Selasa, 12 Mac 2024

Hadis Kelebihan Membaca al-Quran

 Hadis Pertama

Diriwayatkan daripada ‘Uthman bin ‘Affan, daripada Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam, baginda bersabda:

خَيْرُكُمْ مَنْ تَعَلَّمَ القُرْآنَ وَعَلَّمَهُ.

“Sebaik-baik orang di kalangan kamu adalah yang mempelajari al-Quran dan yang mengajarkannya.”

Riwayat al-Bukhari (no. 5027).

Pengajaran Hadis

1 - Dorongan untuk mempelajari al-Quran, mentadabur dan merenung isi kandungannya seperti hukum-hakam, akidah, pengajaran kisah umat terdahulu serta suruhan dan larangan Allah Ta’ala. Semua itu adalah sebab untuk mencapai kejayaan di dunia dan akhirat.

2 - Seorang alim berkewajipan menyebarkan ilmunya setelah mempelajarinya. Setiap usaha belajar dan mengajar itu ada pahala khusus baginya. Sesempurna ganjaran itu adalah dengan mempelajari al-Quran lalu mengajarkannya.

3 - Kemuliaan dan tingginya darjat orang yang mempelajari al-Quran.

4 - Seorang pembaca al-Quran yang mempelajarinya tanpa guru tidak mampu untuk memperelokkan bacaannya. Oleh itu seorang pembaca al-Quran memerlukan guru yang berkeahlian untuk membimbingnya bagi membaca al-Quran dengan baik dan memahami kandungannya.

5 - Berusaha untuk mengajarkan al-Quran, sekurang-kurangnya kepada anak-anak. Mudah-mudahan apabila mereka membaca al-Quran kita akan turut sama mendapat saham pahala.

Hadis Kedua

Diriwayatkan daripada Abu Umamah, beliau berkata: Aku mendengar Nabi sallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

اقْرَؤُا القُرْآنَ فإِنَّهُ يَأْتي يَوْم القيامةِ شَفِيعاً لأصْحابِهِ.

“Bacalah al-Quran kerana sesungguhnya al-Quran akan datang pada hari kiamat untuk memberi pertolongan kepada pembacanya.”

Riwayat Muslim (no. 804).

Pengajaran Hadis

1 - Galakan untuk membaca al-Quran kerana pada hari kiamat al-Quran akan memohon keampunan bagi orang yang selalu membacanya dan mengikut petunjuknya.

2 - Sebahagian ulama berpendapat al-Quran akan dirupakan dengan bentuk yang dapat dilihat oleh manusia sebagaimana amalan manusia juga akan diberi bentuk dan berat untuk diletakkan di atas timbangan (mizan). Sebahagian ulama tidak mahu memperincikan bagaimana al-Quran akan memohon pertolongan bagi manusia dan menyerahkannya kepada Allah.

3 - Kelebihan ini adalah untuk orang yang beramal dengan al-Quran. Adapun orang yang tidak beramal dengan al-Quran maka al-Quran akan menjadi musuhnya pada hari kiamat.

Hadis Ketiga

Diriwayatkan daripada al-Nawwas bin Sam’an, beliau berkata: Aku mendengar Nabi sallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

يُؤْتى يوْمَ القِيامةِ بالْقُرْآنِ وَأَهْلِهِ الذِين كانُوا يعْمَلُونَ بِهِ في الدُّنيَا تَقدُمهُ سورَةُ البقَرَةِ وَآل عِمرَانَ، تحَاجَّانِ عَنْ صاحِبِهِمَا.

“Al-Quran akan didatangkan pada hari kiamat bersama ahli al-Quran yang mengamalkannya sewaktu di dunia. Surah al-Baqarah dan Ali Imran akan maju untuk mempertahankan pembaca kedua surah tersebut.”

Riwayat Muslim (no. 805).

Pengajaran Hadis

1 - Kelebihan orang yang sentiasa melazimi bacaan al-Quran. Al-Quran akan mempertahankan pembacanya dan orang yang beramal dengannya.

2 - Kelebihan surah al-Baqarah dan Ali Imran. Keduanya akan mendahului untuk mempertahankan pembacanya.

3 - Ahli al-Quran adalah orang yang mengamalkan al-Quran dan selalu membacanya sama ada melalui hafalan atau mushaf. Ahli al-Quran juga akan membenarkan segala pengkhabaran yang terkandunga dalam al-Quran, melaksanakan arahan dan hukum hakamnya, menjauhi larangannya dan mengagungkan kedudukannya.

Hadis Keempat

Diriwayatkan daripada Aisyah, beliau berkata: Nabi sallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

الَّذِي يَقرَأُ القُرْآنَ وَهُو ماهِرٌ بِهِ معَ السَّفَرةِ الكرَامِ البررَةِ، وَالَّذِي يقرَأُ القُرْآنَ ويتَتَعْتَعُ فِيهِ وَهُو عليهِ شَاقٌّ لَهُ أجْران.

“Orang yang mahir membaca al-Quran akan bersama dengan para malaikat utusan yang mulia lagi taat. Manakala orang yang membaca al-Quran dalam keadaan tergagap-gagap dan kepayahan akan mendapat dua pahala.”

Riwayat al-Bukhari (no. 4937) dan Muslim (no. 798).

Keterangan Hadis

1 - Orang yang mahir membaca al-Quran adalah orang yang elok bacaannya dan menetapi hukum hakam tajwid.

2 - Para malaikat utusan adalah malaikat yang diutuskan kepada para rasul untuk membawa wahyu dari Allah atau mereka adalah malaikat pencatat amalan manusia kerana mereka adalah utusan di antara Allah dengan makhlukNya.

3 - Malaikat disifatkan dengan sifat mulia lagi taat kerana mereka suci daripada dosa maksiat dan sentiasa mentaati perintah Allah.

Pengajaran Hadis

1 - Kelebihan orang yang gigih membaca dan mempelajari al-Quran sehingga dia mahir dan dapat memperelokkan bacaan al-Quran. Mereka akan berada di martabat para malaikat di akhirat kelak.

2 - Galakan bagi orang yang berasa payah membaca al-Quran untuk dia terus berusaha membaca al-Quran. Dia akan mendapat dua pahala, iaitu pahala membaca al-Quran dan pahala kesukaran yang dia hadapi ketika membaca al-Quran.

3 - Hadis ini tidaklah bermaksud orang yang sukar membaca al-Quran itu mendapat pahala lebih banyak daripada orang yang mahir membaca al-Quran.

Bahkan kedudukan orang yang mahir membaca al-Quran itu lebih tinggi dan lebih banyak pahalanya kerana dia akan bersama dengan para malaikat.

Orang yang mahir itu juga dahulunya sukar untuk membaca al-Quran namun dia tidak putus asa untuk berusaha sehinggalah dia mahir dan menguasai bacaan al-Quran lalu dia dapat menghafal dan membanyakkan bacaannya. Sudah tentu pahalanya lebih banyak dan lebih tinggi martabatnya. Begitulah yang dijelaskan para ulama seperti Imam al-Qurtubi dan al-Qadhi ‘Iyadh.

Hadis Kelima

Diriwayatkan daripada Umar bin al-Khattab bahawasanya Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

إِنَّ اللهَ يَرْفَعُ بِهَذَا الْكِتَابِ أَقْوَامًا، وَيَضَعُ بِهِ آخَرِينَ.

“Sesungguhnya Allah memuliakan sekumpulan manusia dengan sebab kitab ini dan merendahkan sekumpulan yang lain dengan sebabnya juga.”

Pengajaran Hadis

1 - Orang yang beriman, membaca, beramal dan mengagungkan kedudukan al-Quran akan dikurniakan darjat dan kemuliaan yang tinggi oleh Allah di dunia dan di akhirat.

2 - Orang yang ingkar, berpaling dan mengabaikan suruhan dan larangan al-Quran akan dihinakan oleh Allah di dunia dan di akhirat.

3 - Ilmu itu akan meninggikan martabat pemiliknya di dunia mahupun di akhirat dan tidak ada suatu yang lain pun daripada harta, nasab keturunan dan pangkat yang dapat melakukan sedemikian.

4 - Kemulian umat Islam adalah dengan berpegang teguh dengan agamanya dan menunaikan perintah kitabnya. Jika umat Islam melaksanakan tugasnya itu nescaya mereka akan lebih mulia daripada umat-umat yang lain.

Hadis Keenam

Diriwayatkan daripada Abu Musa al-Asy’ari, beliau berkata: Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

مثَلُ المؤمنِ الَّذِي يقْرَأُ القرآنَ مثلُ الأُتْرُجَّةِ: ريحهَا طَيِّبٌ وطَعمُهَا حلْوٌ، ومثَلُ المؤمنِ الَّذي لاَ يَقْرَأُ القُرْآنَ كَمثَلِ التَّمرةِ: لاَ رِيح لهَا وطعْمُهَا حلْوٌ، ومثَلُ المُنَافِق الَّذِي يَقْرَأُ القرْآنَ كَمثَلِ الرِّيحانَةِ: رِيحها طَيّبٌ وطَعْمُهَا مرُّ، ومَثَلُ المُنَافِقِ الَّذِي لاَ يَقْرَأُ القرآنَ كَمَثلِ الحَنْظَلَةِ: لَيْسَ لَها رِيحٌ وَطَعمُهَا مُرٌّ.

“Orang beriman yang selalu membaca al-Quran itu ibarat buah utrujjah (citron). Baunya wangi dan rasanya manis. Orang beriman yang jarang membaca al-Quran pula ibarat buah kurma. Tidak ada bau baginya dan rasanya manis. Orang munafik yang selalu membaca al-Quran pula seperti raihanah (basil). Baunya wangi namun rasanya pahit. Orang munafik yang jarang membaca al-Quran umpama buah hanzalah (colocynth). Tidak ada bau baginya dan rasanya pahit.”

Riwayat al-Bukhari (no. 5427) dan Muslim (no. 797).

Pengajaran Hadis

1 - Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam mengumpamakan keimanan itu dengan rasa dan perbuatan membaca al-Quran itu dengan bau kerana iman itu boleh ada pada orang beriman tanpa membaca al-Quran sebagaimana rasa itu boleh ada pada suatu benda tanpa ada baunya. Kadang-kadang baunya itu hilang namun rasanya masih ada.

Iman itu ibarat rasa manis yang tersembunyi dan tidak dapat dicapai oleh semua orang melainkan orang yang merasanya. Al-Quran itu pula ibarat bau wangi yang zahir dan dapat memberi manfaat kepada setiap orang yang mendengarnya.

2 - Maksud membaca al-Quran dalam hadis ini bukanlah semata-mata perbuatan membaca al-Quran melainkan mesti disertakan dengan beramal dengannya.

3 - Hadis ini menunjukkan boleh membuat perumpamaan untuk memudahkan kefahaman.

4 - Orang munafik dan fasik itu sekiranya mereka membaca al-Quran mereka tidak akan mendapat manfaat daripadanya kerana tidak mahu beramal dengannya. Tujuan mereka membaca al-Quran itu bukan untuk mengambil manfaat dan mendekatkan diri kepada Allah.

Hadis Ketujuh

Diriwayatkan daripada Ibnu Umar daripada Nabi sallahu ‘alaihi wasallam, baginda bersabda:

لا حَسَدَ إلاُّ في اثنَتَيْن: رجُلٌ آتَاهُ اللَّه القُرآنَ، فهوَ يقومُ بِهِ آناءَ اللَّيلِ وآنَاءَ النَّهَارِ، وَرجُلٌ آتَاهُ اللَّه مَالاً، فهُو يُنْفِقهُ آنَاءَ اللَّيْلِ وَآنَاءَ النهارِ.

“Tidak boleh berhasad dengki melainkan dalam dua keadaan: Seseorang yang Allah telah berikan kepadanya al-Quran maka dia membacanya siang dan malam dan seseorang yang telah Allah berikan kepadanya harta lalu dia menginfakkannya siang dan malam.”

Riwayat al-Bukhari (no. 7529) dan Muslim (no. 815).

Keterangan Hadis

1 - Maksud hasad dengki dalam hadis ini ialah hasad dengki dari sudut positif atau dipanggil al-ghibtoh (الغبطة) dalam bahasa Arab. Ia bermaksud keinginan untuk mendapatkan nikmat dan kelebihan yang sama seperti orang lain tanpa disertai rasa ingin melihat nikmat itu ditarik daripada orang tersebut.

2 - Maksud seseorang yang Allah telah berikan kepadanya al-Quran iaitu Allah telah berikan kepadanya kebolehan untuk membaca, menghafal dan memahami al-Quran.

Pengajaran Hadis:

1 - Hasad dengki adalah penyakit hati yang sangat berbahaya. Oleh itu perlu untuk menjauhinya dan mempelajari cara merawat hati daripadanya.

2 - Berlumba-lumba dalam melakukan kebaikan adalah digalakan dalam Islam.

3 - Berusaha untuk mempelajari al-Quran agar dapat membacanya siang dan malam.

4 - Kelebihan orang kaya yang tidak kedekut untuk membelanjakan hartanya pada perkara kebaikan.

Hadis Kelapan

Diriwayatkan daripada al-Bara’, beliau berkata:

كَانَ رَجلٌ يَقْرَأُ سورةَ الكَهْفِ، وَعِنْدَه فَرسٌ مَربوطٌ بِشَطَنَيْنِ فَتَغَشَّته سَحَابَةٌ فَجَعَلَت تَدنو، وجعلَ فَرسُه ينْفِر مِنها. فَلَمَّا أَصبح أَتَى النَّبِيَّ صَلّى اللهُ عَلَيْهِ وسَلَّم. فَذَكَرَ له ذلكَ فَقَالَ: "تِلكَ السَّكِينَةُ تَنَزَّلتْ للقُرآنِ.

“Seorang lelaki membaca surat al-Kahfi. Di sisinya terdapat seekor kuda yang terikat dengan dua tali.  Lalu datang awan/kabus yang menaunginya. Awan/kabus itu mendekat dan semakin mendekat sehingga membuatkan kudanya lari. Apabila tiba waktu pagi, lelaki itu pun datang bertemu Nabi sallahu ‘alaihi wasallam dan menceritakan kejadian itu. Maka Nabi SAW pun bersabda: "Itu adalah al-Sakinah yang turun kerana (bacaan) al-Qur'an"

Riwayat al-Bukhari (no. 5011) dan Muslim (no. 795)

Keterangan Hadis

1 – Maksud al-Sakinah dari segi terjemahan literalnya adalah ketenangan, kedamaian dan ketenteraman. Namun tafsiran al-Sakinah bagi hadis ini menjadi perbezaan ulama yang menafsirkannya dengan banyak tafsiran.

Menurut Imam al-Nawawi, pendapat yang terpilih bagi tafsiran al-Sakinah adalah ia merupakan sesuatu daripada makhluk Allah yang padanya ada ketenangan dan bersamanya juga ada para malaikat.

Imam al-Qurtubi berpendapat bahawa al-Sakinah ini adalah nama bagi malaikat dan dinamakan sebagai sakinah kerana sifat mereka yang tenang dan tenteram kerana menghormati pembacaan al-Quran. Syeikh Muhammad Ali Adam al-Ityubi juga bersetuju bahawa al-Sakinah itu merujuk kepada malaikat.

Pengajaran Hadis

1 – Hadis ini menunjukkan kelebihan membaca al-Quran. Malaikat akan turut hadir untuk mendengar bacaan al-Quran dan kehadiran mereka akan membuat hati merasa tenang dan dilimpahi rahmat Allah.

2 – Galakan untuk mendengar bacaan al-Quran orang lain sebagimana yang dilakukan oleh para malaikat.

3 – Hadis ini juga membuktikan bahawa manusia selain nabi dan rasul juga mungkin dapat melihat malaikat. Begitu juga haiwan dapat melihat malaikat.

4 – Imam al-Bukhari meletakkan hadis ini di bawah bab kelebihan surah al-Kahfi. Ini menunjukkan bahawa pembaca surah al-Kahfi akan dihadiri oleh malaikat yang akan membuatkannya rasa tenang dan dilimpahi rahmat Allah.

Namun menurut pendapat ulama lain, kelebihan tersebut tidaklah khusus kepada pembacaan surah al-Kahfi semata-mata bahkan pembacaan al-Quran secara umumnya. Oleh itu pembacaan mana-mana surah sekalipun akan mendapat kelebihan tersebut.

Hadis Kesembilan

Diriwayatkan daripada Ibnu Mas’ud, beliau berkata: Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

منْ قرأَ حرْفاً مِنْ كِتَابِ اللَّهِ فلَهُ حسنَةٌ، والحسنَةُ بِعشرِ أَمثَالِهَا لاَ أَقول: ألم حَرفٌ، وَلكِن: أَلِفٌ حرْفٌ، ولامٌ حرْفٌ، ومِيَمٌ حرْفٌ.

“Sesiapa yang membaca satu huruf daripada kitab Allah maka baginya satu pahala dan pahala itu digandakan pula menjadi sepuluh pahala. Aku tidak katakan alif lam min itu satu huruf tapi alif itu satu huruf, lam itu satu huruf dan mim itu satu huruf.”

Riwayat al-Tirmizi (no. 2910). Al-Tirmizi berkata: “Hadis ini hasan sahih gharib.” Al-Hafiz al-Suyuti mensahihkan hadis ini dalam kitab Mathla’ al-Badrain Fi Man Yu’ta Ajruhu Marratain (ms. 54). Syeikh Abdullah al-Talidi turut mensahihkan hadis ini dalam Ithaf al-Muslim Bi Zawaid al-Tirmizi ‘Ala al-Bukhari Wa Muslim (ms. 40).

Pengajaran Hadis

1 - Keluasan rahmat dan kemurahan Allah yang menggandakan pahala bagi amal ibadat yang dilakukan oleh hamba-hambaNya.

2 - Galakan untuk memperbanyakan amal kebajikan dan bacaan al-Quran.

3 - Rasulullah ingin menjelaskan makna huruf dan membezakan antara huruf dan kalimah.

4 - Pahala bacaan al-Quran itu diberi bedasarkan kiraan huruf.

Hadis Kesepuluh

Diriwayatkan daripada Ibnu ‘Abbas beliau berkata: Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

إنَّ الَّذي لَيس في جَوْفِهِ شَيْءٌ مِنَ القُرآنِ كالبيتِ الخَرِبِ.

“Sesuangguhnya orang yang tidak ada sedikit pun daripada al-Quran di dalam hatinya ibarat rumah yang kosong.”

Riwayat al-Tirmizi (no. 2913). Al-Tirmizi berkata: “Hadis ini hasan sahih.”

Pengajaran Hadis:

1 - Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam mengumpamakan hati orang yang langsung tidak menghafal al-Quran dengan rumah yang kosong daripada kebaikan, keindahan, penghuni dan perhiasan. Ini kerana al-Quran itulah yang menghidupkan dan menghiasi hati manusia.

2 - Hadis ini terdapat galakan untuk gigi menghafal al-Quran kerana hati penghafal al-Quran itu akan dipenuhi keimanan dan kebaikan.

Hadis Kesebelas

Diriwayatkan daripada Abdullah bin ‘Amru bin al-‘As daripada Nabi sallahu ‘alihi wasallam, baginda bersabda:

يُقَالُ لِصاحبِ الْقُرَآنِ: اقْرأْ وَارْتَقِ وَرَتِّلْ كَما كُنْتَ تُرَتِّلُ في الدُّنْيَا، فَإنَّ منْزِلَتَكَ عِنْد آخِرِ آيةٍ تَقْرَؤُهَا.

“Akan dikatakan kepada ahli al-Quran (sewaktu hendak masuk ke syurga): Bacalah dan naiklah (tangga syurga). Bacalah dengan tartil (perlahan-lahan) sebagaimana kamu membacanya dengan tartil sewaktu di dunia. Sesungguhnya kedudukanmu  (di syurga) adalah berdasarkan ayat terakhir yang kamu baca.”

Riwayat Abu Daud (no. 1464) dan al-Tirmizi (no. 2914). Al-Tirmizi berkata: “Hadis ini hasan sahih.”

Pengajaran Hadis:

1 - Ahli al-Quran adalah orang yang menghafal al-Quran, selalu membacanya dan mengamalkan ajarannya.

2 - Kedudukan ahli al-Quran di syurga adalah berdasarkan kadar al-Quran yang dia baca dan hafal.

3 - Galakan untuk membaca dan menghafal banyak ayat al-Quran agar mendapat kedudukan yang tinggi di syurga.

4 - Tujuan membaca al-Quran di syurga adalah untuk bersedap-sedap dan berseronok-seronok bukan kerana taklif (tanggung jawab melakukan ibadat) kerana sudah tidak perlu beramal di syurga.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan