Sabtu, 20 Mei 2017

Hadis palsu: Allah mengangkat azab kubur apabila orang alim dan penuntut ilmu melalui sebuah kampung

إِنَّ الْعَالِمَ وَالْمُتَعَلِّمَ إِذَا مَرَّا عَلَى قَرْيَةٍ فَإِنَّ اللَّهَ تَعَالَى يَرْفَعُ الْعَذَابَ عَنْ مَقْبَرَةِ تِلْكَ الْقَرْيَةِ أَرْبَعِينَ يَوْمًا

“Sesungguhnya jika seorang alim dan penuntut ilmu melalui sebuah kampung Allah akan menangkat azab daripada perkuburan kampung tersebut selama 40 hari.”

Saya temui hadis dengan makna yang sama tetapi dengan sedikit perbezaan lafaz yang disebutkan oleh Syeikh Muhammad bin Ismail Daud al-Fathani dalam kitab Matla’ al-Badrain (kitab fadhilat ilmu):

إِذَا مَرَّ مُتَعَلِّم عَلَى قَرْيَةٍ رَفَعَ اللهُ العَذَابَ أَرْبَعِينَ يَوْمًا مِنْ مَقَابِر تِلْكَ القَرْيَةِ

“Jika penuntut ilmu melalui sebuah kampung Allah akan menangkat azab selama 40 hari daripada perkuburan kampung tersebut.”

Penilaian hadis

1. Al-Hafiz al-Sayuthi (w. 911H) dalam Takhrij Ahadith Syarh al-‘Aqaid berkata: “Tidak ada asal baginya [لَا أَصْلَ لَهُ].”

Maksud ‘tidak ada asal baginya’ ialah ‘tidak ada sanad baginya.’

Penilaian al-Hafiz al-Sayuthi ini diikuti oleh beberapa orang ulama selepasnya, antaranya:

a. Al-Mulla ‘Ali al-Qari (w. 1014H) dalam al-Asrar al-Marfu’ah dan al-Masnu’.

b. Mar’ie al-Kirmani al-Hanbali (w. 1033H) dalam al-Fawaid al-Maudhu’ah juga menghukumnya sebagai tidak ada asal.

c. Al-‘Ajluni (w. 1162H)dalam Kasyf al-Khafa’.

Beliau menambah: “Dan sepertinya apa yang dikeluarkan oleh al-Tha’labi dan ramai di kalangan ahli tafsir daripada Huzaifah secara marfu’:

إن القوم ليبعث الله عليهم العذاب حتمًا مقضيًّا, فيقرأ الصبي من صبيانهم في الكتاب: {الْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ} [الفاتحة: 2] فيسمعه الله تعالى فيرفع الله عنهم بذلك عذاب أربعين سنة

Sesungguhnya terdapat satu kaum yang Allah turunkan kepada mereka azah. Lalu salah seorang daripada kanak-kanak daripada kanak-kanak mereka membaca ‘الْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ’ [surah al-Fatihah] lalu Allah mendengarnya maka Allah mengangkat azab tersebut daripada mereka selama 40 hari.

Sesungguhnya ia adalah palsu sebagaimana kata al-Hafiz al-‘Iraq  dan selainnya. Dan ada yang mengatakan bahawa ia daif.”

d. Al-Qawuqji (w. 1305H) dalam al-Lu’lu’ al-Marsu’ turut menghukumnya sebagai tidak ada asal.

Wallahu a’lam. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan