Khamis, 18 Mei 2017

Hadis palsu: Sesiapa yang memuliakan seorang alim...

مَنْ أَكْرَمَ عَالِمًا فَقَدْ أَكْرَمَ سَبْعِينَ نَبِيًّا وَمَنْ أَكْرَمَ مُتَعَلِّمًا فَقَدْ أَكْرَمَ سَبْعِينَ شَهِيدًا وَمَنْ أَحَبَّ الْعِلْمَ وَالْعُلَمَاءَ لَمْ يُكْتَبْ عَلَيْهِ خَطِيئَةٌ أَيَّامَ حَيَاتِهِ

“Sesiapa yang memuliakan seorang alim, maka dia telah memuliakan 70 orang nabi. Sesiapa yang memuliakan 70 orang penuntut ilmu maka dia telah memuliakan 70 orang syahid. Sesiapa yang mencintai ilmu dan ulama, tidak akan dicatat dosa ke atasnya selama hidupnya.”

Sumber hadis

Hadis ini diriwayatkan daripada dua orang sahabat, iaitu Anas bin Malik dan Abu Hurairah;

1. Muhammad bin Abdul Wahid al-Daqqaq dalam Mu’jam Mashayikh meriwayatkan melalui jalur perawi al-Husein bin ‘Ulwan daripada hadis Anas bin Malik.

2. Ibnu al-Jauzi dalam al-‘Ilal al-Mutanahiyyah meriwayatkan daripada hadis Abu Hurairah. Al-Dailami turut meriwayatkannya dalam Musnad al-Firdaus tanpa bahagian hadisوَمَنْ أَحَبَّ الْعِلْمَ وَالْعُلَمَاءَ لَمْ يُكْتَبْ عَلَيْهِ خَطِيئَةٌ أَيَّامَ حَيَاتِهِ’.

Penilaian hadis Anas bin Malik

Dalam sanad hadis Anas bin Malik terdapat al-Hussein bin ‘Ulwan. Dia dituduh sebagai pemalsu hadis oleh Ibnu Hibban, Soleh Jazarah dan Ibnu ‘Adi. Yahya bin Ma’in dan al-Nasa’ie mengatakan bahawa dia seorang pendusta. Ali bin al-Madini menilainya sebagai sangat daif. Abu Hatim dan al-Daraqutni mengatakan dia matruk al-hadis (ditinggalkan hadisnya).

Penilaian hadis Abu Hurairah

1. Ibnu Jauzi berkata dalam al-‘Ilal al-Mutanahiyyah berkata:

هَذَا حَدِيثٌ لا يَصِحُّ عَنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَفِيهِ مُحَمَّدُ بْنُ عَمْرٍو قَالَ يَحْيَى بْنُ مَعِينٍ مَا زَالَ النَّاسُ يَتَّقُونَ حَدِيثَهُ.

“Hadis ini tidak sahih daripada Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam. Dalam sanadnya terdapat Muhammad bin ‘Amr. Yahya bin Ma’in berkata: Manusia [ahli hadis] terus-menerus menjauhi hadisnya.”

Muhammad bin ‘Amr di sini ialah Muhammad bin ‘Amru bin ‘Alqamah. Dia dinilai sebagai tiada masalah [لَيْسَ بِهِ بَأْسٌ] oleh al-Nasa’ie dan Ibnu ‘Adi. Abu Hatim pula mengatakan bahawa hadis-hadisnya baik [صَالِحُ الحَدِيْثِ], ditulis hadisnya [يكتب حديثه] dan dia seorang syeikh. Al-Juzjani menilai dia tidak kuat. Ibnu Hibban pula mengatakan bahawa dia ada melakukan kesilapan [يُخطىء]. Tetapi tidak ada ahli hadis yang mengatakan bahawa dia adalah pemalsu hadis.

2. Al-Hafiz al-Sayuthi menolak dakwaan Ibnu al-Jauzi yang mengatakan bahawa Muhammad bin ‘Amr adalah pemalsu hadis ini. Al-Hafiz al-Sayuthi berkata dalam al-Ziyadat ‘Ala al-Maudhu’at:

 ما أظن محمد بن عمرو يحتمل مثل هذا الحديث، والظاهر أن البلاء ممن دون يزيد بن هارون.

“Aku tidak merasakan bahawa Muhammad bin ‘Amru bertanggungjawab [memalsukan] hadis ini. Zahirnya pemalsunya adalah orang selain Yazid bin Harun.”

Yazid bin Harun adalah thiqah, hafiz dan mutqin dan merupakan perawi keenam-enam khutub al-sittah.

3. Al-Hafiz al-Zahabi dalam Talkhis al-‘Ilal al-Mutanahiyyah menyatakan bahawa hadis ini adalah hasil pemalsuan salah seorang perawinya iaitu  Abdul Rahman bin Muhammad al-Balkhi.

Berkemungkinan al-Hafiz al-Zahabi terkeliru antara Abdul Rahman bin Muhammad bin Hamid al-Balkhi dengan Abdul Rahman bin Muhammad bin al-Hasan al-Balkhi.

Abdul Rahman bin Muhammad bin Hamid al-Balkhi dithiqahkan oleh al-Khatib al-Baghdadi dalam Tarikh Baghdad. Kata al-Hakim: “Sangat sedikit aku melihat ahli hadis yang lebih warak daripadanya. Dia seorang ahli hadis di Balk pada waktunya.”

Abdul Rahman bin Muhammad bin al-Hasan al-Balkhi pula dituduh sebagai pemalsu hadis oleh Ibnu Hibban dalam al-Majruhin.

Abdul Rahman bin Muhammad yang berada dalam sanad adalah Abdul Rahman bin Muhammad bin Hamid al-Balkhi.

Jika dilihat pada kenyataan al-Hafiz al-Sayuthi, beliau meyakini kepalsuan hadis ini. Cuma beliau tidak pasti siapa pemalsunya. Terdapat dua orang perawi yang tidak diketahui halnya yang berkemungkinan merupakan pemalsu hadis ini iaitu Ahmad bin Muhammad bin Nu’aim dan Nasr bin al-Asbagh. Kepalsuannya juga dilihat dari sudut kecacatan matannya yang menjanjikan kemaksuman bagi orang yang mencintai ilmu dan ulama.

Wallahu a’lam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan