Jumaat, 1 Mac 2024

Status Hadis: Sesiapa yang Membaca Ayat Kursi Allah Sendiri Akan Cabut Nyawanya

 مَنْ قَرَأَ آيَةَ الكُرْسِيِّ، لَمْ يَتَوَلَّ قَبْضَ نَفْسِهِ إِلا اللهُ تَعَالى.

“Sesiapa yang membaca Ayatul Kursi, tiadalah diwakilkan untuk mencabut nyawanya (ketika ajalnya) selain Allah Ta`ala.”

Hadis ini telah disebutkan dalam blog Bahrus Sofa.

Sumber Hadis:

Hadis ini telah diriwayatkan oleh al-Khatib al-Baghdadi dalam Tarikh Baghdad (7/114) melalui jalur sanad:

Muhammad bin Kathir bin Marwan al-Fihri daripada Abdullah bin Lahi’ah daripada Abi Qabil daripada Abdullah bin ‘Amru daripada Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam.

Pandangan Ulama Tentang Hadis Ini:

1 - Ibnu ‘Arraq dalam Tanzih al-Syari’ah al-Marfu’ah (1/295) telah menukilkan pandangan Imam Taqiyuddin al-Subki tentang hadis ini. Kata beliau:

“Hadis ini munkar dan menyerupai hadis palsu. Orang yang bertanggungjawab padanya (yakni memalsukannya) ialah Muhammad bin Kathir.”

2 -  Hadis ini telah dihukumkan sebagai palsu oleh muhaqqiq Tarikh Baghdad iaitu Dr Basyar ‘Awadh Ma’ruf. Kata beliau:

Palsu. Puncanya ialah Muhammad bin Kathir bin Marwan al-Fihri.”

3 - Dr Khaldun al-Ahdab dalam Zawaid Tarikh Baghdad (5/200) berkata:

“Sanadnya rosak (تالف).”

Pandangan Ulama Tentang  Muhammad bin Kathir bin Marwan al-Fihri

1 - Ibnu ‘Adi berkata: “Dia meriwayatkan daripada al-Laith dan selainnya hadis-hadis batil.”

Beliau berkata lagi: “Dia pernah berada di Baghdad. Dia seorang perawi yang mungkar hadisnya daripada setiap perawi yang dia riwayatkan daripadanya. Puncanya adalah daripada dia, bukan perawi yang dia riwayatkan daripadanya itu.”

Beliau berkata lagi: “Aku mendengar Abdullah bin Muhammad bin Abdul Aziz al-Baghawi menyebutkan tentang dia pada suatu hari. Beliau mencelanya.”

2 - Al-Azdi berkata: “Ditinggalkan hadisnya (matruk al-hadith).”

3 - Ibnu Ma’in berkata: “Tidak boleh dipercayai.”

Beliau berkata lagi: “Kalau kamu berjalan melintasinya maka rejamlah dia. Dialah yang meriwayatkan hadis Nabi sallahu ‘alaihi wasallam: Jangan biarkan orang yang disalib itu berada di kayu salib lebih daripada tiga hari.”

4 - Ibnu Abi Hatim berkata: “Aku mendengar Ali bin al-Hussein bin al-Junaid berkata tentang dia : Dia meriwayatkan dua hadis yang munkar. Dia seorang yang mungkar hadisnya. Aku benci untuk meriwayatkan hadis daripadanya.”

 [Rujuk: Al-Jami' Li Kutub al-Dhu'afa' Wa al-Matrukin Wa al-Kazzabin (14/244-246)]

Tiada ulasan:

Catat Ulasan