Rabu, 18 Jun 2014

Imam Muhammad Zahid al-Kauthari


*Ini bukan tulisan asal saya. Saya cuma sebarkan sahaja.



Kelahiran

Imam Muhammad Zahid al-Kauthari dilahirkan di desa Dozjah sekitar tiga batu dari arah timur daerah Astanah, Turki pada 27 Syawal 1296 Hijriah/1878 Masihi. Gelar al-Kauthari dinisbahkan kepada sebuah desa bernama Kauthari di daerah Dhuffah yang merupakan wilayah al-Qauqaz,. Tetapi dalam riwayat lain, gelar tersebut merupakan nisbah kepada salah satu nenek moyangnya.



Pendidikan

Beliau mendapat pendidikan pertamanya ketika talaqqi bersama para ulama Dozjah kemudian berpindah ke Astana pada tahun 1311H di Dar al-Hadith . Bermula di sinilah, beliau mengenali ulama-ulama yang alim lagi bertakwa antaranya ialah Qadi Hasan Afendi dan Musa al-Kazim. Tidak ketinggalan juga beliau talaqqi di masjid al-Fateh bersama Syeikh Ibrahim Haqqi al-Uyain dan Syeikh Ali Zainal Abidin al-Alsuni.

Pada tahun 1325H, beliau mendapat ijazah alamiah kerajaan Uthmaniyah. Dengan berbekal ijazah yang diperolehi, beliau mula berkerja sebagai salah seorang tenaga pengajar di Jami` al-Fateh sampai berlakunya perang pada waktu itu. Pada yang sama beliau bercita-cita ingin membuka cawangan ma’ahad di Qastumunie. Maka beliau mengajar di Qastumunie selama 3 tahun. Namun beliau berada di Qastumuaie tidak lama, beliau kembali ke Astanah dan mengajar di Dar as-Syafaqah al-Islamiah .

Pada waktu yang sama beliau telah mengambil peperiksaan khas untuk jawatan `Wakil ad-Dars`. Untuk pengetahuan, pada waktu pemerintah kerajaan Uthmaniyyah terdapat tiga jawatan penting di dalam institusi agama iaitu (fatwa amini) – amin fatwa, iaitu mufti kerajaan Uthmaniyyah. Kedua ialah ‘Wakil ad-Dars’ yang boleh disamakan dengan jawatan Syiekh al-Azhar .Ketiga ialah ketua at-Tahqiqat as-Syari’yyah iaitu Ketua Qadhi. Bermula sebagai tenaga pengajar di Dar as-Syafaqah al-Islamiah kemudian beliau menjawat jawatan naib tenaga pengajar di Ma’ahad Takhasus. Selepas itu beliau menjawat jawatan ‘Wakil ad-Dars ‘.

Selepas nama beliau bersinar di kerajaan Uthmaniyyah, beliau telah meletakkan jawatan tersebut dengan tujuan untuk pergi ke Mesir. Maka beliau pun berangkat ke Mesir dengan menaiki kapal laut. Beliau sampai di Alexendria pada tahun 1341H kemudian terus ke Kaherah. Di sinilah beliau sering berulang alik ke Damsyik untuk mewakaf diri beliau kepada ilmu.


Alam Rumahtangga

Imam Muhammad Zahid al-Kauthari mengakhiri dunia bujangnya ketika berkerja sebagai tenaga pengajar sebelum perang dunia pertama. Beliau telah dikurniakan empat cahaya mata. Seorang lelaki dan tiga perempuan. Tetapi umur keempat-empat anak beliau tidak panjang. Anak lelaki dan seorang perempuan beliau menemui ajal ketika di Astanah lagi. Dua lagi anak perempuan beliau mati di Mesir. Begitu juga isteri beliau telah pergi mendahului beliau.



Jihad beliau Untuk Ilmu

Imam Muhammad Zahid al-Kauthari menghabiskan seluruh hidupnya hanya untuk mengabdi kepada ilmu. Ratusan kitab-kitab lama yang masih berupa tulisan tangan dicetaknya tanpa sebarang keuntungan. Beliau menulis buku-buku yang sangat berharga, yang tidak sedikit jumlahnya.

