selesai pengajian di Universiti Damsyik, beliau memasuki perkhidmatan ketenteraan wajib dan selesai pada tahun 1961.

Guru-Guru

Antara guru-guru beliau ialah:

1 - Syeikh Jum’ah Abu Zalam (1903-1985), mufti Manbij.

Syeikh Jum'ah Abu Zalam


Dr Mahmud al-Tahhan berkata: “Saya tinggal selama tiga tahun di Manbij antara tahun 1946 sehingga 1949. Kemudian saya memasuki Madrasah Khusruwiyyah di Halab. Saya menziarahi ahli keluarga dan saudara mara yang masih ada di situ. Dalam tempoh masa tersebut saya belajar dengan Syeikh Jum’ah ilmu fiqh, nahu dan sebahagian Alfiyyah Ibnu Malik. Saya telah meletakkan Syeikh Jum’ah dalam senarai guru-guru saya dan saya tulis perkara tersebut dalam biografi saya.”

Guru-guru ketika beliau belajar di sekolah menengah agama pula ialah:

1 - Syeikh Abdul Wahab Sukkar (1898-1986).

Syeikh Abdul Wahab Sukkar

2 - Syeikh Muhammad Abu al-Khair Zainul Abidin (1916-1973). Beliau mengajarkan ilmu tauhid kepada Dr Mahmud al-Tahhan.

Syeikh Muhammad Abu al-Khair Zainul Abidin

3 - Syeikh Muhammad al-Mallah (1910-1987). Antara ilmu yang sempat Dr Mahmud al-Tahhan belajar dengan beliau ialah ilmu Mustholah Hadis, Balaghah dan fiqh mazhab Hanafi.

Syeikh Muhamad al-Mallah

4 - Syeikh Muhammad Najib Khayyathah (1905-1967). Beliau merupakan Syeikh al-Qurra’ di Halab. Dr Mahmud al-Tahhan belajar ilmu tajwid, tilawah al-Quran dan faraid dengan beliau.

Syeikh Muhammad Najib Khayyathah

5 - Syeikh Muhammad Salqini.

6 - Syeikh Muhammad As’ad ‘Ibaji (1888-1973), mufti Halab. Dr Mahmud al-Tahhan belajar ilmu ‘arudh dengan beliau.

Syeikh Muhammad As'ad 'Ibaji

7 - Syeikh Muhammad Naji Abu Soleh (1904-1991).

Syeikh Muhammad Naji Abu Soleh

8 - Syeikh Abdullah Hammad. Dr Mahmud al-Tahhan belajar ilmu sarf dengan beliau.

Guru-guru beliau ketika belajar di al-Azhar pula ialah:

1 - Syeikh Dr Muhammad Abu Zahw, pengarang kitab al-Hadith Wa al-Muhaddithun.

2 - Syeikh Dr Muhammad Muhammad al-Samahi.

Syeikh Muhammad al-Samahi

Pekerjaan

Beliau pernah berkhidmat sebagai imam dan khatib di Masjid al-Ziyarah, Minbij dan beberapa buah masjid lagi di Halab. Setelah itu beliau menjadi tenaga pengajar subjek pendidikan Islam di beberapa buah tempat di Syiria seperti al-Haffah dan Latakia. Di samping itu juga beliau mengajar di beberapa buah sekolah menengah agama dan sekolah menengah umum di Halab. Beliau meneruskan profesion tersebut sehingga tahun 1965.

 Beliau lalu mengikat kontrak perjanjian perkhidmatan bersama Universiti Islam Madinah dan mengajar di situ subjek hadis dan mutholah hadis. Beliau berkhidmat selama 10 tahun.

Ketika beliau tinggal di Arab Saudi, beliau menyambung pengajian sarjana pada tahun 1969 dan seterusnya peringkat kedoktoran dalam bidang hadis di Kuliah Usuluddin, Universiti al-Azhar pada tahun 1971. Beliau menulis tesis berjudul ‘al-Hafiz al-Khatib al-Baghdadi dan Pengaruh Beliau Dalam Ilmu Hadis’. Penyelia beliau yang pertama ialah Syeikh Abdul Wahab Abdul Latif namun beliau meninggal dunia setelah itu lalu diganti oleh Syeikh Muhammad al-Hakim. Syeikh Dr Muhammad al-Samahi juga terlibat sama dalam sesi viva tesis berkenaan. Tesis tersebut lalu diterbitkan pada tahun 1981 dengan pembiayaan yang dikeluarkan oleh Dr Mahmud al-Tahhan sendiri.

Setelah itu beliau berkhidmat pula di Kuliah Syariah, Unibersiti Muhammad bin Su’ud dan mengajar di sana selama tujuh tahun. Di sinilah beliau menulis kitab beliau yang terkenal, Taisir Mustholah al-Hadith iaitu pada tahun 1977. Kitab ini menjadi teks pengajian bagi pelajar Kuliah Syariah universiti berkenaan. Setelah setahun atau dua tahun, beliau menulis pula sebuah lagi kitab berjudul Usul al-Takhrij Wa Dirasah al-Asanid. Kitab ini merupakan kitab pertama yang lengkap berkenaan subjek takhrij hadis dan kajian sanad. Kedua-dua buah kitab tersebut telah dijadikan teks pengajian di beberapa buah universiti di seluruh dunia.

Apabila Kuliah Syariah dan Pengajian Islam, Universiti Kuwait mula dibuka pada tahun 1982, beliau berpindah untuk mengajar di situ pula. Beliau berkhidmat di situ sehingga usia beliau mencapai 70 tahun pada tahun 2005. Beliau mengambil keputusan untuk bersara dan pulang ke Halab. Sepanjang perkhidmatan beliau di Universiti Kuwait, beliau pernah menjadi ketua bahagian tafsir dan hadis, ketua program hadis bagi pengajian sarjana selain menyelia tesis beberapa orang pelajar di peringkat Sarjana dan Kedoktoran.

Di luar universiti, beliau juga pernah mengajar kitab beliau, Taisir Mustholah Hadith dan kitab Muqaddimah Ibnu al-Solah kepada penuntut ilmu selama beberapa tahun sebelum beliau pulang ke Halab.

Hasil Karya

Beliau mempunyai beberapa buah hasil karya, kebanyakannya mendapat sambutan yang baik oleh pembaca. Antaranya:

1 - Taisir Mustholah Hadith

Karya beliau yang paling masyhur dan mendapat sambutan mengalakan di kalangan ulama dan penuntut ilmu. Kitab ini ditulis ditulis ketika beliau ditugaskan mengajar subjek mustholah hadis di Universiti Islam Madinah. Pihak universiti telah menetapkan kitab Muqaddimah Ibnu Solah dan kitab al-Taqrib karangan al-Nawawi sebagai teks pengajian. Beliau mendapati para pelajar sukar untuk memahami kedua-dua kitab tersebut. Jadi beliau mengambil keputusan untuk menyusun sebuah kitab baru yang lebih mudah dihadam oleh pelajar.

2 - Usul al-Takhrij Wa Dirasah al-Asanid

Kitab ini beliau karang untuk memudahkan penuntut ilmu dan pengkaji mengesan kedudukan hadis dalam rujukan primer. Beliau menyebutkan kaedah-kaedah yang paling masyhur untuk mentakhrij hadis. Di bahagian kedua buku ini, beliau meletakkan kaedah-kaedah yang perlu diikuti untuk mengkaji sanad hadis, mencari biografi perawi seterusnya menyimpulkan status dan hukum hadis berkenaan.

3 - Al-Hafiz al-Khatib al-Baghdadi Wa Atharuhu Fi Ulum al-Hadith

Tesis kedoktoran beliau di Universiti al-Azhar. Sebab beliau memilih untuk menulis tentang al-Khatib al-Baghdadi adalah kerana sejak kecil lagi beliau sudah sering kali mendengar nama al-Khatib al-Baghdadi tatkala sedang mempelajari Syarah Nukhbah al-Fikar karangan Ibnu Hajar. Setiap kali membelek halaman kitab berkenaan pasti akan dijumpai nama al-Khatib al-Baghdadi yang membuat hati beliau terdetik, “Sudah tentu tokoh ini mempunyai pengaruh yang besar dalam ilmu hadis.” Terlintas juga di hati beliau untuk mengkaji tentang al-Khatib al-Baghdadi dan penulisannya dalam ilmu hadis lalu dituangkan dalam sebuah kitab yang dapat dibaca dan dimanfaatkan oleh penuntut ilmu. Setelah mana beliau menyambung pengajian di peringkat kedoktoran, barulah beliau dapat merealisasikan cita-cita tersebut dengan menjadikan al-Khatib al-Baghdadi dan karyanya sebagai subjek kajian tesisnya.

4- Tahqiq (suntingan dan semakan) kitab al-Jami’ Li Akhlaq al-Rawi Wa Adab al-Sami’ karangan al-Khatib al-Baghadi. Diterbitkan oleh Maktabah al-Ma’arif pada tahun 1983 sebanyak 2 jilid.

5 - Tahqiq kitab al-Mu’jam al-Ausath karangan al-Tabarani. Diterbitkan oleh Maktabah al-Ma’arif pada tahun 1985 sebanyak 11 jilid.

6 - Tahqiq kitab Majmu’ al-Hadith ‘Ala Abwab al-Fiqh karangan Muhammad Abdul Wahab. Ditahqiq bersama Syeikh Khalil Mulla Khatir. Diterbitkan sebanyak 4 jilid.

Keluarga

Beliau mempunyai lebih daripada 20 orang anak hasil perkongsian hidup bersama tiga orang isteri beliau. Manakala isteri keempat beliau tidak mempunyai anak. 

Meninggal Dunia

Beliau meninggal dunia pada waktu subuh hari Khamis, pada tarikh 30 Rabiul Akhir 1444 bersamaan 24 November 2022. 

Semoga Allah merahmati beliau.

Video beliau di Youtube:

Tiada ulasan:

Catat Ulasan