Ahad, 21 Januari 2018

Al-Imam Badruddin al-Zarkasyi


- Nama beliau ialah Muhammad bin Bahadur bin Abdullah. Sebahagian ahli sejarah menulis namanya sebagai Muhammad bin Abdullah bin Bahadur. Beliau digelar Badruddin al-Zarkasyi.

- Beliau dilahirkan pada tahun 745 Hijrah di Mesir.

- Beliau digelar al-Zarkasyi kerana beliau mempelajari seni membuat kain broked sewaktu kecil. Kain broked adalah sejenis kain tebal, berat, biasanya daripada sutera dan ada corak di atasnya.

- Kata al-Hafiz Ibnu Hajar: “Beliau mengambil berat untuk menuntut ilmu sejak kecil lagi dan menghafal beberapa buah kitab.”

- Antara guru-guru beliau ialah al-Imam Sirajuddin al-Bulqini, al-Imam al-Isnawi/Asnawi, al-Hafiz Mughlathay, al-Hafiz Ibnu Kathir dan lain-lain.

- Kata murid beliau, Syamsuddin al-Barmawi: “Beliau mengabadikan diri dengan ilmu dan tidak menyibukkan diri dengan perkara yang lain. Beliau mempunyai kaum kerabat yang membantu mencukupkan urusan keduniaan beliau.”

- Dikatakan tulisan beliau sangat buruk sehingga sangat sedikit orang yang mampu membacanya. Mungkin kerana beliau ingin tulis dengan cepat atau mungkin beliau tidak terlalu mempedulikan kualiti tulisannya.

- Kata al-Hafiz Ibnu Hajar: “Beliau menyendiri di rumahnya dan tidak bertemu dengan sesiapa pun kecuali apabila beliau pergi ke pasar kitab. Apabila beliau ke pasar kitab, beliau tidak beli apa pun. Beliau sekadar menelaah kitab yang berada di kedai sepanjang harinya. Bersama-sama beliau ada helaian kertas yang beliau gunakan untuk mencatat maklumat yang beliau kehendaki. Apabila beliau pulang ke rumah, beliau nukilkan maklumat tersebut ke dalam penulisannya.”

- Beliau meninggal dunia pada tahun 794 Hijrah ketika berusia 49 tahun dan dikebumikan di al-Qarafah al-Sughra, Kaherah, Mesir.

- Walaupun meninggal dalam usia yang boleh dikatakan masih muda, beliau sempat menulis banyak penulisan dalam pelbagai cabang ilmu. Antaranya, al-Bahr al-Muhith Fi Usul al-Fiqh (6 jilid), al-Nukat ‘Ala Muqaddimah Ibnu al-Solah, al-Burhan Fi Ulum al-Quran, al-Mu’tabar Fi Takhrij Ahadith al-Minhaj Wa al-Mukhtasar, al-Laali’ al-Manthurah Fi al-Ahadith al-Masyhurah dan lain-lain.


رحمه الله تعالى



 Rujukan:

- Al-Durar al-Kaminah, Ibnu Hajar, jil. 3, hlm. 397, c: Dairah al-Ma’arif al-Uthmaniyyah.

- Husn al-Muhadarah Fi Tarikh al-Misr Wa al-Qaherah, al-Sayuthi, jil. 1, 437, c: Dar Ihya’ al-Kutub al-‘Arabiyyah.

- Syazarat al-Zahab, Ibnu al-‘Imad, jil. 8, hlm. 572, c: Dar Ibnu Kathir.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan