Sabtu, 16 Mac 2024

Status Hadis: Lima Perkara Membatalkan Puasa dan Wuduk

خَمْسٌ يُفْطِرْنَ الصَّائِمَ، وَيُنْقُضْنَ الْوُضُوءَ: الْكَذِبُ، وَالنَّمِيمَةُ، وَالْغَيْبَةُ، وَالنَّظَرُ بِالشَّهْوَةِ، وَالْيَمِينُ الْكَاذِبَةُ.

“Lima perkara yang membatalkan (pahala) orang yang berpuasa dan membatalkan wuduk: Berdusta, mengadu domba, mengumpat, melihat dengan syahwat dan bersumpah palsu.”

Hadis ini saya temui dalam kitab al-Risalah al-Jami’ah karangan Habib Ahmad bin Zain al-Habsyi tanpa bahagian hadis ‘dan membatalkan wuduk’.

Sumber Hadis:

Hadis ini diriwayatkan oleh al-Dailami dalam al-Firdaus (no. 2979), al-Jauraqani dalam al-Abathil Wa al-Manakir (no. 338) dan Ibnu al-Jauzi dalam al-Maudhu’at (2/560, terbitan Adhawa’ al-Salaf) dan melalui jalur sanad:

Sa’id bin ‘Anbasah daripada Baqiyyah daripada Muhammad bin al-Hajjaj daripada Jaban daripada Anas daripada Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam

Kemungkinan besar Baqiyyah telah melakukan tadlis (menyembunyikan kelemahan sanad) dengan menggugurkan perawi yang sangat bermasalah dalam sanad ini iaitu Maisarah bin 'Abd Rabbih sebagaimana yang disebutkan sanadnya secara lengkap oleh Ibnu Abi Hatim dalam al-‘Ilal (no. 766), iaitu:

Baqiyyah daripada Muhammad bin al-Hajjaj daripada Maisarah bin ‘Abd Rabbih daripada Jaban daripada Anas daripada Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam.

Pendapat Ulama Tentang Hadis Ini

1 - Ibnu Abi Hatim berkata:

“Aku mendengar bapaku (Abu Hatim) berkata: Hadis ini dusta. Maisarah bin ‘Abd Rabbih memalsukan hadis.”

2 - Al-Jauraqani berkata:

“Hadis ini batil.”

Beliau lalu menyebutkan kritikan ahli hadis terhadap Sa’id bin ‘Anbasah, Baqiyyah, Muhammad bin al-Hajjaj dan Jaban.

3 - Ibnu al-Jauzi berkata:

“Ini palsu. Dari Sa’id sehingga Anas semuanya dikritik. Yahya bin Ma’in berkata: Sa’id adalah penipu.”

Al-Hafiz al-Suyuti dalam al-Laali al-Masnu’ah (2/90) turut memperakui hukum Ibnu al-Jauzi tersebut.

4 - Imam al-Nawawi dalam al-Majmu’ (6/356) berkata:

“Hadis batil dan tidak boleh berhujah dengannya.”

5 - Syeikhul Islam Zakariyya al-Ansari dalam Fath al-‘Allam Bi Syarah al-I’lam Bi Ahadith al-Ahkam (ms. 346) menghukumkan hadis ini sebagai batil.

6 - Syeikh Ahmad al-Siddiq al-Ghumari dalam al-Mudawi (3/350) dan al-Mughir (no. 166) menilai hadis ini sebagai palsu dan beliau mengkritik al-Hafiz al-Suyuti yang memasukkan hadis ini dalam al-Jami’ al-Saghir, sebuah kitab yang beliau syaratkan untuk tidak memasukkan ke dalamnya hadis palsu sedangkan beliau sendiri bersetuju dengan Ibnu al-Jauzi akan kepalsuan hadis ini.

7 - Syeikh Abdullah al-Siddiq al-Ghumari turut menghukumkan hadis ini sebagai palsu. Rujuk: Mausu’ah Syeikh Abdullah al-Siddiq al-Ghumari (17/208-209).

Ulama Yang Hukum Sebagai Daif

Ibnu ‘Arraq dalam Tanzih al-Syari’ah al-Marfu’ah (2/147) menukilkan daripada Imam Taqiyuddin al-Subki dalam Syarah al-Minhaj yang hanya mendaifkan hadis ini.

Pandangan Imam al-Subki ini jelas bertentangan dengan jumhur ahli hadis yang menghukumkan hadis ini sebagai palsu.

Imam Muhammad Murtadha al-Zabidi dalam Ithaf al-Sadah al-Muttaqin pula ingin membuktikan bahawa Sa’id bin ‘Anbasah tidak berseorangan meriwayatkan hadis ini daripada Baqiyyah, bahkan dia disokong (mutaba'ah) oleh seorang lagi perawi bernama Daud bin Rasyid. Beliau lalu membawakan sanad hadis ini yang diriwayatkan oleh al-Azdi:

Daud bin Rasyid daripada Baqiyyah daripada Muhammad bin al-Hajjaj daripada Jaban daripada Anas.

Menurut beliau dalam sanad ini tiada perawi yang dituduh berdusta dan sanadnya hanya daif sahaja disebabkan oleh kedaifan Muhammad bin al-Hajjaj.

Namun begitu masalah sebenar bukan daripada Sa'id bin 'Anbasah sahaja sebaliknya perawi Maisarah bin ‘Abd Rabbih yang telah digugurkan oleh Baqiyyah. Oleh itu mutaba'ah Daud bin Rasyid terhadap Sa'id bin 'Anbasah tidak membawa sebarang faedah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan