Khamis, 19 Ogos 2021

Syeikh Muhammad al-Fudholi - Pengarang Kifayatul Awam


Nama dan Gelaran

Nama beliau ialah Muhammad bin Syafi’ (شَافِع) al-Misri al-Syafie al-Fudholi. Begitulah nama beliau yang disebutkan oleh Isma’il Basya dalam kitab Hadiyyah al-Arifin dan Idhoh al-Maknun. Al-Zirikli dalam al-A’lam pula menyebutkan namanya sebagai Muhammad bin Syafi’i (شَافِعِي).

Di Nusantara kebiasaannya disebutkan gelaran beliau sebagai al-Fudholi (الفُضَالِي), dengan baris hadapan pada huruf fa’. Mana al-Zirikli pula menyebutkannya sebagai al-Fadhali (الفَضَالي), dengan baris atas pada huruf fa’.

Daripada gelaran al-Misri dapat kita ketahui bahawa beliau berasal dari Mesir. Manakala gelaran al-Syafi’i menunjukkan bahawa beliau bermazhab al-Syafi’i. 

Gelaran al-Fudholi/al-Fadhali pula nisbah kepada Maniyyah Fadalah, nama sebuah tempat yang terletak di Dakahlia, Mesir.

Kelahiran

Saya tidak menemui mana-mana ulama yang mencatatkan tahun kelahiran beliau.

Guru-Guru

Tidak ada sebarang maklumat tentang guru beliau.

Murid-Murid

Murid beliau yang masyhur dan diketahui hanyalah Imam Ibrahim al-Bajuri (m. 1279 H) yang sentiasa melazimi beliau sehingga beliau meninggal dunia dan mensyarahkan kitab-kitab beliau.

Karya Penulisan

1 - Risalah Fi Kalimah al-Tauhid

Kitab ini disyarahkan oleh Imam al-Bajuri pada tahun 1222 Hijrah ketika hayat gurunya. Kitab syarah tersebut merupakan karya pertama Imam al-Bajuri yang dikarang ketika usianya baru 24 tahun.

2 - Kifayah al-Awam Fima Yajibu ‘Alaihim Min ‘Ilm al-Kalam

Kitab ini disyarahkan oleh Imam al-Bajuri dengan kitab berjudul Tahqiq al-Maqam ‘Ala Kifayah al-Awam. Diselesaikan pada tahun 1223 Hijrah. Imam al-Bajuri menulis syarah ini setelah diizinkan oleh gurunya itu.

3 - Risalah Fi al-Taqlid

Kewafatan

Beliau meninggal dunia pada tahun 1236 Hijrah bersamaan 1820 Masihi.

Semoga Allah merahmati beliau.

1 ulasan:

  1. Thanks for your information we indonesia santri

    BalasPadam