Jumaat, 13 Ogos 2021

Siapakah Zinnirah?

 


1 - Nama beliau ialah Zinnirah (زِنِّيرَة) al-Rumiyyah. Sebahagian ulama menyebutkan nama beliau sebagai Zinirah (زِنِيرَة), tanpa syaddah pada huruf nun. Gelaran al-Rumiyyah mungkin kerana beliau berasal dari negara Rom.

2 - Beliau merupakan hamba kepada Bani Makhzum dan ada ulama yang berpendapat bahawa beliau ialah hamba kepada Bani Abdul Dar.

3 - Beliau antara yang terawal memeluk agama Islam di zaman permulaan Islam. Disebabkan itu beliau telah diseksa oleh golongan musyrikun, antaranya oleh Abu Jahal. Hassan bin Thabit berkata:

“Aku melakukan haji dan (ketika itu)  Nabi sallahu ‘alaihi wasallam sedang menyeru orang ramai kepada Islam sementara sahabat-sahabat baginda sedang diseksa. Aku juga mendapati bahawa Amru (Abu Jahal) sedang mendera seorang hamba perempuan milik Bani Amru bin al-Muammal. Kemudian dia menerpa ke arah Zinnirah dan melakukan sedemikian juga.”

4 - Setelah Abu Bakar melihat Zinnirah diseksa dengan teruk oleh golongan musyrikun, beliau membeli Zinnirah bersama enam orang lagi hamba lalu mereka dimerdekakan. Ketika Zinnirah dibebaskan mata beliau menjadi buta. Ummu Hani’ binti Abi Talib berkata:

“Abu Bakar membebaskan Zinnirah lalu matanya menjadi buta ketika dibebaskan. Orang Quraisy berkata: Tidak ada yang menghilangkan penglihatannya melainkan al-Lata dan al-Uzza. Zinnirah lalu berkata: Al-Lata dan al-Uzza itu tidak ada gunanya dan tidak memberi manfaat. Setelah itu Allah mengembalikan semula penglihatannya.”

5 - Ada riwayat yang menyebutkan bahawa beliau menjadi buta ketika mula memeluk Islam. Sa’ad bin Ibrahim berkata:

“Zinnirah Rumiyyah memeluk Islam lalu hilang penglihatannya. Orang Musyrikun berkata: Al-Lata dan al-Uzza membuatnya menjadi buta. Zinnirah menjawab: Sesungguhnya aku tidak percaya kepada al-Lata dan al-Uzza. Lalu Allah mengembalikan semula penglihatannya.”

6 - Dalam kitab Usd al-Ghabah pula dicatatkan:

“Apabila Zinnirah memeluk Islam, beliau menjadi buta. Maka orang Musyrikun berkata: Al-Lata dan al-Uzza telah membutakannya kerana dia tidak percaya kepada mereka. Zinnirah menjawab semula: Al-Lata dan al-Uzza tidak tahu siapa yang menyembahnya. Sesungguhnya ini adalah daripada langit (yakni Allah). Tuhanku berkuasa untuk mengembalikan semula penglihatanku. Keesokkan harinya apabila beliau bangun Allah telah mengembalikan semula penglihatannya. Orang Quraisy lalu berkata: Ini adalah sihir Muhammad!”

7 - Itu sahaja catatan sejarah yang direkodkan berkenaan Zinnirah. Tidak ada sebarang maklumat tentang bagaimana kehidupan beliau setelah itu dan pada tahun bilakah beliau meninggal dunia.

Rujukan:

1 - Al-Isabah Fi Tamyiz al-Sahabah karangan al-Hafiz Ibnu Hajar al-Asqalani.

2 - Al-Isti’ab Fi Ma’rifah al-Ashab karangan Imam Ibnu Abdil Barr.

3 - Tajrid Asma’ al-Sahabah karangan al-Hafiz al-Zahabi.

4 - Usd al-Ghabah Fi Ma’rifah al-Sahabah karangan Imam Ibnu al-Athir.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan