Rabu, 24 Mei 2017

Hadis: Sebaik-baik manusia...

أفضل النَّاس الْمُؤمن الْعَالم الَّذِي إِن احْتِيجَ إِلَيْهِ نفع وَإِن استغني عَنهُ أَغْنَى نَفسه

“Sebaik-baik manusia adalah orang mukmin yang alim. Jika [orang] berhajat kepadanya dia akan memberi manfaat. Jika [orang] tidak berhajat kepadany, dia tidak berhajat kepada orang lain.”

Hadis ini disebutkan oleh al-Ghazali dalam Ihya’ Ulum al-Din dan menyebutkannya sebagai sabda Nabi sallahu ‘alaihi wasallam.

Menurut al-Subki dalam Thabaqat al-Syafi’eyyah al-Kubra, beliau tidak temui sanad bagi hadis ini.
Walaupun demikian, al-Hafiz al-‘Iraqi berjaya menemui sumbernya. Kata al-‘Iraqi dalam Takhrij Ahadith al-Ihya’:

أخرجه البيهقي في شعب الإيمان موقوفاً على أبي الدرداء بإسناد ضعيف ولم أره مرفوعاً.

“Dikeluarkan oleh al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman secara mauquf (terhenti) kepada Abi al-Darda’ dengan sanad yang daif dan aku tidak melihatnya marfu’ (bersambung sehingga Nabi).

Lafaz yang diriwayatkan oleh al-Baihaqi sedikit berbeza daripada apa yang dibawakan oleh al-Ghazali, iaitu:

فَإِنَّ أَعْبَدَ النَّاسِ رَجُلٌ عَالِمٌ، إِنِ احْتِيجَ إِلَيْهِ نَفَعَ بِعِلْمِهِ، وَإِنِ اسْتُغْنِيَ عَنْهُ نَفَعَ نَفْسَهُ بِالْعِلْمِ الَّذِي جَعَلَهُ اللهُ عِنْدَهُ

“Manusia yang paling tinggi rasa penghambaannya adalah orang yang alim. Jika [orang] berhajat kepadanya, dia akan memberi manfaat dengan ilmunya. Jika [orang] tidak berhajat kepadanya, dia akan mengambil manfaat dengan ilmu yang Allah berikan kepadanya.”

Hadis ini juga diriwayatkan secara marfu’ oleh al-Dailami dalam al-Firdaus dan Ibnu ‘Asakir dalam Tarikh Dimasq dengan daripada ‘Ali:

نِعْمَ الرَّجُلُ الْفَقِيهُ فِي الدِّينِ ; إِنِ احْتِيجَ إِلَيْهِ نَفَعَ، وَإِنِ اسْتُغْنِيَ عَنْهُ أَغْنَى نَفْسَهُ

“Sebaik-baik orang adalah orang yang faqih dalam agama. Jika [orang] berhajat kepadanya maka dia memberi manfaat. Jika [orang] tidak berhajat kepadanya, dia tidak berhajat kepada orang lain.”

Dalam sanadnya terdapat ‘Isa bin Abdullah bin Muhammad bin ‘Umar bin ‘Ali bin Abi Thalib. Dia dinilai sebagai pendusta dan matruk al-hadis [ditinggalkan hadisnya] oleh al-Daraqutni. Kata Ibnu Hibban: “Dia meriwayatkan sesuatu yang palsu daripada datuk moyangnya.” Kata Abu Nu’aim: “Dia meriwayatkan daripada datuk moyangnya hadis-hadis mungkar. Jangan tulis hadisnya. Dia tidak bernilai sedikit pun [لا شيء].”

Wallahu a’lam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan