Khamis, 18 Mei 2017

Hadis Palsu: "Sesiapa yang mahu melihat orang yang dibebaskan oleh Allah daripada neraka..."

مَنْ أَحَبَّ أَنْ يَنْظُرَ إِلَى عُتَقَاءِ اللَّهِ مِنَ النَّارِ، فَلْيَنْظُرْ إِلَى الْمُتَعَلِّمِينَ، فَوَالَّذِي نَفْسُ مُحَمَّدٍ بِيَدِهِ، مَا مِنْ مُتَعَلِّمٍ يَخْتَلِفُ إِلَى بَابِ الْعَالِمِ إِلَّا كَتَبَ اللَّهُ لَهُ بِكُلِّ حَرْفٍ وَبِكُلِّ قَدَمٍ، عِبَادَةَ سَنَةٍ، وَبَنَى لَهُ بِكُلِّ قَدَمٍ مَدِينَةً فِي الْجَنَّةِ، وَيَمْشِي عَلَى الْأَرْضِ وَالْأَرْضُ تَسْتَغْفِرُ لَهُ، وَيُمْسِي وَيُصْبِحُ مَغْفُورًا لَهُ، وَشَهِدَتْ لَهُ الْمَلَائِكَةُ وَيَقُولُونَ هَؤُلَاءِ عُتَقَاءُ اللَّهِ مِنَ النَّارِ

“Sesiapa yang mahu melihat orang yang dibebaskan oleh Allah daripada neraka, maka lihatlah kepada orang yang belajar. Demi jiwa Muhammad yang berada dalam kekuasaanNya, tidaklah seorang pelajar yang sering datang ke pintu seorang alim kecuali Allah akan menuliskan baginya [pahala] ibadah selama setahun untuk setiap huruf [yang dipelajari] dan setiap langkah [berjalan kaki] dan membina untuknya sebuah kota di dalam syurga bagi setiap langkahnya. Dia berjalan di atas bumi dalam keadaan bumi memohon ampun baginya. Dia berpagi-pagi dan berpetang-petang dalam keadaan diampunkan [dosanya]. Mereka [para pelajar] disaksikan oleh malaikat yang berkata: Mereka adalah orang yang dibebaskan oleh Allah daripada neraka.” 

Takhrij Hadis:

Hadis ini diriwayatkan oleh Abu al-Laith al-Samarqandi (w. 373H) dalam Tanbih al-Ghafilin (no. 667) daripada hadis Anas bin Malik.

Menurut Ibnu Hajar al-Haitami dalam al-Fatawa al-Hadithiyyah (1/124), hadis ini adalah palsu. Kata beliau:

هَذِه الْأَحَادِيث كلهَا كذب مَوْضُوعَة لَا يحمل رِوَايَة شَيْء مِنْهَا إِلَّا لبَيَان أَنَّهَا كذب مفترى على النَّبِي صلى الله عَلَيْهِ وَسلم كَمَا أَفَادَ ذَلِك الْحَافِظ السُّيُوطِيّ

“Hadis-hadis ini semuanya adalah palsu. Tidak boleh meriwayatkan sesuatu pun daripadanya kecuali untuk menjelaskan bahawa ia adalah dusta yang direka-reka ke atas Nabi sallahu ‘alaihi wasallam sebagaimana yang dijelaskan oleh al-Hafiz al-Sayuthi.”

Penilaian Ibnu Hajar al-Haitami dan al-Hafiz al-Sayuthi ini dipersetujui oleh al-‘Ajluni (w. 1162H) dalam Kasyf al-Khafa’ (no. 2355).

Al-Syeikh Muhammad bin al-Basyir Zafir al-Azhari (meninggal dunia selepas tahun 1329 Hijrah) turut menyenaraikannya sebagai hadis palsu dalam kitab Tahzir al-Muslimin (hlm. 83).

Tiada ulasan:

Catat Ulasan