Selama beliau mengabdikan hidupnya untuk ilmu dengan mengajar dan menulis, beliau tidak pernah mengambil upah dari jerih payahnya. Beliau berkata, "apakah upah ini sebanding dengan pahala dari Allah s.w.t kelak di akhirat." Selama itu juga, harta yang beliau miliki menjadi semakin berkurangan, sehingga ketika beliau sakit sewaktu di Mesir, beliau menolak pemberian bantuan dari murid-muridnya yang kaya, dan memilih untuk menjual beberapa buah bukunya untuk membeli ubat, serta bekerja di sebuah percetakan yang menterjemahkan buku-buku dari bahasa Turki ke dalam bahasa Arab untuk mendapatkan wang. Allah s.w.t juga telah memberikan cubaan-Nya yang lebih berat kepada beliau sehingga seluruh anak keturunanya meninggal semasa hidupnya, dan isterinya sering sakit sehingga pada akhirnya meninggal dunia.

Menurut sebuah riwayat, Imam Muhammad Abu Zahrah pernah pergi bersama rakanya berkunjung ke rumah Imam Muhammad Zahid al-Kauthari dengan tujuan untuk memintanya mengajar di Fakulti Syariah Universiti Kaherah sebagai pensyarah ilmu fiqh dan Usul Fiqh, akan tetapi beliau menolaknya berkali-kali, dengan alasan bahawasanya kesihatanya sudah tidak memungkinkan lagi untuk beliau memegang tugas tersebut, apalagi kesihatan isterinya juga sering tidak menentu.

Imam al-Kauthari bersama murid beliau, Syeikh Abdul Fattah Abu Ghuddah


Murid-muridnya

Ramai sekali murid-murid yang datang berguru dengan beliau sewaktu Imam Muhammad Zahid al-Kauthari tinggal di Turki mahupun di Mesir, lebih dari 300 orang murid berguru kepadanya menimba ilmu-ilmu beliau dan sebahagian besar dari mereka menjadi ulama-ulama yang meneruskan perjuangannya.

Kategori murid-murid yang belajar kepadanya dapat dibahagikan kepada dua, iaitu fasa sebelum berhijrah ke Mesir dan fasa setelah berhijrah ke Mesir.

Antara murid-murid beliau pada fasa yang pertama adalah seperti Haji Jamal sl-Shouni (Syeikh Masjid Bayazid di Istanbul, Turki), Husen Khairuddin (cucu Sultan Abdul Aziz al-Uthmani ), Syeikh Ali `Aq Shawi ( Mufti Andarmah,Istanbul ) dan sebagainya.

Antara murid-murid beliau pada fasa yang kedua adalah Syeikh Ahmad al-Khairy, pengarang kitab Tarikh al-Kauthari (m. 1967), Husamuddin al-Qudsi (1906-1979), Husen bin Ismail at-Tha`i, dan murid beliau yang paling terkenal sekali ialah Syeikh Abdul Fattah Abu Ghuddah (m. 1999) , seorang syeikh muhaqqiqin terkenal dari daerah Halab, Syria.

Karya-karyanya

Syeikh Zahid al-Kauthari adalah seorang alim dalam pelbagai bidang ilmu. Boleh dikatakan penulisan beliau merangkumi semua cabang ilmu agama. Akan tetapi antara penulisan beliau yang begitu menonjol sehingga beliau dikenali ialah penulisan beliau dalam ilmu hadith, fiqh Hanafi dan Aqidah.

Penulisan beliau bolehlah kita bahagikan kepada dua bahagian. Pertama ialah penulisan beliau sebelum berhijrah dari Astanah ke Mesir.  Antara penulisan beliau ialah:

1. Al-Jawab Al-Wafi fi Rad a’la al-Wai’dz al-Aufie

2. Tafrih al-Bal bihilli Tarikh Ibn Kamal.

3. Tarwid al-Qorihan bi Mawazin al-Sohihah fi al-Mantiq.

4. Al-Fawaid Al-Kafiah fi al-Aa’rud wa al-Qofiah.

5. Ibda Wujuh at-Ta’adie fi Kamil Ibn A’diy.

6. Naqd Kitab ad-Du’afa lil Uqailie.

7. Tadrid al-Wasif a’la Qawaid at-Tasrif.

8. Tadrid at-Tullab a`la Qawaid al-I`rab

9. At-Ta`qib al-Hasis lima yanfini Ibn Taimiyyah min al-Hadith

10. Al-Madkhal am li Ulum al-Quran

Kebanyakkan penulisan beliau pada waktu ini tidak dicetak dan ianya didapati melalui makhtutat (manuskrip tulisan tangan) beliau. Jika dicetak pun hanya boleh didapati di Turki sahaja.

Bahagian kedua pula, ialah penulisan beliau sewaktu berada di Mesir. Penulisan beliau pada bahagian kedua ini banyak dicetak dan banyak terdapat di Mesir yang dikenali dengan Thurath al-Kauthari. Penulisan beliau seperti berikut :

1. Al-Isyfad fi Ahkam at-Thalaq

2. Bulugh al-Amani fi Sirah al-Imam Muhamad bin al-Hasan as-Syaibani

3. At-Tahrir al-Wajiz firma Yabtaghihi al-Mustajiz

4. Ta`nib al-Khotib a`la ma Saqohu fi Turjumah Abi Hanifah min al-Akazib

5. Aqum al-Masalik fi Bahs Riwayah Malik ‘an Abi Hanifah wa Riwayah Abi Hanifah ‘an
Malik

6. Tahzir al-Kholaf min Makhozi Udiyyah as-Salaf

7. At-Tahrib bi Naqd at-Ta`nib

8. Husnul Taqodie fi Sirah Abu Yusuf al-Qadhi

9. Min ‘Ibr at-Tarikh

10. Muhaq at-Tasassul fi Masalah at-Tawassul

Selain beliau banyak menulis kitab-kitab ilmiah, beliau juga banyak mentahqiq kitab-kitab turath, antaranya :

1. Daf``u Syubhah at-Tasyhbih karya Ibn Jauzi

2. Risalah Abi Daud as-Sijistani fi Wasfi Sunanih

3. Tabyin Kazib al-Muftari Fi Ma Nusiba Ila  Imam al-Asy’ari karya Imam Ibnu ‘Asakir

4. Al-Farqu Baina al-Firaq karya Imam Abdul al-Qahir al-Baghdadi

5. At-Tanbih wa al-Rad ‘ala Ahli Ahwa wa al-Bida karya Imam Abi al-Hussaini al-Maltie

6. Al-Intisar al-Mazhab Sahih karya Imam Ibn Jauzi

7. Maratib al-Ijmak karya Imam Ibn Hazm

8. Iktifar Muwatha karya Imam Daraqutni

9. Al-Asma’ wa as-Sifat karya Imam al-Baihaqi

10. Syarah Maqomah al-Hur al-‘Ain karya Nasywan al-Himyari

Pujian Ulama

1. Al-Muallimi al-Yamani di dalam kitabnya Anwar al-Kasyifah menyifatkan Imam al-Kauthari dengan panggilan ‘Allamah (yang sangat alim) yang luas ilmunya berkenaan dengan kitab-kitab Hanafiyyah.

2. Syeikh Muhamad Abu Zahrah menyatakan Syeikh Zahid adalah imam daripada para imam Muslimin, yang alim, mampu merealisasikan sabda Nabi s.a.w (Ulamak adalah pewaris Nabi ).

3. Dr Muhammad Rejab al-Bayyumi - Dekan Kuliyyah al-Lughah al-Arabiyyah di Jamiah al-Azhar, Mansurah. Beliau menyifatkan Imam al-Kauthari sebagai imam besar.

4. Syeikh Muhammad Yusuf al-Banuri - Syeikh Hadith bi Dar al-Ulum al-Islamiah di Paskistan. Mensifatkan Imam al-Kauthari sebagai muhaqqiq al-asr, al-Jahbiz an-Naqd al-Bahhasah al-Khobir dan pelbagai pujian.

Wafatnya

Imam Muhammad Zahid al-Kauthari wafat disebabkan oleh beberapa penyakit iaitu darah tinggi dan kencing manis. Penglihatan beliau pun di waktu itu mula lemah, namun beliau masih mampu untuk berpuasa di siang hari walaupun beliau ternyata amat lemah. Semangat cintakan ilmu yang terbentuk di dalam peribadi beliau tidak pernah menyekat beliau dari menjawab pesoalan-persoalan yang ditujukan kepada beliau meskipun terlantar di atas katil sakit.

Akhirnya pada tanggal 19 Zulkaedah 1371H/1953M, ketika berusia 75 tahun beliau berpulang ke hadrat Ilahi, diiringi rasa sedih para ulama dan umat Islam pada masa itu. Solat jenazah beliau kemudian dipimpin oleh seorang ulama besar bahasa Arab di Mesir, Syeikh Abu al-Jalil Isa. Beliau dikebumikan di perkuburan yang berdekatan dengan kubur Imam asy-Syafie.

Kesungguhan Imam Muhammad Zahid al-Kauthari memelihara periwayatan hadith


Imam Syeikh Muhammad Zahid al-Kawthari bukan sahaja seorang yang alim dalam bidang fiqh, usul dan akidah, bahkan beliau juga seorang yang alim dalam bidang hadis. Kitab sanadnya, al-Tahrir al-Wajiz yang ditahkik oleh al-‘Allamah Syeikh ‘Abd al-Fattah Abu Ghuddah adalah antara bukti kenyataan ini.

Ada satu kisah tentang Syeikh Muhammad Zahid al-Kawthari yang sudah lama ingin saya kongsikan kerana di dalamnya mengandungi satu iktibar yang boleh kita renungkan. Iaitu suatu gambaran tentang kesungguhan dalam memastikan persambungan tradisi periwayatan hadis dalam satu situasi zaman di mana para pelajar dan para ilmuwan di al-Azhar, Mesir pada masa itu sudah tidak menganggapnya sebagai sesuatu yang penting. Tradisi periwayatan hadis pada waktu itu sudah kurang popular, tidak lagi sepertimana di zaman-zaman sebelumnya.

Syeikh Dr. Muhammad Rajab al-Bayyumi (1923-2011) pernah menceritakan pengalamannya bersama ‘Allamah al-Syam Syeikh ‘Abd al-Qadir al-Maghribi (1868-1956), murid Muhaddith al-Syam Syeikh Badr al-Din al-Hasani dan salah seorang sahabat Syeikh Muhammad ‘Abduh, yang pernah membawanya ke suatu majlis ilmu khas.

Syeikh ‘Abd al-Qadir al-Maghribi telah mengajaknya untuk berziarah ke rumah seorang alim besar. Maka, makluman tersebut amat menggembirakan Syeikh Rajab kerana beliau akan dapat berpeluang untuk bertemu salah seorang dari tokoh-tokoh ulama besar pada masa itu.

Cerita Syeikh Rajab, maka kereta mereka pun membelah dengan pantas jalan-jalan di Kaherah, melalui ‘Abbasiyyah, Qubbah, Zaytun dan Matariyyah sehinggalah mereka sampai ke ‘Azbah al-Nakhl yang pada masa itu hanya sebuah kampung kecil sebelum berkembang di situ kawasan perumahan penduduk dengan begitu pesat kemudiannya.

Syeikh al-Maghribi pun meminta pemandu kereta berhenti di hadapan sebuah bangunan kecil. Mereka kemudian menuju ke pintunya, dan Syeikh al-Maghribi pun membukanya dengan perlahan. Setelah itu, mereka menuju ke sebuah bilik di tingkat pertama, dan beliau pun mengetuk pintunya secara perlahan dengan jari seperti orang yang sedang meminta izin. Seterusnya beliau pun masuk, dan saya hanya mengekori di belakangnya.

Maka kami menemui seorang alim yang disegani sedang duduk bersila di atas sebuah kerusi empat segi. Di hadapannya pula, ada seorang alim yang disegani juga sedang duduk di atas lantai. Beliau memegang sebuah nuskhah kitab al-Muwatta’ karangan Imam Malik sambil membaca isinya dengan penuh rasa hormat. Lantas Syeikh al-Maghribi pun duduk dengan penuh khusyuk di belakang alim yang membaca tersebut, dan beliau juga meminta saya duduk. Maka saya pun duduk di sebelahnya. Dan kami hanya mendengar bacaan alim berkenaan.

Namun, saya berada dalam perasaan bingung dan hairan, kerana majlis tersebut hanyalah majlis mendengar, dan syeikh alim yang mengepalai itu pula hanya diam tanpa bercakap apa-apa. Malah tidak kelihatan pada mereka berdua pun sebarang reaksi di atas kehadiran dua orang tetamu di situ. Di mana si pembaca hanya terus membaca, manakala si pendengar hanya diam membisu. Sehinggalah berlalu hampir satu jam, akhirnya si pembaca pun bangun, lalu berjabat tangan dengan syeikh yang sedang duduk. Seterusnya beliau menuju pula kepada kami, lalu berjabat tangan dengan Syeikh al-Maghribi dengan penuh rasa kasih, serta berjabat tangan dengan saya pula dengan penuh mesra.

Kemudian kami semua menuju kepada syeikh besar tadi, lalu si pembaca dan Syeikh al-Maghribi mengucup tangannya dengan penuh rasa hormat. Maka saya pun hanya mengikut perbuatan mereka itu. Namun begitu, saya tidak faham apa-apa tentang apa yang sedang saya saksikan.

Apabila tibanya waktu pulang, saya terus menemani Syeikh al-Maghribi dalam keadaan kehairanan dan rasa takjub. Dan beliau perasan dengan persoalan yang menyelubungi benak saya itu.

Lalu beliau bertanya, “Tidakkah kamu kenal tuan alim besar Syeikh Yusuf al-Dijwi [al-Maliki] (1870 - 1946), salah seorang anggota Jemaah Ulama Besar al-Azhar, dialah orang yang hanya mendengar tadi. Dan tidakkah pula kamu kenal alim besar Syeikh Muhammad Zahid al-Kawthari [al-Hanafi] (1879 - 1952), wakil Ulama Islam dalam era Khilafah ‘Uthmaniyyah, dialah orang yang membaca tadi. Dan majlis itu mempunyai satu tujuan bermakna, di mana rantaian periwayatan kitab al-Muwatta’ dari Imam Malik tidak pernah terputus hinggalah ke hari ini, di mana golongan khalaf berterusan meriwayatkannya dari golongan salaf sehinggalah bersambung dengan Imam Malik...”

Setelah mendengar penjelasan Syeikh al-Maghribi yang panjang lebar, Syeikh Rajab yang masih muda pun berasa ingin memperolehi ijazah al-Muwatta’ dari Syeikh Yusuf al-Dijwi, namun Syeikh al-Maghribi berkata setelah memaklumkan mereka hadir hanya untuk mengambil barakah sahaja, katanya:

“Itu satu keinginan yang baik. Akan tetapi ia agak sukar ditunaikan bersama Syeikh Yusuf al-Dijwi kerana beliau tidak akan berjabat tangan untuk ijazah melainkan dengan orang yang membaca kitab al-Muwatta’ secara lengkap tanpa terkurang satu huruf pun. Sedangkan beliau sedang sakit, dan tidak mungkin beliau akan memulakan semula majlis periwayatan untuk sesiapa pun lagi selepas Syeikh Muhammad Zahid al-Kawthari. Ini kerana beliau adalah sahabatnya yang paling dihormati, dan beliau telah memintanya untuk membaca, lantaran itu Syeikh Yusuf al-Dijwi terpaksa menerimanya, sedangkan sakit beliau menghalangnya untuk duduk berterusan selama berjam-jam melainkan dengan penuh rasa kesukaran...”. (Sumber: Majalah al-Manhal, Julai-Ogos 1991)

Lihatlah bagaimana kesungguhan para alim ulama ini berusaha mengekalkan kesinambungan tradisi periwayatan hadis walaupun dalam keadaan usia yang kian meningkat dan situasi kesihatan yang kurang baik. Tradisi sebegini sebenarnya melatih kesabaran, sifat merendah diri, hormat menghormati, rasa cinta terhadap Nabi s.a.w. dan segala adab yang baik.

Bagaimana pula dengan kita pada hari ini?


Mudah-mudahan tradisi periwayatan hadis sebegini akan kembali semula kegemilangannya sepertimana di zaman-zaman para alim ulama dahulu, terutama dalam pusat-pusat pengajian dan institusi-institusi pendidikan pada masa sekarang ini. Bukan sekadar keberkatan yang kita cari – sepertimana yang didakwa oleh sesetengah orang yang keliru – tetapi adalah hasil daripada majlis-majlis tersebut dalam memelihara integriti ilmu, serta menerapkan adab-adab mulia dan nilai-nilai tinggi dalam diri seseorang pelajar mahupun ilmuwan. Inilah yang telah membentuk banyak sahsiah hebat dan ulama rabbani pada masa dahulu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan